Home Novel Cinta TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
EMY RUSLI
5/12/2014 23:13:41
39,977
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6 & 7

Tajuk : TAKKAN KULEPASKAN

Penulis: Emy Raziela (FB: Emy Raziela Novelis)

Terbitan :Alaf21 Jan 2013


KAU dah fikir masak-masak ke Maria nak kerja sebagai pembantu rumah tu? Aku bukan nak halang niat kau tu, tapi aku tak nak kau menyesal kemudian hari,” kata Maryam.

Maria diam mencari kekuatan untuk berbicara. Direnung padang Basyirah di depan sana dengan pandangan yang kosong sama seperti otaknya ketika ini.

“Maryam, Maria dah lama sangat nak bekerja. Ini peluang dah datang. Maria tak nak lepaskan begitu aje. Lagipun sampai bila kita nak tinggal kat Basyirah ni. Bila dah bekerja, sekurang-kurangnya kita ada kehidupan sendiri. Lagipun bukan Maria tak biasa buat kerja macam tu.” Maria merenung Maryam dan merenung pula Syawal yang kelihatan muram.

“Tak boleh ke tangguhkan dulu kerja tu. Tahun depan kau mulakanlah kerja.” Maryam cuba memujuk.

Maria ketawa kecil. Tangan Maryam diraih. “Maryam ingat tak janji kita?”

“Janji apa?” Berkerut dahi Maryam.

“Kan kita janji nak buka butik. Sekarang ni Maria nak kerja dan kumpul duit. Bila dah cukup duit, kita buka kedai sama-sama ya,” kata Maria lembut.

Maryam mengeluh. “Kalau itu dah keputusan kau, aku tak boleh nak buat apalah. Tapi ingat, kau kena selalu balik sini.”

“Itu sudah semestinya,” jawab Maria. Selepas itu, dia memeluk Maryam.

Syawal hanya melihat dua sahabat itu berpelukan antara satu sama lain. Tiba-tiba hatinya rasa bimbang untuk melepaskan Maria pergi.

Maria melepaskan pelukan Maryam. Dia merenung Syawal. “Abang Syawal, Maria nak ucapkan banyak-banyak terima kasih pada abang Syawal.”

“Terima kasih untuk apa?” tanya Syawal perlahan. Direnung wajah milik Maria.

Maria tersenyum. Berat juga hatinya meninggalkan orang-orang tersayang di Basyirah. “Sebab abang Syawal dah jaga Maria dengan baik. Maria beruntung sangat sebab ada abang seperti abang Syawal.”

Hati Syawal remuk redam. Benar bagai di kata, Maria tidak mengerti isi hatinya yang sebenar. “Abang sayangkan Maria. Abang... abang cintakan Maria.”

Syawal tunduk. Luahan hatinya sudah diberitahu. Terpulanglah pada Maria untuk menerima atau tidak.

Maria terkejut. Tidak disangka, Syawal yang di anggap seperti abang sendiri mempunyai rasa cinta kepada dirinya.

“Abang bukan saja sayangkan Maria tapi abang dah lama jatuh cinta pada Maria. Abang tak pernah anggap Maria sebagai adik abang tapi lebih dari itu.”

Hati Maria berdegup kencang. Dia tidak dapat menerima luahan cinta Syawal. Padanya Syawal tidak ubah seperti abangnya sendiri. “Maria... Err... Abang Syawal tak sepatutnya jatuh cinta pada Maria. Maria sayangkan Abang Syawal, tapi hanya sebagai seorang abang,” jawab Maria takut-takut.

“Abang tahu Maria tak ada rasa cinta tu pada abang. Tapi sejak abang tahu Maria nak keluar dari Basyirah dan bekerja, abang jadi bimbang. Abang takut Maria lupakan abang.”

“Tak Abang Syawal. Abang Syawal kenalkan Maria macam mana. Di sini Maria dibesarkan. Maria tak mungkin melupakan orang yang Maria sayang,” kata Maria sambil matanya memerhati keadaan sekeliling Basyirah. Tidak lama lagi dia akan meninggalkan Basyirah. Berat hatinya tapi dia perlu lakukan demi kehidupan yang lebih baik.

“Abang nak sunting Maria jadi isteri abang suatu hari nanti. Itu impian abang.”

Sekali lagi Maria terpempan. Syawal nampak bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu Syawal menaruh harapan yang tinggi. Dia cuba mengukirkan senyuman tapi dia tidak berdaya melakukannya. Benar kata Maryam bahawa Syawal sukakan dirinya.

“Oh ya, sebelum Maria lupa. Maria ada hadiah untuk abang Syawal.” Maria mengalihkan topik. Tangannya mencapai beg plastik yang diletak di atas meja.

Syawal hanya memerhati. Dia hampa. Maria kelihatan tidak berminat untuk mendengar luahan hatinya.

Maria menghulurkan bungkusan plastik tersebut. “Ini untuk abang Syawal. Maria jahit khas untuk abang.”

“Apa ni?” Syawal merenung beg plastik tersebut.

“Baju Melayu. Maria jahit khas untuk abang. Nanti abang pakailah bila teringat pada Maria ya,” kata Maria dengan senyuman yang menawan.

Luluhnya hati Syawal. Perasannnya tidak menentu apabila melihat Maria tersenyum. “Abang cintakan Maria. Abang akan tunggu sampai terbuka hati Maria untuk abang.”

Maria serba salah. “Abang Syawal, Maria balik dulu ya. Maria nak kemas baju dan barang-barang. Nanti kita jumpa lagi. Maria akan sentiasa ingat Abang Syawal.”

Selepas itu, Maria terus berlalu pergi meninggalkan Syawal seorang diri.

Syawal meraup mukanya berkali-kali. Kecewa hatinya dengan reaksi Maria. ‘Kenapa Maria tak boleh nak faham hati abang. Kenapa?’


Tengku Ezairul berhenti menandatangani beberapa cek apabila pintu biliknya diketuk. “Masuk...” arahnya. Pintu bilik dibuka. Terjengil biji mata Tengku Ezairul melihat tetamu yang datang.

“Hai sayang. Kenapa nampak terkejut ni?” Shirin menghampiri Tengku Ezairul dan terus memeluk leher kekasihnya itu.

“You buat apa kat sini?” tanya Tengku Ezairul masih lagi terkejut. Dicapai tangan Shirin.

“I datang nak jumpa youlah. Rindu kat youlah. I juga bawakkan kawan I yang nak beli kereta tu. Kawan I tengah tunggu kat bawah. I nak kenalkan you pada dia,” kata Shirin dengan lagak menggoda. Dia sudah duduk di atas paha Tengku Ezairul.

Tengku Ezairul rasa tidak selesa. Takut sekiranya pekerjanya masuk dan melihat aksi mereka.

“Tengku... Ops...sorry.” Jess yang tidak jadi masuk dan terus berpaling belakang.

Tengku Ezairul terkejut dan terus menolak tubuh Shirin.

Shirin pula terkejut dan geram dengan cara Tengku Ezairul menolaknya.

“Jess,wait wait.. Come.” Panggil Tengku Ezairul dan cuba berlagak biasa.

Jess berpaling semula dan masuk ke dalam pejabat Tengku Ezairul.

“Ada apa Jess?”

“Tadi Mr Chan call. Dia nak jumpa dengan you petang ni pasal urusan pelaburan tu. Dia juga mintak you tengokkan saham yang naik turun hari ni,” kata Jess tanpa memandang Shirin yang berdiri tegak seperti patung.

“Okey, Jess. Oh ya, you tolongcheckkan saham tu. I tak sempatlah,” arah Tengku Ezairul.

“Okey...” Jess terus berlalu keluar.

Sebaik Jess keluar, Tengku Ezairul memandang Shirin yang masam mencuka. Dia tahu Shirin marah. “I bukan sengaja nak tolak you tadi. Tapi you janganlahover sangat kat sini. You tahukan, kat sini ramai mata-mata ayahanda I. silap hari bulan, mereka emailkan pada ayahanda I dan beritahu apa yang kita buat ni. Tak pasal-pasal I yang kena tau,” bebel Tengku Ezairul dan terus bangun.

Shirin tidak memberi sebarang reaksi.

“Jomlah kita jumpa kawan you tu.” Tengku Ezairul sudah mahu keluar.

Shirin tidak berganjak.

“Shirin please. Cepatlah... Jangan nak buat perangai pula!” Tengku Ezairul mula naik angin. Terus dia merapati Shirin dan menarik tangan Shirin.

Shirin hanya menurut saja. Dia tahu Tengku Ezairul sudah naik angin.

MARIA melangkah lemah ke penjara wanita itu. Ikutkan hati, dia tidak mahu menjejakkan kaki di sini. Namun, ajakan Puan Siti tidak mampu ditolaknya.

Maria sudah berada di ruang menunggu.

“Maria... Anakku...” Wan Rozita terus menerpa ke arah Maria sebaik sahaja dia ternampak kelibat Maria dan memeluk anak tunggalnya itu. Rindunya terlepas sebaik sahaja dapat mendakap tubuh kurus dan tinggi itu.

Maria cuba meleraikan pelukan itu.

Wan Rozita melepaskan pelukannya. “Maria... Ini ibu nak. Ibu yang telah kandungkan Maria selama ini dan ibulah yang lahirkan Maria di dunia ini.”

“Ibu saya dah lama mati!” jawab Maria dengan suara yang keras.

Wan Rozita terpempam. Menitik air matanya. Dia berkecil hati. Anak sendiri mengatakan dia sudah mati.

“Ibu saya tidak tinggal dalam tempat jijik macam ni dan sampai bila-bila saya tak akan terima puan sebagai ibu saya!” Maria menahan perasaan. Air matanya hampir keluar.

Wan Rozita menggeleng berkali-kali. Dia tidak percaya apa yang dikatakan oleh Maria. “Maria... Ini semua bukan kesalahan ibu. Ibu tak bunuh ayah Maria. Percayalah cakap ibu nak.”

‘Ayahnya mati kerana dibunuh. Apakah ibu membunuh ayah? YaAllah!’ Maria meraup mukanya. Dadanya terasa mahu pecah.

“Ibu dan ayah berkahwin atas dasar cinta. Ibu sanggup lakukan apa saja untuk ayah. Ayah juga sanggup memeluk Islam dan tinggal di Malaysia. Selepas kahwin, ayah mula berubah. Dia menjadi pemarah. Suatu hari, ibu nampak ayah bersama seorang perempuan di dalam bilik hotel. Kekasih ayah terkejut sebab tahu ibu ini adalah isteri ayah,” cerita Wan Rozita sambil menangis.

“Pada masa tu, ayah dan kekasihnya bergaduh. Kekasih ayah tembak ayah. Ayah meninggal waktu tu juga. Kekasih ayah lari dan tinggalkan kami. Waktu tu ibu seperti hilang akal. Tambah pula ibu sedang mengandungkan Maria. Ibu jadi tidak tentu arah.”

“Cukup! Saya tak nak dengar apa-apa lagi! Cukup!” jerit Maria. Dia menekup telinganya sambil menangis.

Wan Rozita sudah teresak-esak. “Maria, ibu rindukan Maria. Ibu nak jaga Maria. Ibu nak berikan kasih sayang pada Maria. Ibu tak sempat lakukan semua itu untuk Maria. Izinkan ibu peluk Maria walaupun sekejap.”

“Maafkan saya, puan. Saya tak dapat nak terima puan sebagai ibu saya. Ibu saya dah lama mati.” Maria segera bangun dan melangkah pergi.

Wan Rozita meraung sekuat hati. Anak yang di rinduinya selama ini meninggalkannya begitu saja. Sampai hati Maria. Ini ibu nak...


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Maria menekan loceng berkali-kali. Dia terpegun melihat kawasan rumah besar itu. Dia membaca papan tanda sebelah. Kediaman YAM Tengku Zafrul. Hmm... macam pernah baca aje nama ni. Dia cuba mengingati tapi tidak ingat. Mungkin dalam televisyen.

Sekali lagi Maria menekan loceng. Keluar seseorang terburu-buru. Dia berasa sedikit lega. Banglo inilah yang akan menjadi tempatnya bekerja. Dia tidak sabar lagi.

Perempuan itu membuka pintu. “Cik ni pembantu vila yang barukan?” tanya perempuan tersebut.

Maria mengangguk dan senyum. “Ya, saya pembantu vila yang baru.”

“Saya Timah. Jemputlah masuk. Mak engku ada di dalam. Marilah...”

Maria mengangkat beg pakaiannya dan mengikut langkah Timah. Sempat dia melihat keadaan sekeliling Vila Istana. Luas kawasan vila ini. Kereta mewah tersadai di dalam garaj. Patutlah tak cukup pembantu rumah. Besar sangat kawasan ni.

Sekali lagi Maria terpegun sebaik menjejakkan kakinya dalam Vila istana ini. Ini pertama kali Maria melihat rumah semewah ini.

“Mak Engku.. pembantu rumah baru dah sampai.”

Tengku Alyah yang sedang leka menonton rancangan Malaysia Hari Ini segera berpaling. Bulat matanya memandang pembantu baru rumahnya. ‘Biar betul? Budak secantik ini akan jadi orang gaji.’

Maria berasa serba salah apabila melihat renungan Tengku Alyah. Dia mengukirkan senyuman. “Assalamualaikum, mak engku...” sapa Maria lembut dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Tengku Alyah tidak menyambut tangan Maria. Maria menarik semula tangannya.

“Siapa nama kamu?” tanya Tengku Alyah.

“Nama saya Maria... Maria Edani,” jawab Maria takut-takut.

“Hmm... Kamu orang Malaysia ke?” tanya Tengku Alyah lagi untuk kepastian.

“Saya orang Malaysia dan beragama Islam. Cuma arwah ayah saya bukan orang Malaysia,” jawab Maria lagi sebaik mungkin.

“Baiklah. Kamu boleh mulakan kerja hari ini. Timah akan ajarkan awak apa yang patut dan tidak patut buat dalam vila ni. Timah, tunjukkan Maria bilik dia. Kalau nak bekerja lama di sini, kena ikut undang-undang dalam rumah ni,” kata Tengku Alyah serius.

“Baik, mak engku. Saya faham.” Maria tunduk tidak tahu hendak bercakap apa lagi.

“Maria, mari ikut saya. Saya akan tunjukkan awak bilik. Lepas tu kita boleh buat kerja di dapur.”

Maria mengangguk dan segera mengikut Timah.

Biliknya terletak bersebelahan dengan dapur. Maria memasuki bilik tersebut. Masih kosong. Rumah besar tapi tiada katil pun disediakan dalam bilik tersebut. Yang ada hanya tilam nipis dan satu bantal.

“Maaflah Maria. Ini aje yang mak engku mintak saya sediakan untuk awak. Awak tak kisahkan tidur atas tilam ni?” soal Timah dan membantu Maria meletakkan beg.

Maria tersenyum. “Tak apa, Timah. Maria tak kisah. Dah dapat bekerja kat vila ni pun bersyukur sangat.”

“Maria salin baju dulu, ya. Nanti saya tunjukkan Maria kawasan vila ni. Kita bukan saja kena masak dan mengemas dalam vila, tapi kita juga kena pastikan seluruh kawasan vila ni bersih. Mak engku tu kuat membebel.”

Maria mengangguk.

TIMAH membawa Maria ke seluruh kawasan Vila istana. “Dah lama ke Timah kerja kat Vila ni?” soal Maria ingin tahu.

“Hmm... tak adalah lama. Baru lima tahun. Tak ada pelajaran macam nilah.”

“Lamalah jugak tu.”

“Kenapa Maria nak kerja di vila ni?” soal Timah pula.

“Dah tak ada kerja. Bukan senang nak dapat kerja. Lagipun Maria bukan lulusan universiti. Yang masuk universiti tu pun payah nak dapat kerja. Apatah lagi yang macam Maria ni.”

“Maria ni cantik tau. Macam anak patung. Kan bagus kalau Maria jadi model, pelakon ke. Mesti dapat banyak duit dan glamor,” seloroh Timah.

Maria ketawa. Dia tidak pernah terfikir untuk menjadi artis. Dia hanya seorang anak banduan. ‘Ah... kenapa nak fikirkan lagi perempuan itu?’

“Setiap pagi Pak Mat akan siram dulu pokok-pokok bunga ni sebelum hantar pak engku ke tempat kerja. Kalau kita ada masa, ni kita kena buat tau Maria.”

Maria mengangguk.

“Mak engku ni sayang sangat pada pokok-pokok dia. Tengoklah pasu ni pun, cantik-cantik. Kalau mereka anak beranak ke luar negara, mesti mak engku beli pasu ni,” terang Timah lagi.

“Lagi satu, selepas semua orang ke pejabat, kita kena basuh baju dan jemur baju. Maknanya pukul 5.45 pagi kita dah kena bangun,” kata Timah lagi.

“Eh, dah nak tengah hari ni. Jom kita ke dapur. Kita kena masak. Kejap lagi pak engku balik nak makan.”

Maria mengikut Timah ke dapur.

“Biasanya pukul berapa pak engku balik makan tengah hari?” tanya Maria sambil tangannya mengacau kari di dalam periuk.

“Pukul satu pak engku sampailah. Dia jarang makan kat luar. Anak pak engku pulak, tak pernah balik makan tengah hari,” kata Timah.

Maria mengangguk.

“Nampak macam sedap aje kari ni. Maria ni pandai masak ya?” Timah menjenguk ke dalam periuk. Bau kari semerbak.

“Taklah. Biasa-biasa aje.” Maria merendah diri.

Selesai memasak, Maria dan Timah menghidangkan makanan di atas meja makan. Bunyi enjin kereta di luar menandakan Tengku Zafrul sudah pulang.

Tengku Zafrul melangkah masuk ke ruang makan.

“Selamat tengah hari pak engku. Jemput makan,” sapa Timah sambil menarik kerusi untuk majikannya ini.

Maria menarik pula kerusi Tengku Alyah.

Apabila memastikan segalanya terhidang Maria dan Timah masuk ke dapur semula.

----------------------------------------------------------------------------------------------------


Baru saja hendak meletakkan kepala di bantal, Maria terdengar bunyi ketukan pintu utama bertalu-talu. ‘Siapa pula yang datang malam-malam ni? Pencuri ke? Mana ada pencuri. Vila istana ni ada pengawal kat luar sana.’

Maria melihat jam loceng di hujung kepalanya. Pukul satu pagi? Dia memberanikan diri dan keluar dari bilik tidurnya. Rambutnya diikat satu. Dia menghampiri pintu yang masih diketuk itu.

Terketar-ketar tangannya membuka pintu itu. Sebaik pintu dibuka…

“Kan aku dah cakap….” Tengku Ezairul tidak jadi marah. Mulutnya ternganga melihat manusia di hadapannya ini.

Maria jadi takut melihat wajah bengis Tengku Ezairul. Tengku Ezairul masih tidak berkelip melihat Maria.

“Siapa kau?” tanya Tengku Ezairul dengan kasar.

“Saya... pembantu rumah baru…” Tergagap-gagap Maria menjawab.

“Kenapa kau kunci pintu? Timah tak beritahu kau ya yang aku tak suka bawak kunci pendua?”

Maria menelan liur.

Tengku Ezairul menutup ppintu dengan kuat.

“Maafkan saya encik...”

“Tengku! Panggil aku Tengku!” marah Tengku Ezairul. ‘Sudahlah penat. Ada pembantu rumah yang baru pun menyusahkan aje, bisik hati Tengku Ezairul dan terus menghenyakkan tubuhnya di atas sofa. Kerana kepenatan, dia memejamkan matanya.

Maria tidak tahu hendak buat apa. Dia berjalan ke biliknya. Dia mahu tidur. Penat satu hari bekerja bagaikan mesin kilang.

Tengku Ezairul membuka matanya. Dia melihat Maria berjalan perlahan-lahan memasuki biliknya. “Kau nak ke mana tu?”

Maria menoleh ke belakang. “Saya... Saya nak masuk tidur,” jawab Maria takut-takut. Mukanya ditundukkan.

“Jangan harap aku nak bagi kau tidur selagi kau tak buatkan aku air.”

“Tengku nak minum air apa? Saya buatkan.”

“Aku nak teh panas. Cepat buatkan! Kejap lagi aku nak tidur,” arah Tengku Ezairul.

Maria segera ke dapur. Siap membancuh teh, dia membawa air tersebut ke ruang tamu. Berhati-hati Maria membawa air panas itu. Tengku Ezairul sudah terlelap di atas sofa. Dia serba salah. Mahu mengejutkan lelaki itu atau biarkan aje.

“Letak ajelah kat situ. Yang kau tercegat kat situ buat apa,” tegur Tengku Ezairul kasar dengan mata yang masih terpejam.

Maria terperanjat dan terus meletakkan cawan tersebut di atas meja kecil. Selepas itu, dia terus masuk ke biliknya.

Sebaik sahaja Maria pergi, Tengku Ezairul membuka matanya. Dari jauh dia melihat bilik pembantu baru Vila istana.

KEESOKAN paginya, Maria membuat sandwich telur dan tuna. Timah pula membakar roti. Selepas itu, dia menghidangkannya di atas meja makan.

“Selamat pagi pak engku,” sapa Maria sebaik sahaja dia ternampak kelibat Tengku Zafrul.

Tengku Ezairul berjalan belakang Tengku Zafrul dan sempat dia mencuri pandang pada Maria.

“Jemput makan pak engku, Tengku...” kata Maria lagi.

“Bonda mana ayahanda?” tanya Tengku Ezairul sambil membetulkan tali lehernya. Matanya melirik sekilas pada Maria.

“Dalam tandas tadi. Kejap lagi turunlah tu,” jawab Tengku Zafrul.

Maria mencapai beberapa sandwich telur dan tuna. Kemudian diletakkan di atas pinggan Tengku Zafrul. Ketika dia mahu meletakkan di atas pinggan Tengku Ezairul, Tengku Ezairul secara perlahan menolak kasar tangan Maria hingga roti yang dipegang olehnya hampir jatuh ke lantai.

Maria terkejut dan cepat-cepat meletakkan kembali roti itu ke tempat asal.

“Mana Timah? Timah!” jerit Tengku Ezairul.

Kelam kabut Timah datang. “Ya Tengku.”

“Mana roti bakar aku! Macam biasalah kerja awak pagi-pagi,” kata Tengku Ezairul serius.

Timah cepat-cepat mencapai roti bakar dan diletakkan di atas pinggan Tengku Ezairul.

Maria berlalu ke dapur.

Timah mengikut jejak Maria. “Maria, jangan ambil hati sangat dengan anak pak engku tu. Dia tu memang macam tu. Cerewet dan bengis,” kata Timah perlahan takut sekiranya Tengku Ezairul dengar.

“Tak apa, Timah. Maria tak ambil hati pun. Itu perkara kecil aje.”

“Kau orang mengumpat pasal aku ke?” tiba-tiba Tengku Ezairul muncul di dapur.

Terkejut Maria dan Timah. Pucat muka mereka.

Maria memandang Tengku Ezairul yang sedang memandangnya dengan tajam.

“Tak adalah, Tengku. Kami borak-borak biasa aje,” kata Timah takut-takut.

Tengku Ezairul berlalu pergi. Lega hati Maria dan Timah.

“Huh! Nasib baik. Kalau tak teruk kita kena maki hamun dengan singa jantan tu,” kata Timah.

Maria tersenyum. “Timah, Maria nak siram pokok bunga kat luar tu. Pak Mat tak sempat nak siram pokok tu. Dia mintak tolong Maria.”

“Okey. Maria pergilah. Lagipun tak ada apa dah nak buat kat dapur ni.”

Mereka berbalas senyuman. Maria ke taman Vila istana. Dari situ Maria dapat lihat Tengku Ezairul sedang bercakap dengan seorang lelaki. Lelaki itu kemudiannya membuka pintu untuk Tengku Ezairul. Dia memerhati lagi. Macam pernah jumpa aje lelaki tu. Tapi tak ingat kat mana pula.

Sebaik sahaja Lexus keluar dari pintu pagar Vila istana, Maria meneruskan kerjanya. Sebaik saja dia mahu memulas paip air, Tengku Alyah sedang merenung tajam kepada Maria. Terkejut Maria bercampur takut.

“Apa yang awak tengok tu? Lelaki tadi tu anak sulung saya, Tengku Ezairul. Sorang lagi tu pengawal peribadi dia,” beritahu Tengku Alyah tanpa ditanya.

Maria mengangguk.

“Kat sana saya ada beli pokok bunga yang baru. Pasu pun ada sekali. Tolong masukkan bunga tersebut dalam pasu dan letak di sini,” arah Tengku Alyah.

“Baik, mak engku. Saya akan buat nanti,” jawab Maria.

Tengku Alyah terus pergi meninggalkan Maria.

Maria dan Timah bertungkus lumus menyediakan makan tengah hari.

“Boleh cepat sikit tak? Kejap lagi pak engku nak balik. Pukul berapa dah ni? Tak siap-siap lagi. Apa yang korang berdua buat dari tadi? Macam nilah kalau dah ramai-ramai sangat kat dapur, berborak aje kerjanya!” marah Tengku Alyah.

“Maaf mak engku. Semua dah siap. Cuma nak hidangkan aje,” jawab Timah perlahan.

“Kalau aku cakap menjawab aje. Cepat hidang!” tengking Tengku Alyah dan terus keluar dari dapur.

Tengku Zafrul sudah tiba di meja makan. Dilihatnya meja lagi kosong. Maria dan Timah cepat-cepat menghidangkan makanan di atas meja.

“Maaf pak engku, lambat sikit. Jemputlah makan,” pelawa Maria lembut.

Tengku Zafrul memandang Maria. Terpegun dia melihat Maria. Gadis secantik ini menjadi orang gaji?

Tengku Alyah yang menyedari renungan suaminya kepada Maria rasa tidak sedap hati. Dengan rasa sedikit cemburu Tengku Alyah tetap menyudukan nasi ke dalam mulutnya.

Apabila Tengku Zafrul kembali ke pejabat, Tengku Alyah dengan rasa sakit hati terus ke dapur. Dia mahu menjenguk Maria. Apa yang orang gajinya itu sedang buat. Timah tiada di situ.

“Apa yang pak engku cakapkan pada kau tadi?” Keras suara Tengku Alyah.

Maria yang sedang mencuci pinggan mangkuk berasa kecut perut. “Err... tak ada apa-apa mak engku.”

“Kau jangan nak bohong! Beritahu aku apa yang laki aku cakap pada kau tadi. Baik kau cakap?” Tengku Alyah menghampiri Maria dan menolak kasar bahu Maria.

Maria terdorong ke belakang.

“Cakap!” Tengku Alyah menolak lagi bahu Maria tidak puas hati.

Maria menelan air liur. Kecut perutnya dengan panahan mata Tengku Alyah. “Pak engku cuma cakap saya masak sedap.”

“Huh!” Tengku Alyah mendengus kasar. Sakit hatinya. Sejak bila Tengku Zafrul ni pandai memuji orang. Dia bengang dan terus keluar.

Maria tersandar di sinki. Dia rasa mahu menangis dengan sikap kasar Tengku Alyah.

Maria sedang membersihkan halaman Vila istana, ketika Tengku Ezairul pulang dari kerja. Dia hanya mengerling sekilas lalu meneruskan kerjanya.

Tengku Ezairul keluar dari Lexus. “Malam ni kau tak payah datang ambil aku. Aku nak drive sendiri.”

“Bos nak ke mana?Dating ke?” usik Adli sambil tersengih-sengih.

“Aku nak jumpa Shirin.”

Datinglah tu. Beruntung bos ada awek. Saya ni bila entah nak ada awek. Saya bukan tak hensem, tapi tak taulah kenapa perempuan lari setiap kali tengok saya.”

Tengku Ezairul ketawa kecil. Macam-macamlah Adli ni.

“Err bos... Bila lagi kita nak ke rumah anak yatim hari tu?”

Dahi Tengku Ezairul berkerut. “Kenapa nak ke sana pula?”

“Saya nak jumpa dengan bidadari saya kat sana.”

Tengku Ezairul tersenyum. “Kau pergilah sorang-sorang. Tak kuasa aku. Dah pergi balik.”

“Baik, bos,” kata Adli lalu berlalu pergi.

Ketika Tengku Ezairul hendak masuk ke dalam rumah, dia terpandang Maria yang sedang menyelitkan bunga raya di cuping telinga. Rambut pembantu baru itu dilepaskan panjang separas pinggang. Kemudian Maria senyum menampakkan lesung pipitnya. Dia jadi tidak keruan. Dia menghampiri Maria.

Maria yang leka menggunting ranting-ranting kayu yang rosak tidak menyedari kehadiran Tengku Ezairul. Ketika dia hendak berpusing ke belakang, tubuhnya hampir melanggar Tengku Ezairul. Dia tergamam.

Tengku Ezairul merenung Maria dengan tajam.

Maria mengundur ke belakang. Tapi malangnya pasu-pasu itu menghalang.

Mata Tengku Ezairul menakluk mata Maria. Dia terpana seketika melihat mata coklat cair milik gadis ini.

“Kau ingat mak bapak aku bayar gaji kau untuk berangan ke?” tanya Tengku Ezairul dengan suara yang kuat.

“Maafkan saya. Saya tengah gunting bunga ni.”

Dengan kasar, Tengku Ezairul menarik bunga yang terselit di telinga Maria. Direntap bunga itu dengan kasar dan dicampakkan ke tanah.

“Kalau kau nak kerja lama kat vila ni, jangan nak berangan aje. Kau tak nampak ke yang aku baru balik kerja tadi. Sepatutnya kau buatkan aku air. Atau kau memang buta tak ada mata!” tengking Tengku Ezairul lagi.

Maria hanya diam. Namun, dalam hati dia menyumpah Tengku Ezairul. ‘Harapkan rupa saja kacak tapi mulut tak ada insuran.’

“Sekarang kau buatkan aku air! Cepat!” jerkah Tengku Ezairul lagi.

Dengan rasa takut, Maria segera masuk ke Vila istana. Dia membancuh teh panas.

“Air apa kau buat tu?” tegur Tengku Ezairul kasar.

Air yang dipegang Maria hampir tumpah. Maria benar-benar ketakutan. “Teh panas.”

“Aku tak nak teh panas. Kenapalah kau ni bengap sangat? Kenapa tak tanya aku dulu? Kan dah kena buang teh panas tu. Kau ingat murah ke nak beli teh dan gula tu! Ingat murah ke nak bayar bil air ni?”

Maria hanya tunduk sambil menahan rasa sakit hati.

“Yang kau tunduk tu kenapa? Bila aku cakap pandang muka aku!”

Maria terpaksa memandang Tengku Ezairul.

“Patutnya kau tanya aku nak minum air apa? Tanyalah!” tengking Tengku Ezairul lagi.

“Err... Tengku nak minum air apa?”

“Hah, macam nilah. Lain kali tanya aku dulu air apa yang aku nak minum. Jangan nak buat pandai! Buatkan aku Milo panas!” Tengku Ezairul duduk di meja makan. Sengaja dia duduk di situ mahu mengenakan Maria. Baru padan dengan muka kau. Ingat senang ke nak jadi orang gaji di Vila istana ni.

Maria segera membancuh Milo panas di dalam gelas. Dia rasa tidak selesa apabila Tengku Ezairul turut berada di situ. Kemudian dia menghulurkan gelas tersebut kepada Tengku Ezairul.

Tengku Ezairul menyambut gelas tersebut dan terus minum. “Woi... Apa ni panas? Kau nak bagi aku mampus ke?” Dengan wajah menyinga, dia terus bangun dan menghampiri Maria. “Ooo... kau nak balas dendam ya sebab aku berkasar dengan kau tadi?” duga Tengku Ezairul sambil mendekatkan tubuhnya pada Maria. Sengaja mahu menakutkan Maria.

“Tak, Tengku. Tadi Tengku cakap nak Milo panas. Saya buatlah,” jawab Maria takut-takut. Tajam mata Tengku Ezairul seperti singa lapar.

“Ooo... menjawab. Jaga kau. Kau rasa sendiri Milo ni panas atau tak.” Tangan Tengku Ezairul mencapai gelas tersebut dan memegang muka Maria. Dia memaksa Maria meneguk Milo panas itu.

Maria meronta-ronta. Tanpa belas kasihan, Tengku Ezairul mencurah Milo panas itu ke dalam mulut Maria.

Maria menyemburkan kembali Milo tersebut. Dengan kekuatan yang ada, dia menolak tubuh tinggi Tengku Ezairul dan berlari masuk ke biliknya. Mulutnya terasa panas kerana terminum Milo panas itu.

Dia sedar yang dia hanya orang gaji tapi dia juga punya hati dan perasaan. Ada rasa takut, sakit dan pedih. Tengku Ezairul betul-betul tidak berhati perut.

Tengku Ezairul menghempas kuat gelas tersebut. Milo panas terlekat di baju kemejanya kerana semburan Maria.

Jaga kau! Melawan ya. Tengoklah nanti aku akan buat kau derita seumur hidup kau! Dia masuk ke biliknya dengan perasaan tidak puas hati. Entah mengapa, dia benci melihat orang gaji baru Vila istana ini.



---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Di dalam bilik, Maria menangis. Hatinya teramat sedih dengan perlakuan yang ditunjukkan oleh Tengku Alyah dan Tengku Ezairul. Kedua manusia itu seperti membenci dirinya.

Inilah pertama kali Maria berdepan dengan situasi begini. Baru tiga hari dia tinggal di Vila istana, macam-macam sudah berlaku.

Bukan besar manapun kesalahan yang dia lakukan. Cuma tersalah membuat air sehingga dia dihukum sebegitu. Tidak berbaloi kesalahan yang dia lakukan.

Maria mengesat lagi pipinya. Maria mencapai tuala untuk membersihkan dirinya.

Maria ke dapur. Dilihatnya Timah sedang menyediakan makan malam. “Kenapa tak panggil Maria tadi?” Dia menghampiri Timah.

Timah memandang Maria. “Kenapa bibir Maria tu? Macam luka aje?” tanya Timah hairan.

Maria menyentuh bibirnya dan berpura-pura senyum. “Err... tak ada apa-apa. Petang tadi Maria buat Milo panas.”

“Lepas tu apa jadi?” Tengku Ezairul menyampuk dari belakang.

Maria ketakutan. Dia tidak berani memandang Tengku Ezairul.

“Ceritalah. Aku pun nak tahu jugak apa jadi dengan bibir kau tu,” kata Tengku Ezairul sambil membuka peti sejuk. Botol air dikeluarkan dan dituang dalam gelas.

Timah menguis-nguis tangan Maria supaya bercerita. Kalau Tengku Ezairul suruh, mesti dibuat. Kalau tak, kena maki hamun.

“Saya minum Milo panas tadi,” jawab Maria dengan seribu ketakutan.

“Dah tahu Milo tu panas, kenapa kau minum? Tak ada otak ke?” Tengku Ezairul berterusan menyakitkan hati Maria. Dijeling bibir Maria yang merah seperti luka itu.

Timah keluar dari dapur. Dia mahu mengambil sesuatu di belakang Vila istana. Tinggallah Maria dan Tengku Ezairul.

“Hei perempuan, dengar sini! Jangan nak adukan pada sesiapa apa yang telah berlaku petang tadi. Kalau tak, nahas kau aku kerjakan!” ugut Tengku Ezairul. Dia berdiri terlalu dekat di belakang Maria.

Maria memejamkan matanya kerana takut. Dalam ketakutan, dia mengangguk. Dia dapat dengar ketawa jahat Tengku Ezairul di cuping telinganya.

Kemudian Tengku Ezairul keluar dari dapur.

“Ke mana lagi nak pergi tu Ezairul?” tegur Tengku Alyah yang sedang menuruni tangga.

Tidak jadi Tengku Ezairul melangkah keluar. Sebaliknya dia membuka televisyen dan mencari cerita yang menarik. CSI Miami menjadi pilihannya.

“Tak ke mana-manalah bonda,” jawab Tengku Ezairul.

“Ni pakai hensem-hensem, takkan nak duduk rumah pulak malam-malam macam ni,” kata Tengku Alyah sambil duduk.

“Anak bonda ni kan memang hensem.” Tengku Ezairul ketawa.

“Bonda tak suka Zairul berkawan dengan pramugari tu.”

Tengku Ezairul terkejut. Apa yang bondanya merepek ni. “Kenapa bond? tak suka sangat Zairul kawan dengan Shirin tu?” soal Tengku Ezairul tidak puas hati.

“Ooo... Shirin namanya. Zairul nak tahu kenapa bonda tak suka pada si Shirin tu?”

“Dia ada buat salah ke pada bonda?”

“Sebab Shirin tu bukan keturunan macam kita,” jawab Tengku Alyah keras.

Nonsense. Apa salahnya kalau kami kahwin. Rosak ke keturunan kita?”

“Memang akan rosak. Mana ada keturunan kita berkahwin dengan orang biasa. Paling jauh pun dengan anak-anak menteri. Bonda memang tak setuju kalau Zairul nak kahwin dengan Shirin.”

“Zairul yang nak kahwin bonda. Zairul tahulah.” Tengku Ezairul terus bangun. Dia hendak keluar dengan Shirin.

“Tengok tu... cakap sikit merajuk.”

“Zairul nak keluar. Nak jumpa Shirin. Bakal menantu bonda tu.” Sengaja Tengku Ezairul berkata untuk menyakitkan hati Tengku Alyah.

Tengku Alyah berasa geram. Kalaulah Tengku Ezairul itu masih kecil, sudah pasti dipukul-pukulnya Tengku Ezairul sampai lebam.


Bersambung….





Previous: Bab 4 & 5
Next: Bab 8 & 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.