Home Novel Cinta TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
EMY RUSLI
5/12/2014 23:13:41
39,986
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

Seorang gadis kacukan melayu Rusia sedang berdiri tegak di hadapan cermin kecil menampakkan wajahnya sahaja. Lama gadis itu merenung wajahnya sendiri. Bebola matanya yang berwarna coklat cair dengan bulu mata yang panjang melentik menyimpan sejuta kedukaan.

Dia antara gadis yang tercantik di rumah anak yatim Basyirah. Kecantikannya selalu dicemburui. Sejak dari sebesar tapak tangan, dia sudah menjadi penghuni tetap di Basyirah.

Peritnya rasa, tapi dia tiada pilihan. Tidak tahu hendak ke mana lagi. Mujurlah dia dibesarkan di Basyirah. Jika tidak, entah apa akan jadi pada dirinya.

“Maria! Kat sini rupanya kau. Puas aku cari.”

Maria terperanjat dengan teguran itu. Lantas dia memusingkan badannya. Maryam sedang berdiri tegak di muka pintu.

“Cepatlah, Maria. Kawan-kawan dah tunggu nak main bola jaring. Semua dah sedia. Cuma tunggu kau aje. Boleh pulak kau tilik muka kau tu kat cermin. Dah lawa dah pun. Karang pecah jugak cermin tu,” bebel Maryam.

Maria tersenyum. Faham benar dengan sikap Maryam. Walaupun Maryam muda tiga tahun dari Maria, dia nampak matang dan boleh dijadikan teman baik.

“Maryam ni asyik membebel aje tau. Maria nak tengok muka sendiri, takkan tak boleh?” Maria tersenyum. “Tadi Maria tengok kat padang tu tak ada orang. Maria masuklah bilik. Ingat tak jadi nak main.”

“Kau ni Maria, macam tak biasa pula. Ini kan memang rutin permainan kita setiap hari. Macam baru dua bulan aje kau tinggal kat Basyirah ni.”

Maria mengambil tuala kecil dan disangkutkan ke tengkuknya dan berjalan menghampiri Maryam. Pintu bilik ditutup. “Jomlah.”

Mereka beriringan ke padang yang terletak di belakang kantin Basyirah. Pada waktu petang begini, ramai penghuni Basyirah melakukan aktiviti di padang dan perlu masuk ke asrama masing-masing tepat jam 7.00 petang kerana mereka semua perlu bersiap sedia untuk ke surau berjemaah bersama.

Suasana agak meriah dengan sorakan daripada rakan-rakan yang memberi sokongan kepada mereka yang berlawan. Di hujung sana sekumpulan lelaki bermain bola sepak. Bersungguh-sungguh mereka bermain. Berlari dan berebutkan bola.

Di tepi sini pula sekumpulan anak-anak gadis berlari-lari untuk memasukkan bola ke dalam jaring.

Maria melompat-lompat dan berlari anak. Dia antara penjaring yang terbanyak kerana tubuhnya yang kecil dan tinggi memudahkan segala pergerakkannya.

Sekali lagi Maria melompat. Tadi dia sudah menjaringkan bola dan kali ini Maria mahu melakukan lagi. Tiba-tiba tulung rusuknya disiku. Dia mengaduh kecil dan terduduk di atas rumput. Bola yang berada di tangannya tadi melantun entah ke mana.

Permainan terhenti. Sahabat yang lain mula mengerumun Maria yang memegang bahagian yang sakit.

“Maria, kau okey tak ni?” Maryam menunjukkan wajah cemasnya. Tangannya memegang bahu Maria.

Maria mengangguk perlahan. Padahal sakit sungguh rasa tulang rusuknya. Dia tidak tahu siapa yang menyikunya tadi.

Maryam bangun dan berjalan ke arah sekumpulan perempuan yang sedang tersenyum mengejek.

“Hei Linda, apa masalah kau hah? Aku nampak tadi kau yang siku Maria, kan? Kau ingat aku ni buta ke? Kau apa hal hah?” jerit Maryam. Sakit hatinya melihat muka kering Linda.

“Eh Maryam, kau ni apahal? Terjerit-jerit macam perempuan gila!” tengking Linda pula.

“Kau yang gila! Tak sedar diri! Yang kau sakit hati sangat dengan Maria tu kenapa?” marah Maryam.

“Eeii.. tak kuasa aku nak sakit hati dengan budak hingusan macam tu. Kawan kau tu yang tak sedar diri. Dah tau tak reti main, janganlah main. Lembik!”

“Aku tahu kau memang tak suka pada Maria, kan? Sebabnya kawan aku tu paling cantik dan lawa kat sini. Kalau nak dibandingkan dengan kau, bagai langit dengan bumi. HEi, Linda! Biar muka tak lawa, asalkan jangan perangai macam hantu!” marah Maryam lagi.

“Kau... kau…” Linda mula panas hati.

“Kau apa hah?”

“Maryam! Kau jangan nak kurang ajar okey!” Linda mula menyinga.

Maryam merenung Linda dengan tajam. Sikit pun dia tidak takut pada perempuan singa ini. Selepas itu, dia berpaling, mahu pergi dari situ.

Saat itu juga Linda menarik tangan Maryam seperti mahu diajak bergaduh.

Maryam terkejut dan hampir terjatuh.

“Lepaskan tangan Maryam,” jerit Maria. Dia menarik tangan Maryam dari terus dicengkam oleh Linda. Terlerai pegangan itu. “Kalau awak tak suka saya sekali pun jangan libatkan Maryam dalam hal ini.”

Dalam kelembutan, Maria memberi amaran. Mata Linda dan Maria bertentang. Yang lain hanya melihat sahaja aksi seterusnya. Bagaikan seronok pula menyaksikan drama ini.

‘Sekarang kau dah pandai melawan ya budak hingusan! Jaga kau!’ gerutu Linda dalam hati.

Linda berpaling pula ke arah Maria.

“Hei budak hingusan, belajar sikit untuk homati orang yang lebih tua dari kau! Jangan sampai tangan kaki aku naik kat muka kau!” Linda menunjal pipi Maria.

“Saya tak akan hormati orang tua macam ni,” balas Maria selamba.

“Ooo... hebat kau sekarang ya. Dah pandai nak melawan cakap aku. Kau tahu tak aku ni siapa?”

“Awak pun sama macam saya, anak yatim piatu. Cuma bezanya saya ni jenis yang sedar diri pada status diri saya,” jawab Maria. Ini pertama kali dia berkasar dengan Linda. Selama ini dia takut untuk bersuara.

Linda menolak-nolak bahu Maria sehingga Maria berulang-ulang kali terdorong ke belakang.

Maryam tidak ketinggalan membalas perbuatan Linda itu bagi pihak Maria.

Suasana kecoh dengan suara pekikan kumpulan perempuan ini. Tiada yang berani bersuara apabila melibatkan Linda kerana Linda akan melakukan apa sahaja untuk membalas dendam.

Suara pekikan ini menarik perhatian sekumpulan lelaki yang sedang bermain bola sepak.

“Linda!” Seorang lelaki menolak sedikit bahu Linda agar menjauhi Maria. Tubuh Maria ditariknya agar tidak terjatuh.

“Kau kenapa? Tak habis-habis nak buat hal kat sini!” marah lelaki itu yang sedang berdiri di sebelah Maria.

“Eh Syawal, kau jangan nak masuk campur! Ini bukan masalah kau tapi masalah aku dengan budak tak sedar diri ni!” Linda menunjukkan jarinya ke arah Maria.

Maria hanya diam.

“Kalau kau tahu Maria ni budak hingusan, yang kau nak cari gaduh dengan dia kenapa? Dari dulu lagi kau tak suka dia kan? Maria ni sakitkan hati kau ke? Maria ni menyusahkan hidup kau ke?” marah Syawal. Dialah yang akan menjadi pelindung Maria sekiranya gadis ini diganggu oleh Linda dan rakan-rakannya yang lain.

Linda mendengus kasar. Sakit hatinya melihat sikap Syawal yang sentiasa bersama dengan Maria. “Jaga Maria! Hari ini hari kau! Tengoklah esok lusa macam mana nanti. Tak akan aman hidup kau!” kata Linda dengan kasar. Selepas itu, dia terus berlalu pergi diikuti oleh sahabatnya yang lain.

“Selagi aku hidup, aku tak akan benarkan sesiapa menyakiti Maria!” laung Syawal sengaja mahu menyakiti hati Linda yang semakin jauh berjalan. Biar makin panas Linda dibuatnya.

Keadaan kembali tenang semula. Maria memicit kepalanya. Apalah nasibnya. Beginilah keadaannya di Basyirah. Sepanjang masa dicemuh dan disakiti.

“Maria, kau okey?” tanya Maryam. Simpati dia pada Maria dan memegang lembut bahu sahabatnya ini.

“Okey...” jawab Maria perlahan. Matanya dikalihkan pada Syawal yang masih berdiri di sebelah. Rupanya lelaki ini sedang merenung dirinya.

“Abang Syawal, terima kasih sebab datang tadi. Kalau tak, entah apalah akan jadi pada kami,” kata Maria lembut.

Kelembutan inilah yang membuatkan Syawal jatuh cinta dari dulu lagi. Cuma Maria yang tidak tahu. “Apa yang Abang syawal buat selama ini ikhlas, Maria. Marilah kita duduk di bangku sana dulu,” ajak Syawal.

“Err... Maria, aku balik asrama dulu ya. Aku nak mandi. Rasa melekit pula badan aku ni.”

“Nantilah dulu, Maryam. Temanlah Maria dulu. Nanti kita balik sama-sama.” Maria resah apabila Maryam mahu meninggalkannya.

Maryam yang mengetahui isi hati Syawal terhadap sahabat baiknya ini berasa serba salah. Sebenarnya dia tidak mahu mengganggu perbualan Syawal dan Maria nanti.

“Ala kau ni Maria, manja sangatlah. Kau boraklah dulu. Abang Syawalkan ada. Dia boleh lindungi kau. Aku ni tak kuat nak berlawan dengan si Linda tu. Tadi tu eksyen aje.”

Akhirnya Maria mengangguk dan membenarkan Maryam pergi.

Syawal dan Maria duduk di bangku. Masing-masing diam. Maria merenung ke hadapan. Teringat pergaduhan kecil tadi dengan Linda.

“Maria tahu tak kenapa Linda tu suka sangat menyakiti hati Maria?” Soalan pertama yang terpancul di bibir Syawal.

“Entahlah. Maria pun tak tahu. Dari dulu lagi dia suka sakitkan hati Maria. Maria tak pernah kacau dia pun,” jawab Maria.

Syawal berat hati untuk memberitahu sesuatu tapi dia perlu lakukannya. Tidak sanggup lagi dia melihat Maria disakiti. “Sebenarnya Linda tu cemburu pada Maria.”

“Cemburu? Kenapa nak cemburu dengan Maria pula?” Terkejut Maria. Tidak disangka cemburu adalah punca Linda membencinya. Tapi kenapa?

“Linda cemburu sebab Maria lebih cantik dari dia. Bukan sebab tu saja. Dia cemburukan kita berdua.”

“Apa? Cemburukan kita?” Maria merenung dalam-dalam wajah Syawal mencari jawapan.

Syawal mengangguk. “Kalau Maria nak tahu, Linda tu sukakan Abang syawal sejak dari kecil. Bila abang tak balas cinta dia dan bila dia tahu abang rapat dengan Maria, itu yang menyebabkan dia jadi begitu.”

Maria terkejut bukan kepalang. Terlopong dia dibuatnya. Biar betul! “Kenapa abang Syawal tak terima Linda? Dia bukan tidak cantik cuma dia tu kasar aje.”

Syawal membalas pandangan Maria. Dia hanya menyintai Maria. “Abang tak cintakan dia.”

“Tapikan, Abang Syawal boleh cuba untuk sayangkan Linda?” Maria berterusan menduga hati Syawal.

Syawal tersenyum. ‘Aku hanya menyintai kau Maria. Kau saja yang tak tahu.’ “Tidak mungkin itu semua akan berlaku Maria. Abang memang sukakan seseorang tetapi bukan Linda.”

Maria tersenyum. “Abang Syawal sukakan seseorang? Siapa orang tu? Abang Syawal kenalkanlah pada Maria. Mesti bertuah orang tu kan.”

Syawal sedikit kecewa. Maria tidak menunjukkan rasa sayang atau cemburu kepadanya langsung. “Nanti ada masa, abang kenalkan pada Maria ya.”

“Tak sabar Maria nak kenal dengan kakak ipar Maria tu.” Maria tersenyum lebar menampakkan lesung pipitnya.

“Kakak ipar? Apa maksud Maria?”

Maria bangun dan berdiri mengadap Syawal. “Mariakan adik abang Syawal. Bila Abang Syawal dah ada teman wanita, maknanya Maria akan dapat kakak ipar. Tulah maksud Maria.”

Syawal terkedu. Benarlah Maria tidak pernah ada hati padanya. Direnung lagi wajah kacukan Inggeris itu.

“Kenapa Abang Syawal tengok Maria macam tu? Tak puas ya tenung muka Maria ni,” usik Maria sambil mengibar-ngibarkan tangannya di hadapan muka syawal.

Akhirnya Syawal tersenyum. ‘Maria Maria… Maria tak akan faham hati dan perasan abang ni. Orang yang abang maksudkan tu Marialah. Mana ada orang lain lagi. Abang sayang Maria.’

“Marilah Maria kita balik ke asrama. Dah nak pukul 7.00 ni. Kejap lagi dah nak maghrib pula.” Syawal mula berdiri.

Mereka melangkah bersama menuju ke asrama masing-masing.

Dari jauh mereka diperhatikan oleh seseorang. Jaga kau Maria! Perempuan tak guna.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suasana di Vila Istana di serbu dingin pagi. Sejak akhir-akhir ini, hujan kerap turun pada waktu subuh. Di Vila Istana ini, tinggal satu keluarga keturunan bangsawan iaitu YAM Tengku Dato Zafrul bersama ahli keluarga yang lain.

Di ruang makan mewah Vila Istana, kelihatan pasangan suami isteri baru hendak menikmati sarapan pagi.

“Ezairul mana? Pukul berapa dia balik malam tadi?” tanya Tengku Dato Zafrul kepada isterinya Tengku Puteri Alyah yang mengambil tempat duduk di sebelahnya.

“Entahlah. Bonda pun tak tahu pukul berapa dia balik malam tadi. Takkan tiap-tiap malam bonda nak tunggu dia. Kalau tak pukul 4.00 pagi, memang dia tak baliklah,” jawab Tengku Puteri Alyah.

Tengku Dato Zafrul mengeluh. “Entah apalah nak jadi pada Ezairul tu. Dia ingat diri dia tu muda lagi ke? Kalau kahwin dah berderet anak agaknya. Tak habis-habis nakenjoy.”

“Nak buat macam mana bang, bukan kita tak pernah cuba nak jodohkan si Ezairul tu dengan anak-anak kawan kita. Dia tu yang tak nak. Memilih. Nak yang cantik aje. Yang tak lawa tak nak,” kata Tengku Puteri Alyah geram.

“Bonda tahu mana Ezairul tu pergi tiap-tiap malam?” soal Tengku Dato Zafrul lagi tidak puas hati.

“Kalau tak jumpa kawan dan tak berlumba kereta, mesti dia ke Kelab Seroja.”

What? Night club?” Tengku Dato Zafrul melenting. Dia berhenti mengunyah. Sakit jantungnya saat ini. “Ezairul tu tak tahu ke yang semua orang kenal keluarga kita? Kalaulah kawan-kawan saya tahu, malu saya. Malu saya Alyah!”

“Bonda dah banyak bagi nasihat pada Ezairul tu, tapi dia tak pernah dengar. Satu bonda cakap, berpuluh dia jawab,” adu Tengku Puteri Alyah.

“Bonda rasa, abang kena nasihat Ezairul tu. Bonda tak berdaya lagi. Perangai dia dulu tak macam ni. Sejak balik dari Londan, terus berubah perangai. Tengoklah... Dah pukul berapa, tapi tak bangun lagi. Kejap lagi nak pergi ofis.”

“Timah, tolong ketuk bilik Ezairul. Beritahu dia saya hendak jumpa dia sekarang!” arah Tengku Dato Zafrul kepada orang gajinya yang sedang menuang air.

“Baik, Tengku,” jawab Timah penuh hormat dan segera ke tingkat atas. Dalam hatinya berasa takut. Takut sekiranya Tengku Ezairul mengamuk lagi.

Good morning bonda, ayahanda..” sapa Tengku Ezairul. Bau Eau De Toilette yang dipakai oleh Tengku Ezairul begitu menusuk hidung.

Tengku Ezairul duduk. Timah cepat-cepat menyenduk nasi goreng dan diberikan kepada Tengku Ezairul.

Morning...” Serentak suami isteri itu menjawab.

“Ayahanda tak suka Zairul balik lewat setiap malam. Mana Zairul pergi?” tanya Tengku Dato Zafrul keras. Dia langsung tidak menoleh pada anak bujangnya itu.

“Zairul jumpa kawan aje. Lepak-lepak tempat lumba kereta. Kenapa ayahanda?”

“Ayahanda tak suka Zairul ke kelab tu. Berfoya-foya tak tentu pasal macam orang hilang arah. Ayahanda juga tak suka Zairul keluar tiap-tiap malam. Ayahanda tak nak marah-marah Zairul seperti budak-budak kecil sebab Zairul dah besar,” kata Tengku Dato Zafrul.

“Betul kata ayahanda tu Zairul. Zairul bukan budak kecil lagi. Zairul tahu kan yang kita ni bukan orang sebarangan. Kalau wartawan tahu tentang sikap Zairul yang suka ke Kelab Seroja, macam mana? Busuk nama keturunan kita,” sampuk Tengku Puteri Alyah.

Tengku Ezairul meneruskan suapan nasi goreng ke dalam mulutnya. Tiba-tiba dia rasa kenyang dengan teguran sebegini pagi-pagi. “Ayahanda, bonda, Zairul cuma tengok orang menyanyi, menari dan berbual dengan kawan tentang bisnes. Tu aje. Zairul tak minum air haram kat kelab tu.”

“Ada kamu tempah perempuan kat Kelab Seroja tu?” soal Tengku Dato Zafrul. Dia tidak mahu anaknya terbabit dengan masalah sosial.

Tengku Ezairul ketawa. “Ayahanda, bonda, perempuan kat Kelab Seroja tuno class lah. Bukantaste Zairul. Kita kan keturunan bangsawan, mestilah pilih sama taraf juga. Tak pun cari yang kaya raya.”

“Baguslah kalau macam tu. Ayahanda tak mahu dengar perkara yang buruk tentang keluarga kita. Ayahanda mahu Zairul tumpukan perhatian pada syarikat permotoran tu,” pesan Tengku Dato Zafrul lagi.

Tengku Ezairul tersenyum. “Ayahanda jangan risau tentang syarikat tu. Sekarang Zafrul Group adaplanning baru. Zairul sedang menyiapkan kertas kerja untukimport lagi kereta-kereta baru dari Jepun dan Korea. Bila selesai semuanya, Zairul akan beritahu ayahanda,” beritahu Tengku Ezairul penuh bangga.

“Baguslah kalau macam tu. Ayahanda percaya pada Zairul. Buatlah apa sahaja asal dapat menguntungkan syarikat. Tapi, mestilah dengan cara yang betul bukan dengan taktik kotor,” nasihat Tengku Dato Zafrul.

“Zairul tahu, ayahanda. Oh ya, Zairul dah lewat ni. Zairul perdi dululah.”

“Bukan ke hari-hari Zairul memang selalu lewat ke pejabat?” perli Tengku Puteri Alyah.

Tengku Ezairul bangun sambil tersengih. Kot hitamnya dicapai dan segera dia mencium pipi Tengku Puteri Alyah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

HAI sayang,sorry.. I’m late.” Tengku Ezairul berbisik halus di telinga Shirin penuh romantis. Terus dia duduk di depan Shirin. Panjang muncung buah hatinya ini.

“Janganlah marah. Cuba senyum sikit. I ada mesyuarat tadi. Habis lambat sikit.Please look at me...” rayu Tengku Ezairul lagi dan matanya merenung ke dalam mata buah hatinya ini yang cantik jelita.

Akhirnya Shirin tersenyum juga dengan pujukan Tengku Ezairul. “You ni dah tahu naklunch dengan I, habiskanlah cepat-cepatmeeting tu. Selalu buat I tertunggu-tunggu. Tak sukalah macam n.” Sempat lagi Shirin membebel seraya menjeling manja pada kekasih hatinya ini.

Tengku Ezairul tersenyum dan mencapai tangan Shirin. Tangan itu dikucup lama. “I love you Shirin. Maafkan I ya..”

“Hmm... okey. Malam ini jangan lupa bawa I ke kelab tau sebagai denda you lewat.”

“Okey,my darling,” jawab Tengku Ezairul dengan penuh rasa lega apabila Shirin tidak lagi merajuk.

Makanan yang dipesan oleh Shirin sebentar tadi tiba. Tengku Ezairul pula mengambil pesanan.

Selesai makan, Tengku Ezairul dan Shirin beriringan keluar dari Restoran Rebung.

Shirin berdiri tegak di hadapan Tengku Ezairul. “Sayang, boleh tak I nak ikut you ke ofis? I bosanlah tinggal sorang kat rumah. Bolehlah...” Shirin bermain-main tali leher Tengku Ezairul dengan gaya yang mengada-ngada.

Tengku Ezairul menggaru dahinya. ‘Nak bawak Shirin ke Zafrul Group, tempah mautlah aku nanti kalau ayahanda tahu,’ bisik hati Tengku Ezairul.

“Boleh tak I ikut you?” Tanya Shirin lagi dengan suara sengaja dimanjakan.

“Err... bukan tak boleh. You tahulah kat sana ramai mata-mata yang akan tengok kita. Kawan-kawan ayahanda I ramai kat sana. Tak pasal-pasal mereka tureport pada ayahanda I. I malas nak bertekak pasal hal ni. Kalau youboring sangat, you pergilah ajak kawan-kawan youshopping,” pujuk Tengku Ezairul.

“You ni kan, bila I nak ke ofis you je mesti banyak alasan kan? Bukan I nak kacau you buat kerja dan I bukan nak buat benda tak senonoh dengan you kat situ!” marah Shirin. Dia tidak lagi bermain tali leher Tengku Ezairul.

Tengku Ezairul serba salah. “Memanglah kita tak buat benda-benda pelik, tapi tak syoklah kalau orang tengok kita berdua dalam ofis I. Lagipun ada beberapa jam aje lagi untuk I habis kerja.” Tengku Ezairul melirik jam di tangannya.

Shirin menarik muka masam. “Kalau macam tu, bagi I duit. I nak pergishoppingdengan kawan-kawan I.” Shirin sudah menadah tangan.

“You ni...” keluh Tengku Ezairul dan terus membuka dompetnya. Beberapa not seratus dikeluarkan dan dihulurkan pada Shirin.

“Macam tak ikhlas aje you bagi duit ni. You kan banyak duit Zairul. Setakat lima ratus ini apalah sangat, kan?” Shirin sudah tersenyum panjang. Seronok dapat duit belanja dari Tengku Ezairul.

Marcedes jenama Kompressor berhenti betul-betul di hadapan Tengku Ezairul dan Shirin.

Adli keluar dari kereta dan membuka pintu untuk majikannya.

“I balik ofis dulu. Malam nanti I ambil you okey,” pesan Tengku Ezairul.

Shirin tersenyum menggoda pada Tengku Ezairul sebelum kereta mewah itu berlalu pergi.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Eh, Linda! Apa yang kau buat ni? Kenapa kau ambil rantai Puan Siti? Kalau dia tahu, mati kita nanti!” tegur Hani. Linda sedang memasukkan rantai emas tersebut ke dalam poket seluarnya.

“Kau diam boleh tak? Kau jangan nak hebohkan pada orang lain apa yang kau nampak ni!” marah Linda.

“Tapi kenapa kau ambil rantai ni? Eh, letaklah balik rantai tu Linda,” kata Hani.

Linda rasa rimas apabila Hani menggoncang lengannya. “Kau ni menggelabahlah, Hani. Aku nak kau tutup mulut kau! Kalau kau pecahkan rahsia ni, siap kau!” Linda memberi amaran keras dan terus keluar dari pejabat guru besar Basyirah.

Hani mula berasa takut. Tidak sepatutnya dia menjebakkan dirinya dengan perbuatan Linda. “Aku tak puas hati lagi ni. Kenapa kau ambil rantai Puan Siti tu? Kau nak buat apa Linda?” soal Hani tidak puas hati.

“Kau nak tahu sangat ke kenapa aku ambil rantai ni?” soal Linda selamba dan duduk di tepi kolam ikan.

“Yalah. Kau tahu tak perbuatan kau tu salah. Kalau kau kena tangkap, maknanya aku akan kena sekali. Silap hari bulan kita kena keluar dari Basyirah ni.”

“Memang itu pun aku tunggu. Aku nak keluar dari Basyirah ni. Kau ingat aku suka tinggal dalam Basyirah ni. Terkurung macam penjara. Nak keluar pun susah apatah lagi nak berjalan-jalan macam orang lain!” bentak Linda.

Linda ketawa. Tidak lama lagi musuhnya akan tersungkur. Dia menyeluk poket seluarnya. Rantai emas dikeluarkan dan ditayangkan di hadapan mata. Terpampang loket bertanda ‘S’.Pagi tadi dia lalui depan bilik Puan Siti. Pada ketika itu, dia melihat Puan Siti sedang menggosok loket tersebut dan memasukkan dalam beg kecil.

“Cakaplah Linda, kau nak buat apa dengan rantai ni?”

“Aku akan letakkan rantai ini dalam almari Maria. Kemudian mesti kecoh sebab rantai Puan Siti hilang. Pada masa itu, aku akan cadangkan untuk memeriksa setiap bilik di Basyirah. Aku akan beritahu yang aku nampak beberapa orang melalui bilik Puan Siti tadi. Secara tak langsung, mesti mereka percaya,” terang Linda. Rantai itu di masukkan semula ke dalam poket seluarnya.

Hani terlopong. ‘Berani betul Linda!’

“Kau jangan nak buat gila Linda. Kalau Puan Siti tahu teruk kau nanti. Tak pasal-pasal aku pun kena sekali! Aku tak nak terlibat apa-apa. Aku nak balik. Kau buatlah kerja ni sorang-sorang.” Hani bangun.

Linda menyambar kasar tangan Hani. “Kau jangan nak melarikan diri! Ingat, petang ni kau kena ikut aku! Aku akan masuk dalam bilik Maria dan kau jaga kat luar.”

“Tapi aku...”

“Hei! Kau jangan nak mengelak. Aku hempuk kau nanti!” Linda menolak kepala Hani.

Hani tiada pilihan. Dia takut!

“MACAM mana Maria, okey ke?” tanya Puan Siti.

Maria memandang Puan Siti dan tersenyum manis. “Setakat ini okey, puan. Cuma nak jahit manik ni susah. Lambat sikit.”

“Tak apa Maria. Saya yakin, Maria boleh buat,” kata Puan Siti lembut sambil merenung wajah kacukan Inggeris itu. Renungannya penuh mendalam. Kalaulah gadis ini mengetahui perkara sebenar, apakah akan terjadi nanti? Gembirakah Maria atau berdukakah Maria?

“Puan, macam mana nak jahit manik di lengan ni?” tanya Maria.

“Ooo... senang saja ni. Macam ni... Maria letak satu manik dulu kemudian masukkan jarum dalam lubang kecil ni dan letak lagi satu per satu manik ni,” ajar Puan Siti.

“Cuba Maria buat dulu.”

“Baik, Puan Siti.”

Maria meneruskan jahitan manik di lengan baju kebaya itu. Puan Siti sudah beredar melihat hasil anak muridnya yang lain pula. Bersungguh-sungguh Maria menjahit manik tersebut. Baju kebaya yang dijahitnya dua tiga hari yang lepas sudah siap. Cuma mahu menyiapkan manik sahaja.

“Maria...”

“Ada apa puan?”

“Maria, awak tolong ke pejabat saya dan ambil kotak jarum peniti. Jarum peniti tu ada atas meja saya. Pagi tadi saya beli. Lupa pula nak ambil,” arah Puan Siti.

“Baik, puan.” Maria terus dia keluar dari kelas jahitan dan ke pejabat Puan Siti.

“CEPATLAH sikit Linda! Aku takut ni.” Hani bersuara gementar. Matanya melilau-lilau.

“Kejaplah. Kau jagaline kat luar tu! Kalau ada orang datang, kau beritahu aku.” Linda sedang berusaha memasukkan rantai tersebut dalam almari Maria. Begitu mudah sekali dia melakukannya kerana almari musuhnya ini tidak berkunci.

Linda keluar dan menghampiri Hani. “Okey dah. Semua berjalan dengan lancar. Jom blah.”

Linda dan Hani segera berlalu pergi. Dia terserempak dengan beberapa orang rakan yang lain yang tidak mengesyaki apa-apa.

“Ingat Hani, biar pecah di perut jangan pecah di mulut!” Linda memberi amaran.

Hani betul-betul rasa tidak selesa. Kesian Maria. “Kenapa kau buat si Maria tu macam ni? Kesian dia tau tak. Dia ada sakitkan hati kau ke Linda?”

Linda diam. Memang dia sakit hati pada Maria. “Kau jangan cakap banyak Hani. Aku memang tak suka dia dan sampai bila-bila aku tak akan suka dia!” jawab Linda keras.

“Kau marah sebab Abang Syawal tu rapat dengan Maria kan?”

“Tahu tak apa!”

Hani hanya menggeleng.

Bersambung….


Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.