Home Novel Cinta Bawah Payung Awan (Sudah Terbit)
Bawah Payung Awan (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:31:25
16,434
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

MISKIN. Aku dilahirkan tanpa mengerti apa maksud miskin. Aku tak pernah tahu kenapa aku disuruh diam apabila aku menangis lapar. Aku tak pernah tahu kenapa mak pulang ke rumah awal pagi sambil bawa duit-duit renyuk di celah lurah dada. Aku tak pernah tahu kenapa mak selalu hempas-hempas periuk kalau aku menghabiskan sisa nasi.

Rumah aku macam tongkang pecah. Atau barangkali lebih teruk dari tongkang pecah. Bau longgok sampah yang mak sepahkan di tepi rumah tidak pernah berkutip. Baju-baju sedekah orang yang tak pernah mak basuh menimbun di tepi dinding. Sejak usia aku enam tahun, aku terpaksa belajar menguruskan sampah-sampah mak. Sebab mak tak pernah peduli. Atau mak terlalu penat untuk peduli.

Langkah kaki Widad berhenti di depan tembok batu yang memisahkan flat Projek Perumahan Rakyat dengan rumah-rumah setinggan di belakangnya. Penghuni di kawasan setinggan seramai lebih kurang 82 orang itu menyewa dengan kadar RM300 sebulan untuk setiap rumah petak seluas sekangkang kera.

Harga yang barangkali murah bagi sesetengah orang kerana lokasinya yang terletak di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur. Tetapi kehidupan di dalam rumah yang pintunya kerap lekang dan atap yang sering memuntahkan urin tikus itu mendakap segala kenangan perit buatnya.

Dan kawasan itu tidak penah membuatkan dirinya rasa selamat. Adakalanya dia rasa lebih selamat tidur di bawah jambatan daripada di dalam rumahnya sendiri.

"Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati... Tiada memikat..." nyanyi Basri sambil berjoget-joget keriangan tatkala melihat Widad pulang dalam pakaian seragam sekolahnya.

Di sebelahnya kelihatan Thaqif yang sedang mencangkung dengan separuh muka diletakkan di dalam baju, sedang menghidu bahan terlarang yang disembunyikan di dalam T-shirt kelabunya. Matanya kelihatan kuyu, sedang khayal dengan bau-bauan yang sedap baginya.

Air mata Widad yang hendak meleleh ditahan. Dia menahan rasa gemuruh di dalam hatinya, mengenangkan emak yang barangkali sedang tidur mati di dalam rumah. Mak mungkin takkan dengar kalau dia menjerit meminta tolong. Atau mungkin mak akan mengabaikan saja kerana menganggap ia perkara remeh yang boleh Widad selesaikan sendiri.

"Kau ni... makin besar, makin sombong dengan abang kau ya, Wid?" soal Basri sewaktu Widad melintas tanpa memerhatikannya.

Widad pura-pura tidak mendengar. Abang? Sejak bila emaknya beranakkan Basri? Usia lelaki itu sudah melepasi angka 25. Jika emak beranakkan dia, maknanya emak mengandungkan Basri ketika emak berusia lapan tahun. Ah, tak masuk dek akal! Mak belum akil baligh ketika itu.

Widad melangkah laju-laju, mahu meninggalkan pangkin persinggahan Basri yang terletak berdekatan rumahnya.

"Jangan macam tu, Wid. Aku sapa elok-elok. Kalau aku guna cara tak elok, nangis kau nanti," usik Basri sambil mencekak lengan Widad. Widad terpaksa berhenti melangkah dan memandang Basri.

"Maaf, bang. Saya ada hal ni. Nak kena cepat," bohong Widad, mahu mengelak daripada menaikkan kemarahan Basri.

Sekasar mana pun dia, Widad tahu kudratnya masih kudrat seorang wanita. Jika Basri menyerangnya, dia takkan menang di dalam pertempuran itu. Siapa yang akan membantunya? Waktu begitu jiran-jiran tetangga yang lain belum pulang kerja.

"Kau boleh jadikan aku hal kau, kan?" soal Basri sebelum ketawa. Basri menepuk papan pangkin yang menjadi lapik punggungnya.

"Duduklah sini sekejap, teman aku. Kalau mak kau boleh, takkan kau tak boleh?" sindirnya.

Sebelum sempat Basri menarik Widad duduk, ada tangan lain yang menyentap tangannya, memaksa dia melepaskan gadis itu.Soleiman mengepak tangan Basri ke belakang sampaikan lelaki itu mengaduh. Kudratnya terlalu kuat untuk dilawan Basri.

Soleiman memang tegap dan kasar orangnya. Statusnya sebagai kawan baik Anand, anak gengster terkenal di kawasan itu menyebabkan kutu-kutu rayap seperti mereka tidak berani menyentuhnya. Silap-silap hari bulan, mereka akan diamuk dengan parang Anand.

"Sakit! Sakit! Lepas! Aku main-main aje, Sol!" jerit Basri.

Soleiman melepaskan lengan Basri. Dia tersenyum sebelum tunduk dan berbisik di tepi cuping telinga Basri.

"Abang sentuh dia lagi, abang mati. Abang pandang dia macam tu lagi, abang mati. Perempuan lain, suka hati kaulah, bang. Tapi Widad, aku yang punya. Kau jangan lupa ya," bisiknya.

Basri mengangguk-angguk. Sebaik saja lengannya dilepaskan, dia terus kalut bangun dan menarik Thaqif yang masih khayal bersamanya. Thaqif berjalan senget, tersadung beberapa kali dan hampir terjatuh.

Soleiman memandang sayu. Usia Thaqif baru beranjak ke 22 tahun, tetapi mukanya yang cekung nampak lebih tua daripada usia sebenar. Soleiman masih ingat rupa Thaqif sebelum dia berjinak-jinak dengan dadah dulu. Tubuhnya dulu lebih berisi. Dia selalu menyedekahkan baki nasi lemak yang tidak habis dijual di gerai emaknya kepada Soleiman dan Widad. Adakalanya dia membelikan mereka jajan di kedai runcit dengan lebihan wang sekolahnya.

Segalanya berubah apabila Thaqif mula berjinak-jinak dengan rokok. Tak lama kemudian, dia menaik taraf aktivitinya kepada menghidu gam. Tak cukup dengan gam, dia mencuba pula dadah jenis ganja yang sering dipanggil dengan nama jolokan 'boh', 'balut', 'daun' atau 'usin' di Malaysia. Dadah spesies ini dikenali dengan gelaran marijuana di luar negara dan kompaun psikoaktif utamanya adalah tetrahydrocannabinol.

Ah, kini Thaqif sudah menjadi penagih dadah tegar! Dia mempraktikan penggunaan kedua-duanya sekali, menghidu gam dan menghisap ganja. Tidak cukup dengan menjahanamkan diri sendiri sendiri, dia menjahanamkan anak bangsanya yang lain. Kalau dia tidak khayal dengan dadah, dia sibuk pula mengedar dadah kepada remaja-remaja lain yang terpikat dengan keseronokan sementara.

"Kau fikir fasal Abang Thaqif?" Soalan Widad menyebabkan Soleiman kembali ke dunia nyata. Dia mengangguk secara spontan, tidak menidakkan tekaan Widad. Sukar untuk menipu gadis yang membesar bersamanya itu.

"Sebab tu aku cakap jangan bergaul dengan budak bukan-bukan!" cetus Widad sewaktu melihat mata Soleiman berair, tidak berkelip memandang kelibat Thaqif yang semakin menghilang. Dia tahu, Thaqif pernah menjadi orang yang dihormati Soleiman suatu ketika dulu.

"Kau pun satu hal. Apasal tak beritahu aku kalau nak balik lambat?" soal Soleiman. Dia duduk di tempat kosong yang ditinggalkan Basri tadi.

"Kau kerja, kan? Kau cakap ada orang nak pindah rumah hari ni. Bukan Anand suruh kau angkut barang?" balas Widad sambil duduk di sebelah Soleiman tanpa dijemput.

Widad mengeluarkan tuala kecil dari beg sekolahnya dan menghulurkannya kepada Soleiman yang bermandi peluh, berkejar ke rumahnya. Selain daripada menjadi ceti haram dan mengutip wang perlindungan, keluarga Anand turut melakukan perniagaan sewa lori untuk memindahkan barang. Barangkali mereka melakukan kerja halal itu untuk mengaburi pihak berkuasa tentang aktiviti sebenar mereka.

Tetapi setidak-tidaknya ia bermanfaat kepada Soleiman kerana perniagaan bersih itu membolehkan dia bekerja dengan Anand. Dia sudah berjanji dengan Widad untuk tidak melibatkan diri dengan kerja-kerja jenayah seperti arwah abangnya dulu.

"Kau ni baguslah. Faham je semua yang aku nak. Boleh buat orang rumah," usik Soleiman.Wajah Widad bersahaja, tidak teruja dengan tawaran itu.

"Kau rumah pun tak ada, Sol. Tak payahlah nak poyo," balas Widad.

Dia mengeluarkan botol air dan menyerahkan kepada sahabat karibnya itu.Soleiman meletakkan tapak tangannya di atas ubun-ubun Widad dan menyelerakkan rambutnya. Tindakan spontan itu menunjukkan seolah-olah dia masih menganggap Widad anak kecil berhingus yang pernah berlari di sebelahnya suatu ketika dulu.

Anak kecil yang selalu mengenakan T-shirt berlubang yang lubang lehernya terlalu luas sehingga terlondeh dari bahu. Anak kecil yang berkaki ayam tanpa mengetahui bahayanya virus dan bakteria dan barangkali sudah lut dengan serangan cacing.

Mimpi untuk hidup mewah tidak pernah muncul dalam fikiran mereka. Mereka sudah cukup bersyukur andai perut mereka tidak merintih lapar. Tempat teduhan mereka yang ditutup zink berlubang tak lagi menurunkan hujan. Lantai berbonggol yang sebahagiannya hanya tanah tidak melapik telapak kaki mereka yang sudah berkalus tebal. Mereka orang susah yang dibesarkan dalam kalangan orang susah. Jadi, mereka tidak tahu apa rasanya menjadi senang.

"Kalau aku ada rumah, dah lama aku bagi kau," luah Soleiman. Nadanya kedengaran seperti olok-olok, tetapi dia memaksudkan tiap kata-katanya.

"Bertuahnya aku..." sindir Widad. Soleiman senyum.

"Kau ingat aku bergurau?" Widad membalas senyuman Soleiman.

"Betullah aku cakap. Aku bertuah. Kau nak kahwin dengan Hanan. Tapi, kalau ada rumah nak bagi kat aku. Hah, untung! Tak payah berlakikan kau. Tapi dapat hadiah rumah," ungkit Widad. Soleiman tergelak.

"Ya tak ya, aku dah janji nak kahwin dengan Hanan," balas Soleiman. Dia memandang ke mata jernih Widad.

Widad terpaku sejenak. Sejujurnya dia akan salah faham andai dia tidak mengenali Soleiman sejak kecil. Dia mungkin akan tertipu dengan layanan lelaki itu dan ayat-ayat yang adakalanya bergula. Dia mungkin akan mengharap lelaki itu akan menjadi pelindungnya seumur hidup, menjaga dan membahagiakan dia seadanya sehingga ke akhir hayat.

Namun, kehidupan mereka jauh dari frasa akhir Walt Disney, 'So they live happily ever after'. Andai mereka memilih untuk hidup bersama secara romantis, mereka akan hanyut dibuai angan-angan palsu. Hakikatnya, mereka tidak berwang dan tidak berumah.

Satu-satunya yang Widad ada hanyalah impian. Impian untuk berjaya.Bagi Widad, dia akan mencapai impiannya jika dia mengejar ilmu. Mungkin jalannya tidak mudah. Mungkin masa yang diperuntukkannya lebih panjang.

Tetapi, andai dia berjaya kelak, dia akan beroleh kestabilan dalam hidup. Dia akan berupaya menghentikan kitaran hidup miskin keluarganya. Ketika dia beroleh pekerjaan yang elok kelak, keluarganya boleh berhenti mengharapkan subsidi kerajaan yang tidak seberapa dan rezeki haram yang sudah sebati dengan darah dagingnya dari kecil.

Soleiman berbeza. Dia mahu memintas dan mencari jalan cepat. Otaknya tidak mahu berfikir panjang. Objektifnya hanya duit. Kenapa? Kerana bagi Soleiman, dia tak tahu sama ada esok masih ada untuknya. Sama seperti arwah abangnya yang mati terkena bedilan peluru. Dia merasakan dia juga bakal menempa masa depan yang persis kalaupun tidak jitu. Soleiman tidak mahu menanam cita-cita yang melampaui masa enam bulan. Dia hanya mahu cepat kaya, merasai nikmat mewah walaupun hanya untuk sehari.

"Aku kagum dengan kau," luah Widad.

"Kagum? Wow! Tak pernah kau cakap macam tu sebelum ni. Kau sakit otak ke apa?" balas Soleiman. Mulutnya celopar seperti biasa.Widad menjongket bahu.

"Senang je kau fikir apa nak buat. Nak berhenti belajar, nak bertumbuk dengan orang, nak kahwin dengan Hanan...." Soleiman tergelak.

"Jauh mana lagi aku boleh pergi, Wid. Aku tak bijak macam kau. Aku belajar macam nak rak pun, tak boleh nak masuk. Esok lusa, entah umur aku panjang ke tak nak merasa ada duit, ada anak bini. Hanan pun macam aku, masa depan samar-samar. Buat apa aku nak fikir panjang? Lagipun kau tau kenapa aku nak kahwin dengan dia, kan?"

"Ya, aku tau," balas Widad.

Mereka tidak pernah mengungkit perkara itu lagi selepas Soleiman menabur janjinya. Biarlah bernoktah di situ. Baik Widad mahupun Soleiman, seboleh-bolehnya tidak mahu Hanan mengenang kisah silamnya yang menyakitkan lagi. Sebab itulah mereka sedaya upaya cuba membahagiakan adik kecil mereka itu.

"Sebabnya kau tu tak nak kahwin dengan aku. Nasib baik Hanan sanggup," gurau Soleiman. Widad merenung tajam.

"Apasal? Marah? Kalau aku cakap aku syok kat kau, kau nak kahwin dengan aku ke?" Soleiman berseloroh.Dengan selamba, Widad menampar dahi Soleiman, hadiah untuk gurauan yang dirasakan tidak kelakar.

"Aku taklah sebengap tu."Soleiman menggosok dahinya.

"Yalah, aku tau. Aku sedar diri..." balas Soleiman.

Tidak secuit dia melampirkan rasa marah dalam riak wajahnya. Dia hanya tersenyum. Widad. Dia tidak pernah sedar sejak bila gadis garang itu menjadi signifikan dalam hidupnya. Siapa sangka, gadis paling cantik dan baik yang pernah ditemui itu adalah sahabat karib yang setia menjaga makan, minum dan sakit demamnya.

Dia hanya bajingan di mata mereka yang lain. Tetapi Widad tetap menerima dia seadanya.Oleh kerana itu, Soleiman bertekad untuk melindungi Widad selagi nafasnya masih ada. Dia boleh berfikiran serong tentang gadis-gadis lain yang ditemuinya. Tetapi tidak pada Widad. Gadis itu satu-satunya harta yang dimiliki sekarang. Harta yang tidak terbanding dengan wang ringgit dan kemewahan material yang lain.

"Kalau kau dah berjaya nanti, kau mengaku tak aku ni kawan baik kau?" soal Soleiman.

"Kau ingat kawan baik macam baju? Boleh tukar-tukar?" duga Widad.

"Walaupun aku memalukan kau? Orang mungkin akan buruk sangka kalau kau kawan dengan manusia macam aku?" soal Soleiman.

"Apa yang buat kau rasa dia orang belum buruk sangka sekarang?" balas Widad.Soleiman mengangguk.

"Betul jugak." Dia menggesel tapak tangan ke dagu, merasai tunas-tunas janggut yang sudah mulai tumbuh walaupun dia baru mencukurnya semalam.

"Eloklah orang buruk sangka. Orang ingat Hanan girlfriend kau, aku ni skandal kau. Jadi, tak adalah lelaki bengong nak kacau aku. Dapatlah aku belajar dengan tenang," ulas Widad.

"Kau okey orang cakap kau skandal aku?" tanya Soleiman.Widad menjongket kening.

"Sebenarnya aku tak adalah kisah pun. Bukannya aku boleh mati dengan cakap-cakap orang. Dia orang cakap apa pun, aku tetap top student kat sekolah. Bukannya aku nak minta scholarship daripada dia orang, kan? Habis tu, buat apa aku nak kisah?"

"Memang jadilah kau nak apply biasiswa?" tanya Soleiman.Widad mengangguk.

"Kalau aku dapat pergi overseas, aku akan jadi budak pertama dari kawasan setinggan ni yang dapat pergi luar negara, Sol. Barulah bersemangat sikit budak-budak lain," beritahu Widad. Bibir Soleiman menguntum senyuman.

"Kalau kau tak ada, Wid... aku dah tak boleh jadi awan kau," balas Soleiman. Tiba-tiba saja dia menjadi puitis.

"Kau tau tak jangka hayat awan hanya beberapa minit dan paling lama pun lebih kurang sehari? Apa yang buat kau rasa aku nak kena bergantung pada kau untuk jadi awan aku seumur hidup?" duga Widad.

"Kau ni tak romantik langsung. Aku guna metafasa...," Widad menampar dahi.

"Metafora... bukan metafasa. Sains gagal. Sastera gagal. Apalah nak jadi dengan kau ni, Sol," bebel Widad.

"Hisy, lebih kuranglah tu," balas Soleiman.

"Lainlah!" Renungan tajam Widad memanah mata Soleiman.

"Lagipun, kalau aku blah, tak payahlah Hanan nak risau lagi," balas Widad secara tiba-tiba. Soleiman mengeluh.

"Ni tak lain... mesti budak Hanan tu cakap bukan-bukan lagi, kan?"

"Dia bakal isteri kau. Aku ni hanya kawan yang asyik menyendeng kat bakal suami dia. Kau rasa?" Soleiman mengeluh.

"Kau dah jaga dia macam adik kandung kau. Dia tak patut cemburukan kita. Aku tau, ni mesti Mak Cik Kasmah yang ajar dia fikir bukan-bukan...," ulas Soleiman.

"Dahlah, tak payah nak buruk sangka. Bukan kita dengar sendiri Mak Cik Kasmah cakap macam tu. Kau dah kenapa nak fitnah-fitnah dia? Buat tambah dosa," tegah Widad.

"Habis, siapa lagi? Kau taulah perangai mak si Hanan tu macam mana...," ungkit Soleiman.

"Tak. Aku tak tahu dan tak nak ambil tau," balas Widad, penat.

Buat apa dia merisaukan sesuatu yang di luar kawalannya. Kalaupun Kasmah menanam niat serong, dia tidak cukup signifikan bagi Widad. Lagipun, andai bukan Kasmah yang cuba masuk campur dalam perhubungan Widad, Soleiman dan Hanan, mereka yang berdosa kerana buruk sangka.

"Kau patut jaga hati Hanan. Nanti lepas aku sambung belajar, dia aje yang ada nak jaga kau, Sol. Kau orang akan bergantung antara satu sama lain. Kata nak kahwin lepas Hanan habis belajar. Dia tu nanti yang akan jaga sakit demam kau." Widad menyedarkan Soleiman.

"Dia jaga aku atau aku jaga dia?" pintas Soleiman. Widad menggeleng, tahu apa yang Soleiman maksudkan.

"Saling jaga, tak boleh? Kau jaga dia. Dia jaga kau. Aku akan rasa lega kalau aku tau dua-dua orang aku sayang okey...."

"Kalau kami tak okey pun, kau tetap nak pergi, kan?" soal Soleiman semula walaupun dia tidak berniat menghalang Widad daripada meneruskan cita-citanya.

Kalau Widad percaya tangan lemahnya mampu menggoncang dunia, biarkan dia mencuba. Andai dia mampu pergi jauh, Alhamdulillah. Andai dia terjatuh, Soleiman akan memimpin dia bangun semula.

"Kalau aku sambung belajar kat overseas, mungkin ambil masa lama nak balik. Masa tu mungkin kau dah ada duit nak kahwin dengan Hanan," balas Widad, memasang angan-angan. Soleiman memandang hujung seliparnya.

"Mungkin...."

"Mungkin apa?"

"Mungkin masa tu kau pun dah ada orang lain dalam hidup kau...," tambah Soleiman. Dia senyum tipis, memandang Widad.

"Maksud kau?" soal Widad.

"Kau pun mungkin dah kahwin dengan orang lain," jelas Soleiman. Widad memuncungkan bibir.

"Mungkin juga. Entah... tengoklah, kalau aku jumpa mamat handsome yang boleh diharap."

"Aku handsome!" usik Soleiman sambil menuding jari ke mukanya sendiri.

"Cuba kau dengar betul-betul. Aku cakap mamat handsome yang 'boleh diharap'lah, Sol," ujar Widad biar jelas. Soleiman tarik muka menyampah.

"Baiklah..."

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.