Home Novel Fantasi Pada Suatu Masa Hadapan
Pada Suatu Masa Hadapan
Syaida Ilmuna Ismail
24/10/2014 18:17:35
17,107
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
05

ANAS memanjangkan langkahan kaki saat matanya tertancap pada batang tubuh Amanina yang sedang mengayuh basikal laju keluar dari perkarangan sekolah. Sepanjang hari ini, dia langsung tidak bertemu dan mempunyai masa untuk berbicara dengan Amanina. Gadis itu tampak sibuk dengan halnya sendiri dan Anas tidak berhasrat untuk mengganggu.

“Amanina!” jerit Anas dari belakang. Dia berlari-lari anak mendekati kekasih hatinya yang kian memecut basikal laju mendekati jalan kecil berhadapan dengan bendang.

Basikal yang dikayuh Amanina tiada tanda-tanda untuk berhenti malah makin melaju. Anas dibiarkan tercungap-cungap berkejaran di belakang. Hati Amanina masih lagi ragu-ragu mengenai apa yang dibicarakan papanya semalam. Namun ini tidak bermakna yang dia membenci Anas. Dia cuma perlukan ruang untuk berfikir masak-masak mengenai soal perhubungan mereka.

“Niena! Berhenti!” Anas masih tidak mengalah. Kakinya berlari laju. Tempat duduk pembonceng di belakang basikal Amanina ditariknya sehingga basikal gadis itu berhenti dalam keterpaksaan.

“Awak ni kenapa?” Amanina menjeling. Akhirnya dia terpaksa turun dari basikal dan berhadapan Anas yang tidak tahu erti mengalah ini.

“Awak tu yang kenapa? Kenapa lari dari saya? Tak jumpa saya langsung!” soal Anas kembali. Dia juga ikut menjeling dalam keadaan nafas yang tercungap-cungap.

“Dah lepaskan basikal ni. Saya nak balik…” Amanina memanjat semula naik ke atas basikalnya. Pandangan tajam Anas ke arahnya tidak diendahkan.

“Hey!” Kedua-dua hendal basikal ditahan Anas. Matanya menjegil. Amanina dipandangnya dengan penuh amarah.

“Lepaslah! Pergi dari saya! Saya tak nak cakap dengan awak hari ni,” tingkah Amanina.

“Tapi kenapa? Saya ada buat salah ke?” tanya Anas. Amanina tidak pernah berperilaku pelik begini.

“Tak… tapi saya rasa lebih baik awak jauhkan diri awak dari saya.”

“Tapi sebab apa?!” Anas mula menaikkan suara. Kesabarannya teruji. Sikap Amanina yang degil ini membuatkan hatinya sakit.

Amanina turun dari basikalnya. Beg sekolah yang tersauk di bahu diturunkan ke kerusi belakang basikal.

“Papa saya cakap… awak…” Amanina tidak pasti apa yang bakal diperkatakannya ini akan memberi kesan buruk atau tidak kepada Anas dan perhubungan mereka. Namun ditekadkan hatinya untuk berbicara demi sekelumit kebenaran.

“Apa? Apa yang papa awak cakap?”

“Awak anak luar nikah dan mak awak perempuan jahat.” Amanina menutup mulutnya sebaik saja kata-kata itu keluar dengan hati yang tanpa rela. Dia takut Anas berang. Siapapun pasti akan berang kalau ada orang berbicara buruk mengenai mereka dan keluarga mereka.

Anas terpempan mendengar bicara Amanina. “Apa?! Apa awak cakap? Saya anak luar nikah? Anak haram? Mak saya perempuan jahat?”

Amanina menunduk. Kepalanya tergeleng-geleng. “Saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak… tapi papa yang cakap macam tu…”

“Awak percaya cakap papa awak?” soal Anas tegas. Nafasnya mulai tidak terkawal. Tubuh kecil molek Amanina itu sudah dipandang bagaikan ular yang berbisa.

“Saya tak tahu. Saya cuma nak dengar semuanya dari mulut awak… Mana papa awak Anas? Kenapa sekalipun awak tak pernah ceritakan tentang dia kepada saya?” Perasaan bersalah mulai menyelinap ke hati Amanina. Sungguh tidak wajar dia berkata begitu pada Anas.

“Jadi awak dah mula nak percayalah…” Anas bersuara perlahan. Dia berpaling dari menatap wajah Amanina. Hatinya sakit. Kenapa orang kampung selalu mengutuk dia dan ibu begitu?

“Anas? Saya tak nak percaya semua tu. Tapi kalau awak tak jelaskan kepada saya… saya mungkin akan percaya. Buat apa papa dan mama saya nak menipu?” balas Amanina.

Mata Anas memerah. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan ia pada Amanina. Dia sendiri tidak tahu di mana ayahnya berada. Ibu tidak pernah menceritakan padanya. Kata ibu ayah tiada. Itu saja! Kata nenek pula, ayah orang jahat. Ditangkap polis ketika dia masih belum dilahirkan lagi. Manakala atuk, lelaki tua itu lebih gemar diam dari berbicara!

“Saya… tak tahu macam mana nak cakap dengan awak, Amanina.”

“Ceritakan aje pada saya. Saya boleh terima semuanya kalau awak jujur,” pujuk Amanina.

“Saya tak tahu. Ibu tak pernah ceritakan kepada saya tentang ayah. Saya benar-benar tak tahu, Niena.” Anas berpaling wajahnya ke arah Amanina. Matanya yang memerah tadi sudah bergenang air mata.

“Awak berhak fikir apa saja tentang saya. Mungkin saya anak luar nikah. Mungkin benar ibu saya jahat. Sebab itulah dia tak pernah ceritakan apa-apa kepada saya mengenai ayah,” sambung Anas.

Anas menghelas nafas berat. Dia berjalan ke hadapan meninggalkan Amanina terpinga-pinga di belakang. Sungguh memang dia tidak layak untuk bersama Amanina. Amanina berketurunan orang baik-baik. Manakala dia pula, anak luar nikah!

***

ZARA AISYA mengelap peluh yang merindik di dahi menggunakan hujung lengan baju kurung putihnya yang bercorak bunga kecil. Selesai memasak, dia mengemas dapur yang semakin uzur rupanya itu. Kebanyakan pinggan mangkuk sudah retak dan ada yang tidak cukup rangkapnya. Ada cawan tak ada piring ada piring tidak ada cawan!

Pekerjaannya di kedai runcit Pak Hashim hanya setengah hari saja hari ini. Pak Hashim menyuruh Zara pulang awal kerana dia hendak menutup kedai tersebut untuk proses pengubahsuaian. Kedai yang sudah uzur rupanya itu, sekilas pandang bagai kedai runcit zaman 60-an. Atap kayu dan lantai simennya semakin berlubang-lubang.

Nasi dan lauk asam pedas ikan kembung serta sup sayur bayam dihidangkan ke atas meja. Setelah itu, Pak Mustapha dan Mak Zaiton dipanggil Zara untuk menjamu selera.

“Anak kau tak balik lagi, Zara?” Pak Mustapha bersuara apabila Zara mulai menarik kerusi untuk duduk bersebelahan dengannya.

“Belum lagi, ayah.” Mata Zara mengerling ke arah jam dinding yang menunjukkan pukul 2.20 petang. Lambat pulak budak Anas ni. Selalunya pukul 2.00 petang dah sampai rumah. Sekolah tamat pukul 1.50 petang hari ini.

“Meleconglah tu. Berdating ke apa…” Mak Zaiton menyampuk. Ada saja prasangka buruknya terhadap si cucu.

Zara terdiam. Hatinya menahan rasa nanar yang makin berkembang ke seluruh jiwa. Biarlah apa kata mak, dia percaya Anas bukan begitu.

“Zara… ayah nak tanya sikit boleh?” Mulut Pak Mustapha berhenti mengunyah. Matanya beralih ke wajah Zara yang cantik manis itu.

“Apa dia ayah?”

“Kamu… masih berhubungan dengan Azaryl?”

Nasi yang bersisa di dalam mulut Zara ditelan laju. Pertanyaan ayah bagaikan guruh yang mengejutkannya dari tidur. “Apa ayah cakap ni. Kan sejak dari hari tu… Zara dah langsung tak berjumpa atau berhubung dengan dia.”

“Zara… dah 18 tahun berlalu. Takkan Zara masih nak menunggu. Ayah yakin dia takkan kembali kepada kamu lagi.”

Zara mengangkat wajahnya dan memandang ke arah Pak Mustapha dan bersilih ganti ke arah Mak Zaiton yang sibuk menyumbatkan nasi ke dalam mulutnya.

“Apa maksud ayah ni?” soal Zara curiga.

Mak Zaiton menghela nafas berat. Lalu dia pula yang bersuara. “Kamu minta fasakh. Ayah kamu nak kahwinkan kamu dengan orang lain.”

Bibir Zara bergetar. Tangannya tiba-tiba seram sejuk. “Kahwinkan Zara? Kenapa? Mak dan ayah dah tak nak Zara tinggal kat rumah ni lagi ke? Zara menyusahkan ayah dan mak ke?”

“Haa baguslah kalau kamu dah faham. Kami ni dah makin tua. Tak larat dah nak menanggung biaya hidup kamu dengan si Anas tu. Elok juga budak Anas tu ada ayah. Dapat juga dipatah-patahkan sikap biadap dia tu,” bicara Mak Zaiton lancang. Tangannya diketuk-ketuk ke pinggan dan teko berisi air bersih dibasahi ke tangan.

“Tapi… Zara…” Zara Aisya kelu dari kata-kata. Azaryl… Azaryl kata dia akan kembali. Dia masih setia pada Azaryl walaupun lelaki itu telah mendustainya selama 18 tahun lamanya.

“Zara fikirkanlah masak-masak. Ayah tahu Zara masih teringatkan Azaryl. Ayah memang rasa bersalah kahwinkan kamu tanpa usul periksa dengan lelaki tu. Kali ini, ayah dah fikir masak-masak. Zahri, anak Pak Fatih yang arkitek tu dah lama berkenan dengan kamu. Hari tu dia ada cakapkan hal ni dengan ayah,” kata Pak Mustapha. Dia juga ikut membasuh tangannya. Nasi dipinggan sudah licin.

Hanya nasi di pinggan Zara saja yang masih penuh. Selera makannya tergendala. Tiba-tiba Zara terasa seperti anak dara yang hendak dikahwin paksa. Walhal dia seorang ibu beranak satu. Dia ada hak untuk menolak atau menerima lamaran itu.

“Zara, nasihat mak, kau terima ajelah. Hidup senang kau nanti. Esok-esok boleh juga kami merasa nak kereta Mercedes. Apalah lagi yang difikir-fikirkan!” putus Mak Zaiton. Matanya menjeling tajam ke arah Zara yang dianggapnya bodoh. Tak tahu menilai yang mana satu intan dan yang mana satu kaca.

Zara hanya mampu terdiam membisu. Maknya langsung tidak memahami gelora yang dihadapinya. Mungkin soal Azaryl dia boleh ke tepikan. Tapi Anas! Bolehkan Anas menerima kehadiran orang baru dalam hidup mereka? Ya ALLAH, berat dugaanku kali ini!

***

Previous: 04
Next: 06

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.