Prolog 2
"SYAFIIIQQQ!” jerit Salmah.
“Semalam
lipstik akak ada atas meja solek ni. Sekarang dah ghaib! Kamu mesti tahu mana
lipstik tu! Kalau nak pinjam, mintalah izin dulu!”
Syafiq muncul di muka pintu bilik
kakaknya. “Eleh, Kak Sal ni. Mana kita tahu!” Dia menarik muka masam. Matanya
menjeling tajam ke arah kakaknya yang sedang bercekak pinggang.
“Hilang
lipstik, tuduh kita! Hilang bedak, tuduh kita! Hilang baju dalam pun, tuduh
kita. Nasib baik hilang seluar dalam tak tuduh kita! Ingat kita suka sangat
ambil barang Kak Sal!”
Salmah menjegilkan mata mendengar
jawapan Syafik. “Habis kalau bukan Syafiq, siapa yang nak ambil? Siapa lagi
yang ada dalam rumah ni? Takkan nenek kebayan yang ambil pulak?” Muka kakaknya
sudah mencuka.
“Nenek kebayan, oooi...” Nyaring
suara Syafiq. “Tolong bagitahu siapa yang ambil lipstik kakak aku...” Dia
mempermainkan kakaknya sambil bernyanyi.
“Tengok, bibir tu merah tu kenapa?
Kalau bukan lipstik akak yang Syafiq pakai, lipstik siapa? Tak malu, orang
lelaki pakai lipstik!”
“Opps!” Syafiq bergegas ke bilik
tidurnya. Cepat-cepat dia mencapai tisu lalu mengesat bibirnya yang merah
bergincu. Habis rahsia aku! Dia membuka laci. Tangannya ligat mencari sesuatu
di hujung laci. Ah, ada pun.
Dia bergegas semula ke luar bilik, mendapatkan
kakaknya yang bercekak pinggang. “Maaf. Mak masak kari, adik naik lori, masuk
dalam kuari, terus dia menari.” Dia menjulingkan matanya sambil menghulurkan
lipstik kakaknya dengan lagak orang yang sedang menari.
Salmah merampas lipstik di tangan
Syafiq. “Biul betul kamu ni! Apa kena kari, lori, kuari dengan lipstik akak?”
“Itu pantun spontan namanya. Kakak
ni tak ada seni bahasa langsung.”
“Itu bukan pantun spontan. Tapi
pantun pondan!” Salmah mencebik.
“Tak baik sebut perkataan ‘pondan’
tau! Sensitif sampai ke tulang hitam!” Melihat kakaknya hendak melangkah pergi,
Syafiq memanggil, “Kak, tunggu dulu. Syafiq nak pinjam sesuatu dari akak.
Boleh?”
“Pinjam?! Ini mesti kes nak pinjam
baju akak lagi. Akak beritahu opah nanti.”
“Eh, janganlah beritahu opah.
Nanti opah kena sakit jantung, menyesal seumur hidup akak.”
“Cabulnya mulut! Nak pinjam apa
kali ni? Gelang? Rantai?”
Syafiq tersengih-sengih. Giginya
yang jarang nampak jelas. Tangannya menggeliat ke kiri dan kanan.
“Pinjam apa?” tanya Salmah tidak
sabar lagi. “Terliuk-lentok macam cacing kepanasan. Geli akak tengok. Cakap
ajelah. Biar terang, jelas dan nyata!”
“Pinjam beg tangan merah akak,
boleh?” Pantas Syafiq memberitahu lalu tersengih lagi.
“Beg merah? Mana akak ada beg merah? Yang
mengerlip, opah punya tu adalah. Nak buat apa?”
“Haa... yang itulah. Tak payah
tanya kita nak buat apa. Suka hati kitalah. Takkan nak buat pergi mengail ikan
pulak. Yang penting, akak bagi pinjam ke tidak?” Suara Syafiq sudah separuh
merajuk.
“Kalau tak mahu bagitahu nak buat
apa, akak tak bagi pinjam.”
“Alah... akak ni menyibuk pulak.”
Mulut Syafiq sudah muncung. “Ada pertunjukan fesyen di sekolah.”
“Syafiq yang nak pakai ya?”
“Kawan Syafiqlah! Banyak betul
soalan akak. Macam inspektor polis pulak. Nak bagi pinjam ke tidak?” Syafiq
terus mendesak.
“Ambillah. Tapi jaga elok-elok
tau. Beg tu dah tak ada lagi di Malaysia ni. Antik!”
Syafiq tersenyum girang. Dia
mengenyitkan matanya dengan manja. “Macam itulah caranya. Kakak tua ayam didik,
kakak tua sayang adik.” Syafiq ketawa sambil berlenggang masuk ke dalam
biliknya.
“Eeiii, tak habis-habis dengan pantun
dia tu. Geliii!” kata Salmah tetapi dalam pada itu, dia bangga dengan kebolehan
adiknya yang bijak bermain kata-kata.
Setelah Syafiq berlalu, dia memerhati langkah
adiknya dengan sayu. ‘Kesian adik aku. Apalah nak jadi dengan dia nanti? Boleh
ke dia betul-betul jadi lelaki suatu hari nanti. Patutnya dia jadi pengganti
ayah, tapi...” Dia mengeluh panjang.
Wajah arwah bapanya terbayang-bayang di ruang mata. Matanya mula bergenang.