Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
81,726
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

2


Pergh! Kau ni tengah bad mood ke? Letih aku nak sambut smash kau ni, Faiq! Agak-agaklah... kita bukannya nak masuk tournament!” jerit Mus dalam suara yang tercungap-cungap. Tak cukup nafas dibuatnya bila berlawan tenis dengan Tengku Faiq, sahabatnya yang telah dikenali sejak mereka sama-sama menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Architecture.

“Baru tiga puluh minit dah semput?” balas Tengku Faiq.

“Hei, aku bukan Farel yang champion dalam tenis ni. Kau salah orang!” Mus tidak puas hati.

“Farel sibuk dengan urusan majlis kahwin dialah. Kalau tak, dia pun aku kacau. Dahlah... break. Nanti semput pulak kawan aku ni.” Tengku Faiq menuju ke arah bangku di tepi gelanggang tenis. Tuala kecil yang terselit di tepi beg sandangnya di atas bangku itu dicapai lalu dikesat mukanya yang basah dengan peluh. Botol air mineral dicapai pula dan diteguk rakus. Pandangannya diarahkan pula pada Mus yang tajam memerhatikan dirinya. Faham benar dengan reaksi sahabatnya, Tengku Faiq mengangkat dua belah tangannya tanda menyerah kalah.

“So, what’s up?Apa yang kau moody sangat ni?” soal Mus tanpa berlapik.

“Adif...” jawab Tengku Faiq ringkas.

“Adif lagi... apa pula kes dengan bini kau kali ni?”

“Aku nampak dia dengan lelaki lain kat KLCC dua hari lepas. Aku syak lelaki tu ada hubungan dengan dia. Mesra betul siap peluk cium lagi. Lelaki tu pun nampak muda. Macam anak ikan dia aje,” luah Tengku Faiq. Hatinya membara apabila mengenangkan apa yang dilihatnya.

“Mungkin tu saudara dia yang kau tak kenal? Kau dah tanya Adif ke pasal ni?” Mus cuba meredakan keadaan. Padanya, biarlah disiasat sedalam-dalamnya terlebih dahulu sebelum menghukum.

Tengku Faiq mendengus kasar. “Dia memang ada agenda tersembunyi nak kawin dengan aku, Mus.”

“Mana kau tahu dia ada agenda? Entah-entah dia memang ikhlas terima cadangan abah kau tu. Tak baik tuduh isteri kau macam tu, Faiq. Walaupun kau tak cintakan dia, tak ada perasaan sayang pada dia, tapi kau tak boleh treat dia macam ni. Dia layan anak kau elok, jaga makan pakai kau, jaga rumah tangga kau, kau nak apa lagi? Kau kena belajar terima hakikat yang Sara dah tak ada, Faiq. Sekarang ni, Hadif Aufiah tu isteri kau. Belajarlah terima kenyataan dan amanah baru dalam hidup kau, Faiq.” Panjang lebar bicara Mus membuatkan Tengku Faiq terdiam.

“Faiq, Sara is your past. Move on, Faiq. Keluarga kau dah lengkap dengan kehadiran Adif sebagai isteri kau sekarang,” sambung Mus lagi.

“Tapi, Mus... dia tak mampu gantikan tempat Sara di hati aku. Dia tak mampu, Mus. Hari-hari bila aku pandang muka dia, aku rasa benci. Aku benci sebab aku dah menduakan cinta Sara. Lagi-lagi pulak dengan sikap pelik dia tu. Aku tak boleh terima, Mus! Dia dengan Sara macam langit dengan bumi!”

“Inilah masalah kau, Faiq. Kau tutup pintu hati kau dari melihat kebaikan orang lain. Sara dah tak ada! Sekarang kau ada Adif! Jangan sia-siakan anugerah dan amanah yang diberikan pada kau, Faiq. Kalau Adif itu tak sesempurna Sara di mata kau sekali pun, itu tugas kau untuk mencorakkan hala tuju rumah tangga kau. Bincanglah elok-elok dan bukannya nak tunding jari dan salahkan Adif semata-mata,” ujar Mus sambil menepuk-nepuk bahu Tengku Faiq seolah-olah memberikan semangat kepada sahabatnya.

Tengku Faiq hanya mendiamkan diri. Kepalanya didongakkan, merenung langit membiru dan awan memutih yang berkepul-kepul. Di situ, dia seolah-olah ternampak wajah arwah isterinya, Maisara yang telah kembali ke rahmatullah ketika bertarung nyawa melahirkan zuriatnya. Namun perlahan-lahan wajah itu menghilang dan diganti dengan wajah isterinya kini, Hadif Aufiah. Wanita itu merupakan pilihan abah untuk menjadi pengganti Maisara sekali gus menjadi mama kepada puteri tunggalnya.

Akur dengan permintaan abahnya, Tengku Faiq menamatkan zaman dudanya dengan wanita yang dianggap misteri. Berkali-kali telinganya disumbatkan dengan puji-pujian yang melambung mengenai kebaikan dan sifat keibuan Hadif Aufiah oleh abahnya, tetapi hati kecilnya menolak semua kenyataan itu kerana telah dikunci dengan cinta Maisara!

“Aduh!” jerit Tengku Faiq apabila terasa sengal di bahunya akibat diketuk dengan raket tenis.

“Padan muka. Aku dok membebel kat sini, dia boleh sedap-sedap berangan. Amboi, teringatkan Adif ke? Bagus! Masuk jugak ceramah free aku dalam kepala kau tu,” ujar Mus dalam tawa yang masih bersisa. Sengaja dia membakar hati sahabatnya.

“Tolonglah... buang masa aku je ingatkan dia,” balas Tengku Faiq angkuh.

“Weh, kau jangan cakap besar Faiq. Entah-entah lepas ni kau yang sasau kena penangan cinta Adif!”

“In your dream, Mus! Dahlah, jom balik. Layan kau ni tambah serabut kepala aku. Ajak main tenis kejap pun dah semput.” Tengku Faiq bingkas bangun dan mengemaskan beg sukannya.

“Nak balik sebab tak sabar nak jumpa bini ke?”

Kata-kata Mus tidak diendahkan oleh Tengku Faiq. Dia hanya mencebik mendengar kata-kata sahabatnya.

‘Faiq... Faiq... keras betul hati kau,’ bisik hati Mus.

Sahabatnya masih belum menerima hakikat yang kini dia telah kembali bergelar suami walaupun baru empat bulan berkahwin dengan Hadif Aufiah. Di hujung minggu, Tengku Faiq kerap mengajak dirinya dan Farel keluar dan adakalanya mereka berkelah bersama-sama Tengku Auni Ufairah, satu-satunya puteri tunggal Tengku Faiq.

Kehadiran Hadif Aufiah seolah-olah ditidakkan. Malah, sahabatnya sanggup pulang lewat dan bertapa di pejabat mereka. Banyak kerja yang sepatutnya dilakukan oleh staf bawahan mereka, tetapi diambil alih oleh Tengku Faiq sedangkan dia merupakan peneraju utama di syarikat itu. Tengku Faiq benar-benar cuba menidakkan kehadiran Hadif Aufiah dalam hidupnya!

“Hah! Yang kau ni berangan apa pulak?” Herdikan kecil Tengku Faiq membuatkan Mus tersenyum.

Mus menekan alarm kereta Nisan Murano berwarna hitam miliknya. Raket tenis dan beg sandangnya disumbatkan ke dalam bootkereta lalu ditutup rapat. Manakala Tengku Faiq pula hanya bersandar sambil memeluk tubuh di sisi BMW 7 Seriesnya yang juga berwarna hitam. Warna kegemaran mereka. Raket tenis dan beg sandang yang dikendong tadi hanya diletakkan di atas boot kereta.

“Agak-agak kaulah, Adif dah ada boyfriend ke sebelum ni?” soal Mus.

“Apasal kau tanya macam tu?”

Mus tersengih bila Tengku Faiq tajam merenungnya.“Tak adalah. Sebelum ni, kau kutuk dia bagai nak rak. Playgirl, kaki kikislah, tapi aku tengok Adif tu macam jenis homey je. Bukannya jenis kaki rambu ke, kaki lepak ke macam yang kau selalu momokkan dekat aku tu.”

Mata Tengku Faiq mengecil. Tajam mataya memandang Mus yang seolah-olah sedang membayangkan isterinya. “Amboi... kau usha bini aku baik punya?”

“Eleh... jealouspulak. Kata benci...” Meletus ketawa Mus bila melihat reaksi muka sahabatnya yang berkerut-kerut.

“Baik sikit ya... Tak kuasa aku nak cemburu kalau pasal dia tu. Dia tu hipokrit. Kaki bodek pun ya.” Tengku Faiq mendengus kasar.

Mus menggeleng bila mendengar rungutan Tengku Faiq mengenai Adif. Bukan kali pertama telinganya disajikan dengan kata-kata sedemikian.

“Jangan lupa esok kita bincang pasal pelan banglo Datuk Muzafar tu,” pesan Tengku Faiq sebelum menghidupkan enjin keretanya.

“Kata nak serah kat budak kita projek tu?” tanya Mus kehairanan. Setahunya, projek perumahan dikendalikan oleh staf-staf kepercayaan mereka. Tengku Faiq hanya memantau dan mengikuti perkembangan setiap fasa. ‘Betul-betul sengaja ‘menyibukkan’ diri si Faiq ni.’

“Alah... walaupun kita bos, tapi tak bermakna kita lepas tangan projek macam ni pada staf saja. Aku tau kau pun sibuk dengan projek-projek lain. Tapi, ni klien utama kita, aku cuma nak bincang dengan kau dan Farel pasal konsep dan layout yang staf kita buat. Itu aje,” balas Tengku Faiq.

“Okeylah kalau macam tu. Jumpa esok kat ofis. Kau jangan nak melencong ke lain pulak. Balik ke rumah terus. Ingat sikit isteri dengan anak kat rumah tu.” Sengaja ditekan perkataan isteri untuk mengingatkan sabahatnya supaya tidak lepas tanggungjawab.

“Yalah... aku jalan dulu,” balas Tengku Faiq ringkas, sebelum memecut BMW 7 Series itu.

“Bilalah kau nak berubah, Faiq...” keluh Mus perlahan. Dia masih memerhatikan kereta Tengku Faiq yang kian hilang daripada pandangannya.

“Faiq dah kahwin dua kali, Farel on the waynak kahwin. Aku jugak yang menyendiri,” rungut Mus. Di mindanya terimbas raut wajah seseorang yang telah lama terpisah dengannya.

Gear pandu ditolak. Perlahan-lahan Murano hitam itu meninggalkan parkir kompleks sukan yang sering menjadi kunjungannya bersama Tengku Faiq dan Farel pada waktu lapang.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.