Home Novel Cinta Osaka, With Love
Osaka, With Love
Mastura Abdullah
14/9/2018 08:44:39
88,721
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

FAEEQ tidak puas hati apabila kelibat Umairah masih tiada di tempatnya. Bermula dengan mata pelajaran pertama, Bahasa Malaysia, diikuti dengan matapelajaran Fizik, kepalanya hanya tertancap pada pintu utama kelas 5 Gamma, manalah tahu kalau-kalau kelibat Umairah kelihatan tiba-tiba. Dia sudah berjanji pada diri, kalau Umairah hadir ke sekolah sekejap lagi, dia akan bangun dan bertepuk tangan. Dia mahu mengajak Lan, Apek dan Bob sama-sama buat standing ovation untuk Umairah.


Cikgu marah? Ah, itu hal kedua! Yang penting Umairah mempamer reaksi marah. Marah cikgu tak seberapa berbanding marah Umairah yang comel dan memikat hati. Dia sanggup jawab sepuluh soalan Fizik di papan putih sekalipun, asalkan dapat menyakitkan hati Umairah.


“Pss...” Terdengar siulan halus dari belakang.

 Faeeq lantas memaling muka tetapi cuak melihat segumpal kertas dibaling ke arahnya tak disangka-sangka.


Mujurlah dia sempat menyambut gumpalan kertas itu. Kurang asam punya Bob! Sempat dia tunjuk penumbuk pada Bob sebelum rakan yang duduk di barisan belakang itu ketawa mengekek. Tentu Bob ketawakan riaknya yang terkejut tadi namun Faeeq buat tidak tahu sebaliknya sibuk melihat kandungan gumpalan kertas itu.


“Mana buah hati hang?”

Usai membaca nota itu, dia berpaling ke belakang kembali, mencari respon Bob. Apabila mata mereka saling bertentangan, Faeeq lantas mencebik. Bob mengangguk-angguk kemudian sibuk menyambung kerjanya. Faeeq pula seperti kucing kehilangan anak, gelisahnya tertangkap dek mata Cikgu Nora. Dia senyum sebelum memanggil nama Faeeq kuat-kuat.


“Apa, cikgu?” tanya Faeeq selamba.

Dia tidak resah, malah sedikitpuntidak gentar bila bertentangan mata dengan guru muda awal tiga puluhan itu.

“Apa? Mata melilau ke kiri dan kanan.SPM tinggal tak kurang dua bulan. Fokus awak ke mana?”

“Cikgu perasan tak?”

“Tentang apa?”

“Umairah tak datang sekolah hari ni.”Faeeq selamba sekali lagi.


Kelas yang senyap sebelumnya  mulai riuh-rendah dengan gelak ketawa rakan sekelas. Pelbagai reaksi diberi mereka. Ada yang berbisik sesama sendiri, ada yang menepuk dahi tanda tak menyangka dengan reaksi Faeeq yang disifatkan terlalu berterus-terang, tak kurang juga yang menggeleng kepala tanda tanda meluat dengan Faeeq.


“SPM pun tak habis, gatalnya mengalahkan Pak Keladi,” sahut Izzati, teman baik Umairah. 


Dia sempat menjeling tanda meluat. Cikgu Nora bertindak sebagai pemerhati. Dia sedar tiga puluh minit itu telah mereka lalui dengan sedikit tekanan. Jadi, apabila ada hal yang tercetus, dia bertindak sebagai pemerhati sebelum mengawalnya ke paras normal. Asam garam di bidang pendidikan, dia sudah lali, tambahan anak-anak muda remaja yang selalu dididik ini, tidak dapat tidak, pasti terjebak dalam konflik ciptaan sendiri.


“Hang sakit hati kan, Izzati? Tak daksapa nak mengayat hang.” Bob tukang bela Faeeq bersuara di belakang.

 Lan pun sibuk nak ‘menyimbah minyak, membakar perasaan Izzati. Dia tak boleh tengok Faeeq kena marah, seolah-olah dia juga yang kena marah, sebab itu dia bertindak sebagai pembela.


“Aku sakit hati sebab tak dak sapa nak mengayat? Eh, tolonglah! Tak hinginnnn! Selagi aku tak menjejakkan kaki ke universiti, tak ada istilah mengayat dalam kamus hidup aku,” sembur Izzatikembali.


Hujahnya mendapat sambutan hangat dari rakan-rakan perempuan, maklumlah mereka semua di kelas Sains Tulen, maka tentulah hal begitu mendapat tepukan semangat dari kawan-kawan perempuan yang lain.


“Sikit-sikit kamus hidup, sikit-sikit kamus hidup! Acting aje tu!” Apek teringin hendak membantai, lalu dia ikut serta dalam peperangan mulut yang mula berlarutan.


Izzati pula semakin geram. Api perasaannya bersemarak apabila disindir oleh pelajar lelaki. Takkan nak biarkan Apek and the gang menang lagi dalam peperangan ini!


“Sekurang-kurangnya hidup aku ada tujuan, hidup kau? Kosong! Celik mata, tutup mata, demi kawan semata-mata.”

“Perghhhh...dah gaya ustazah dah.Ustazah tudung pendek,” sembur Apek, sakit hati. Izzati lagi sakit hati,kemudian terdengar suara Cikgu Nora di celah-celah kegamatan perang mulut beberapa orang pelajar kelas 5 Gamma.

“Masa itu emas. Ayuh kita fokus pada pelajaran. Saya harap perang mulut tadi tamat di sini sahaja. Saya tak suka nak membebel panjang sebab tahu ini masa-masa emas awak. Jom kembali pada ulangkaji kita. Kenyataan pertama untuk Faeeq, Isipadu gelembung udara yang dilepaskan oleh pam udara pada kedalaman 0.5 meter ialah 5cm3. Soalannya, kira isipadu gelembung udara apabila ia mencecah permukaan air. Andaian, tekanan atmosfera bersamaan 10m.” Suara Cikgu Nora jelas di telinga para pelajarnya. Formula kiraan sudah disimpan lama di dalam minda lantas jemarinya terus menggerakkan pena untuk mengira jumlah isi padu gelembung udara itu.


“Pss...nah, jawapan!” gumpalan kertas dilambung oleh Bob dari meja hadapan.


 Faeeq tidak menyambut malah membiarkan gumpalan kertas itu jatuh ke atas lantai. Dia sendiri sudah punya jawapan lalu dengan lagak genius, dia melangkah ke arah papan putih. Cikgu Nora senyum sahaja. Dia tahu kebolehan Faeeq walau anak remaja itu nakal semacam. Faeeq pula terus menulis langkah pengiraan dengan tertib sebelum memberi jawapan di bahagian paling bawah.


“Sila terangkan jawapan kamu kepada kawan-kawan,” pinta Cikgu Nora, tepat memandang wajahnya.

“Bob boleh tolong saya terangkan,cikgu?” riak nakal Faeeq dapat dibaca Cikgu Nora.


Suara marah-marah Bob sudah kedengaran di belakang, menyampuk kerana tidak bersetuju. Dia underground, aliran bawah tanah sahaja. Menjawab soalan ilmiah secara terbuka bukan kegemarannya, tetapi panggilan Cikgu Nora membuatkan dirinya tidak tentu hala sekejap. Sungutannya membuatkan rakan-rakan tertawa gelihati.


“Jaga kau, Faeeq!” Suaranya antara jelas ketika bertembung dengan Faeeq.

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.