Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
81,683
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

3


Surprise!” Jeritan Tengku Auni Ufairah memenuhi ruang tamu banglo dua tingkat itu. Tengku Faiq mengurut dadanya. Nafasnya kembali diatur perlahan akibat terkejut yang amat. Tidak sangka dirinya akan menerima kejutan sedemikian oleh anak dan juga... isterinya, Adif.

“Ni apasal tak tidur lagi ni? Esok Auni sekolah, kan? Jangan nak merungut pulak kena bangun pagi esok ya?” Tengku Faiq bersuara tegas.

Sengaja dia berlagak garang untuk menutup malu akibat terkejut tadi. Diperhatikan isterinya yang hanya menunduk memandang lantai. Anaknya yang berceloteh di hadapannya seolah-olah tidak wujud. Pandangannya yang tajam itu terhala tepat ke arah isterinya. Kini, pandangan mereka bersatu, tetapi penuh dengan misteri yang sukar ditebak. Hati Tengku Faiq terbakar kembali melihat senyuman sinis yang terukir di bibir isterinya.

“Babah!” Jeritan Tengku Auni Ufairah mematikan perbuatannya.

“What?!Sudah! Pergi masuk tidur sekarang Auni!” Tegas suara Tengku Faiq.

Air mata Tengku Auni Ufairah bergenang melihat ba­­bahnya berlalu meninggalkan dirinya yang sedang memegang dulang berisi kek keju kegemaran babahnya. Buat pertama kali, babahnya meninggikan suara.

Setitis demi setitis air mata Tengku Auni Ufairah gugur membasahi pipi comel itu. Namun, pantas diseka oleh Adif, wanita yang telah hadir dan memberikan kasih sayang seorang ibu yang didambakannya selama ini.

“Syhhh... jangan nangis, sayang. Mungkin babah letih dan ada masalah. Salah kita jugak sebab buat babah terkejut. Auni sayang mama, kan? Dengar cakap mama ya?” pujuk Adif lembut.

“Tapi... babah tak pernah marah Auni sebelum ni, ma...” adu si kecil itu.

“Mama tahu, sayang. Mesti babah tak sengaja. Nanti mama cakap dengan babah. Tapi, sayang mama tak naklah sedih-sedih macam ni. Auni, anak mama tak boleh cengeng tau!”

Nasihat Adif masuk dalam minda si kecil itu. Senyuman kembali terukir di bibir mungil anak itu. Lantas, dia memeluk Adif seeratnya.

“Mama... Teman Auni tidur ya?” Permintaan si kecil itu dibalas dengan anggukan dan senyuman. Lalu perlahan-lahan tangan si kecil itu dipimpin menuju ke dapur untuk menyimpan kek keju yang dibuat khas untuk Tengku Faiq sebelum mereka bersama-sama melangkah menuju ke kamar.

“Kalau ya pun marahkan saya, tak payah la awak nak lepaskan pada Auni. Dia tak salah pun. Kesian dia awak tengking macam tu! Marahkan seekor nyamuk habis kelambu dibakar. Bukan kelambu aje... rumah sekali rentung,” ujar Adif sinis. Tanpa salam, Adif melabuhkan punggungnya di hadapan Tengku Faiq yang sedang leka membelek pelan di hadapannya.

Terdongak Tengku Faiq mendengar kata-kata sinis isterinya yang selamba duduk di hadapan meja kerjanya. Wajah isterinya langsung tidak gentar, malah berani merenung tajam dirinya.

“Tak reti nak bagi salam dulu?” balas Tengku Faiq, juga dalam nada sinis.

“Perlu ke untuk orang ego macam awak ni?”

“Kurang ajar!” tengking Tengku Faiq. Pantas dia berdiri sambil matanya merenung tajam ke Adif yang masih berani melawan pandangan matanya.

“Jadi, tolonglah ajarkan.” Adif tidak gentar. Dia masih beriak selamba.

“Kau ni apa hal nak cari gaduh dengan aku?!” marah Tengku Faiq.

Adif mencebik. Akalnya mula merencanakan sesuatu. “Alah, kanda ni... Lupalah tu... kan hobi dinda sekarang sakitkan hati kanda... Nak bergurau senda pulak kanda ni...” Adif pura-pura ketawa. Sengaja dibakar hati suaminya dengan lunak suara yang manja dan ketawa yang dibuat-buat.

“Gila.”

Tengku Faiq segera menggulung kembali pelan yang baru hendak diteliti. Kertas-kertas kerja turut dikemaskan sebelum berlalu meninggalkan isterinya dengan perasaan yang mendongkol. Tiada mood untuk melayan kerenah isterinya.

“Jangan lupa pujuk Auni dulu sebelum pegi kerja esok. Jangan salahkan saya pulak kalau awak ‘hilang’ perhatian anak awak tu. Lepas tu mulalah nak tuduh saya ‘pisau cukur’ pulak.”

Pesanan Adif membuatkan langkah Tengku Faiq terhenti dan berpaling. Tajam anak matanya merenung wajah Adif tiada riak gentar. Malah, senyuman sinis masih terukir di bibir isterinya.

“Tak payah nak mengajar aku cara nak mendidik anak. Kau pun belum cukup bagus, nak cakap pasal mendidik anak pulak,” balas Tengku Faiq.

“Oh... jadi awak dah cukup baguslah. Ajarlah saya pulak cara nak didik anak. Macamcara awak yang bagus sangat tu. Tengking-tengking anak. Lepas tu mengamuk. Macam tu ke? Bravo!” Kata-kata Adif walaupun dalam nada mendatar, tetapi seolah-olah menyimbah minyak ke arah api yang sedang marak.

Pelan dan kertas kerja dilemparkan ke lantai. Tengku Faiq mara melangkah ke arah Adif yang telah berdiri tegak sebaik sahaja melihat ‘belang’ Tengku Faiq telah keluar. Dia bersedia untuk diterkam pada bila-bila masa sahaja.

Panggg! Terduduk Adif menerima tamparan kuat daripada Tengku Faiq.

“Itu aje cara nak ajar orang yang kurang ajar macam kau,” ujar Tengku Faiq sebelum berlalu meninggalkan isterinya yang nyata tergamam!

“Sabar, Adif...” ujar Adif perlahan sambil mengesat darah yang terbit dari hujung bibirnya.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.