"GOOD morning abah... Good morning umi..." sapa Naura teruja. Pipi Encik Kamarul dan Puan Ramlah dikucup mesra. Punggung dilabuhkan duduk bersebelahan kiri Encik Kamarul.
"Morning... Hai happy nampak?" tegur Encik Kamarul senada.
"Aik kenapa abah tanya? Naura nak happy pun salah ke?" cebik Naura.
"Tak salah pun. Cuma pelik je. Kamu biasakan kalau pagi-pagi macam ni mood selalu ke laut. Ni nampak happy je kenapa? Ada apa-apa yang nak di share dengan kami semua ke?" soal Encik Kamarul. Nasi goreng kembali disuap ke dalam mulutnya.
"Abah, Kak Naura happy tu sebab tak lama lagi nak kahwin. Orang tengah bahagia tu abah," celah Natrah.
"Eh kau memandai je ya," marah Naura.
"Betul lah apa aku kata ni kak," tukas Natrah.
"Sudah-sudahlah tu. Kamu berdua ni depan rezeki pun nak bertekakkan? Pantang berjumpa ada je benda nak digaduhkan. Peninglah umi dengan perangai kamu berdua ni," celah Puan Ramlah yang sedari tadi hanya menjadi pendengar.
"Natrah tu yang mulakan dulu. Dia kalau tak sakitkan hati Naura tak sah," adu Naura.
"Eh asal aku pulak yang kena?" bidas Natrah tak puas hati.
"Naura.. Natrah.. Sudah.. Kamu berdua kalau nak bergaduh bukan dekat sini," marah Encik Kamarul.
Terdiam Naura dan Natrah apabila ditegur oleh abah mereka itu.
Suasana yang tadinya riuh kini hanya ditemani oleh bunyi dentingan sudu dan garfu yang berlaga diantara satu sama lain. Masing-masing leka menjamu selera sebelum Puan Ramlah memecahkan suasana yang hening itu.
"Naura, kamu dah bincang ke dengan Hafiz tema apa kau orang nak buat untuk majlis perkahwinan kamu nanti?" soal Puan Ramlah. Semua mata kini tertumpu kepada Naura. Menanti bicara si gadis.
Keluhan dihembus apabila soal dia dan Hafiz kini menjadi topik perbualan mereka sekeluarga. "Tak pun umi," jawab Naura malas.
"Bulan depan dah nak kahwin takkan keluar semalam takde bincang apa-apa dengan bakal suami kamu tu?" celah Encik Kamarul.
Bulat mata Naura. Wajah Encik Kamarul dipandang dengan pandangan tidak percaya. "Bu... Bulan depan? Abah biar betul?"
"Yang kamu terkejut sangat ni kenapa Naura?" soal Puan Ramlah pula.
"Takkan secepat macam tu umi dengan abah nak Naura kahwin dengan pak cik Hafiz tu?" soal Naura tidak percaya.
"Yalah. Habis tu kamu ingat kami nak kahwinkan kamu bila?" pelik Encik Kamarul.
"Tunggulah sampai Naura habis belajar dulu. Tak lama pun lagi kan. Cuma tinggal 2 tahun je lagi abah Naura nak habiskan study," ucap Naura.
"Naura dalam masa 2 tahun tu macam-macam perkara boleh jadi tau. Berapa lama lagi kamu nak Hafiz tu tunggu kamu lagi?" soal Encik Kamarul.
"Habis tu macam mana dengan study Naura bila dah kahwin nanti? Mesti pak cik Hafiz tu takkan benarkan Naura sambung belajar lagi," keluh Naura.
"Naura kamu dah lupa ke? Kan abah dah pernah bagi tahu sebelum ni, walaupun kamu dah berkahwin dengan Hafiz, kamu tetap boleh teruskan pengajian kamu. Hafiz pun dah setuju pasal ni," terang Encik Kamarul.
"Betul kata abah tu. Hafiz tu tak kejamlah sampai nak sekat pembelajaran kamu dekat universiti tu Naura. Kamu je yang selalu negatif dengan dia. Dia okay je umi tengok," celah Puan Ramlah.
"Ala umi macam tak kenal dengan Naura Khalisha ni dia memang seorang yang berfikiran negatif pun," sampuk Natrah.
"Natrah, kamu dah siap makan ke belum? Pukul berapa kamu nak pergi sekolah? Tengok jam tu dah pukul berapa. Lambat nanti bising pulak cikgu kamu tu," ujar Puan Ramlah tegas.
"Ya.. Ya nak pergi lah ni," cebik Natrah.
Natrah bingkas bangun dan segera bersalaman dengan ibu dan bapanya itu. Hilang saja bayang Natrah, Encik Kamarul kembali berbicara mengenai topik asal perbualan diantara mereka.
"Dah kamu tak payah nak risau apa-apa lagi Naura. Kalau susah sangat nanti abah minta Hafiz uruskan semua urusan tentang perkahwinan kau orang. Ramlah nanti awak tolong tengok kan apa yang patut," senang Encik Kamarul memberikan arahan.
"Baik abang.." jawab Puan Ramlah lekas.
"Suka hati abah lah," keluhan berat dilepaskan. Kalau itu yang abah dan umi nya mahu, Naura hanya mampu turuti saja. Tiada daya mahu membantah.
SEBUAH novel hasil tulisan Siti Rosmizah dicapai. Belakang buku yang menempatkan sinopsis jalan cerita dibelek. Terkumat kamit Naura membaca setiap baris kata tulisan yang dipamerkan.
Berminat dengan sinopsis yang dibaca, buku novel tersebut diletakkan didalam bakul miliknya. Kaki melangkah pula ke satu rak yang lain.
Hari ini pulang saja daripada universiti, Naura tidak terus pulang ke rumah keluarganya malah kaki dilencongkan ke sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur. Dia mahu membeli sedikit keperluan peribadinya yang sudah kehabisan.
Sedang di leka membelek buku-buku novel yang tersusun rapi diatas rak, satu suara garau menyentakkan Naura. Kepala mendongak memandang figura yang kini sudah tersengih seperti kerang busuk di hadapannya saat ini. Naura sudah menayangkan wajah meluat kepada lelaki di hadapannya saat ini. Siapa lagi kalau bukan Hafiz Rahim.
"Hai sayang. Sorang je ke?" sapa Hafiz romantis sekali bunyinya.
Naura yang mendengarkan suara serak-serak basah milik Hafiz mula merasakan tegak bulu romanya. Tapi riak wajah dikawal sebaik mungkin.
"Taklah mana ada sorang. Ada ni dengan kawan-kawan saya. Sekejap je lagi, sampai 10 buah bas lagi datang sini," perli Naura.
Terkekeh-kekeh Hafiz melihat wajah Naura yang berubah cemberut itu. "Amboi pandai sayang bergurau ya. Ni makin tak sabar nak kahwin ni," ujar Hafiz selamba.
Dengar saja butir bicara Hafiz, Naura mula rasa sebal. Menyampah pun ada. "Pak cik stalker saya ke? Sampai saya datang sini pun pak cik ikut," tebak Naura. Mata mengecil memandang ke arah Hafiz.
"Stalker? Eh mana ada! Awak tak baik tau tuduh-tuduh saya. Awak ingat saya ni takde kerja lain ke nak buat hah?" kalut Hafiz menyangkal.
Takkan dia mahu mengaku yang dia sebenarnya sudah mengekori Naura sejak daripada universiti lagi. Habislah kantoi nanti.
"Habis pak cik buat apa datang kedai buku ni?" soal Naura masih curiga.
"Kebetulan saya lalu depan kedai buku ni. Lepas tu ternampak awak dekat dalam so saya singgahlah dekat sini," ujar Hafiz bersama debaran di dada.
"Okay takpe saya terima alasan pak cik tu," kepala dianggukkan berkali-kali. Kaki melangkah menuju ke arah bahagian yang menempatkan perbagai jenis buku rujukan pula.
"Fuhh nasib baik..." omel Hafiz.
"Apa dia pak cik cakap?" menoleh Naura. Mata merenung tepat ke arah Hafiz.
"Eh takde apa-apa. Mana ada saya cakap apa-apa," dalih Hafiz.
"Hmm... Okay..."