Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
62,568
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

KASAR dia merentap tangan yang ditarik oleh Zaidi. Ketika itu mereka sudah melepasi pondok pengawal. Zaidi terkejut dengan tindakan drastik rakannya itu. Dipandang wajah gadis itu dengan rasa suram.


"Kau okey ke tak ni, Waddah?" soal Zaidi cemas. Melihat wajah Qaseh Mawaddah yang sudah memerah, buat dia bertambah gelisah.


Qaseh Mawaddah mengetuk-ngetuk dadanya dengan kuat menggunakan tangannya yang tergenggam kemas. Rasa pedih yang menjalar buat dadanya rasa sesak. Sesak untuk bernafas. Dia terus mencangkung.


Rasa perit cuba ditahan. Dia tidak mahu mengalirkan air mata di hadapan lelaki itu. Dia tidak mahu Zaidi nampak apa yang dia rasa. Sungguhpun lelaki itu juga putus dengan Syira, namun situasi mereka berbeza.


Sangat berbeza kerana Qaseh Mawaddah seorang perempuan yang telah dinodai tanpa rela. Perempuan yang telah dikaburi dengan janji-janji manis seorang lelaki yang menggelar dirinya kekasih. Dia hilang segalanya. Dia hilang harga diri. Dia hilang mahkota seorang gadis.


Dia benci Muazzam. Dia sangat bencikan wajah itu. Rasa sakit dadanya kembali menerpa.


"Kau okey ke tak ni, Waddah? Risaulah aku tengok keadaan kau macam ni," Zaidi cuba meluah rasa gusarnya. Tangannya dinaikkan menyentuh bahu gadis itu, untuk menenangkan Qaseh Mawaddah, tetapi tangannya pula ditepis kasar.


"Aku okeylah! Kau baliklah bilik dulu. Aku nak duduk sini kejap," Qaseh Mawaddah bangun dan duduk semula di tepi koridor, tempat parkir kereta di bangunan asrama blok A.


"Kau dah kenapa ni? Kau baliklah dulu, Zaidi. Aku okey aje," ujar Qaseh Mawaddah lagi tatkala melihat Zaidi turut melabuhkan punggungnya di sisi. Dia hanya mahu bersendirian ketika ini.


"Kau tak okey ni. Aku temankan kau. Nanti bila kau dah okey sikit, baru aku naik bilik aku," ujar Zaidi prihatin.


Masakan dia mahu meninggalkan Qaseh Mawaddah dalam keadaan seperti itu seorang diri. Lagipun dia risaukan rakannya itu. Bagaimana kalau terjadi sesuatu? Dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan.


"Aku kata tak payah, tak payahlah!" tengking Qaseh Mawaddah kasar. Ditempelaknya Zaidi tanpa sedar. Terpinga-pinga sahabatnya.


Tanpa mempedulikan reaksi Zaidi, dia terus bangun dan berjalan laju menuju ke blok asramanya. Tangga dipanjat dengan penuh rasa amarah. Pintu bilik dikuak kasar. Kasut dibuka dan dilempar entah ke mana. Tudung dicampak dengan rasa geram. Dia menghempas tubuhnya di katil.


Bantal diambil lalu ditekup ke muka. Dia menjerit sekuat hati. Air mata yang ditahan tadi, mengalir sepuas-puasnya. Terhinjut-hinjut bahu Qaseh Mawaddah mengikut rentak tangis.


Pada siapa lagi harus dia luahkan? Takkan dia mahu ceritakan pada orang lain yang dia sudah tidak punya apa-apa. Takkan dia mahu menjerit biar satu dunia tahu yang dia sudah tidak suci?


Air matanya mengalir bersama penyesalan yang tidak bermakna. Allah ... hanya nama Sang Pencipta sahaja yang meniti bibirnya ketika ini. Wajah ibu bapanya juga terlayar di ruang mata.


Drrrr ...


Telefon pintar yang dipasang mod senyap di atas meja, bergetar beberapa kali. Dibiarkan seketika sebelum dia capai untuk melihat siapakah yang membuat panggilan.


Terpapar nama Muazzam di skrin telefonnya. Hati berasa sakit dan pedih melihat sebaris nama yang tertera. Hancur lumat perasaannya saat dilanyak dengan pengkhianatan seorang lelaki.


"Aku benci kau! Aku benci tengok muka kau! Aku benci apa yang kau dah ambil dari aku! Aku benci!" jerit Qaseh Mawaddah.


Telefon di tangannya dibaling ke dinding. Hancur berderai jatuh bersepah satu per satu memenuhi lantai. Dia duduk berteleku di tepi dinding.


Tangisannya tidak berkesudahan. Menyesali segala-galanya yang telah berlaku. Sekelip mata sahaja segalanya berubah.



***



MUAZZAM yang bersandar di keretanya sibuk mendail nombor telefon Qaseh Mawaddah. Dia belum puas bermain-main dengan gadis itu tetapi sudah terbongkar dek perangai Syira.


Kalau bukan kerana Syira yang tergedik-gedik menyuruh dia hantar balik ke kolej, mesti masalah ini tidak akan timbul.


Memang benar Syira tunangannya. Tetapi tunangan pilihan keluarga. Dia sendiri tidak kisah kalau Si Syira mahu duakan dia. Sebab dia juga tidak cintakan Syira.


Bukan mudah dia mahu menundukkan Qaseh Mawaddah. Tambahan pula Qaseh Mawaddah bukan jenis gadis yang sewenangnya diajak ke mana saja. Kira bertuah bagi dia bila berjaya dapatkan gadis itu.


Namun segalanya sudah punah. Senang-senang sahaja Syira menghancurkan pelan yang sudah lama dia aturkan.


"Hey, you. Kenapa you call dia lagi? Lantak dialah nak meraung ke, nak sakit hati ke, nak tungging terbalik ke? Kenapa you nak peduli sangat?" Syira menunjal bahu Muazzam. Tergerak sedikit badan lelaki itu ke belakang.


Muazzam mendengus. "Suka hati akulah. Kalau bukan sebab kau terhegeh-hegeh suruh aku hantar, mungkin aku tak terserempak dengan Waddah. Dan benda ni takkan jadi macam ni," kata Muazzam geram.


Syira mencebik.


Huh! Ada apa pada Qaseh Mawaddah? Ada apa dengan gadis itu sehingga ramai lelaki meminati dia? Termasuklah Zaidi. Bidadarikah dia? Syira jadi menyampah.


Sengaja dia mahu jauhkan Zaidi dari Qaseh Mawaddah. Jika hendak dibandingkan dia dengan perempuan itu, dia lagi cantik dan hot dalam kalangan mereka semua.


"Baguslah terserempak. Baru dia tahu yang dia tengah bercinta dengan lelaki yang macam mana. Baru dia kenal you siapa sebenarnya. Haha!" bidas Syira sambil ketawa yang dibuat-buat.


"Dahlah, aku nak balik. Habis rosak plan aku. Semua ni kau punya pasal!" bentak Muazzam dengan hati yang sakit. Dia pantas membuka pintu kereta.


"Bye-bye, sayang. Nanti you call I okey? Daripada you teringatkan perempuan tak guna tu, lebih baik you fokus pada perkahwinan kita. Lagi berfaedah. Lagi dapat pahala sebab ikut cakap mommy you," pesan Syira tanpa menoleh. Tangan kanannya diangkat lalu digoyang-goyangkan pada Muazzam.


Dia ketawa puas. "Padan muka kau Qaseh Mawaddah. Biar jangan ada satu lelaki pun dekat dengan kau. Dasar pengemis!" ejek Syira dalam tawanya yang masih bersisa.


Dari jauh dia dengar pintu kereta ditutup kuat. Huh! Lantaklah dengan Muazzam. Yang penting, hatinya puas. Sekarang misinya memujuk Zaidi pula.


Baru gadis itu akan tahu dengan siapa yang dia perlu berdepan selagi hidupnya di sini. Syira tidak akan membiarkan Qaseh Mawaddah hidup dengan aman dan damai,


Itu ikrarnya!







BERSAMBUNG ... 


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.