Home Novel Cinta SEANDAINYA DIA UNTUKKU
SEANDAINYA DIA UNTUKKU
Zahra Darina
1/2/2022 19:23:19
13,897
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

SETELAH menghidang makanan dan minuman untuk tetamu yang berkunjung ke rumahnya, Amira segera mengatur langkah ke dapur. Adiknya, Amar yang sedang duduk di meja makan memberi isyarat supaya kakaknya duduk di sebelahnya. Tanpa berlengah, Amira segera melabuhkan punggung di kerusi sebelah adiknya.

            “Kenapa?” Amira menyoal Amar dengan nada suara yang agak perlahan. Dahinya berkerut setelah melihat gelagat Amar yang agak aneh.

“Amar rasa kawan ibu yang datang dengan anak lelakinya ni sengaja nak tengok kak. Nak jodohkan kak dengan anaknya kot.” Bisik Amar perlahan.

            “Biar betul Amar?” Soal Amira. Dahinya berkerut lagi.

            “Betul lah kak. Takkan Amar tipu pula. Sebab Amar ada terdengar ibu bercakap dengan kawannya melalui telefon. Rasanya ibu rancang nak jodohkan kak dengan anak kawannya.” Ujar Amar. Masih dalam nada berbisik.

            “Takkan kot?” Amira masih tidak percaya akan apa yang didengarinya. Wajahnya berubah serius.

            “Betul lah kak. Nanti kita tengok apa ibu nak cakap.” Amar mencapai cawan yang ada di atas meja lalu menghirup air kopi panas kegemarannya.

            “Berbisik apa tu?” Soal Puan Zainab di muka pintu dapur.

Amar yang sedang menghirup kopi tersedak apabila terdengar suara ibunya. Dia terbatuk-batuk kecil. Amira pula segera menoleh memandang ibunya. Dia terfikir akan kata-kata Amar sebentar tadi.

            “Mira, jom pi kat depan. Kawan ibu nak kenal dengan Mira.” Pelawa Puan Zainab.

            Amira mula rasa tidak selesa dengan pelawaan ibunya untuk berbual dengan kawan ibunya itu. Agaknya benar apa yang Amar maklumkan tadi. Amira bingkas bangun setelah ibunya mula melangkah ke ruang tamu. Dia mengekori ibunya ke ruang tamu. Amar sekadar berpaling ke arah kakaknya yang sedang berjalan ke ruang tamu. 

                                                              

 

AMIRA sekadar membisu sambil mendengar ibunya sibuk berbual dengan kawannya. Sesekali Amira melihat ke arah anak lelaki kawan ibunya. Ternyata lelaki itu sedang memandangnya. Amira lantas melarikan pandangannya ke arah kawan ibunya.

            “Mira, bawa Azim ni keluar jalan-jalan tengok pemandangan di kampung kita ni!”         

            “Apa ibu?” Amira terkejut setelah mendengar arahan ibunya.

            “Ibu cakap bawa Azim ni jalan-jalan tengok pemandangan kat kampung kita.” Puan Zainab sekadar tersenyum melihat gelagat Amira yang kelihatan terpinga-pinga setelah  mendengar permintaannya tadi.

            “Ok, ibu.” Tanpa berlengah, Amira segera bangun lalu melangkah keluar. Azim segera mengekori Amira keluar.

            “Ibu, Amar ikut sekali la.” Amar yang baru keluar dari dapur terus melangkah mengekori kakaknya dan Azim. Puan Zainab sekadar menggeleng melihat gelagat Amar.

            “Itu anak bongsu saya, Amar.”  Puan Zainab memperkenalkan Amar kepada kawannya, Puan Salmah.

            “Untung kau Zainab. Anak perempuan cantik. Anak lelaki pun segak.” Puji Puan Salmah. Dia betul-betul teruja melihat kecantikan anak Perempuan Puan Zainab. Memang tepat pilihannya untuk jodohkan dengan Azim.

            “Anak kau Azim pun apa kurangnya. Segak juga.” Giliran Puan Zainab pula memuji anak Puan Salmah sambil tersenyum.

           

 

KERETA Proton Saga Amar memasuki petak parkir di sebuah kedai makan berdekatan dengan kampungnya. Amira yang duduk di kerusi belakang membuka pintu kereta lantas keluar. Azim pula yang duduk di sebelah Amar mula membuka pintu kereta. Amar hanya memerhati gelagat Azim yang sedang keluar dari perut keretanya.

            Sejujurnya dia tidak menyenangi setelah pertama kali melihat Azim tadi. Seolah-olah ada sesuatu yang aneh dengan Azim. Disebabkan itu, dia mahu mengikuti kakaknya keluar bersama Azim. Dia takkan biarkan Azim bersendirian dengan kakaknya. Dia lebih suka lagi Abang Hanif dijodohkan dengan kakaknya.

            Pertama kali melihat Abang Hanif di Padang Kota semalam, dia dapat rasakan lelaki itu adalah lelaki yang baik dan tepat untuk kakaknya. Patutlah kakaknya amat meminati lelaki itu sejak sekolah lagi. Mulanya dia tidak mengetahui soal ini. Dia mengetahui kebenaran ini setelah Shaza memaklumkan kepadanya tanpa pengetahuan kakaknya.

 

           

MATA Azim tidak lekang memandang Amira yang sedang menyedut minumannya, Milo Ais. Dia mula mengukir senyuman. Amar memerhati gelagat Azim yang sedang fokus memandang kakaknya. Dia segera bersuara.

            “Amboi, sampai nak terkeluar biji mata kau tengok kakak aku!” Perli Amar.

            Azim yang sedang fokus kepada Amiramula terpinga-pinga sebelum tersenyum melihat Amar.

            “Sorry, kakak kau ni cantik sangat.”  Puji Azim. Dia beralih semula ke arah Amira.

            “Takkan sebelum ni tak pernah tengok perempuan cantik?” Soal Amar. Dia mula geram dengan Azim. Dengan sikapnya begitu memang tidak layak menjadi bakal abang iparnya.

            Amira hanya diam membisu. Biarlah Amar yang menguruskan Azim. Dia hanya mahu menenangkan fikirannya sahaja. Dia menyedut semula  Milo Ais kegemarannya. Tekaknya terasa segar.

 

 

DIA bingkas bangun dan berjalan ke muka pintu rumahnya. Kemudian dia berpatah semula ke sofa di ruang tamu rumahnya lalu melabuhkan punggung di situ. Dia mengamati telefon bimbitnya. Dia bangun semula ke muka pintu.

            “Kau ni kenapa, Hanif? Dari tadi aku tengok kau sat duduk sat bangun. Lepas tu tengok telefon bimbit pula. Tengah angau ke?” Soal Zali. Dia mula ketawa kecil.

            “Kau merepek apa ni?”  Hanif berpura-pura tenang lalu melangkah ke sofa semula dan melabuhkan punggung di situ.      

            “Kau tak payah berdalih lagilah. Aku tau ni mesti kau teringat kat perempuan yang kita jumpa kat feri dan kedai makan di Padang Kota semalam kan?”  Teka Zali. Dia menyambung ketawanya semula.

            “Jangan merepeklah!” Hanif segera bangun dan melangkah ke biliknya meninggalkan Zali sendirian di ruang tamu. Zali masih ketawa.

            Dua orang kawan Hanif, iaitu Zarif dan Amirul yang baru balik dari kedai muncul di muka pintu. Mereka berdua hairan apabila melihat Zali ketawa sendirian. Zali yang menyedari kehadiran mereka terus bersuara.

            “Wei, kawan kita Hanif tengah angau.” Ujar Zali sambil tersenyum.

            “Angau? Kat Siapa?” Soal Zarif dan Amirul serentak. Mereka berdua melabuhkan punggung di sofa berdekatan dengan Zali setelah meletakkan bungkusan makanan yang dibeli dari kedai makan tadi di atas meja kecil berdekatan sofa itu.  Pagi itu mereka lewat membeli sarapan. Perut tengah berbunyi meminta diisi. Namun setelah mendengar kata-kata Zali tadi, mereka teruja untuk mendengarnya dahulu.

            “Ingat tak dua orang perempuan yang sama Hanif jumpa kat feri dan kedai makan di Padang Kota semalam?”  Soal Zali.

           “Ya ingat. Maksud kau kemungkinan salah seorang perempuan tu yang buatnya jadi angau?” Teka Zarif.

          “Ya,  nampak gayanya macam tu lah. Hebat juga perempuan tu sampai Hanif jadi angau macam tu sekali. Sebelum ni tak pernah lagi tengok Hanif angau teruk macam tu. Aku tengok dia tadi...sat bangun, sat duduk sambil intai telefon bimbitnya. Anak bos kita yang rapat dengan Hanif pun tak berjaya buat Hanif angau macam ni.” Terang Zali.

“Anak bos yang syok sendiri. Hanif layan sebagai rakan sekerja saja. Lagipun bos kita kan minta Hanif beri tunjuk ajar pada anaknya yang baru bekerja di syarikat itu. Hanif kan dah arif dengan kerja-kerja di syarikat itu.” Terang Amirul pula.

            “Betul tu. Anak bos kita, Cik Liana memang nampak macam syok sendiri ja. Selalu ajak Hanif lunch dengannya. Hanif pun macam letih nak layan sikap Cik Liana tu. Bila dia tolak pelawaan untuk lunch sekali, Cik Liana merajuk pula. Sikapnya macam budak-budak lah. Kalau aku kat tempat Hanif pun menyampah.”  Zarif juga mencelah.

            “Ok, tutup bab ni dulu. Jom makan! Aku dah lapar teruk ni.” Ajak Zali. Perutnya sudah terasa pedih akibat lewat sarapan. Dia segera mengambil bungkusan makanan yang terletak di atas meja kecil di ruang tamu itu dan bangun. Kakinya mula melangkah ke dapur.

            “Ok jap aku panggil Hanif.”  Ujar Amirul lantas bangun setelah melihat Zarif bangun mengekori Zali dari belakang. Kakinya mula melangkah ke bilik Hanif yang berada di tidak jauh dari ruangan masuk ke dapur.

 

 

SEJAK tadi dia merenung telefon bimbitnya sambil berbaring di atas katil. Wajahnya kelihatan gelisah.

            “Nak call ke tak?” Dia menyoal dirinya sendiri. Dia kelihatan buntusejak tadi. Aduh, kenapa dengan kau ni Hanif Izzudin. Monolognya di dalam hati.

            “Nak call siapa tu?” Soal Amirul yang sudah berdiri di muka pintu bilik Hanif sambil tersenyum. Hanif segera menoleh ke arahnya.

            “Tak ada apa lah.”  Hanif cuba menyembunyikan rasa gelisahnya.

            “Jom makan! Kami semua dah lapar ni.”  Pelawa Amirul sebelum melangkah ke dapur.

 

 

TIGA rakannya berhenti serentak dari menjamu selera Nasi Lemak yang dibeli tadi, setelah melihat Hanif hanya merenung makanannya tanpa berkelip.

            “Wei, Hanif! Kau ni angau tak habis lagi ke?” Tegur Zarif. Hanif yang sedang mengelamun terkejut setelah mendengar suara Zarif menegurnya.

            “Angau? Siapa kata aku angau?” Soal Hanif sambil memandang Zarif yang duduk di hadapannya.

            “Dah kau termenung macam ni di hadapan makanan. Apa lagi kalau bukan angau?” Zali mula bersuara.

            “Sudahlah Hanif. Dari kau termenung macam ni, lebih baik kau call je perempuan yang kau jumpa hari tu. Kalau tangguh, nanti jadi teruk lagi angau kau.”  Cadang Amirul. Dia mula ketawa. Zali dan Zarif juga ketawa.

            “Jap. Kau nak aku call siapa? Perempuan mana?”  Hanif menyoal Amirul dan berpura-pura hairan.

            “Ya Allah! Dia buat tak tau pula. Kau tanyalah hati kau tu nak call siapa. Tanya kami mana lah kami tau.” Jawab Amirul. Pandai pula kawannya ni berpura-pura. Dah angau tu, mengaku sajalah.

           “Sudahlah Hanif. Nanti pula lah sambung angau kau. Makan dulu! Sekejap lagi kau nak pi ambil ibu bapa kau pula kat rumah ibu saudara kau di Jelutong. Jangan kau angau pula masa bawa kereta. Bahaya!”  Zali cuba untuk menahan ketawanya.

         “Kau orang ni merepeklah!” Hanif mula menyuap nasi lemak yang sudah sejuk. Wajahnya kelihatan merah akibat disakat oleh tiga kawannya. Tak guna punya kawan. Dia mendengus sebelum menyuap semula nasi lemak berlauk ayam goreng berempah yang sudah sejuk itu. Rakan-rakannya pula sudah selesai menjamu selera. Mereka hanya memerhati Hanif sambil tersenyum.

 

 

AMIRA mula berasa selesa setelah tetamu ibunya pulang. Dia mula melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu. Penat dia melayan karenah Azim yang semakin merimaskannya tadi. Kalau benar ibunya mahu menjodohkan dengan Azim, anak kawan baik ibunya itu, dia nekad akan segera menolak cadangan ibunya. Itu haknya.

            “Macam mana berbual dengan Azim tadi? Ok ka?”  Puan Zainab mula menyoal Amira setelah melabuhkan punggung di sofa. Dia memandang Amira dengan senyuman. Teruja untuk mengetahui pendapat Amira tentang Azim. Kalau mereka serasi, dia bercadang nak segerakan pertunangan Amira dan Azim.

            “Kenapa ibu macam berminat ja denganAzim tu?  Ibu ada apa-apa rancangan ke?”Soalan dibalas soalan.

            “Ok, sebenarnya macam ni. Ibu dan kawan ibu dah rancang untuk jodohkan Amira dengan Azim. Sebab itulah, ibu nak Amira berbual dengannya tadi. Kenal hati budinya. Kalau Amira rasa dia ok, jadi ibu nak segerakan pertunangan Amira dan Azim.” Terang Puan Zainab.

            “Jadi betullah Amar cakap. Ibu memang rancang nak jodohkan Mira dengan Azim.”  Wajah Amira mula berubah serius.

            “Amira dan Amar dah tau ka tadi?” Puan Zainab menyoal Amira dengan riak wajah yang agak terkejut.

            “Amar cakap dia ada terdengar perbualan ibu dengan kawan ibu pasal hal ni.” Terang Amira. Puan Zainab sekadar mengangguk.

            “Jadi macam mana? Kalau Amira setuju, kita boleh bincang dengan lebih lanjut lagi pasal majlis pertunangan.” Soal Puan Zainab. Dia semakin teruja menunggu jawapan dari anaknya.

            “Sorry,ibu. Mira bagitau dengan jujur. Mira tak nak bertunang dengan Azim tu. Mira rasa ada sesuatu yang tak kena dengan Azim tu. Lagipun dengan siapa Mira nak bertunang nanti, biarlah Mira yang pilih. Harap ibu faham.”  Terang Amira dengan nada serius.

            “Ada apa yang tak kena dengan Azim tu? Ka Mira dah ada pilihan sendiri sekarang ni?” Soal Puan Zainab dengan riak wajah yang serius. Hampa hatinya apabila terdengar jawapan dari Amira.

            “Kalau ada nanti, Mira kenalkan kat ibu.”  Amira bingkas bangun.

            “Mira nak ke mana ni?” Soal Puan Zainab. Dia mula gelisah selepas mendengar jawapan anaknya. Dia amat risau. Bagaimana nak terangkan kepada kawannya nanti. Monolognya dalam hati.

            “Nak ke dapur jap.” Amira mula melangkah ke muka pintu dapur.

            “Amar mana?” Puan Zainab hairan apabila tidak nampak kelibat Amar. Rasanya tadi dia keluar bersama kakaknya. Sekarang pergi mana pula dia?

            “Selepas hantar Amira dengan Azim tadi, Amar cakap dia nak keluar jap. Tak tau ke mana. Dia tak bagitau.” Ujar Amira setelah berpaling ke arah ibunya. Setelah itu, dia mula melangkah masuk ke dapur. Puan Zainab hanya memerhati Amira. Dia amat kecewa setelah menerima jawapan dari anaknya. Namun, dia belum berputus asa. Dia ingin meminta bantuan Amar setelah Amar pulang nanti. Amar pasti boleh memujuk kakak kesayangannya.

 

 

AMAR membelok ke kiri memasuki lorong sebuah kampung yang terletak tidak terlalu jauh dari kampungnya. Dia memberhentikan kereta Proton Saganya di halaman sebuah rumah. Kelihatan seorang lelaki yang sudah berusia dalam lingkungan 50-an keluar dari rumah itu. Beberapa saat kemudian, seorang gadis yang berusia sekitar 20-an keluar dengan riak wajah gelisah mengejar lelaki yang sudah berusia itu. Amar segera keluar dari perut keretanya lantas menegur lelaki tersebut.

            “Pak Cik nak ke mana? Lama saya tak nampak pak cik.”  Soal Amar ketika berdiri di hadapan lelaki itu.

            “Kau jangan sibuk nak tau aku nak pi mana.” Tengking lelaki itu.

            “Ayah, pulangkan balik duit tu. Duit tu saja yang Hana ada untuk membeli barang keperluan rumah ni.” Rayu gadis yang bernama Farhana setelah berdiri di belakang lelaki berusia itu. Air mata gadis tersebut mengalir perlahan.

            “Farhana, kenapa ni?” Amar memandang gadis yang bernama Farhana dengan penuh tanda tanya.

            Tanpa menunggu lama, lelaki berusia itu segera berjalan laju meninggalkan mereka.

            “Ayah!!!” Farhana segera melangkah hendak mengejar bapa tirinya Azhar, namun dihalang oleh Amar.

            “Kenapa ni?” Soal Amar ingin tahu.

            “Ayah ambil semua duit Hana untuk berjudi. Duit tu saja yang ada untuk beli barang keperluan rumah. Kak Shaza yang bagi duit tu. Ayah jarang balik ke rumah. Bila dia balik, mesti dia minta duit untuk berjudi. Kak Shaza tak tau pasal sikap ayah. Bila Kak Shaza tanya pasal ayah sebelum ni, Hana bagitau yang ayah ada kerja kat luar dan jarang balik.  Nanti Kak Shaza tanya pasal duit tu, Hana nak jawab apa?” Terang Farhana. Air matanya masih mengalir perlahan. Dia dah penat berhadapan dengan ayah tirinya yang selalu meminta duit untuk berjudi.

            “Kak Shaza pi mana? Kenapa sebelum ni Hana tak pernah bagitau pasal ayah Hana kat Abang? Kenapa pendam ja?” Soal Amar. Risau di wajahnya semakin ketara.

            “Kak Shaza keluar pi kedai jap. Hana tak bagitau kat Abang Amar sebelum ni pasal ayah sebab tak nak susahkan Abang.” Terang Farhana.

            “Tak susahkan pun. Abang dah bagitau dulu, kalau ada masalah boleh bagitau kat abang. Kenapa tak bagitau?” Ujar Amar. Dia hampa terhadap Farhana kerana tidak maklumkan kepadanya tentang masalah yang dihadapi.

            “Tak apalah Abang Amar. Hana tak nak susahkan abang. Hana risau nanti ayah akan pukul abang kalau abang masuk campur urusan dia. Ayah seorang yang panas baran.” Terang Farhana lagi.

            “Ayah Hana pernah pukul Hana ke sebelum ni?” Soal Amar. Sekiranya Hana pernah dipukul, dia akan ambil tindakan terhadap bapa tiri Hana. Ini masalah besar. Tidak boleh diendahkan begitu sahaja.

            Hana sekadar mendiamkan diri. Dia telah berhadapan dengan masalah yang lebih besar berbanding dipukul oleh bapa tirinya. Maruah dirinya sudah tercalar. Dia hanya mampu menyembunyikan sebuah rahsia besar yang telah merosakkan dirinya. Dia malu untuk menceritakan kepada Amar dan kakaknya, Shaza.

            “Kenapa tak jawab soalan abang?” Amar hairan melihat Farhana yang sekadar membisu.

            “Ayah tak pukul Hana pun.” Farhana terpaksa menipu Amar kerana tidak ingin rahsia gelapnya terbongkar.

            “Betul ka dia tak pernah pukul?” Amar masih ragu-ragu terhadap jawapan Farhana.

            “Sebaiknya Abang Amar baliklah. Apa pula kata jiran nanti bila mereka tengok abang kat rumah Hana. Nanti jiran salah faham.” Pinta Farhana.

            Amar segera membuka pintu keretanya lalu mengambil satu plastik yang berisi makanan.

          “Ni ada dua bungkus nasi lemak untuk Hana dan Kak Shaza.” Amar menyerahkan plastik tersebut kepada Farhana.

          “Terima kasih Abang Amar prihatin kat Hana selama ni. Sorry kalau Hana tak mampu membalas budi Abang Amar.”  Nada suara Farhana kedengaran sayu.

          “Abang ikhlas tolong Hana. Ok lah. Abang balik dulu. Kirim salam kat Kak Shaza. Assalamualaikum...”  Amar segera membuka pintu kereta Proton Saganya.

          “Waalaikumussalam.”  Farhana hanya memerhati Amar masuk ke dalam perut kereta. Beberapa saat kemudian, Kereta Amar bergerak keluar dari pekarangan rumah Farhana.

           

 

 

 

 

 

 

 

           

                       

 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zahra Darina