Home Novel Cinta SOULMATE TUAN PROFESOR
SOULMATE TUAN PROFESOR
Batiah Hadi
29/10/2017 00:00:20
220,877
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Izzah balik lambat hari itu disebabkan oleh Prof Izmir bertegas untuk mengajar dia bagaimana untuk draf proposal. Bagus juga. Bila Izmir buat demikian dia terlupa tentang bekas teman lelakinya itu. Dia terlupa tentang peritnya putus cinta dengan Wafiq. Dia terlupa untuk menjadi mangsa dan bersedih tentangnya. Asalnya hati Izzah mahu memberontak pada Izmir dan tinggalkan semua waktu itu juga tapi hairannya bila dijerkah oleh Izmir dia terpaksa akur. Walaupun terpaksa tapi sepanjang proses draf itu ada banyak yang dia pelajari. Mereka di situ sehingga malam malahan bersolat maghrib di bilik masing-masing.

“Terima kasih Prof,” ucap Izzah tiba-tiba semasa dia menjenguk ke bilik Izmir sebelum pulang. Di sebalik dinginnya hati Izmir masih ada lagi secebis rasa kasihan dan memahami tentang kesedihan seseorang. Empati. Hati Izzah sedikit cair pada sisi Izmir itu. 


“Untuk apa?” tanya Izmir bersahaja. Buat muka tak faham. Hari sudah senja dan mereka bekerja seharian. Izmir sudah lama melonggarkan tali leher dan melipat lengan baju hingga ke siku. Dia baharu sahaja selesai menunaikan solat maghrib di biliknya dan mahu menutup laptopnya.  Di rambutnya masih lagi ada baki-baki wuduk. Wajahnya juga tampak segar dan berseri. Dan sekarang wajah itu memandang tepat pada Izzah. 

“Untuk tadi,” jawab Izzah memandang Izmir.

“No need to thank me. I guess you just need something to take your mind off. Saya faham apa yang awak alami tu. Lagipun kalau tak buat macam tu awak tak akan belajar tentang proposal tu. Bila saya paksa macam tu baru nak belajar. Itupun tak cukup lagi tu. Saya mahu awak buat rujukan lagi untuk komponen proposal. Boleh minta dari Erin nanti,”

“Ok Prof, will do,” akur Izzah. Izmir mengangguk.

“Saya nak balik dah dan kemudian pergi makan. You want to join?.,” ajaknya lembut. Dia nampak relaks dengan tangannya dalam saku seluar. Matanya memandang Izzah.

“Prof nak makan apa?” soal Izzah sementelah perutnya juga lapar saat itu.

“Ada satu gerai ni yang sedap masakannya. Saya teringin nak makan sesuatu,” ujar Izmir nampak teruja. 

“Saya pun lapar. Bolehlah saya pergi makan dengan Prof. Saya follow kereta Prof dari belakang ye?” Izmir mengangguk. Mereka keluar bersama-sama ke ruang parkir ke kereta masing-masing. Seperti yang dipersetujui Izzah mengikut kereta Izmir ke sebuah kawasan perumahan berdekatan.

Izmir membawa Izzah ke sebuah gerai yang nampak meriah di waktu malam dengan lampu-lampu led di lilit pada pokok-pokok sekitar gerai itu. Suasana sekitar seperti dalam taman pula. Musik popular dendangan kumpulan popular berkumandang. Gerai sudah mula dikunjungi.

“Sedap ke makan kat sini Prof?,” tanya Izzah bila mereka mengambil tempat di satu meja dinaungi daun-daun pokok terlilit lampu led. Mereka duduk mengadap di antara satu sama lain. Makan di situ tidaklah prestij tapi suasananya relax dan melegakan. Prof Izmir pun nampak relaks. Tiada lagi wajahnya yang berkerut memandang Izzah atau wajah garangnya. Ada rasa macam romantik pulak suasana lampu di situ.

“Bagi saya memang sedap terutama kueteow celupnya. You should try Izzah and let me know if you like it,” ujar Izmir. 

“Boleh juga. Saya cubalah. Saya tak pernah makan kue teow celup lagi,” akur Izzah. Izmir mengangguk dan tersenyum. Entah kenapa Izzah terpana sedikit dengan senyuman itu. Bila Izmir begitu dia rasa hatinya cair lagi. Izmir memanggil pelayan untuk membuat pesanan. Mereka pun memesan dua mangkuk keuteow celup dan 2 gelas minuman apple asam boi. Kebetulan minuman kegemaran mereka pun sama. Setelah itu Izmir ralit meneliti telefon bimbitnya. Mesej whatsapp dari ibunya tiba-tiba menerjah. Bertanya dia makan malam di rumah atau tidak. Pantas Izmir menjawab di skrin. Nanti rusuh pula hati wanita itu kalau anak bongsunya itu lambat balik. Memang begitulah selalu. Selalu saja mesej dari ibunya menerjah. Kalau tidak pun Izmir akan maklumkan kalau-kalau dia balik lambat.

Izzah pula membetulkan tudungnya yang turun sedikit ke dahinya. Dia masih belum arif memastikan tudungnya sentiasa terletak. Lain kali dia perlu tambah lagi pin di tudung untuk lebih kemas. Izzah kemudiannya memerhati sekeliling. Gerai itu mula dikunjungi oleh pelbagai golongan. Ada yang datang seorang, datang dengan keluarga bersama isteri dan anak-anak kecil atau yang sudah dewasa. Ada yang bersama kawan-kawan dan tak kurang juga sepasang kekasih. Memang sesuai juga untuk pasangan kekasih atau pengantin baru kerana suasananya yang romantik.

Izzah memerhatikan Izmir yang masih meneliti skrin telefonnya. Hari itu Izmir memakai kemeja putih dan seluar kelabu. Dia telah pun membuka tali lehernya. Keningnya kelihatan berkerut mungkin sedang meneliti whatsapp tentang kerja. Biasanya kalau hal berkenaan kerja Izmir memang nampak sangat serius. 

Tak lama kemudian makanan mereka pun sampai. Masing-masing menghadap semangkuk besar kueteow berkuah gelap. Kuahnya kuah sup tapi ada kacang dan serbuk cili berserta bebola daging. Kangkung dan daun ketumbar juga dimasukkan. Sebelum makan Izmir memerah jus limau nipis. Izzah pun mengikut. Tatkala dia menyudu kueteow itu ke mulutnya dan mula mengunyah Izzah mula terasa nikmatnya kueteow itu. Izzah makan sambil memejam mata. Izmir yang melihat tersenyum. Nampaknya Izzah juga sudah terjebak macam dia. Comel pula gadis itu pejam-pejam mata. Berpeluh-peluh mereka berdua makan. Memang tak dinafikan sedap kueteow celup yang dikatakan oleh Izmir itu.

“Sedaplah Prof,” ujar Izzah setuju. Dia menghirup kuah kueteow itu dengan penuh berselera lagi. Bebola daging yang lembut sedikit berserat menambah tekstur pada kueteow celup itu. 

“Kan saya dah cakap,” ujar Izmir.  Izzah tersenyum dan mengangguk-angguk.

“Lain kali kalau ada tempat yang sedap lagi Prof bagi tahulah saya. Saya ni kalau tang makan ke mana-mana pun sanggup,” ujar Izzah sambil tersenyum.

“Wah…tak sangka. Kalau tengok badan slim saja macam tak suka makan,” sindir Izmir. 

“Jangan terpengaruh dengan apa di pandangan mata. Saya memang agak kurus tapi suka makan dan sangat menghargai makanan yang sedap. Nikmat dunia tu Prof bila dapat makan sedap,” ujar Izzah tersengeh. Izmir mengangguk kemudian menghirup air epal asam boinya. Suasana senyap seketika antara mereka. Masing-masing sedang cuba untuk menghabiskan kuah kueteow yang lazat itu. Kalau boleh Izzah mahu menghirup semua dari mangkuk dihadapannya tetapi dia tak mahu pula Prof itu nampak dia seperti buruk lantak pula. 

 “Dulu Prof ambik Master di mana?” soal Izzah sambil menyudu baki kuah keow teow celup itu dengan penuh nikmat. Saja-saja peramah. Bila masing-masing senyap dia rasa tak selesa. 


“Saya…saya tak ambik Master. Lepas degree saya terus saja buat PhD,” jawab Izmir mengimbau semula perjalanan hidupnya. Dalam usia yang muda dia sudah ada cita-cita untuk terus menceburkan diri dalam bidang akademik. Dia datang dari keluarga biasa. Ibu dan bapanya kedua-duanya seorang guru. Mereka bukan ada harta yang nak ditinggalkan untuk dia dan abangnya Izran. Awal-awal lagi mereka dah tekankan supaya dia dan Izran cemerlang dalam akademik. 


Tak kaya tak apa tapi mesti kena berilmu, kata Encik Hakim. Itulah yang jadi tekad dalam hati Izmir. Ilmu mesti ada. Memang dia bukan kaya pun. Tiada duit berjuta dalam bank tapi dia ada banyak kertas-kertas jurnal tersebar kepada ramai penyelidik di dunia sejak dia memulakan pengajian PhD atas galakan dan panduan penyelianya dahulu. Mengenang berpuluh kertas journal itu digunakan oleh ramai penyelidik membuatkan dia rasa bangga. Itu sahaja sudah buat dia rasa kaya. Kaya di akhirat mudah-mudahan atas jariahnya kerana ilmu yang digunakan oleh orang lain dan bermanfaat itu sebenarnya satu jariah.


“Boleh ke macam tu Prof? Bukankah sebelum ambil PhD mesti ambil Master dulu?”

“Ye memang boleh. Kebanyakan universiti perlukan kelulusan Master, tapi lepas degree saya ditawarkan untuk lanjutkan ke tahap PhD oleh universiti yang saya pohon. Program fast track,”

“Oh macam tu…mesti sebab Prof otak genius ni…umur berapa Prof dah dapat PhD?” soal Izzah sangat berminat.

“Adalah dalam umur 27 tahun,” jawab Izmir.

“Wahhh…awalnya. Memang Prof ni orang geniuslah.  Muda lagi dah ada PhD. PhD tu kan susah. Kira tahap pencapaian akademik paling tinggi tu,” puji Izzah ikhlas. Izmir tersenyum memancarkan lesung pipitnya. Matanya bercahaya. Ah, terkesima pulak Izzah seketika dibuatnya. Jarang dia dapat lihat sisi Izmir itu.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.