Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
58,138
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 5


Elika berdehem perlahan apabila melihat Firdaus berjalan menghampiri mereka. Gloria menyiku lengan gadis itu.

“Tunduk lah,” katanya separuh menyuruh. Elika menurut arahan gadis itu. Firdaus berhenti di hadapan gadis yang sedang tunduk itu. Dia kemudian memandang telur yang berada di dalam mangkuk. Elika menggigit bibir. Dia hanya sempat memecahkan telur tersebut tanpa sempat menggorengnya.

“Mati aku. Dia nak hukum aku ke ni?”

Bisik hati kecilnya yang agak takut.

“Esok saya nak lihat awak lagi,” kata Firdaus sambil merenung gadis itu. Elika mengangkat wajahnya membalas pandangan lelaki itu. Dia terkedu. Walaupun tanpa senyuman lelaki itu tetap kelihatan kacak. Terasa diri dilindungi saat melihat wajah tenang Firdaus.

“Terima kasih putera,” ucap Gloria mewakili Elika yang masih tercegat memandang Firdaus. Firdaus mengangguk sebelum berlalu semula. Gloria menepuk bahu Elika.

“Kau gila?” soalnya agak geram.

“Apa?” tanya Elika semula dengan kening berkerut. Dia seperti baru tersedar dari mimpi.

“Esok kau kena datang lagi kat sini,” kata Gloria dengan riak wajah yang agak kecewa.

“Kenapa? Aku tak masak apa-apa pun,” soal Elika lagi sambil memandang telur yang berada di atas meja.

“Mana lah aku tahu. Susah lah macam ni. Kalau kita berdua ada kat sini, siapa nak cari perigi tu?” balas Gloria separuh menyoal. Elika mula faham akan maksud gadis itu.

“Apa rancangan kau lepas ni?” tanyanya ingin tahu. Gloria mengangkat bahu tanda tidak tahu. Elika mengeluh perlahan.

“Tak apa. Malam ni kita fikir dulu nak buat apa. Kau jaga diri kat sini. Aku tak tahu jalan nak datang sini kalau kau perlukan aku,” nasihatnya separuh mengusik. Gloria tergelak kecil. Dia memeluk gadis itu. Elika agak terkejut dengan tindakan Gloria.

“Dalam dunia ni, aku hanya ada kau. Kau juga hanya ada aku. Aku tak nak gaduh dengan kau dalam dunia ni. Terima kasih kerana kau yang jatuh dalam perigi tu dengan aku,” kata Gloria dengan perasan sebak. Elika tergelak kecil.

“Aku pergi dulu,” katanya sebelum berlalu. Gloria hanya tersenyum hambar. Dia mengeluh perlahan.

                                  *****

Hana menghampiri Elika yang sedang duduk di atas bangku luas yang berada di halaman rumah. Gadis itu sedang leka memandang bulan di langit yang gelap.

“Tak puas tengok bulan tu?” soalnya sambil duduk di sisi gadis itu. Elika tersenyum membalas pandangan Hana. Dia menggenggam jemari wanita itu lalu mengucupnya.

“Elika rasa macam mimpi. Masih tak percaya boleh jumpa mama lagi. Kalau boleh Elika nak duduk sini buat selama-lamanya,” katanya dengan perasaan sebak.

“Elika cakap apa ini?” soal Hana yang agak keliru dengan kata-kata gadis itu. Elika hanya tersenyum.

“Mama kenal Jaim?” soalnya ingin melihat reaksi wanita itu.

“Jaim?” soal Hana. Dia menggeleng dengan senyuman. Elika tersenyum hambar. Berpeluangkah dia bertemu dengan papanya di dunia ini?

“Elika ada masalah?” soal Hana. Dia agak tertanya-tanya dengan sikap anaknya itu sejak akhir-akhir ini. Gadis itu seperti orang kebingungan. Elika menggeleng tersenyum.

“Selagi Elika ada kat sini, Elika akan cuba jadi anak yang baik untuk mama,” katanya sambil menggenggam erat jemari wanita itu. Hana akhirnya akur. Walaupun dia ingin tahu apa yang berlaku pada gadis itu, namun dia mengambil keputusan untuk berdiam diri buat masa ini.

                                  *****

Elika memandang baju besi yang dipakainya. Memang agak berat.

“Hari ini kita akan turun ke padang memanah,” beritahu Uyana sambil tersenyum di sisinya. Elika mengangguk perlahan.

“Tahniah. Tidak sangka jumpa kamu lagi hari ini,” ucap Uyana dengan ikhlas. Elika memandang sekeliling. Benar kata gadis itu. Hanya tinggal beberapa orang saja dalam bilik persalinan itu.

“Jom,” ajak Uyana. Elika menarik nafas berat sebelum melangkah. Namun baru saja beberapa langkah bahunya tiba-tiba dilanggar oleh seseorang yang berjalan laju melepasinya. Hampir saja dia terjatuh nasib baik Uyana di sisinya sempat menahan.

“Jaga mata itu!” tegur gadis itu dengan nada keras. Terkebil-kebil Elika memandang langkah laju gadis itu.

“Itu Nana. Biarkan dia. Dia memang macam itu,” kata Uyana sambil menggeleng. Elika mengangguk walaupun agak geram.

                                  *****

Gloria memandang Firdaus yang sedang duduk di atas kerusi tidak jauh dari mereka.

“Kau nak buat apa nanti?” soal Gloria pada Elika yang sedang berdiri di sisinya.

“Mana lah aku tahu. Aku tak pernah lah pegang benda tu. Baju ni pun berat tau tak. Aku tak tahu lah zaman ni nak pergi perang ke apa siap nak buat pertandingan memanah ni,” rungut Elika. Gloria menahan gelaknya.

“Aku dengar, kalau nak jadi isteri putera, wanita tu mesti pandai mempertahankan negara. Kau jangan lah risau. Kau tak payah bersusah payah nak menang. Ingat, kita ni bukan nak tinggal kat sini. Kalau kau kahwin dengan putera tu kau nak tinggal selama-lamanya kat sini?” soal Gloria dengan kening terangkat. Elika membalas pandangan gadis itu. Belum sempat dia menjawab tiba-tiba namanya diseru oleh Varna.

“Good luck,” bisik Gloria. Elika hanya menjeling gadis itu sebelum berlalu. Sampai di tengah padang, seorang pengawal menghulurkan busur panah kepadanya. Elika menyambut dengan ragu-ragu.

“Mak aiih! Beratnya!”

Terkial-kial Elika mengangkat busur panah tersebut. Firdaus bangun dari kerusi. Semua tunduk saat lelaki itu turun dari tempatnya lalu berjalan perlahan menghampiri Elika yang masih tidak sedar apa yang berlaku. Gadis itu masih terkial-kial mengangkat busur panah tersebut. Firdaus berdiri rapat dibelakang Elika sambil tangannya membantu tangan Elika mengangkat busur panah tersebut. Elika terkedu.

“Saya masih nak jumpa awak esok,” kata Firdaus separuh berbisik. Dia membantu Elika menarik panah lalu melepaskannya. Tepat pada sasaran. Firdaus mengambil busur panah dari tangan Elika lalu dihulurkan kepada pengawal. Elika berpaling memandang lelaki itu. Jantungnya usah dikata lagi saat bertemu pandang dengan Firdaus. Kini kedua-duanya saling berpandangan tanpa sepatah kata. Gloria yang memandang dari jauh turut ikut terkejut. Firdaus melangkah semula tanpa berkata apa-apa lagi.

                                   *****

Pamela meletakkan cawan yang diperbuat daripada emas di hadapan Rasyid.

“Saya dengar hari ni Firdaus ada bantu salah seorang pemanah,” kata Rasyid sambil memandang wajah isterinya itu. Pamela tersenyum hambar.

“Betul. Saya sudah beritahu awal. Jangan teruskan tradisi macam ini. Kalau hendak carikan Firdaus calon isteri, saya boleh carikan untuknya. Sekarang Firdaus mahu pilih sendiri calon isterinya,” balas Pamela yang agak tidak puas hati.

“Terserah Firdaus. Saya tidak kisah siapa pilihannya. Tapi tradisi ini tetap akan dilaksanakan sampai bila-bila. Kita tidak boleh menghentikannya. Awak mahu kerajaan saya lenyap macam itu saja?” soal Rasyid dengan kening terangkat memandang isterinya.

“Maafkan saya,” ucap Pamela dengan perasaan bersalah. Betul kata suaminya itu. Tradisi ini tidak boleh dibatalkan begitu saja. Tentu saja nenek moyang mereka tidak berdiam diri jika tiba-tiba ia dibatalkan.

“Safiq belum pulang?” soal Rasyid yang agak risau dengan anak sulungnya itu. Safiq memang suka merantau. Itulah sebabnya dia tidak memlih Safiq sebagai penggantinya. Lelaki itu sering merantau sehingga berbulan-bulan lamanya. Pamela menggeleng. Dia mengeluh perlahan. Dia juga sangat risaukan anak terunanya itu. Sikap tidak suka dikongkong menyebabkan mereka terpaksa menggugurkan Safiq untuk menjadi pengganti suaminya.

“Suruh dia jumpa saya bila sudah kembali,” arah Rasyid dengan nada tegas. Pamela hanya mengangguk.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.