Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
62,575
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

"WADDAH!" Namanya dipanggil saat dia melangkah keluar dari kereta milik Zuhaiyr Annas. Qaseh Mawaddah segera menoleh.

Nafasnya hampir terhenti seketika bila mata bertemu pandang dengan pandangan tajam milik Umar. Dia dapat rasakan lelaki itu dalam keadaan marah.

"Mana Waddah pergi? Dah maghrib baru balik? Keluar dengan siapa?" soal Umar tanpa henti. Langkahnya diatur mendekati gadis itu.

Qaseh Mawaddah menggaru kepala.

"Waddah, saya gerak dulu yea. Jumpa esok lepas kelas," Zuhaiyr meminta diri.

"Eh, dah nak balik ke? Tak nak berkenalan dulu?" Umar mencelah.

Zuhaiyr tersengih. Dia menghulurkan tangan ke arah pemuda yang berpakaian kemas di hadapannya. Nampak seperti lelaki yang berkerjaya. "Zuhaiyr, Zuhaiyr Annas. Kawan satu kolej dengan Waddah," Zuhaiyr memperkenalkan diri.

Umar terangguk-angguk. "Saya Umar, sepupu Waddah. Salam kenal," ujar Umar sambil matanya melirik ke arah Qaseh Mawaddah.

Zuhaiyr Annas melangkah pergi sebaik sahaja tangannya dilepaskan Umar. Qaseh Mawaddah terkekeh tawa. Lelaki itu nampak kalut.

"Ketawa je pandai. Mana Waddah pergi dengan lelaki tu?" Umar beralih tumpuannya pada Qaseh Mawaddah semula.

Gadis itu menyilang tangan ke dada. "Kenapa abang datang? Dah malam dah ni. Abang datang dengan siapa?" soalan Umar dibalas dengan soalan. Dia tidak betah menjawab soalan Umar. Biarlah segalanya menjadi rahsia dia.

"Tak menjawab soalan langsung!" dahinya dijentik tangan kekar Umar. Berair matanya menahan pedih.

"Sakitlah!"

"Tahupun sakit. Lain kali bila mak dengan ayah call, jawab. Jangan diam je. Sakit Waddah, Waddah peduli. Sakit dia orang, Waddah peduli ke tidak?" Tempelak Umar.

Qaseh Mawaddah tersengih. Langsung dilupa sengketa antara mereka. "Sorrylah. Waddah tak sengaja. Telefon rosak. Sebab tu tak dapat call sesiapa."

"Habis tu, yang kat tangan tu apa? Telefon mainan?" Umar merampas telefon pintar ditangan sepupunya. Dia membelek penuh minat.

"Wah, canggih. Telefon baru ni. Waddah beli sendiri ke orang bagi?" soal Umar ingin tahu. Dia dapat menghidu sesuatu. Tapi dia tidak mahu serkap jarang. Dia mahu gadis itu sendiri yang berterus terang dengan dia.

Qaseh Mawaddah menggeleng. "Telefon lama hancur. Waddah baling ke dinding. Yang ini kawan yang hadiahkan. Waddah ambillah. Rugi tolak rezeki." Dia menunduk.

Segan mahu berdepan dengan Umar. Pasti Umar melabel dia sebagai mata duitan. Sesuka hati mengambil pemberian lelaki asing. Bukan murah telefon yang dihadiahkan Zuhaiyr.

"Siapa hadiahkan? Lelaki tadi ke?"

Dia mengangguk.

"Esok, Waddah serah balik telefon dekat lelaki tu. Jangan ambil pemberian orang. Kita tak tahu apa niatnya." Nasihat Umar.

Dia menyeluk poket seluar. Lalu dikeluarkan telefon pintarnya. "Guna yang abang punya. Dalam tu semua nombor ada. Nombor lama, tak yah pakai dah." Umar menghulurkan telefon miliknya pada Qaseh Mawaddah.

Gadis itu tercengang. Tidak sangka Umar akan bertindak begitu sekali. "Dah tu abang nak guna telefon apa?" soal dia hairan. Dia tidak menyambut pemberian Umar.

Tak mungkin Umar sanggup berikan telefon sendiri pada dia. Ini memang pelik. Lagipun hubungan mereka bukan baikpun.

"Abang dah ada satu lagi. Waddah guna aje yang tu. Nombor abang pun ada dalam tu." Umar menarik tangan sepupunya. Lalu telefon pintar miliknya diletakkan ke dalam tangan Qaseh Mawaddah.

"Terima kasih ..." ucap Qaseh Mawaddah terpaksa. Dia masih keliru dengan tindakan lelaki itu.

Apa sebenarnya tujuan lelaki itu datang sini? Dan apa tujuan lelaki itu memberikan telefon kepada dia? Dan macam mana lelaki itu tahu dia tidak punya telefon?

"Nanti ingat, call mak dan ayah kat kampung. Dan jangan lupa juga serahkan semula telefon tu pada pemilik asal. Jangan termakan budi. Lagi satu abang nak pesan, jangan rosakkan diri sendiri kerana dendam, Waddah." Nasihat Umar sebelum bergerak pulang.

Qaseh Mawaddah terpaku. Perbuatan dan kata-kata Umar buat dia termangu. Adakah Umar dapat menghidu sesuatu? Adakah lelaki itu dapat menebak apa yang telah dialaminya? Dia keliru.

Dahulu, hubungan mereka sangat mesra, tidak sedingin sekarang. Dan kemunculan Umar pada hari ini, seolah kembali menagih kemesraan dan perhatian antara mereka setelah sekian lama.

***

LIMA TAHUN LEPAS

"Abang tak suka Waddah selalu jadi telangkai macam ni." Kertas berwarna warni dicampak ke atas meja di beranda rumah. Bertaburan memenuhi ruang lantai.

"Jadi telangkai? Apa tu?" dahinya berkerut. Tidak faham dengan istilah yang Umar gunakan. Dia masih budak sekolah menengah. Mana tahu ungkapan orang dewasa macam yang Umar katakan.

"Telangkai tu, orang yang mencari jodoh untuk orang lain. Faham?" dahinya dijentik Umar. Pedih usah dikata. Berair matanya.

"Dah faham ke belum?" soal Umar tegas.

Qaseh Mawaddah mengangguk laju.

"Kalau dah faham, lain kali jangan buat dah. Abang tak berkenan perangai macam tu. Abang tak suka orang lain gunakan Waddah untuk tujuan peribadi dia orang." Jelas Umar lagi.

Ini kali ke 10 dalam masa dua bulan dia menerima surat cinta melalui sepupunya. Belum lagi dikira yang lepas-lepas. Semuanya sudah dipulangkan semula pada pemilik asal.

Ada yang memahami, tidak kurang juga yang memaki. Dia harus terima kerana dia yang menolak hasrat hati mereka. Dirinya masih belum bersedia. Eh, bukan, hatinya sudah terisi dengan nama seseorang.

"Kamu ada dengar tak yang anak Cik Syakira meninggal bunuh diri? Yang jadi cikgu gantian dekat sekolah Waddah tu." Encik Halim mencelah tiba-tiba. Dari tadi lagi dia memerhati perlakuan anak dan anak saudaranya.

Qaseh Mawaddah tersentak. Dia cuak. Cepat-cepat dia mengutip kertas-kertas yang bergelimpang di atas lantai. Disusun lalu diletak semula ke atas meja.

"Duduk pak ngah." Pelawa Qaseh Mawaddah. Bapa saudaranya mendekati mereka lalu duduk di atas kerusi.

"Kata orang kampung, dia meninggal sebab cintanya ditolak." Sambung Encik Halim lagi.

Kening Umar bertaut. "Cinta ditolak? Anak Cik Syakira yang mana satu, yah?"

"Yang perempuanlah. Takkan yang lelaki pula." Bahu Umar ditampar lembut. Umar ketawa lepas.

"Ayah nak beri nasihat sikit pada Umar, ni." Encik Halim kembali serius. Wajah anak lelaki tunggalnya ditatap.

Umar mematikan tawa. Dia memandang ayahnya dengan perasaan ingin tahu. Apakah yang ingin disampaikan oleh Encik Halim sebenarnya.

"Jangan sesekali Umar mainkan perasaan seorang wanita. Hati mereka lembut, mudah terluka. Mudah tersakiti. Jika suka, katakan suka. Jika tidak, usah melayan. Buruk akibatnya nanti. Ingat pesan ayah selalu." Sambung Encik Halim lebar.

Berita yang dia dengar sedikit mengguris hati tuanya. Serba salah dia mahu bercerita. Tapi dia rasa dia harus memperkatakan hal yang sebenar pada anak lelakinya. Keadaan perlu dijernihkan semula.

"Eh, mana ada Umar mainkan perasaan perempuan, yah. Tak pernah terlintas di fikiran pun nak mainkan dia orang semua."

"Memang Umar tak, tapi dia orang pula, macam mana? Tengok ni ...' Encik Halim merujuk pada surat yang bersusun atas meja.

Umar tersengih. "Ini bukan Umar yang minta. Si Waddah ini ha, yang pandai-pandai bagi. Ada hati kecil-kecil nak jadi telangkai orang dewasa." Dia menjeling pada Qaseh Mawaddah. Gadis itu menjelir lidah.

Jemari diangkat mahu menjentik dahi Qaseh Mawaddah. Tapi segera ditegah oleh ayahnya.

"Assalamualaikum ..."

Laungan salam dari luar menghentikan perbualan mereka. Umar segera menjenguk. Puan Juriah pula terkocoh-kocoh datang dari dapur. Dia juga mahu melihat siapakah gerangan yang memberi salam.

"Waalaikumussalam. Oh, Kak Siti. Jemputlah naik." Pelawa Umar ramah. Dia menuruni anak tangga.

"Aku tak nak naik dah Umar. Panas. Ini, aku nak sampaikan sesuatu pada kamu."

Dahi Umar berkerut. Apa yang mahu disampaikan Kak Siti sehingga membawa wanita itu datang rumah ibu bapanya?

"Sampaikan apa Siti? Buah tangan?" seloroh Puan Juriah tatkala menjenguk muka. Umar tidak jadi bersuara,

"Tak ada buah tangannya mak ngah. Saya cuma mahu sampaikan pesanan orang." Ujar Siti sambil memandang Umar.

Patutlah ramai wanita sukakan pemuda itu. Segak raut wajahnya. Redup pandangan mata si jejaka memukau jiwa. Dia juga hampir terleka. Segera diingat semula amanat arwah.

"Arwah Miya ada pesan pada Kak Siti, yang surat dia pada Umar ada dekat Waddah. Dia minta Kak Siti ambil dan serahkan pada Umar jika dia meninggal."

Pandangan Siti beralih pula pada Qaseh Mawaddah yang turut menjenguk. Dia tersenyum sinis. Ada di sini rupanya gadis ini. Memang seperti yang diceritakan oleh arwah Miya. "Surat Miya ada pada Waddah kan?" Siti terus menyoal.

Qaseh Mawaddah cuak. Dia terlupa sebenarnya. Bukan, atau lebih tepat lagi dia sudah hilangkan surat Miya. Dia terlupa di mana dia letak.

"Eh, mana ada. Kak Miya tak ada pun serahkan surat dia pada Waddah." nafi Qaseh Mawaddah. Dia terus menuruni anak tangga. Pandangan Umar yang penuh tanda tanya tidak dihiraukan. Dia cepat-cepat menyarung selipar.

"Mak ngah, pak ngah, Waddah balik dulu ya. Assalamualaikum ..." laung Qaseh Mawaddah kalut. Hanya itu saja caranya dia mengelak.

Dia melangkah laju meninggalkan mereka dan kediaman ibu bapa saudaranya. Wajahnya tidak lagi menoleh. Rasa bersalah datang menghimpit. Dia tahu dia yang menjadi punca kematian Miya. Semuanya gara-gara dia hilangkan surat cinta gadis itu pada Umar sehingga gadis itu berindak membunuh diri.





BERSAMBUNG ...


Previous: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.