Home Novel Cinta SEANDAINYA DIA UNTUKKU
SEANDAINYA DIA UNTUKKU
Zahra Darina
1/2/2022 19:23:19
17,263
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2


JENDELA dibiliknya dikuak luas. Pemandangan di luar ditatapnya. Terasa angin malam menyapa wajahnya. Begitu dingin. Matanya tertumpu pada bintang-bintang di langit. Dia tersenyum sendirian tatkala melihat bintang-bintang di langit yang begitu indah. Wajahnya yang ceria tiba-tiba berubah serius tatkala teringat akan seseorang. 

“Hanif Izzudin!” Satu nama terpacul laju daripada bibirnya. Dia teringat kembali perbualannya dengan Shaza petang tadi. Shaza terserempak dengan Hanif Izzudin? Alhamdulillah, Ya Allah! Akhirnya dia muncul semula. Sudah lama tidak mendengar berita mengenainya. 

Amira tersenyum kembali sambil melayani perasaannya dengan memikirkan Hanif Izzudin. Satu-satunya lelaki yang dinanti-nantikannya selama ini akhirnya muncul kembali. 

“Mira!” Tegur Puan Zainab yang baru muncul di muka pintu biliknya. 

“Ya, ibu.” Sahut Amira sambil berpaling ke arah ibunya setelah lamunannya terhenti.

“Buat apa tu?” Soal Puan Zainab sambil melangkah masuk ke dalam bilik tidur Amira.

“Saja ambil angin dan tengok bintang-bintang kat langit. Cantik sangat.” Jawab Amira sambil tersenyum manis ke arah ibunya. Puan Zainab segera melabuhkan punggung di birai katil anaknya itu. Amira melangkah ke arah katil sebelum melabuhkan punggung di situ, bersebelahan ibunya. Dia memandang Puan Zainab. Senyuman masih terukir di bibirnya.

“Kenapa ibu tak tidur lagi?” Soal Amira.

“Ibu tak mengantuk lagi. Lagipun, ada yang ibu nak habaq ni.” Jawab Puan Zainab.

“Pasal apa ibu?” Soal Amira kehairanan.

“Hari Ahad ni ada orang nak mai sini. Kawan ibu dari Kedah. Mira tak pi mana-mana kan lusa ni?” Soal Puan Zainab. 

“Rasanya tak kot. Tapi esok Mira dan Shaza nak pi Penang, nak ambil angin. Ibu nak ikut ka?” Jawab Amira, lantas mengutarakan soalan kepada Puan Zainab. 

“Ibu tak ikut kot, sebab ada kerja sikit. Lusa ni, kawan ibu tak mai seorang ja tau. Dia mai dengan seorang anak lelakinya. Kalau tak silap ibu, anaknya sebaya Mira.” Terang Puan Zainab sambil tersenyum. Sesuatu bermain dibenak fikirannya. Amira hanya memerhati gelagat ibunya yang sedang tersenyum.

“Ada perkara yang ibu nak bagitau Mira ka?” Soalnya kehairanan. 

“Ahad ni, Mira akan tau.” Jawab Puan Zainab sambil tersenyum. 

Berkerut dahi Amira tatkala ibunya berkata begitu. Sebenarnya, perkara apa yang dirahsiakan oleh ibunya? Kena tunggu lusa jugak ka? Dia bermonolog sendirian di dalam hati. 

“Ok la. Ibu keluar dulu la. Mira tidur la. Jangan berjaga sangat. Lagipun Mira baru balik dari KL petang tadi. Mesti penat. Esok pulak nak pi Penang. Nanti kita sembang lain la naa.” Ujar Puan Zainab sambil berdiri sebelum melangkah keluar dari bilik Amira. 

Amira sekadar mengangguk dan memerhatikan saja gelagat ibunya yang kini sedang menutup pintu biliknya. Amira bangun dan melangkah ke arah jendela biliknya lalu menutup  jendela tersebut. Dia berjalan menghampiri katilnya lalu duduk semula di birai katil. Dia termenung sejenak memikirkan tentang perkara yang disampaikan oleh ibunya sebentar tadi. Dia cuba untuk memahami maksud kata-kata ibunya sebentar tadi. Dia dapat rasakan ada sesuatu perkara penting yang disembunyikan oleh ibunya. 



PAGI itu, tepat jam 8.00,  Shaza sudah tercegat di depan pintu rumah Amira. Hatinya tidak sabar untuk memulakan perjalanan ke Penang. Maklumlah, sudah berapa lama aktiviti bersiar-siar di sekitar Penang ditinggalkan semenjak dia dan kawan baiknya, Amira sibuk dengan kerja masing-masing di Kuala Lumpur.

“Assalamualaikum!’’ Shaza memberi salam. 

“Waalaikumussalam!” Amira segera membuka pintu utama rumahnya. 

“Awalnya mai?” Soalnya sebaik sahaja pintu rumahnya dibuka.

“Laa! Bukan dah janji waktu ni ka?” Shaza mengerutkan dahi. Hairan setelah mendengar soalan Amira. 

“Aku gurau je la.” Amira mula ketawa. Seronok tatkala melihat wajah Shaza yang kehairanan. 

“Ni apasal tercegat saja kat pintu ni? Tak nak masuk ka?” Soalnya lagi. Sengaja menyakat Shaza.

“Laa! Dah tak ajak masuk, macam mana nak masuk?” Soal Shaza pula.

“Mengada-ngadanya! Macamlah tak biasa.” Perlinya.

“Ni nak ajak aku masuk ke tak ni?” Shaza menyoal lagi.

“Ok, silakan masuk tuan Puteri Shaza Alya!” Amira memberi isyarat tangan tanda mempelawanya masuk. Ketawanya hampir meletus ketika melihat riak wajah Shaza.

“Ek eleh, nak menyakat aku pulak! Perlinya sambil melangkah masuk ke ruang tamu rumah itu dengan wajah yang masam mencuka sebelum masuk ke dapur setelah terhidu sesuatu yang enak. Amira cuma mengekorinya dari belakang. 

“Mak cik tengah buat apa tu?” Soal Shaza dari belakang sambil tangannya mencuit pinggang Puan Zainab yang sedang khusyuk menyediakan sarapan di dapur. 

“Opocot!” Secara Spontan Puan Zainab melatah gara-gara terkejut. Shaza ketawa kecil tatkala terdengar Puan Zainab melatah.

“Ya Allah, Shaza! Terkejut mak cik. Nasib baik tak kena serangan jantung. Kamu ni kalau tak mengusik mak cik memang tak sah ka?” Puan Zainab mengurut dadanya beberapa kali. 

“Sorry!” Shaza memberi isyarat tangan tanda memohon maaf namun masih tersenyum tatkala melihat gelagat Puan Zainab. Dia kemudiannya meletakkan satu beg plastik sederhana kecil yang berisi kuih muih di atas meja makan. Satu piring sederhana kecil yang tersusun di rak khas diambilnya dan diletakkan di atas meja makan. Satu persatu kuih muih di dalam beg plastik yang dibawanya tadi diambilnya lantas disusun di atas piring itu. 

“Dia ni memang macam tu! Suka menyakat!” Perli Amira. Empat biji pinggan sederhana kecil yang kosong berserta empat biji cawan kosong disusunnya di atas meja makan. 

“Ala, orang yang cakap tu pun dua kali lima!” Shaza memulangkan paku buah keras. 

“Betul! betul!” Puan Zainab menyokong Shaza. Tangannya sedang mencedok nasi lemak dari dalam periuk ke dalam pinggan sederhana besar untuk dijadikan nasi tambahan.

“Haa, tengok! Mak cik pun sokong.” Shaza tersenyum bangga. Amira sekadar mencebik. 

“Sudah-sudahlah tu! Kamu berdua ni tak habis-habis bergaduh. Mengalahkan adik beradik.” Puan Zainab tersenyum sambil menggeleng ketika melihat gelagat mereka.

“Mak cik, Amar mana?” Soal Shaza.

“Ada kat bilik dia, entah apa yang dibuatnya. Tak keluar lagi pun. Makanlah dulu. Tak payahlah tunggu dia. Nanti dia turunlah tu!” Jawab Puan Zainab sambil meletakkan satu biji pinggan sederhana besar berisi nasi lemak dan satu mangkuk sambal tumis udang di atas meja makan. Puan Zainab menarik kerusi berdekatan meja makan lalu melabuhkan punggung di sebelah Amira. Aroma nasi lemak membuatkan Shaza dan Amira tidak sabar hendak menjamah. Sudah lama mereka tidak merasakan nasi lemak air tangan Puan Zainab. Mereka segera melabuhkan punggung di kerusi berdekatan dengan Puan Zainab. 

“Hai, Kak Za! Sapa satu suara. Mereka bertiga memandang ke arah pemilik suara itu.

“Wah! Wah! Wah! Smart nya  hari ni, nak pi mana?” Soal Shaza yang masih memandang Amar yang lengkap berpakaian T-shirt hitam, seluar jeans berwarna hitam dan  jaket denim berwarna biru. Senyuman terukir dibibirnya.

“Saya memang selalu smart dan handsome. Adalah, mana boleh bagitau. Rahsia.” Jawab Amar sambil tersenyum. Kerusi kayu sebelah Shaza ditariknya lalu melabuhkan punggungnya di situ. Nasi lemak di dalam pinggan sederhana besar dicedoknya ke dalam sebiji pinggan sederhana kecil dihadapannya. Sudah tidak sabar untuk menjamu selera. Aroma nasi lemak memang menyengat hidungnya.

“Berahsia pulak! Nak jumpa awek la tu?” Amira mula menyoal adiknya, Amar setelah beberapa minit terdiam. Air teh o panas di dalam teko dituangnya ke dalam setiap cawan yang ada di atas meja. Dia kemudiannya menjamah perlahan nasi lemak air tangan ibunya.

“Eh, mana ada. Nak jumpa kawan lelaki la.” Jawab Amar selamba sebelum menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya. 

 “Tak nak ikut kami pi Penang?” Soal Amira sambil memandang Amar yang sedang lahap menjamu selera. Shaza sekadar memerhati sambil mengunyah perlahan nasi di dalam mulutnya.

“Tak kot!” Jawab Amar selamba sambil memandang Amira sekilas sebelum menyambung menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya. 

“Kenapa laju sangat makan ni?” Soal Puan Zainab. Hairan melihat gelagat Amar yang seperti tidak sabar hendak keluar.

“Abang Khairul tgh tunggu tu. Ada kerja sikit.” Jawab Amar. Air teh o panas di dalam cawan dihirupnya. Shaza yang sedang asyik mengunyah nasi lemak mula tersedak. Amar yang baru selesai menghirup teh o panas memandang Shaza. Begitu juga dengan Amira dan Puan Zainab. Shaza segera mencapai sebiji cawan yang berisi air teh o panas, lantas menghirupnya perlahan.

“Kenapa tiba-tiba tersedak, Kak Za?” Soal Amar. Senyuman terukir dibibirnya. Dia tahu punca Shaza tersedak. Shaza sekadar menyepi tanpa menjawab soalan Amar. Amira memerhati Shaza. Dia tersenyum sendirian. Dia juga tahu punca rakannya itu tersedak.

“Shaza ok ka?” Soal Puan Zainab sambil memandang wajah Shaza yang sudah berona merah.

“Saya ok, mak cik.” Jawab Shaza. Air teh o panas dihirupnya semula. Wajahnya masih kelihatan kemerah-merahan.


AMAR memberhentikan kereta Proton Saga berwarna putih miliknya di hadapan pintu pagar sebuah rumah teres. Dia menoleh ke kiri dan memandang ke arah pintu utama rumah yang tertutup rapat. Seminit kemudian, pintu itu terbuka luas. Kelihatan seorang lelaki bertubuh tinggi muncul di muka pintu. Sebaik sahaja lelaki itu mengunci pintu utama dan pintu pagar rumahnya, pintu kereta milik Amar disebelah pemandu dibukanya lalu memboloskan dirinya ke dalam perut kereta itu. 

“Kenapa ajak abang pi Penang ni? Nak jumpa awek pun nak abang temankan ka?” Soal lelaki itu. Matanya memandang Amar sekilas sebelum memandang ke hadapan. 

“Sabar dulu. Bukan sebab tu la Amar ajak abang Khairul.” Jawab Amar.

“Habis tu?” Soalnya lagi. Wajahnya kelihatan kehairanan.

 “Adalah. Rahsia!” Jawab Amar ringkas. Senyuman mula terukir di bibirnya.

“Kenapa senyum sorang-sorang ni?” Dahinya berkerut tatkala melihat Amar yang tersenyum sendirian.

“Tak ada apa pun.” Jawab Amar selamba. Khairul memandang ke hadapan dengan penuh tanda tanya. Beberapa saat kemudian, kereta Amar mula meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah teres Khairul. 



KERETA Proton Iriz milik Amira meluncur perlahan memasuki perut feri Pulau Pinang. Setelah mematikan enjin keretanya, dia dan Shaza keluar dari perut kereta untuk mengambil angin dan melihat pemandangan pulau. Angin pulau begitu nyaman dan mendamaikan. Masing-masing tersenyum sendirian tika memandang pemandangan pulau yang indah. 

“Assalamualaikum!” Satu suara menyapa. 

“Waalaikumussalam!” Mereka berdua menjawab serentak sambil menoleh ke arah pemilik suara itu. Kedua-duanya tergamam seketika.

“Hai Amira, apa khabar?” Amira hanya diam. Matanya masih memandang Hanif Izzudin yang berdiri di hadapannya. Jantungnya berdegup kencang secara tiba-tiba. Semakin lama semakin laju. 

“Mira!” Shaza menepuk perlahan bahu Amira. Amira segera menoleh ke arah Shaza sekilas sebelum memandang semula lelaki di hadapannya.

“Awak tanya apa tadi?” Soal Amira kepada Hanif Izzudin. Shaza menepuk dahinya tatkala mendengar soalan Amira tadi. Hampir meletus ketawanya. Nasib baik sempat ditahannya. Hanif Izzudin sekadar tersenyum sebaik sahaja mendengar soalan Amira. 

“Awak apa khabar?” Soalnya lagi. Matanya tidak lekang memandang Amira yang berhijab. Ayu sangat! 

“Alhamdulillah, sihat!” Jawab Amira, ringkas. Wajahnya mula berona merah saat dia dan Hanif Izzudin saling bertentangan mata. Shaza sekadar memerhati sambil tersenyum.

“Ehem! Ehem!” Shaza berdehem saat melihat kedua-duanya saling berpandangan selama beberapa saat. Seolah-olah berada di dalam dunia mereka sendiri.

“Astaghfirullahalazim!” Hanif Izzudin beristighfar perlahan saat tersedar dari lamunan. 

Amira pula menjadi tidak keruan. Jantungnya masih berdegup kencang. Dia kemudiannya menunduk memandang lantai feri. 

“Awak nak pi Penang jugak ka?” Soal Shaza sambil memandang Hanif Izzudin.“Ya, Kawan-kawan saya pun ikut sekali.” Jawabnya. Matanya memandang Shaza sebentar sebelum beralih ke arah Amira yang masih menunduk.

“Kawan-kawan awak mana?” Soal Shaza lagi.

“Ada kat sana.” Dia menuding jari ke arah tiga orang lelaki yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Shaza memerhati ketiga-tiga lelaki itu sekilas sebelum memandang Hanif Izzudin semula. 

“Kamu berdua ja?” Soal Hanif pula.

“Ya, kami dua ja.” Jawab Shaza. Dia memandang Amira sebelum menyiku lengan kawan baiknya itu yang sejak tadi diam membisu. Tanya sepatah, jawab sepatah. 

Amira terpinga-pinga setelah tersedar dari lamunan. Dia memandang Shaza dengan penuh tanda tanya. Shaza berusaha untuk menahan ketawanya tatkala melihat wajah Amira yang kelihatan gelabah.

“Amira ok ka?” Soal Hanif Izzudin sambil memandang wajah Amira dengan penuh kehairanan. Dia menyedari sejak tadi, gadis itu sekadar membisu. Entah apa yang difikirkannya. Adakah kerana aku? Soalnya di dalam hati. 

“Saya ok ja!” Jawab Amira ringkas. Namun, apa yang diluahkannya tidak sama dengan apa yang dirasainya dalam hati. Dia memandang ke lantai feri semula.

“Boleh bagi nombor phone kamu berdua? Nanti kalau apa-apa senanglah saya nak call.” Soal Hanif sambil mengeluarkan telefon Samsung dari kocek seluarnya. 

Setelah menyimpan nombor telefon Shaza di dalam senarai contact di telefon pintarnya, matanya segera beralih ke arah Amira yang sedang memandangnya, menunggu giliran Amira pula untuk memberikan nombor telefon kepadanya.  


“Hanif!” Satu suara memanggilnya dari belakang. Dia segera menoleh ke arah suara itu. Kelihatan salah seorang rakannya melambai ke arahnya. Dia berpaling semula ke arah Amira dan Shaza sebelum meminta diri. 

Setelah memberi salam, dia mula melangkah ke arah rakan-rakannya yang sedang ketawa kecil. Amira menarik nafas perlahan sebaik sahaja Hanif Izzudin melangkah jauh darinya. Sekarang dia sudah tidak gelabah lagi.  


MEREKA berempat memasuki perut kereta Perodua Myvi berwarna biru gelap milik Hanif lalu menutup pintu dengan segera. 

            “Siapa dua orang awek tadi tu?” Soal Zali sambil memakai tali pinggang keledar. Zali merupakan salah seorang kawan baik Hanif yang berasal dari Kuala Lumpur yang masih bujang dan bekerja bersamanya di sebuah Syarikat Penerbitan di Kuala Lumpur. Zali dan dua orang rakan sekerjanya yang lain mengikuti Hanif ke Penang kerana ingin merasakan suasana bercuti di Kampung Hanif di Penang. 

“Kawan masa sekolah dulu.” Jawab Hanif ringkas.

“Awat Zali? Berkenan ke kat salah seorang awek tadi tu?” Sampuk seorang rakan dari belakang. Zali berpaling ke kerusi penumpang di belakang, memandang rakannya yang bersuara tadi.

“Taklah, saja tanya!” Balas Zali. Dia memandang ke hadapan semula.

“Ala, kalau berkenan bagitau je kat Hanif tu. Suruh dia kenalkan.” Sampuk lelaki itu lagi sebelum ketawa. Hanif Izzudin sekadar menggeleng. Malas hendak menyampuk perbualan rakan-rakannya itu walaupun namanya juga terlibat. 

Zali mula mendiamkan diri. Tidak mahu melayan karenah Zarif yang seakan-akan kepoh. Sampai esok pun tak habis kalau layan sangat si penyibuk tu. Monolognya dalam hati. 


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zahra Darina