Home Novel Cinta Setelah Hati Berbunga
Setelah Hati Berbunga
Iris Ixora
7/3/2014 22:59:30
10,724
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog 1

Prolog 1

Lelaki itu berjalan mundar-mandir. Mukanya kelat dan sesekali mengetap bibir. Matanya merah, bersinar-sinar memandang ke arah isterinya yang sedang menangis terisak-isak di tepi dinding dapur. Sudah sebulan dia menahan marah. Marah kerana dia menerima panggilan daripada seorang lelaki. Lelaki itu membuka rahsia kecurangan isterinya dengan bekas suaminya. Agar marahnya tidak berlarutan, dia membawa isterinya pulang ke rumah ayah dan emaknya di kampung.

Petang itu ketika emak dan ayahnya keluar ke pekan dan isterinya berada di dapur, dia menerima panggilan daripada lelaki yang sama. Memberitahu perkara yang sama. CURANG! Kini lahar marahnya kembali membuak-buak.

Sebelum pulang ke kampung, dia menyoal isterinya secara baik. "Betul awak tidak ada apa-apa hubungan dengan bekas suami awak?"

Isterinya menafikan. Ketika itu tahap marahnya masih terkawal. Tetapi, kini sabarnya sudah benar-benar tercabar apabila pemanggil itu memanggilnya Pak Sanggup, lelaki dayus dan lelaki bacul.

"Baik awak mengaku! Awak sebenarnya ada hubungan sulit dengan bekas suami awak. Kalau awak tak nak mengaku juga, baik awak bungkus kain baju awak, saya hantar awak ke stesyen bas sekarang juga!" Lelaki itu merenung tepat ke dalam mata isterinya.

"Astaghfirullahalaziim. Percayalah bang, demi anak yang saya kandung ini." Isteri lelaki itu menangis hiba. "Setelah kami bercerai saya tidak ada hubungan apa-apa dengan dia! Tolonglah abang, jangan percaya. Semua tu fitnah..." Isterinya merayu lagi

Dia menyeringai ke arah isterinya. “Awak ingat saya ni bodoh sangat. Baju yang awak pakai pun dia boleh gambarkan pada saya. Masa dan ketikanya awak keluar pun dia tahu, masih tak jelas? Dan waktu itu, saya sedang berkursus di luar daerah. Tup-tup sembilan bulan lepas tu, awak mengandung!”

Kemudian dia menuding jari telunjuknya ke arah perut isterinya. “Sah, anak yang ada dalam perut awak tu, hasil hubungan sulit awak dengan bekas suami awak! Dan saya pulak yang terpaksa jadi pak sanggup! Sia-sia saya pilih dan tunggu awak untuk jadi suri dalam hidup saya!”

Isterinya hanya mampu menangis terisak-isak dengan menutup mukanya dengan kedua-dua telapak tangan. Perutnya yang memboyot terasa senak setelah terjatuh akibat terlanggar kerusi makan kerana mahu meluntut ke kaki suami.

Lelaki itu masih tidak berpuas hati. “Awak dengar sini baik-baik...” Membuak-buak dada lelaki itu menahan marah. Bengisnya menjadi-jadi seperti harimau kelaparan. “Saya tak mahu jadi suami dayus! Awak tu, pakai tudung! Tutup lingkup! Mengaji siang malam. Mulut bertasbih tak berhenti. Alim konon. Mahukan anak yang soleh! Tapi mengandung anak haram!”

Isterinya terus menangis. Tapi kali ini tangisannya lain benar. Tangis memohon belas dan kasihan sambil memegang perutnya. Kata-kata kesat suaminya sudah tidak kedengaran di telinganya. Yang dia tahu perutnya berdenyut-denyut.

“Aduh! Perut saya sakit, bang. Tolonglah saya...” rayunya dengan lelehan air mata.

“Jangan minta tolong dengan saya. Pergilah cari bekas suami awak! Dia kan bapak budak dalam perut tu! Biar anak itu mati, saya tidak peduli! Kalau dia hidup pun, buat malu keluarga!”

“Dah pecah ketuban, bang!” Muka isterinya pucat. Serta-merta isterinya berhenti menangis. “Tolonglah bang, bawa saya ke hospital...” Suaranya tertahan-tahan. Tubuh itu mengigil-gigil menahan kesakitan. Dia menyapu air mata yang tersisa dengan hujung lengan baju.

Lelaki itu nampak kain isterinya dibasahi air ketuban. Namun, sedikit pun tidak ada riak simpati pada muka lelaki itu. Yang ada hanya kebengisan dan kemarahan yang bergelora seperti lautan di musim tengkujuh.

“Tolonglah... saya. Kalau pun abang tak kesiankan saya, kesiankanlah anak yang bakal lahir ini.” Tangannya masih menampung perutnya yang semakin memulas-mulas tanda saat kelahiran semakin hampir.

“Eh,awak jangan mimpi yang saya akan tolong awak lahirkan budak tu!” Dia tersenyum pahit tanpa mempedulikan isterinya yang sedang mengerang kesakitan. “Saya bukan lelaki dayus tau! Boleh terima perbuatan sumbang awak! Kalau awak mati, anak awak pun ikut mati, dah kurang dua manusia berdosa dalam dunia ini!” Hentaknya lagi.

Petang itu, iblis memang sudah benar-benar memenuhi seluruh ruang dan urat nadinya. Dia bukan lagi manusia normal tetapi sudah diresapi dengan bisikan iblis. Dia tidak nampak, iblis sedang ketawa berdekah-dekah kerana lelaki itu sudah dapat ditaklukinya dengan api kemarahan.

“Astaghfirullahalazim...” Isterinya mengucap panjang kemudian dia menarik nafas perlahan-lahan. Giginya dikacip rapat, menahan sakit dengan mata tertutup. Kain yang dipakainya semakin kuyup.

Ketika itu, juga Haji Zakaria dan isterinya, Hajah Rukiah sampai di muka pintu. Mereka terkejut melihat menantunya, terjelepok di atas lantai. Serentak mereka mengucap panjang. Hajah Rukiah berlari naik dan terus memangku menantunya.

“Eh, Ehsan! Apa dah jadi?” jerkah Haji Zakaria, menjegilkan matanya ke arah Ehsan. “Kami tahu, walaupun Natrah tu isteri kamu, tapi dia anak orang! Kamu dah buang tabiat ke? Cepat kita bawa dia ke hospital! Nama saja Ehsan! Tapi, kat mana kamu campak ihsan kamu pada isteri kamu ni? Lelaki jenis apa kamu ini?” Tegang urat leher orang tua itu memarahi anaknya.

“Ayah nak bersubahat dengan perempuan jalang ni? Suka hati ayahlah! Saya tak nak ambil tahu. Tak nak masuk campur! Dan jangan cari saya selepas ni. Mulai hari ini, dia dengan anak dalam perut tu sekali adalah tanggungjawab mak dan ayah!” Ehsan terus angkat kaki.

Dia menghempas pintu depan. Mengejutkan ayah, emak dan isterinya. Lalu dia keluar dari rumah dan menghilangkan diri dalam kegelapan malam.


Next: Prolog 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Iris Ixora