"KAU perempuan tak guna!
Pembunuh! Pergi kau dari sini! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Kau bunuh anak
aku! Kau bunuh dia!” tengking Datin Salina, meninggi. Matanya merenung tajam ke
muka Nur Ain Zafira.
“Sabar Sal, bawak
mengucap. Awak tahu tak kita ni kat mana sekarang? Kat kubur. Kawal sikit emosi
awak tu,” nasihat Dato Ridzuan lembut.
“Abang nak suruh saya
sabar? Abang tahu tak perempuan ni dah bunuh anak kita. Kalau bukan disebabkan
dia, anak kita takkan mati. Kalau bukan disebabkan dia jugak, anak kita takkan
kemalangan,” jerkah Datin Salina pula.
“Ya ALLAH, Sal. Soal
hidup atau mati semua tu urusan ALLAH. Kita sebagai hamba-NYA kena reda dan
terima dengan ikhlas. Awak tak boleh nak salahkan takdir.”
“Abang jangan nak
ajar saya. Perempuan ni memang pembawa malang! Pembunuh!” jerit Datin Salina
masih tidak puas hati.
Jika diikutkan hati,
mahu sahaja dia membunuh Nur Ain ketika itu juga.
“Aku tak nak tengok
muka kau. Aku benci! Aku haramkan kaki kau melawat kubur anak aku. Kalau bukan
disebabkan kau, anak aku takkan mati. Kalau bukan disebabkan anak aku, tak
ingin aku bermenantukan kau. Perempuan tak guna!” marah Datin Salina sambil
menunjal kepala Nur Ain. Melepaskan kemarahan pada gadis itu.
Nur Ain hanya
membiarkan perilaku Datin Salina. Rasa sedih di atas kematian Hazrul masih lagi
bersisa. Begitu awal Hazrul pergi. Kalau bukan atas desakannya, tidak mungkin
Hazrul mengalami kemalangan sekali gus meragut nyawa lelaki itu.
Nur Ain menahan
esakan tangisan. Sudah pastilah Datin Salina bertambah membenci dirinya.
Sudahlah hubungannya dengan Hazrul mendapat tentangan hebat daripada Datin
Salina, niat Hazrul untuk meminangnya turut dibangkang hebat wanita itu.
Bagi Datin Salina,
Nur Ain tidak layak buat Hazrul apatah lagi menjadi menantunya. Dia tidak layak
untuk mana-mana lelaki kerana dia bukanlah seorang yang kaya, cantik mahupun
berpelajaran tinggi. Dia hanya seorang gadis kampung yang berpelajaran setakat
SPM, bertudung, berbaju kurung, tidak cantik dan mempunyai parut di dahi.
“Dahlah, Sal. Budak
tu tak bersalah. ALLAH lebih sayangkan Rul daripada kita. Banyak-banyaklah
berdoa buat arwah anak kita,” nasihat Dato Ridzuan lembut sambil menarik tangan
Datin Salina daripada menunjal kepala Nur Ain.
Datin Salina
menghentikan tingkah. Di bahu Dato Ridzuan, dia menangis teresak-esak. Menangisi
pemergian anak sulungnya itu.
“Jom kita balik,”
ajak Dato Ridzuan.
“Kau jangan nak
pandai-pandai sentuh kubur anak aku. Aku haramkan kau jejakkan kaki ke sini.
Kau jangan ingat kau akan selamat dan senang. Aku akan pastikan kau merana
sampai bila-bila, Nur Ain Zafira!” ugut Datin Salina sebelum meninggalkan
kawasan perkuburan itu.
Nur Ain hanya
menunduk. Ugutan Datin Salina itu dia buat dengar tak dengar sahaja. Tanpa
membuang masa, dihampiri pusara Hazrul dan melabuhkan punggungnya di situ.
“Maafkan Ain. Kalau
bukan sebab Ain, tak mungkin abang kemalangan dan...” Sukar untuknya menyebut
perkataan ‘mati’. Hanya mampu diucap dalam hati sahaja.
Nur Ain membuka Surah
Yasin. Dia ingin menyedekahkan Surah Yasin buat Hazrul. Sebaris ayat yang
dibaca, setitis air mata jugalah yang mengalir di pipi. Dibiarkan sahaja air
mata itu tanpa berniat untuk menyekanya. Tidak dihiraukan keadaan sekeliling
yang sudah pun merangkak ke senja. Apa yang pasti, dia perlu menghabiskan
bacaan Surah Yasin itu. Semoga roh Hazrul dicucuri rahmat dan berbahagia di
sana.
“KAU jangan
masuk ke dalam rumah aku!” jerkah Pak Ibrahim, meninggi.
Tersentak Nur Ain
dengan jerkahan Pak Ibrahim itu. Pakaian yang dilempar Pak Ibrahim ke mukanya
turut membuatkan dia hampir terdorong ke belakang.
“Aku tak nak tengok
muka kau! Pergi kau dari sini! Aku tak ada anak yang menconteng arang ke muka
aku! Aku malu ada anak macam kau! Berambus kau dari sini!” tengking Pak Ibrahim
pula. Berombak nafasnya menahan amarah yang sedang berkocak dalam diri.
“Apa bising-bising
ni, bang?” tanya Mak Hamidah dari arah dapur. Dia berjalan menuju ke ruang tamu
untuk melihat.
“Kamu tolong halau
budak ni daripada rumah aku. Aku tak nak tengok muka dia. Aku benci nak tengok
muka dia!” marah Pak Ibrahim lagi.
“Ayah,” seru Nur Ain,
lembut.
“Jangan kau panggil aku ayah. Pergi kau dari sini. Hidup
menyusahkan dan menconteng ke muka aku. Lebih baik kau mati daripada aku menanggung
penghinaan tu.”
“Ayah! Apa maksud
ayah? Apa yang Ain dah buat?” tanya Nur Ain, kurang faham.
“Kau jangan pura-pura
tak tahu, Ain. Apa yang kau dah buat pada anak Datin Salina dan Dato Ridzuan
tu?” cebik Pak Ibrahim.
“Apa yang Ain dah
buat? Ain tak faham,” soal Nur Ain lagi.
“Abang, dahlah. Tak
payahlah nak heboh-hebohkan perkara ni. Idah tahu anak kita tak bersalah,”
sampuk Mak Hamidah. Tidak mahu Pak Ibrahim terus-terusan memarahi Nur Ain.
“Tak perlu nak
diheboh-hebohkan? Kamu tahu tak perkara ni dah jadi buah mulut orang kampung?
Mana nak letak muka aku ni? Aku malu dengan orang kampung,” ujar Pak Ibrahim
melenting. Matanya tajam ke muka Mak Hamidah.
“Abang, saya yakin
anak kita tak bersalah. Abang jangan dengar sangat cakap Datin tu. Dari dulu lagi
dia tak suka Ain berkawan dengan Rul,” bidas Mak Hamidah.
Dia menarik Nur Ain
masuk ke dalam rumah. Tidak dihiraukan tenungan tajam Pak Ibrahim.
“Aku kata aku tak nak
tengok muka dia. Kamu faham ke tak, Idah?” marah Pak Ibrahim sambil menahan Nur
Ain daripada masuk ke dalam rumah.
“Abang!” Mak Hamidah
terjerit kecil. Tidak puas hati dengan tingkah suaminya itu.
“Kamu jangan nak
melawan cakap aku. Aku ni suami kamu!” tengking Pak Ibrahim.
Terhenjut Mak Hamidah
mendengar tengkingan itu. Matanya menikam pandangan Pak Ibrahim.
“Dia anak kita, bang.
Idah yakin Ain tak bersalah.”
“Aku tak peduli. Kalau bukan dia yang menggatal, perkara ni takkan
terjadi! Sudah! Aku nak kau keluar daripada rumah aku sekarang. Kau bukan anak
aku lagi. Aku haramkan kaki kau jejak ke rumah aku lagi!” bentak Pak Ibrahim,
tegas.
Ditolak tubuh Nur Ain
keluar daripada rumah dan menghempas pintu rumah. Melepaskan kemarahan terhadap
anaknya itu.
“Sampai hati ayah
buat Ain macam ni. Apa salah Ain?” rintih Nur Ain sambil cuba menahan esakan
tangisan.
Pakaian
yang bertaburan di atas tanah dikutip satu per satu lalu dimasukkan ke dalam
beg. Ke mana hendak dibawa dirinya itu? Tidak pernah terfikir perkara seperti
ini akan berlaku dalam hidupnya. Dengan hati yang walang, dia segera beredar
dari situ. Hanya pada ALLAH dia memohon perlindungan ketika ini.