Home Novel Cinta Setelah Hati Berbunga
Setelah Hati Berbunga
Iris Ixora
7/3/2014 22:59:30
5,033
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog 2

Prolog 2


"SYAFIIIQQQ!” jerit Salmah.

“Semalam lipstik akak ada atas meja solek ni. Sekarang dah ghaib! Kamu mesti tahu mana lipstik tu! Kalau nak pinjam, mintalah izin dulu!”

Syafiq muncul di muka pintu bilik kakaknya. “Eleh, Kak Sal ni. Mana kita tahu!” Dia menarik muka masam. Matanya menjeling tajam ke arah kakaknya yang sedang bercekak pinggang.

“Hilang lipstik, tuduh kita! Hilang bedak, tuduh kita! Hilang baju dalam pun, tuduh kita. Nasib baik hilang seluar dalam tak tuduh kita! Ingat kita suka sangat ambil barang Kak Sal!”

Salmah menjegilkan mata mendengar jawapan Syafik. “Habis kalau bukan Syafiq, siapa yang nak ambil? Siapa lagi yang ada dalam rumah ni? Takkan nenek kebayan yang ambil pulak?” Muka kakaknya sudah mencuka.

“Nenek kebayan, oooi...” Nyaring suara Syafiq. “Tolong bagitahu siapa yang ambil lipstik kakak aku...” Dia mempermainkan kakaknya sambil bernyanyi.

“Tengok, bibir tu merah tu kenapa? Kalau bukan lipstik akak yang Syafiq pakai, lipstik siapa? Tak malu, orang lelaki pakai lipstik!”

“Opps!” Syafiq bergegas ke bilik tidurnya. Cepat-cepat dia mencapai tisu lalu mengesat bibirnya yang merah bergincu. Habis rahsia aku! Dia membuka laci. Tangannya ligat mencari sesuatu di hujung laci. Ah, ada pun.

Dia bergegas semula ke luar bilik, mendapatkan kakaknya yang bercekak pinggang. “Maaf. Mak masak kari, adik naik lori, masuk dalam kuari, terus dia menari.” Dia menjulingkan matanya sambil menghulurkan lipstik kakaknya dengan lagak orang yang sedang menari.

Salmah merampas lipstik di tangan Syafiq. “Biul betul kamu ni! Apa kena kari, lori, kuari dengan lipstik akak?”

“Itu pantun spontan namanya. Kakak ni tak ada seni bahasa langsung.”

“Itu bukan pantun spontan. Tapi pantun pondan!” Salmah mencebik.

“Tak baik sebut perkataan ‘pondan’ tau! Sensitif sampai ke tulang hitam!” Melihat kakaknya hendak melangkah pergi, Syafiq memanggil, “Kak, tunggu dulu. Syafiq nak pinjam sesuatu dari akak. Boleh?”

“Pinjam?! Ini mesti kes nak pinjam baju akak lagi. Akak beritahu opah nanti.”

“Eh, janganlah beritahu opah. Nanti opah kena sakit jantung, menyesal seumur hidup akak.”

“Cabulnya mulut! Nak pinjam apa kali ni? Gelang? Rantai?”

Syafiq tersengih-sengih. Giginya yang jarang nampak jelas. Tangannya menggeliat ke kiri dan kanan.

“Pinjam apa?” tanya Salmah tidak sabar lagi. “Terliuk-lentok macam cacing kepanasan. Geli akak tengok. Cakap ajelah. Biar terang, jelas dan nyata!”

“Pinjam beg tangan merah akak, boleh?” Pantas Syafiq memberitahu lalu tersengih lagi.

“Beg merah? Mana akak ada beg merah? Yang mengerlip, opah punya tu adalah. Nak buat apa?”

“Haa... yang itulah. Tak payah tanya kita nak buat apa. Suka hati kitalah. Takkan nak buat pergi mengail ikan pulak. Yang penting, akak bagi pinjam ke tidak?” Suara Syafiq sudah separuh merajuk.

“Kalau tak mahu bagitahu nak buat apa, akak tak bagi pinjam.”

“Alah... akak ni menyibuk pulak.” Mulut Syafiq sudah muncung. “Ada pertunjukan fesyen di sekolah.”

“Syafiq yang nak pakai ya?”

“Kawan Syafiqlah! Banyak betul soalan akak. Macam inspektor polis pulak. Nak bagi pinjam ke tidak?” Syafiq terus mendesak.

“Ambillah. Tapi jaga elok-elok tau. Beg tu dah tak ada lagi di Malaysia ni. Antik!”

Syafiq tersenyum girang. Dia mengenyitkan matanya dengan manja. “Macam itulah caranya. Kakak tua ayam didik, kakak tua sayang adik.” Syafiq ketawa sambil berlenggang masuk ke dalam biliknya.

“Eeiii, tak habis-habis dengan pantun dia tu. Geliii!” kata Salmah tetapi dalam pada itu, dia bangga dengan kebolehan adiknya yang bijak bermain kata-kata.

Setelah Syafiq berlalu, dia memerhati langkah adiknya dengan sayu. ‘Kesian adik aku. Apalah nak jadi dengan dia nanti? Boleh ke dia betul-betul jadi lelaki suatu hari nanti. Patutnya dia jadi pengganti ayah, tapi...” Dia mengeluh panjang.

Wajah arwah bapanya terbayang-bayang di ruang mata. Matanya mula bergenang.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Iris Ixora