Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
61,724
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

SEBULAN bekerja dengan E-Rose TV, tahun baru pun menjelang dengan cuaca agak hangat di bandar Nusa. Sambutan tahun baruku seperti biasa, terperap saja di dalam rumah. Bergaduh sedikit dengan mak yang masih dengan cadangan gilanya mahu aku berkahwin dengan bos Ameng. Tetapi aku berjaya membuatkan mak leka dengan hadiah duit gajiku yang pertama. Aku menghulur duit RM500 untuk dia belanja sakan dan kuharap dia melupakan hasratnya mahu aku berkahwin cepat. Sebahagian lagi aku simpan untuk bayar hutang dengan Martin. Setiap kali mengenang hutang itu, aku akan murung. Walaupun Martin tidak pernah mengungkitnya tetapi aku tetap malu. Tuhan saja yang tahu betapa perasaan malu itu sering menyelubungi sebaik berhadapan dengan Martin. 

Tahun baru bermula dengan baik. Ideaku untuk talk show akan disiarkan dalam minggu ini. Rancangan bual bicara melibatkan selebriti ataupun bukan selebriti. Seperti ibu dan anak, suami isteri, adik beradik malahan rakan sekerja. Perkara penting yang aku terapkan dalam idea baru ini ialah kurangkan penggunaan telefon pintar pada waktu tertentu dan lebih banyakkan sesi saling mendengar masalah masing-masing. Untuk permulaan aku mencadangkan beberapa nama selebriti yang pernah bergaduh dalam industri hiburan. Rancangan itu juga memaparkan rutin ringkas selebriti tersebut di rumah atau tempat kerja. Kemudian mereka akan saling berbual tentang masalah dan bagaimana mereka mengatasinya di dalam talk show itu nanti. Martin berjaya mendapatkan Haznil sebagai pengacara yang terkenal dengan sikap humornya. Ia akan disiarkan secara live dalam laman sosial Facebook dan pengikut boleh memberi topik yang akan dipilih secara rawak oleh pengacara nanti.

Akan datang, rancangan yang telah sepakat teamku pilih tajuknya Money Bunny akan disiarkan setelah Martin berjaya mendapatkan kelulusan untuk rancangan hiburan itu. Tentu banyak kerja yang harus dibuat. Kami perlu buat ujibakat mencari selebriti yang sesuai. Susun atur jadual penting dan untuk rancangan itu aku telah siapkan semua skrip dan game yang akan kami cuba sebelum masuk penggambaran. Bos besar memberi lampu hijau dan dia sudah menempah kawasan riadah untuk team kami mulakan sesi perbincangan dan praktikal nanti. Aku suka dengan kesibukan yang terbaru ini, terasa hidupku lebih bermakna berbanding dulu.

Aku sedang sibuk memasang lampu kelip-kelip di studio ketika disapa seseorang dari belakang. Malik yang membantu tadi entah hilang ke mana, lepas bagitahu nak ke bilik air terus lesap.

“You orang suruhan Martin baru ke?” itu suara Zara. Aku pantas berpaling melihatnya. 

“Kenapa?” nadaku kedengaran meninggi.

“I dengar cerita bekas ketua Team Idea dan Skrip tu pun berhenti sebab stress Martin buat dia macam kuli. Tapi I rasa you sesuai dengan taraf suruhan tu, ikut aje Martin suruh buat apa kan?” ujar Zara dengan jari-jemarinya melentik-lentik geli dengan habuk di atas lantai tempat aku duduk bersila.

“Saya tak kisah,” jawabku malas. Dua, tiga krew pantas mengerling ke arah kami.

“Oh, you sukalah jadi orang suruhan, disuruh masak macam orang gaji kat rumah dia, belikan breakfast pagi-pagi, buat itu, buat ini asalkan you dapat selalu menempel dengan dia kan?”

“Suka hati awaklah nak cakap apa.” Aku sambung kerjaku yang tersangkut tadi.

“Janganlah you rasa dekat dengan Martin tu dah cukup bangga, nampakkan perbezaan kita berdua, dia layan I macam gadis level tinggi, jadi I nasihatkan you jangan cuba goda dia dengan level kelas bawahan you ni,” Zara ketawa mengejek.

“Awak cemburu saya dengan Martin ke?” Hah! Aku senyum sinis. “Martin suruh saya apa-apa pun bukan urusan awak. Sila buat kerja mengacara awak tu dengan betul jangan tunjuk gedik sangat dalam tv, penonton tak suka tau,” aku mengeluh kasar. Naik darah juga aku dengar ayat-ayat Zara mengata aku orang suruhan Martin.

Zara beredar dengan bibirnya mencebik benci. Martin jadi mulut murai ke sekarang? Macam mana sampai Zara pun tahu aku tukang beli sarapan untuk dia setiap pagi. Mungkin Zara pun tahu pasal hutang aku dengan Martin. Mood bekerja tiba-tiba merudum bila level orang suruhan terngiang-ngiang dalam kepalaku.

“Lila!” namaku dipanggil lagi. 

Mina dan Azila baru datang membawa buku-buku yang aku minta sebagai props untuk diletakkan di atas meja pengacara. Aku menghela nafas, cuba menenangkan rasa marahku dari menguasai. Banyak kerja yang aku nak buat. Lupakan tentang Zara. Lupakan. Peduli apa aku hubungannya dengan Martin. Aku kena kerja, kerja dan kerja untuk teruskan hidup.

Bilik team idea dan skrip kosong, entah ke mana mereka semua. Selepas dari studio aku berehat sekejap di meja, meletakkan kepalaku di atas meja sambil merenung gambar Tony Stark yang sengaja kutampal di dinding meja sebagai booster semangat dan pelerai stress. Dapat merenung lelaki idaman seperti Tony amatlah menyenangkan hatiku, rasa penat membuat dekorasi pentas tadi hilang seketika. Sambil merenung wajah Tony kesayanganku aku membersihkan habuk dengan ibu jari, biar wajah Tony Stark sentiasa kacak dan yang penting sombong, heh!

“Tengah fikir teori macam mana nak hidupkan Iron Man ke?”

Pantas aku mengangkat kepala dan berpaling malas melihat Martin yang berdiri di tepi meja aku.

“Tak, saya sedang baca jampi supaya Tony Stark jadi kekasih gelap saya!” sahutku geram. “Oh, Tony, I love you three thousand moreeee…” seruku manja sambil jariku menggosok perlahan gambar Tony Stark kemudian mengerling Martin yang sedang mencebik.

“Ok, Mrs. Stark, berhenti berkhayal, sekarang tolong saya cari fail lama rancangan Variety Show dua tahun lalu,” arah Martin sambil mengetuk mejaku cuba memastikan aku tidak dalam hayal lagi agaknya.

Pantas aku berdiri dan berjalan ke bahagian drawer yang mengandungi fail-fail lama tentang skrip dan jadual lengkap sekali dengan biodata selebriti termasuk artis, ahli sukan malahan orang-orang kaya di Malaysia semua ada di dalam drawer itu. Aku mengerling Martin yang sedang duduk menunggu di bangku tempat dudukku. Tangannya kelihatan bergerak-gerak entah sedang buat apa pada meja aku itu ketika aku masih mencari fail-fail yang dimintanya.

Semua tajuk-tajuk fail aku baca dengan teliti hingga ke bahagian dalam mengikut tahun-tahun lepas. Payah juga nak jumpa sebab semua fail-fail itu bercampur. Kemudian aku menarik keluar 3 fail yang sama dengan permintaan Martin dan terus aku hulurkan kepada Martin yang pantas sahaja mengambilnya dari tanganku dan tersenyum manis.

“Terima kasih Mrs. Stark,” ucapnya lalu tersengih sebelum keluar.

Apabila aku kembali duduk di meja, grrr… “Martin niii…” aku mengaum geram. Nak kena penampar agaknya. Habis muka Tony Stark diconteng Martin, ada tahi lalat besar di hidung siap ada taring walrus lagi. “Ish!!” dia guna permanent marker pulak tu. Aku mengenggam tangan geram. Kalau iyapun cemburu cakap ajelah.


Previous: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.