“ANY message for me?” tanya Hanif sambil melabuhkan duduk. Wajah setiausahanya dipandang seketika.
“Setiausaha Dato Zambri call minta Encik Hanif tetapkan semula temujanji yang telah dibatalkan kelmarin,” beritahu Camelia selaku setiausaha Hanif.
“Awak tengok jadual saya dan tetapkan temujanji dengan dato semula,” balas Hanif bernada tegas. Laptop dibuka dan menanti ia hidup.
“Baiklah, Encik Hanif,” angguk Camelia sambil mencatat ke dalam buku nota yang dibawa sekali.
“Anything?”
“Encik Qamarul minta saya ingatkan Encik Hanif pasal lunch appointment hari ni.”
“Lunch appointment?”
Camelia menganggukkan kepala. Senyuman menghiasi bibir.
Hanif berfikir sejenak. Cuba mengingatinya. Seminit kemudian, anggukan diberikan kepada Camelia. Hampir dia terlupa dengan pertemuan itu.
“Saya hampir terlupa,” ujar Hanif kemudian.
Camelia masih lagi tersenyum. Matanya memerhati tingkah laku Hanif yang sedang memutarkan pen di tangan.
“Hanif!” Suara seseorang dari arah muka pintu bilik.
Hanif dan Camelia tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah pintu bilik. Wajah Aidil Hakim menyapa mata.
“Sorry! Aku ingat tak ada orang tadi,” sambung Aidil bernada kesal. Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Wajah Camelia dan Hanif dipandang silih berganti.
“Saya minta diri dulu, Encik Hanif,” ujar Camelia lalu beredar dari situ.
Hanif hanya mengangguk dan memandang. Kemudian, dihalakan mata ke arah Aidil yang sudah pun duduk di hadapan.
“Kenapa?” soal Hanif berserta kerutan di dahi.
“Kita gagal!” beritahu Aidil.
“Gagal? Maksud kau….” Hanif mematikan ayat.
Aidil sekadar mengangguk.
“Siapa? Orang yang sama?”
“Tak! Orang lain.”
“Orang lain? Siapa?”
“Iris!” jawab Aidil, sepatah.
“Iris?” Hanif berkerut dahi.
“Yup!”
“Pesaing baru?”
“Aku dengar Iris ni dah lama wujud. Dia juga banyak dapat projek especially dari company besar,” beritahu Aidil dengan apa yang diketahuinya tentang Iris.
Hanif yang mendengar menyandarkan tubuh ke kerusi. Otaknya sedang ligat berfikir. Nama ‘Iris’ meniti di minda.
“Tapi aku kagum dengan pembentangan dia tadi,” sambung Aidil sambil mengimbas semula peristiwa tersebut.
“Aku ingat kita akan dapat projek tu. Tapi….”
“Tak ada rezeki, Nif.”
Hanif mengeluh berat. Sia-sia usahanya selama beberapa minggu ini jika pengakhirannya begitu. Bersengkang mata dia menyiapkan proposal untuk projek tersebut tetapi rezeki tidak memihak padanya.
“Nak lunch sama tak?” tanya Aidil kemudian.
Hanif mengerling jam di laptop. Masa sudah menghampiri ke tengah hari.
“Nak tak?” Aidil bertanya buat kali yang kedua.
“Aku ada lunch appointment dengan Haidar dan ayah aku,” ujar Hanif, perlahan. Dia mengeluh untuk kesekian kalinya.
“Yang kau mengeluh, kenapa?”
Hanif tidak membalas. Pen di tangan diputar sambil otaknya ligat berfikir.
“Kalau macam tu, aku keluar dulu. Apa-apa hal, aku inform kau kemudian,” suara Aidil bingkas bangun dari duduk.
Ada baiknya dia beredar dari situ. Pasti Hanif sedang memikirkan sesuatu. Mungkinkah pertemuan dengan Haidar dan Encik Qamarul yang sedang difikirkan oleh kawannya itu? Bukannya dia tidak tahu hubungan Hanif dengan Haidar. Sejak dari dulu lagi mereka berdua tidak sebulu.
Hanif yang mendengar sedikit tersentak. Matanya mengekori langkah Aidil sehingga ke muka pintu bilik.
“Aku ada jika kau perlukan apa-apa, Hanif,” ujar Aidil lalu beredar dari situ.
Hanif tidak membalas. Dia mengangguk perlahan. Rasa bersyukur memiliki seorang kawan seperti Aidil. Segala masalah diceritakan kepada kawan baiknya itu.
“I will, Aidil. Kau kawan baik aku dunia dan akhirat,” suara Hanif, perlahan.
“MACAM mana dengan kerja Haidar?” tanya Encik Qamarul ingin tahu.
“Alhamdulillah ayah. Setakat ni tak ada masalah apa-apa,” balas Haidar berserta senyuman. Wajah tua Encik Qamarul ditatap mesra.
Encik Qamarul sekadar mengangguk. Dibalas tatapan anaknya itu.
“Haidar ingat nak balik kampung, ayah.”
“Balik kampung?”
Haidar mengangguk perlahan.
“Seorang?”
“A’ah, ayah.”
Encik Qamarul menghela nafas ringan. Otaknya sedang memikirkan sesuatu.
“Lagipun dah lama kita tak tengok rumah tu.”
“Haidar masih mencari dia?” Encik Qamarul sekadar bertanya.
“Haidar tetap akan mencari, ayah.” Haidar bersuara perlahan.
Encik Qamarul menghela nafas ringan.
“Haidar yakin akan berjumpa dengan dia,” ujar Haidar pula.
“Mudah-mudahan Haidar. Ayah doakan usaha Haidar tak sia-sia,” balas Encik Qamarul. Memberi sokongan kepada anaknya itu.
“Buat apa kau nak cari dia lagi?” suara Hanif, tiba-tiba dari arah belakang.
Haidar dan Encik Qamarul terkejut. Masing-masing menghalakan mata ke wajah Hanif yang sedang melangkah menghampiri mereka berdua.
“Buang masa kau saja. Entah-entah dia dah mati,” sambung Hanif, sinis.
“Hanif!” Encik Qamarul menegur. Hanif masih tidak berubah dengan sikap prejudisnya.
“Betul apa yang Nif cakapkan ni. Entah-entah dia dah mati 10 yang lepas. Mana kita nak tahu, kan?” Hanif mempertahankan kata-katanya tadi. Dia melabuhkan duduk di hadapan Haidar dan Encik Qamarul.
“Aku tak suka kau cakap macam tu, Hanif.” Kali ini Haidar pula yang menegur.
“Kenapa? Kau tak boleh nak terima kenyataan yang dia dah mati?”
“Aku pasti dia masih hidup.”
“Pasti?” Hanif mengejek.
“Aku pasti Hanif. Dia masih hidup.” Haidar berkata serius.
“Haidar… Haidar… Kau masih tak berubah.”
“Aku yang tak berubah atau kau? Sejak dulu sampai sekarang, perangai kau tetap tak berubah. Masih angkuh dan berlagak.”
“Kau….”
“Sudah! Ayah ajak kamu berdua makan bersama bukan sebab ayah nak tengok kamu berdua bergaduh.” Encik Qamarul berkata tegas. Wajah Haidar dan Hanif dipandang silih berganti.
Hanif dan Haidar menundukkan muka. Akui akan kesalahan sendiri.
“Tak habis-habis nak bergaduh,” rengus Encik Qamarul pula. Kedua-dua anak terunanya itu pantang berjumpa. Ada saja yang nak digaduhkan.
Hanif memandang tepat ke wajah selamba Haidar. Rasa sakit di hati ketika ini. Dia mengepalkan tangan menahan kemarahan.
“Ayah ada perkara nak beritahu pada kamu berdua.” Encik Qamarul bersuara. Dia menghela nafas ringan.
“Apa dia?” Serentak Haidar dan Hanif bersuara. Wajah Encik Qamarul menjadi tatapan mata mereka berdua.
“Ayah nak ke Mekah. Mengerjakan umrah,” beritahu Encik Qamarul.
“Bila?” tanya Hanif sedikit terkejut.
“Alhamdulillah,” ucap Haidar pula.
“Dua minggu lagi.” Encik Qamarul tersenyum.
“Habis tu, syarikat ayah?” Hanif bertanya. Itulah yang sedang bersarang di kepalanya itu. Siapa yang akan menguruskan syarikat ayahnya nanti?
“Kau la, siapa lagi?” Haidar menjawab bagi pihak Encik Qamarul.
Hanif menghalakan mata ke wajah Haidar.
“Takkan aku nak uruskannya pulak? Bukan bidang aku,” sambung Haidar berserta senyuman penuh makna.
Hanif yang mendengar mendengus kasar. Tajam matanya ke wajah Haidar.
“Haidar angkat tangan. Terus-terang, business bukan bidang Haidar.” Haidar berterus-terang. Wajah ayahnya dipandang berserta senyuman di bibir.
“Pandai kau nak lepas tangan. Macam la kau tak boleh nak uruskan syarikat tu.” Hanif mencebik meluat. Haidar sengaja nak lepas tangan.
“Kau buat lawak ke? Doktor dengan business, mana nak sama.” Haidar ketawa.
Encik Qamarul hanya membisu. Dia menggelengkan kepala melihat tingkah laku kedua-dua anaknya itu. Sejak dari dulu lagi Haidar dan Hanif tidak sependapat. Masing-masing bersikap degil dan tidak mahu mengalah.
Kadang kala pening kepalanya dengan sikap Haidar dan Hanif. Berulang kali dinasihati, perangai mereka tetap sama dan tidak berubah. Mungkin dia tidak sesuai untuk menasihati kedua-dua anaknya itu.
Jika isterinya masih hidup, pasti semua ini tidak akan berlaku. Pasti Haidar dan Hanif tidak saling membenci di antara satu sama lain. Rasa rindu terhadap isterinya, Puan Haryani mencengkam diri ketika ini.
“Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih.” Hanif berpeluk tubuh sambil bersandar. Senyuman sinis meniti di bibir.
Haidar tidak membalas. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Kau…”
“Ayah dah ada orang yang boleh uruskan syarikat selama ayah kat sana,” sampuk Encik Qamarul. Ada baiknya dia menghentikan pergaduhan mulut anak-anaknya itu.
Haidar dan Hanif pantas menoleh. Wajah ayah mereka ditatap meminta kepastian.
“Kamu berdua jangan risau. Ayah takkan susahkan anak-anak ayah.” Encik Qamarul bersuara lemah. Cermin mata ditanggal lalu meraup wajah. Ada nada kecewa di situ.
“Ayah minta siapa uruskan?” Hanif berminat ingin tahu.
“Jom kita makan. Dah lama sangat makanan ni terhidang,” pelawa Encik Qamarul. Pertanyaan Hanif dipandang sepi.
“Haidar pun dah lapar,” suara Haidar pula sambil mengangguk.
Encik Qamarul sekadar tersenyum. Tingkah laku Haidar yang sedang menjamu selera dipandang. Haidar seorang yang bersikap terbuka. Boleh dinasihati dan senang menerima nasihat. Berbeza dengan Hanif. Anak bongsunya itu suka memberontak. Degil dan keras kepala. Dia sahaja yang betul.
Sampai bila Hanif akan bersikap begitu? Terkadang hatinya terusik dengan sikap Hanif. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Hanif berubah sikap suatu hari nanti.
“MACAM mana dengan perjumpaan siang tadi?” tanya Zulaikha dari hujung talian.
Haidar menghela nafas ringan. Peristiwa siang tadi bermain di minda ketika ini.
“Awak!” Zulaikha memanggil.
“Ayah nak ke Mekah mengerjakan umrah dalam dua minggu lagi,” beritahu Haidar.
“Alhamdulillah. So, siapa yang uruskan syarikat?”
“Ayah kata dah ada orang tapi tak tahu siapa. Mungkin ayah minta kawan baik dia uruskan sementara.”
“Hanif?”
“Hanif? Banyak alasan!”
Zulaikha menggelengkan kepala. Dengusan ringan dari arah Haidar menyapa pendengaran.
“Saya tak tahu nak buat apa dengan Hanif tu. Saya dah cuba berbaik dengan dia tapi dia menolak kebaikan saya.” Haidar bercerita. Keluhan ringan terlepas daripada bibir.
“In shaa Allah awak. Lama kelamaan nanti, Hanif akan sedar dan nampak kebaikan awak,” pujuk Zulaikha bernada lembut. Bukannya dia tidak tahu kisah adik beradik itu.
“Sampai bila, awak? Sejak dari dulu lagi Hanif berperangai macam tu. Ego. Sombong. Bongkak dan berlagak.”
“Banyakkan bersabar awak. Bagi masa pada Hanif.”
“Mungkin kisah lama masih berbekas di hati dia,” ujar Haidar, perlahan.
Peristiwa beberapa tahun yang lepas meniti di minda. Sejak peristiwa itu, Hanif berubah tingkah laku. Apa yang berlaku membuatkan Hanif berdendam dan membenci.
“Tak mengapalah awak. Saya yakin, Hanif akan berubah suatu hari nanti.” Zulaikha masih lagi memujuk.
Dia tahu, Haidar masih berasa terkilan dan bersalah atas apa yang berlaku. Selama dia berkawan dengan Haidar, segala kisah mengenai pemuda itu diketahuinya.
“Mudah-mudahan. Thanks dear,” suara Haidar, lembut.
“For what?” Zulaikha bertanya.
“For being my friend,” balas Haidar berserta senyuman di bibir.
Zulaikha sekadar tersenyum. Wajah Haidar meniti di mata ketika ini.
“Saya letak dulu. Ada kerja sikit,” ujar Haidar dari hujung talian.
“Baiklah! Selamat malam, awak,” ucap Zulaikha lalu mematikan talian.
Haidar turut sama mematikan talian. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Matanya memandang ke kalendar yang terletak di atas meja.
“24 hari bulan Mei. Sampai bila-bila pun aku takkan lupa dengan tarikh tu,” kata Haidar, perlahan. Berharap dia tidak lupa dengan tarikh itu sampai bila-bila.