Home Novel Cinta Suami Pilihan Abah
Suami Pilihan Abah
Kasturi Madu
19/10/2021 09:07:11
35,924
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9

BEG bagasi berisi pakaian milik Hafiz dan Naura diletakkan ke dalam bonet kereta. Usai itu pintu kereta di bahagian penumpang di sebelah hadapan di bukakan khas buat cik isteri kesayangan. Bibir tak lekang melorekkan senyuman manis bak gula yang tertumpah.

 

Tutup saja daun pintu, Hafiz segera berlari menuju ke arah pintu di bahagian pemandu. Usai memakaikan tali pinggang keledar ke tubuh sasanya dia menoleh sebentar ke arah Naura. "Are you ready sayang?"soal Hafiz.

 

"Yes I'm ready..!" sahut Naura teruja.

 

Terhambur tawa Hafiz melihatkan keterujaan yang dipamerkan oleh Naura. Dengan lafaz Bismillah, perlahan-lahan pedal minyak kereta ditekan. Sekaligus meninggalkan perkarangan hotel mewah tempat mereka bermalam.

 

Kereta dikemudi menuju masuk ke dalam laluan lebuh raya.Hafiz dan Naura sudah merancang mahu menghabiskan cuti mereka dengan pergi berbulan madu bersama.

 

Pada mulanya Hafiz mahu mengajak Naura untuk pergi berbulan madu di luar negara tapi disebabkan kekangan waktu jadi Naura dengan mudah menolak. Lagi pula selepas ini Naura akan menghadapi satu peperiksaan besar jadi dia tidak mahu sekiranya nanti waktu untuk dia mengulang kaji pelajaran akan terbatas dek kepenatan kerana harus melalui tempoh waktu perjalanan yang panjang di dalam pesawat.

 

Kereta yang dipandu hampir 2 jam itu akhirnya tiba juga ke destinasi yang ditujui. Port Dickson, Negeri Sembilan adalah menjadi lokasi buat Hafiz dan Naura bagi berbulan madu buat pertama kalinya selepas bergelar pasangan suami isteri.

 

Kereta yang tadinya bergerak laju, kini sudah pun elok diparkirkan di dalam kotak parkir. Tali pinggang keledar yang membaluti tubuh sasanya di bukakan kasar. Tubuh dikalihkan ke arah Naura sedang terlena itu. Tersungging senyuman lebar apabila melihatkan wajah polos cik isteri.

 

Tubuh Naura didekati. Rambut Naura yang menutupi sebahagian wajahnya diselak ke belakang telinga. Dengan penuh lemah lembut Hafiz mengejutkan Naura.

 

"Sayang.. Bangun, kita dah sampai ni," ucap Hafiz.

 

Melihatkan tiada tanda-tanda seperti Naura mahu bangun, Hafiz sekali lagi mengejutkan Naura. "Sayang, kita dah sampai ni bangunlah.." ujar Hafiz lagi. Kali ini bahu Naura digoncangkan lembut.

 

"Hmm..." terpisat-pisat Naura yang baru saja tersedar daripada lenanya itu. Wajah Hafiz yang begitu dekat dengannya dipandang hairan.

 

"Kita dah sampai ke?" soal Naura. Mulut dah terlopong menguap panjang.


"Aip... Apa ni menguap tak tutup mulut," tangan Hafiz laju menutup mulut Naura yang sedang terbuka luas itu.

 

"Hehe.. Sorry.. Kita dah dah sampai ke?" ulang Naura.

 

"Ya baru je sampai. Jomlah kita check in," ajak Hafiz yang tak mahu membuang masa itu.

 

"Yeah jom," sahut Naura teruja. Pintu kereta dibuka kasar lalu tubuh langsingnya dibawa keluar dari perut kereta.

 

Tergeleng kepala Hafiz melihatkan tingkah Naura yang kelihatan begitu teruja. Tak tinggal diam, Hafiz juga turut keluar dari dalam perut kereta. Langkah di atur menuju ke arah bahagian bonet kereta.

 

Beg bagasi milik mereka berdua dikeluarkan seketika. Usai itu kaki dibawa mendekati Naura yang sudah berdiri kaku dihadapan hotel yang bakal menjadi tempat penginapan mereka berdua.

 

"Abang kita tinggal dekat sini ke?" soal Naura tidak percaya.

 

"Yalah. Kenapa? Naura tak suka ke?" soal Hafiz kembali.

 

"Tak... Bukan macam tu. Naura suka. Tapi tak mahal sangat ke bang?" berkerut wajah Naura memandang tepat ke dalam anak mata Hafiz.

 

"Pasal tu Naura tak payahlah bimbang. Abang mampulah sayang. Lagi pun bukan untuk orang lain, untuk isteri abang yang cantik ni jugak," ucap Hafiz. Sempat dia mencuit hidung Naura.

 

"Okay kalau abang dah cakap macam tu jomlah kita," ajak Naura yang sudah tidak sabar.

 

"Jom..."

 

Hafiz dan Naura segera membuka langkah untuk masuk ke dalam hotel mewah dan eksklusif itu. Lexis Hibiscus merupakan tempat penginapan yang dipilih sendiri oleh Hafiz. Hotel yg dibina bertemakan lambang bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia itu adalah antara hotel termewah dan bertaraf 5 bintang di Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Hotel inilah yang akan menjadi tempat penginapan buat Hafiz dan Naura yang bakal menghabiskan bulan madu mereka selama 3 hari 2 malam.

 

Sebaik sahaja pasangan suami isteri itu mendaftar di lobi hotel, Hafiz dan Naura segera dibawa menaiki buggy untuk ke chalet peribadi mereka berdua.

 

Sebuah Royal Suite yang sangat eksklusif terletak di tingkat atas bangunan utama ditujui. Tergamam Naura saat memasuki ke dalam suite yangserba mewah itu. Kaki tak henti melangkah meneroka ke dalam suite mewah yang bakal dihuni oleh mereka berdua.

 

Royal Suite ini sangat sesuai sekiranya dihuni oleh kaum keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang besar. Dua bilik tidur, dengan satu tempat tidur jenis king di setiap bilik, dan turut mempunyai ruang tamu. Malah di dalam suite ini juga turut mempunyai ruang makan dan pantri yang besar. Boleh dikatakan semua keluasannya bertempat dalam ruang perlindungan seluas 1,930 kaki persegi.

 

Selesai saja meneroka ke ruang dalaman suite, kaki dihalakan ke arah luar balkoni bilik. Di luar bilik mereka terdapat sebuah kolam renang yang letaknya benar-benar berhadapan dengan pantai Port Dickson yang jelas terbentang luas itu. Terpana Naura melihatkan keindahan alam semula jadi itu. Malah angin pantai yang menyapa hampir membuatkan dia terleka.

 

"Do you like it?" suara Hafiz yang benar-benar menyapa di belakang cuping telinganya itu menyentakkan Naura. Malah rangkulan tangan sasa milik Hafiz yang sedang memeluknya erat itu membuatkan tubuh Naura tiba-tiba menjadi kaku. Sungguh dia berasa tidak selesa dengan situasi sebegitu rupa.

 

"Erk.. Suka.. Naura suka sangat," jawab Naura gugup.

 

"Lega abang kalau Naura suka," ucap Hafiz lega.Sekali sekala rambut Naura yang berterbangan angin itu disedut bauan nya.

 

"Erkk... Abang apa kata kita pergi jalan-jalan dekat tepi pantai sana tu. Naura teringin nak minum air kelapa la," pinta Naura. Tangan sasa milik Hafiz dirungkaikan lembut. Tubuhnya segera dipusingkan. Wajah Hafiz yang berada dekat dengannya dipandang bersama senyuman comel.

 

"Nak pergi sekarang ke?" soal Hafiz. Mata dihalakan ke arah persisiran pantai yang sedang terang benderang dengan silau cahaya matahari. Bahangnya pun boleh terasa di kulitnya saat ini.

 

"Yalah.." anggukan diberikan kepada encik suami.


"Panaslah sayang. Tunggu petang sikit lah. Waktu tu cuaca dah redup sikit," pujuk Hafiz.

 

"Tak nak! Saya nak pergi sekarang. Tekak saya ni dah teringin sangat nak minum air kelapa. Please abang..." pujuk Naura. Mata dikerlip beberapa kali.

 

Hafiz yang melihatkan tingkah Naura menghembuskan keluhan berat. Mahu tak mahu terpaksa diikutkan juga tingkah Naura. Kalau tidak mahu merajuk cik isterinya nanti. "Yalah jom..." akur Hafiz.

 

"Yeah! Terima kasih abang..." leret Naura.

 

Berlari anak Naura masuk kembali ke dalam bilik. Beg tangan yang tadinya dicampak kasar di atas sofa dikutip dan disangkutkan ke bahunya. Kaki dah menapak menuju ke arah pintu. Hafiz pula dah terkocoh-kocoh mengejar langkah Naura yang pantas mahu berlalu keluar dari bilik mereka.

 

"Sabarlah kejap Naura. Tak lari ke mana pun air kelapa awak tu," ujar Hafiz. Tangan Naura sempat dicapai. Digengam lembut tangan isterinya itu.

 

"Hehe sorry. Naura tak sabar nak jalan-jalan dekat pantai tu. Naura dah lama tak pergi pantai tu excited tu," ucap Naura. Sengihan kerang busuk dipamerkan. Pegangan tangan Hafiz dibalas erat.

 

"Abang tahu Naura excited tapi ingatlah sikit suami awak ni. Ada ke patut tinggal abang macam tu je" muncung sedepa bibir Hafiz.


"Abang tu yang lambat sangat. Dahlah tu. Jomlah cepat," ajak Naura tak sabar.

 

"Hmm yalah jom."

 

Pasangan suami isteri itu mula mengorak langkah meninggalkan bilik mereka. Persisiran pantai yang menempatkan perlbagai jenis gerai jualan ditujui. Tak sabar rasanya Naura mahu menikmati keindahan pantai Port Dickson yang terbentang luas dihadapan matanya kini. Bukan selalu dia dapat menikmati keindahan ciptaan tuhan ini.

 

 

 

 

PUNGGUNG dilabuhkan duduk di atas sebuah kerusi kayu yang berada tidak jauh daripada gerai yang menjual perbagai jenis jualan itu. Mata liar memerhatikan kawasan persisiran pantai yang kelihatan agak lengang. Mungkin dek kerana sekarang adalah bukan waktu hujung minggu. Jadi suasana pantai agak sunyi tanpa pengunjung yang ramai.

 

Hafiz yang baru sahaja selesai membuat pesanan untuk mereka berdua mula melabuhkan duduk berhadapan Naura. Wajah Naura yang sedang leka menikmati keindahan pantai Port Dickson itu ditatap bersama senyuman manis.

 

"Seronok?" soal Hafiz sekaligus memecahkan kesunyian di antara mereka berdua.

 

Naura yang mendengar akan soalan diajukan oleh Hafiz memandang redup ke arah suaminya itu. Bibir dilorekkan dengan senyuman manis bak gula.


"Seronok sangat. Kejap lagi Naura nak pergi jalan-jalan dekat sana boleh?" pinta Naura teruja. Jari telunjuknya dah dihalakan kearah pantai.

 

"Boleh tapi petang sikit ya. Sekarang ni masih panas lagi. Lagi pun kejap lagi dah nak masuk waktu zohor," beritahu Hafiz. Jam dipergelangan tangan dikerling seketika.

 

"Okay..." sahut Naura setuju.

 

Hafiz dan Naura yang sedang rancak berbual itu terhenti perbualannya apabila meja yang diduduki oleh mereka berdua di datangi oleh seorang pelayan lelaki.

 

"Air kelapa dah siap. Satu untuk abang dan satu lagi untuk adik yang manis ni," ujar si pelayan meletakkan dua biji kelapa diatas meja, matanya di kenyitkan ke arah Naura.

 

Tersengih Naura seketika. Manakala Hafiz yang melihatkan aksi tidak berbayar itu sudah mula panas punggung. Malah semakin sakit hatinya apabila melihatkan wajah Naura yang turut membalas senyuman gatal si pelayan lelaki.

 

"Terima kasih," ucap Naura. Air kelapa disedu tperlahan-lahan.

 

"Sama-sama kasih adik manis. Datang sini bercuti ke?" soal si pelayan ramah.

 

"Haah... Bercuti..." jawab Naura.

 

"Adik manis memang buat pilihan yang tepat untuk datang bercuti disini. Dekat sini ada macam-macam aktiviti best tau. Kalau adik manis tak tahu nak ke mana abang boleh bawakan adik manis pusing-pusing sekitar Port  Dickson ni," sekali lagi mata di kenyitkan kepada Naura.

 

"Takpe terima kasih," jawab Naura kekok.

 

"Adik manis janganlah malu-malu. Abang dengan senang hati rela untuk menjadi pemandu pelancong adik. Mula-mula abang jadi pemandu pelancong adik mana tahu lepas ni abang bakal jadi pemandu untuk sama-sama kita ke syurga," ucap si pelayan bermulut manis.

 

Merah padam wajah Hafiz mendengar ayat yang meluncur keluar dari bibir si pelayan. Wajah si pelayan yang tersengih bagaikan kerang busuk itu direnung tajam. Ikutkan rasa hati mahu saja dia humban buah kelapa ini ke wajah si pelayan yang langsung tak tahu malu itu.

 

"Kau ni aku tengok kecil besar, kecil besar je. Yang kau duk try hard sangat tu bini aku. Bini aku faham tak?!" jerkah Hafiz geram.

 

Melopong mulut si pelayan apabila mengetahui perkara itu. Wajah dah berubah cuak.

 

"Bi... Bini?" gagap si pelayan menyoal.

 

"Ya bini. Dia tu bini aku. Kami datang sini nak bulan madu bukan nak tengok kau duk jual minyak dengan bini aku," marah Hafiz lagi.

 

"Abang dahlah tu. Dia gurau jela," pujuk Naura. Risau jika dibiarkan bakal berlarutan nanti.


"Maaf... Maaf bang. Saya tak sengaja. Saya betul-betul tak tahu yang adik manis ni isteri abang," ujar si pelayan. Wajah dah berubah pucat apabila melihatkan wajah bengis Hafiz.

 

"Sengaja ke tak sengaja ke tu aku tak nak tahu. Lagi sekali aku tengok kau mengatal dengan bini aku, siap kau, aku kerjakan. Silap hari bulan gerai kelapa kau ni roboh aku kerjakan," ugut Hafiz.

 

"Eh jangan bang... Saya betul-betul tak sengaja. Saya betul-betul minta maaf," pohon si pelayan.

 

"Abang dah lah tu. Dia dah minta maafkan," pujuk Naura. Jari jemari Hafiz digengam lembut, cuba untuk meredakan kemarahan suaminya itu.

 

"Nasib baik ada bini aku. Kalau tidak dah lama muka kau ni pecah kena makan penumbuk sulung aku ni," penumbuk dilayangkan ke hadapan wajah si pelayan lelaki.

 

"Saya minta maaf bang. Saya betul-betul minta maaf. Saya sedar salah saya," mohon si pelayan.

 

"Kali ni aku maafkan kau. Sekali lagi aku tengok kau menggatal dengan bini aku siap kau," meregus kasar Hafiz.

 

"Baik... Saya janji tak buat lagi," janji si pelayan.

 

"Dahlah tu abang. Dia dah minta maafkan. Janganlah marah-marah lagi," pujuk Naura. Cuba meredakan kemarahan Hafiz.

 

Hafiz hanya diam. Malas mahu berbicara apa-apa. Sementara hatinya masih sakit dengan adegan mesra yang terhidang didepan matanya tadi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Previous: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.