Home Novel Fantasi Neo : Mimpi Semalam
Neo : Mimpi Semalam
Kid Haider
26/2/2015 13:36:56
135,497
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 11

Doktor Sarah baru sahaja memeriksa keadaan pesakitnya. Seorang wanita tua yang ditemani oleh anak perempuannya. Setelah membuat pemeriksaan rapi, Doktor Sarah mendapati keadaan wanita itu agak baik. Kesihatannya agak stabil dan dia hanya perlu membekalkan ubat-ubatan biasa yang diberikan kepada wanita yang berada dalam lingkungan umur tujuh puluhan itu.

“Bagaimana dengan keadaan ibu saya doktor?” tanya anak kepada pesakitnya itu.

“Keadaannya stabil. Tetapi dia kena banyak berehat. Mesti cukup tidur dan jangan lupa habiskan ubat yang saya bekalkan nanti.”

“Baiklah doktor”

“Satu lagi. Kawal pemakanannya. Beri apa yang saya cadangkan tu dan jangan biarkan dia buat kerja-kerja yang berat ya. Kalau boleh banyakkan minum susu.” Tambah Doktor Sarah lagi. Anak pesakit itu menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham.

“Terima kasih banyak-banyak Doktor”

“Sama-sama” balas Doktor Sarah sambil melemparkan senyuman manis. Mereka berdua keluar dari bilik itu. Sejurus sahaja kedua beranak itu keluar dari bilik rawatan itu, telefon yang berada di atas mejanya bordering. Dia mengangkat gagangnya dan menjawab panggilan itu.

“Doktor…” suara Rohani, seorang wanita yang bekerja di Yayasan Rahsia Hati kedengaran.

“Ya Rohani.”

“Doktor. Saya ada sesuatu yang nak diberitahu” suara Rohani kedengaran cemas. Seperti sedang menghadapi satu masalah besar.

“Apa dia Rohani?” tanya Doktor Sarah.

“Salah satu fail dalam rekod simpanan kita dah hilang doktor.”

“Apa?! Hilang?! Bagaimana boleh hilang?!” Doktor Sarah terkejut. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarnya. “Entah-entah awak ni silap pandang tak. Cuba awak semak sekali lagi. Tak mungkin fail tu boleh hilang tiba-tiba.”

“Saya dah semak berkali-kali doktor. Saya pun tak tahu bagaimana fail itu boleh hilang. Saya baru sahaja membuat semakan fail dan akaun. Saya dah cuba cari di merata tempat tetapi tak jumpa. Entah-entah yayasan kita ni kena pecah masuk semalam tak?” terang Rohani. Dia cuba membuat andaian.

“Fail apa yang hilang sebenarnya Rohani?”

“Fail Armitale Corporation”

“Armitale Corporation?!” Doktor Sarah sekali lagi terkejut.

“Ya, doktor. Fail Armitale Corporation”

“Habislah kita macam ni. Armitale Corporation tu antara penderma terbesar kepada yayasan kita”

“Apa yang perlu kita buat sekarang doktor? Tanpa fail tu, kita tiada rekod mengenai sumber derma daripada Armitale Corporation”

“Apa kata awak buat laporan polis. Mungkin ada betulnya apa yang awak cakapkan tu. Kemungkinan besar, tempat kita tu kena pecah masuk semalam”

“Baiklah doktor.”

“Terima kasih ya Rohani”

“Sama-sama”

**************************************


Ayame,

Hari ini, sebaik sahaja tamat sesi persekolahan, aku berjumpa dengan Cikgu Fazlan. Seorang guru kaunselor di sekolah.

Ini adalah kali pertama aku berjumpa dengannya. Aku ingin meminta nasihat dan pandangan daripadanya. Aku katakan kepadanya yang aku ada masalah dengan rakan-rakan di sekolah. Apabila dia tanya kenapa, aku katakan yang mereka tidak mahu berkawan denganku. Mereka suka memperlekehkan aku. Mereka katakan yang aku ‘budak pelik’.

Cikgu Fazlan ada juga bertanya sekiranya ada sesiapa yang pernah menyakiti aku secara fizikal. Namun, aku menggelengkan kepala dan menjawab ‘tidak’. Tetapi di dalam kepala, terbayang-bayang muka budak berlima itu. Aku tak beritahu tentang mereka berlima (Geng Jembalang). Aku takut sekiranya aku beritahu perkara yang sebenar, sesuatu yang buruk akan berlaku. Mereka mungkin akan melakukan sesuatu ke atas Miki. Cikgu Fazlan

tersenyum penuh bermakna apabila dia mendengar jawapan yang aku berikan. Aku tak tahu apa makna di sebalik senyuman yang diberikan. Barangkali dia dapat membaca raut wajahku. Dia mungkin tahu yang aku tidak berkata benar.

Dia juga ada bertanya tentang keadaan keluarga. Aku beritahu tentang ibu, Borhan dan Pak Cik Lan. Satu persatu cerita tentang bapa tiri ‘kesayanganku’ itu ku ceritakan kepadanya. Dia tidak menunjukkan rasa jemu mendengar ceritaku. Dia mendengar setiap bibit perkataan dengan teliti. Ternyata dia memang seorang guru yang baik dan yang paling penting sekali, dia adalah seorang pendengar yang baik. Dia menunjukkan empati kepadaku. Dia banyak memberi nasihat yang berguna kepadaku. Aku berasa amat lega hari ini. Segala-galanya telah aku luahkan.

**********************************************************

Doktor Sarah pulang ke rumahnya. Dia meluru laju menuju ke bilik bacaannya. Kehilangan fail di yayasan seperti mana yang dikatakan oleh Rohani sebentar tadi membuatkan dia risau memikirkan fail-fail yang diletakkan di rumahnya. Dipecahmasuk. Dipecah masuk. Dipecah masuk. Apa yang dikatakan oleh Rohani tadi masih terngiang-ngiang di telinga Doktor Sarah. Dia memikirkan

pelbagai kemungkinan yang berlaku. Ada betulnya apa yang dikatakan oleh Rohani tadi. Hanya itu sahaja penjelasan logik yang boleh diterima buat masa ini.

Sebentar tadi ketika dia dalam perjalanan, dia menerima panggilan daripada Balai Polis Bukit Semarak. Mereka meminta dia datang ke sana untuk membuat keterangan berhubung dengan apa yang berlaku di PRASASTI tempohari. Dia berjanji untuk datang ke balai polis itu sebaik sahaja hal mengenai kehilangan fail itu selesai kerana fikirannya kini masih belum dapat lari lagi dari memikirkan mengenai fail Armitale Corporation yang hilang itu.

Dua kotak berisi fail dibawa keluar ke ruang tamu. Kedua-dua kotak itu mengandungi fail-fail penting Yayasan Rahsia Hati yang disimpan di rumahnya. Dia memeriksa fail-fail itu satu-persatu. Setelah selesai, dia mengucapkan syukur kerana tiada satu pun fail, dokumen atau rekod yang hilang. Dia menarik nafas lega. Tetapi, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu di atas meja kecil yang terletak di salah satu penjuru rumahnya. Dia segera bangun dan mendekati meja kecil itu. “Fail Armitale Corporation?” dia bersoal sendiri.

***********************************

Rohani sedang dalam perjalanan menuju ke balai polis yang berdekatan. Dia ingin membuat laporan mengenai kehilangan fail yang menyimpan rekod ‘Armitale Corporation’ seperti yang diarahkan oleh Doktor Sarah sebentar tadi. Telefon bimbitnya berbunyi. Nama pemanggil tertera di skrin. Dia pantas menjawab.

“Ya Doktor Sarah?”

“Saya nak tanya. Kamu dah buat laporan polis?”

“Dalam perjalanan. Saya memang sedang menuju ke balai polis sekarang ni. Kenapa doktor?”

“Saya rasa tak perlulah kamu buat sebab…..”

“Kenapa doktor? Kenapa pula saya perlu batalkan? Apa yang berlaku?” bertubi-tubi soalan muncul dari mulut Rohani.

“Fail itu dah ada Rohani.”

“Eh! Betul ke? Jangan main-main…” Apa yang diberitahu oleh Doktor Sarah mengejutkannya. Sangkanya, wanita itu hanya bergurau. Dia memberhentikan kereta di tepi jalan.

“Betul Rohani. Saya jumpa fail itu di rumah saya”

“Di rumah doktor?” soal Rohani penuh kehairanan.

“Saya sendiri pun rasa pelik. Saya betul-betul tak faham dengan apa yang sedang berlaku sebenarnya.”

“Pelik betullah. Entah-entah doktor atau Cammy terbawa balik tak…”

“Eh. Takkanlah saya boleh terbawa balik. Semasa saya berkemas pagi tadi. Saya tak perasan pula fail tu di atas meja. Saya berani jamin yang saya tak tersilap pandang. Saya betul-betul periksa rumah saya pagi tadi. Setiap inci dan penjuru rumah saya periksa pagi tadi.”

“Kalau begitu. Hanya ada satu penjelasan sahaja yang dapat menerangkan keadaan ini.”

“Apa dia?”

“Saya rasa ada orang yang dah pecah masuk ke yayasan dan kemudian dia menceroboh masuk pula rumah doktor. Saya tak tahulah pula apa tujuannya” ujar Rohani. Dia cuba membuat andaian.

Kata-kata Rohani membuatkan Doktor Sarah berfikir sejenak. Kemungkinan besar, andaian yang dibuat Rohani itu betul. Cuma siapa dan apa motifnya agak sukar difahami.

“Mungkin betul apa yang awak katakan tu.” Doktor Sarah bersetuju dengan pandangan Rohani.

“Beginilah Rohani. Awak pulang semula ke pejabat. Saya akan datang ke yayasan sekarang juga! Kemudian kalau ada apa-apa yang mencurigakan, barulah saya laporkan kepada pihak polis” putus Doktor Sarah.

“Baiklah doktor. Saya tunggu” kata Rohani. Mereka mematikan talian masing-masing. Doktor Sarah termenung sejenak. Dia mula menerawang memikirkan sesuatu. Dia teringatkan Doktor Adam Raufal. Orang yang memberi sokongan kepadanya sewaktu dia membuat keputusan untuk menubuhkan Yayasan Rahsia Hati.Alangkah bagusnya kalau dia masih lagi hidup ketika ini.

**********************************

“Yayasan Rahsia Hati?” tanya Doktor Adam. Sejurus sahaja Doktor Sarah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan Yayasan Rahsia Hati.

“Ya Adam. Yayasan Rahsia Hati. Aku akan buka yayasan ini untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik”

“Baik sungguh hati kau Sarah.”

“Aku mahu membantu mereka yang memerlukan. Kau tahukan siapa aku. Aku bukannya datang daripada keluarga yang senang. Aku rasa dengan apa yang aku ada sekarang, telah tiba giliran aku pula untuk membantu

mereka yang memerlukan”

“Aku faham tu Sarah. Aku faham. Aku akan sentiasa menyokong kau dari belakang:

“Terima kasih Adam. Sejak dahulu lagi kau memang banyak membantu aku. You are very supportive.”

“Sarah. Bukankah kita dah lama kenal”

“Aku akan beritahu kawan-kawan kita yang lain mengenai yayasan ini. Aku yakin mereka tidak akan teragak-agak untuk membantu kau”

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.