Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,213
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 10

Bab 10

Lama Elina mencangkung di luar, memikirkan masa depan Benson dan masa depan dirinya sendiri. Adi masih setia di sebelahnya, menemani fikirannya yang masih celaru dengan air muka bersimpati. Dia tahu dalam banyak-banyak orang di dunia sekarang, hanya Adi yang mengerti situasinya. Tak pernah ada rahsia antara mereka. Adi tahu semua sejarah hitam keluarga Elina.

“Jangan macam ni, El. Uncle Ben mau kau telefon Mirah, kau telefon saja. Mungkin dia boleh bantu kau,” luah Adi setelah lama mendiamkan diri.

Elina mengangguk lemah.

“Telefon,” pinta Elina sambil menghulurkan tangannya.

Adi menyeluk ke dalam saku seluar jeans lusuhnya, mengeluarkan handphone Nokia lama yang sudah lebih lima tahun digunakannya.

Ya. Adi tidak seperti lelaki-lelaki seusianya yang terkejar dengan evolusi teknologi yang tidak berbatas. Dia memerhatikan sahaja tetapi tidak pernah menyimpan nawaitu untuk memiliki alat-alat teknologi yang harganya melambung-lambung naik. Adi lelaki simple yang tidak banyak kerenah, tidak banyak permintaan dalam hidup walaupun otaknya bergeliga. Mungkin kerana poketnya tika ini belum jenuh.

“Kau ada nombor mak aku?” soal Elina, sudah dapat menduga.

“Ada dua. Nombor private dan nombor kerja. Kalau dia call aku, dia guna nombor Celcom. Kalau dia sms, dia guna nombor Maxis. Dia takut bos dia baca sms yang dia hantar,” jelas Adi.

“Bos?” soal Elina.

Elina merengus.

“El...” panggil Adi, sudah dapat meneka yang Elina sedang berang.

“Bos Mirah? Maksud kau, lelaki bangsat yang bunuh bapak aku?! Kalau setakat si laknat tu, tak payah kau nak panggil bos,” tambahnya.

“Tenang, El. Tak guna kau marah waktu ini. Benson perlukan kau sekarang. Buang dulu dendam lama kau,” pujuk Adi.

Elina terdiam.

Jari Adi menekan atas punat handphone, menyelongkar contact book untuk mencari nombor yang diingini Elina. Setelah memilih nombor talian Celcom yang digunakan Mirah, dia terus menekan punat hijau yang menunjukkan simbol ganggang telefon. Telefonnya diserahkan kepada Elina.

“Hello, Adi?” jawab suara Mirah.

Elina tidak membalas.

“Adi dengar tak? Adi? Ada apa call aunty? Aunty tengah kerja sekarang.” Suara Mirah bergema lagi.

Latarnya suara muzik kuat yang membingitkan telinga Elina. Dia cuba mendengar suara Mirah yang tenggelam timbul.

“Hello?” ucap Mirah.

Elina hanya diam. Hampir lima saat dia menyepi, hanya mendengar Mirah mengucapkan ‘hello’ berulang-kali. Fikirannya kacau. Air matanya meleleh turun lagi. Sebak dadanya.

Fikiran Elina terkenangkan insiden malam itu. Malam jahanam yang memisahkan dia dan Daeng. Dia dirobek rindu. Rindu pada Daeng. Rindu pada hidup mereka yang kaya dengan kasih. Rindu pada detik mereka berlari bersama di dalam hujan, menumpang teduh di bawah dedaun Wakuba. Elina tak pernah merasa disayangi seperti sewaktu dia bersama dengan ayahnya.

Seperti anak-anak lain, dia teringin untuk mengecapi nikmat hidup dalam keluarga yang bahagia. Yang sempurna. Seperti anak-anak lain, dia mahukan pelukan suam kasih si ibu yang setia menyayanginya biarpun dirinya serba kekurangan. Dia mahu ada bahu untuk dia bersandar apabila hatinya tenat.

Tetapi, impian itu bagaikan racun yang menular dalam juntaian urat darahnya, berdegup bersama nadinya yang belum terhenti. Keperitan yang dirasakan tak mampu diluahkan keluar tetapi untuk menelannya terlalu sakit. Dia belajar dari pengalaman yang lebih pahit dari hempedu.

Mengertikah sang pemerhati? Atau mereka hanya sekadar mengungkap simpati di bibir. Yang dipaksa menelan sakit itu dirinya. Yang menangis sehingga hilang suara esak itu dia. Tak mungkin ada sesiapa yang mengatakan mereka faham perasaannya itu sebenar-benarnya faham.

Elina kehilangan segala yang dicintainya pada usia seawal tujuh tahun. Sejak itu, dia membesar bersama benci, bersama dendam. Dia tak pernah terfikir yang dia akan memilih jalan damai dengan Mirah sehinggalah sekarang.

“Mak,” luah Elina sepatah, lambat, seakan sudah terlupa bagaimana hendak menyebut perkataan pendek itu.

Elina merasakan seluruh tubuhnya hangat dan bergegar, bagaikan baru direnjat kuasa elektrik. Rasa aneh itu datang dari hatinya yang berdebar-debar.

“Elina?” soal Mirah, terkejut, terpanah.

Mirah menutup mulut, menahan sebak. Dia terus berlari keluar dari kelab malam, tempat dia bekerja.

“Elina? Elina ke ni?” soal Mirah.

Latar suara muzik tadi menghilang. Berganti pula dengan bunyi kenderaan-kenderaan yang melalui jalan raya di luar. Tidak terlalu bising seperti tadi tetapi masih mengganggu perbualan mereka. Mirah berlari pula ke lorong sisi sebuah bangunan lama. Dia mencari ruang yang lebih sepi.

“Mak, El rindu mak,” ucap Elina.

Air matanya semakin galak jatuh. Ah, tak sangka selepas bertahun lamanya, dia akan mengakui rasa rindunya itu. Selama ini hanya ungkapan benci yang meniti dibibirnya. Dia terduduk, mencangkung atas lantai.

Benci. Dendam. Berertikah lagi semuanya itu disaat rindu mengocak ruang ingatannya? Di saat dia mendamba kasih seorang emak. Dia saat dia kepinginkan perlindungan dari wanita yang menumpangkan rahimnya selama sembilan bulan untuknya. Elina terlupa bencinya pada Mirah. Dia kalah pada pujukan rindu. Ya, dia mengakui yang dia rindukan Mirah sekarang.

“Mak rindu El juga. Mak nak balik. Mak nak jumpa El. Tapi, mak takut. Mak tau orang kampung benci mak. Mak tau mereka tak boleh terima mak lagi,” luah Mirah.

Suara esakan Mirah kedengaran sama, tidak tertahan lagi. Make-up tebal di mukanya mencair bersama linangan air matanya. Dia tidak mempedulikannya. Dibiarkan saja dirinya hanyut melayani luka laranya.

“Mak, Uncle Benson kena tahan polis. Dia langgar orang, mak. Orang tu dah mati. El tak ada duit nak tolong uncle. El tak tau nak buat apa? El takut, mak. El takut. El tak nak hilang uncle. Mak baliklah ke sini...” rayu Elina.

Suara esakan Elina menoktahkan sekejap percakapannya.

“Mak, tolonglah balik. Mak balik sini temankan El ya,” sambung Elina, mengesak semahu-mahunya.

“Macam mana boleh jadi macam tu?” soal Mirah, terkejut. Dia menelengkup tangannya ke mulut sekejap, menahan esakan.

“El… El, jangan takut. Nanti mak kirimkan duit untuk Uncle Benson. Mak akan tolong El,” janji Mirah.

“Mak baliklah ke sini. Mak baliklah temankan El. El nak mak balik ke Tawau,” rayu Elina.

“Mak… Mak…” Mirah gagap. Dia bersandar ke dinding belakang bangunan, mengharapkan sokongan. Lututnya terlalu lemah untuk terus berdiri.

“Tolonglah... El nak mak balik,” ucap Elina apabila Mirah mulai gagap.

“Mak tak boleh balik. Mak tak sanggup. Kalau mak balik, mak akan ingat semua perkara yang jadi dulu. Mak tak sanggup,” luah Mirah.

“El nak mak. El nak mak. Mak baliklah. El rindu mak,” pinta Elina.

Fikirannya kusut. Hanya itu yang mampu dilontarkan keluar dari anak tekaknya. Dia tak ubah seperti anak kecil yang masih di bangku sekolah rendah.

“El datang sini. Lepas hal Uncle Benson selesai, El datang sini. Mak tunggu El. El datang KL jumpa mak,” pinta Mirah.

“Mak… Kenapa mak tak boleh balik? Mak baliklah jumpa El. El takut,” pohon Elina sekali lagi, mengharap.

“Mirah!” jerit suatu suara yang lolos sama melalui telefon yang sedang dipegang Mirah.

“Mirah, kau nak ke mana?!”

“Mak kena pergi. Nanti mak akan kirimkan duit pada El. Mak akan cari duit untuk El. El jangan risau,” luah Mirah sebelum mematikan talian.

“Mak? Mak?” panggil Elina.

Elina dipasung hampa apabila terdengar bunyi line yang terputus-putus, menandakan ibunya sudahpun menamatkan talian. Air matanya merembes lagi dan lagi. dia terduduk terus atas tanah, di perkarangan luar balai polis.

“Elina,” panggil Adi.

“Aku nak buat apa, Adi? Aku takut. Aku takut kalau Uncle Benson kena masuk lokap. Aku takut,” teriak Elina.

“Elina, semua dah ni dah ketentuan DIA. Kau sabar. Tuhan itu Maha Adil. InsyaALLAH semuanya akan okay,” pujuk Adi sambil mencangkung di sebelah Elina, memerhatikan wajah comot yang berhingus itu.

Elina tidak segan menangis di depannya bagaikan anak kecil. Elina tidak segan meraung dan merengek. Dia tahu Adi tidak akan memandangnya dengan pandangan menghina ataupun mengeji sifatnya.

Mereka membesar bersama. Mereka teman sepermainan sebelum mereka tahu erti muhrim, sebelum mereka belajar batas-batas antara seorang lelaki dan wanita. Mereka hidup bagaikan sepasang tangan pada tubuh yang sama, saling memerlukan.

“Aku tak ada siapa, Adi. Kalau aku hilang Uncle Benson, aku dah tak ada siapa-siapa lagi,” luah Elina.

Adi memaksa diri menguntum senyuman dalam suasana tegang itu. Dia menatap wajah Elina lembut.

“Aku kawan kau, El. Sampai bila-bila, aku akan terus jadi teman kau. Kalau aku jatuh masa kecil dulu, kau yang selalu jadi tongkat aku bangun semula. Sekarang, waktu kau jatuh, izinkan aku jadi tongkat kau. Aku akan jaga kau, El. Tak kira apa jadi pada Uncle Benson, aku akan tetap jaga kau sampai bila-bila,” ikrar Adi.

“Aku takut,” luah Elina.

“Aku tau. Aku pun takut,” akui Adi.

Elina menongkat dahi, resah.

“Tapi, kau ada aku. Aku ada kau. Kita akan lalui masalah ni sama-sama,” ucap Adi, memujuk.

Elina memandang tepat ke mata Adi. Ada ketulusan dalam bicara lelaki itu. Ketulusan yang tidak pernah dilihatnya di mata lelaki-lelaki yang selalu mengusiknya sewaktu dia berjalan pulang dari sekolah.

Elina terpujuk untuk mempercayai kata-kata Adi. Dia tidak tahu sejauh mana sahihnya. Tetapi, dia mahu mempercayai Adi. Dia mahu menaruh rasa yakinnya pada lelaki itu. Adi sahabatnya.

Adi senyum lagi dan kali ini Elina membalasnya.

“Terima kasih, Adi,” ucap Elina.

“Aku takkan kecewakan kau, El. Kalaupun satu dunia ni mengkhianati kau, aku takkan pernah khianat pada kau,” ucap Adi bersungguh.

Elina menganggukkan kepala sambil mengesat air mata. Dia tersenyum lagi meskipun masih tersedu-sedu.

“Jom, aku hantar kau balik dulu. Kau rehat. Esok pagi-pagi kita terus datang sini semula,” pujuk Adi.

Elina menganggukkan kepala sebelum bangun berdiri, mengikut jejak Adi.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.