Home Novel Cinta SOULMATE TUAN PROFESOR
SOULMATE TUAN PROFESOR
Batiah Hadi
29/10/2017 00:00:20
220,841
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

Izzah memang kecil hati dengan apa yang berlaku. Puan Julia seperti selalu memang tidak pernah memahami dirinya. Sekali lagi mamanya itu hanya mementingkan diri sendiri. Hubungan Izzah dan Puan Julia kembali dingin. Oleh kerana itu Izzah langsung terlupa untuk memberitahu Puan Julia tentang hasrat Puan Nora dan Encik Hakeem yang mahu datang meminang Izzah hujung minggu itu.


Izzah hanya ingat apabila dia menerima mesej whatsapp dari Izmir pagi itu. Selepas solat subuh dia kembali atas katil bermalasan sambil melirik mesej dan instagramnya memandangkan hari itu hari cuti.  Kelam kabut Izzah membaca mendapat mesej dari Izmir sehingga dia terjatuh dari katil. Mesejnya mengingatkan supaya Izzah dapat buat sesuatu untuk memastikan ibunya tidak akan bersetuju menerima pinangan Puan Nora dan Encik Hakeem. Menurutnya, Puan Nora dan rombongannya sedang menuju ke rumah Izzah.  Terus Izzah rasa panik. Tak cukup dengan itu Izzah yang berada di lantai terkejut lagi bila satu panggilan menerjah telefon bimbitnya. Rasa mahu terkeluar jantungnya bila mendengar suara garau Izmir pula di pagi-pagi buta.


“Izzah, kenapa awak tak jawab mesej saya?” marahnya.

“Err…baru nak jawab ni Prof. Tak sempat lagi,” jawab Izzah.

“Lambatlah awak ni. Parents saya dalam perjalanan ke rumah awak sekarang. Saya harap awak dah pujuk mak awak baik-baik untuk tidak terima pinangan mak saya tu,” ujar Izmir memberi amaran. 

“Jangan risau Prof. Mak saya tak akan setuju. Semua akan berjalan lancar,” janjinya tapi dia rasa berdebar kerana waktu yang singkat itu, sempatkah memujuk ibunya nanti?

“Better be good Izzah. Semuanya bergantung pada awak harini. Kalau gagal siaplah awak. Kalau apa-apa berlaku semuanya salah awak,”

“Baik Prof. Saya usahakan terbaik. Prof jangan risau. Ok bye Prof. Saya letak telefon dulu. Saya nak bersiap ni,” ujar Izzah lantas menekan punat di telefon bimbitnya. Selepas itu dia seperti tak cukup kaki menyiapkan dirinya. Padan muka dia. Aduhai mengapalah dia lupa yang Puan Nora dan Encik Hakeem akan datang hari tu untuk meminang? Dan yang paling buruk ialah dia sebenarnya belum berbincang langsung dengan ibunya tentang kedatangan mereka itu. Bahkan beritahu kedatangan mereka pun tidak. Tak cukup teruk lagi, Puan Nora dan rombongannya pula dalam perjalanan ke rumah Izzah.

 Izzah ada dalam 30 minit lagi.   Terus Izzah jadi tidak keruan. Izzah bersiap ala kadar. Sepasang baju kurung dan tudung express disarung selepas mandi 5 siram dan satu semburan minyak wangi. Bedak muka seadanya dan kemudian dia turun mencari ibunya. Ibunya pula baru lepas berkebun di depan rumah. Baru dia teringat rutin ibunya setiap pagi hujung minggu. Alamak!

“Ma, cepat mandi ma. Cepat.” suruh Izzah. Puan Julia yang memegang penyodok kecil siap dengan topi dan sarung tangan terpempan. Dia memandang hairan pada Izzah.

“Izzah, kamu ni dah kenapa suruh mama mandi pulak ni? Mama tak siap berkebun lagi ni,”

“Ma…dahlah tu ma…cepat ma…ada orang nak datang rumah ni,” ujar Izzah kelihatan terdesak.

“Siapa pulak nak datang ni?” soal Puan Julia hairan. Keningnya berkerut. Pantas Izzah menghampiri dan memegang tangan Puan Julia.

“Ada rombongan nak pinang Izzah ma,” ujar Izzah memandang wajah ibunya. Puan Julia sudah terlongo.

“Hah? Izzah. Kamu jangan buat lawak. Siapa pulak nak pinang kamu tu?” soal Puan Julia seperti tidak percaya.

“Betul ma..percayalah ma,”

“Izzah bukan nak prank mama kan?” ujar Puan Julia sangsi.

“Ma…percayalah. Betul Izzah cakap ni dan mereka semua dah on the way,”

“Hah!! Biar betul Izzah…kamu jangan nak main-main,” marah Puan Julia.

“Ma, tolonglah percaya. Memang mereka datang nak pinang Izzah. Dan Izzah harap mama tak terima pinangan tu sebab orang yang mereka nak kahwinkan dengan Izzah tu Izzah tak suka. Lagipun Izzah muda lagi jadi tak mau kahwin. Tolong ma ye. Say No sahaja pada wakil tu nanti, senang,” pinta Izzah mengurut belakang ibunya. Bodek sikit moga ibunya terima cadangannya.

“Eh kenapa pulak nak say no?  Nanti mama tengok dulu. Biar mereka datang barulah mama boleh decide. Mana boleh terus kata No,” protes Puan Julia. Izzah rasa mahu pengsan.

“Ma, Izzah tak suka orang tu. Orang yang nak kahwin dengan Izzah tu tak sesuai langsung. Dan dia akan sengsarakan hidup anak mama ni. Serius. Izzah tak tipu. Jadi, mama tak boleh langsung terima pinangan tu.  Inikan soal kebahagiaan Izzah, jadi mama kenalah ikut kata anak mama ni kan? Betul tak?,”

“Hmmm kamu ni bersungguh sangat tak mahu ni kenapa? Apa yang teruk sangat dengan lelaki yang nak pinang Izzah tu? Mama curious sebenarnya. Tengoklah nanti. Biar mama bersiap dulu. Kamu sediakan air dan potong kuih kek yang mama beli semalam. Kenapalah last minute baru Izzah bagi tahu?. Tak sempat mama nak goreng mee bagai tau. Rombongan meminang bukan biasa-biasa,” ujar Puan Julia tak puas hati.

“Izzah pun baru ingat. Sibuk dua tiga hari ni jadi Izzah lupa yang mereka nak datang ke rumah ni. Ma, cepatlah mandi ma. Cepatlah,” gesa Izzah.

“Yelah mama mandi…kamu ni kalau mendesak mama memang nombor satu. Suka betullah buat benda last minute macam ni. Hish…mama rasa macam nak ketuk kepala kamu ni!,” gerutu Puan Julia. Izzah hanya tersengeh macam kerang busuk kemudian berlalu ke dapur.  Memang salah dia kerana tak bersedia dengan semua itu lebih awal. Tapi apa nak buat. Mereka telah pun dalam perjalanan. Mahu tak mahu Puan Julia terpaksa mengikut kata-kata Izzah dan bersiap. 

 Rombongan meminang itu tiba selepas Puan Julia siap menukar pakaian. Izzah yang telah menyediakan air dan kek yang membukakan pintu. Puan Nora dan Encik Hakeem datang bersama 2 pasang suami isteri yang mereka perkenalkan sebagai ibu dan bapa saudara Izmir sebelah ayahnya. Izzah bersalaman dengan Puan Nora dan kedua ibu saudara Izmir lantas mempersilakan mereka semua masuk.  Selepas mereka duduk tak lama kemudian Puan Julia turun dan bersalaman dengan Puan Nora dan kedua-dua wanita yang mengiringi Puan Nora. Izzah terus teringat air dan kek yang telah disediakan. Izzah pun meminta diri untuk ke dapur. 

Encik Hakeem memperkenalkan dirinya dan Puan Nora kepada Puan Julia dan menyatakan hasrat kedatangan mereka semua. Izzah kembali ke ruang tamu menghidangkan seteko teh panas dan sepinggan kecil potongan kek di atas meja kopi. Kemudian dia duduk di sebelah ibunya.

“Kami berkenan dengan Izzah jadi kami ingin meminang Izzah untuk anak lelaki kami Izmir,” ujar Puan Nora setelah mereka memperkenalkan diri dan berbual sedikit sebanyak.

“Izmir yang mana? Bagaimana Puan dan Encik boleh kenal anak saya?” soal Puan Julia.

“Kami ni ibu bapa Prof Izmir. Izzah kan jadi RA Izmir?. Izmir ada bawa Izzah balik untuk bantu dia dengan penyelidikannya. Dari situ lah kami kenal Izzah. Ini gambar anak saya,” ujar Puan Nora. Puan Julia menyambut gambar yang dihulurkan. Dia memerhatikannya seketika. Inilah Professor itu. Puan Julia pernah sekali-sekala terserempak dengan Professor itu dalam sesetengah majlis di kolej itu.

“Prof Izmir? Betul ke ni? Alahai, saya ingatkan Izmir mana tadi. Macam tak percaya saya. Yelahkan, anak saya ni biasa-biasa saja. Encik dan Puan tak bergurau kan?,”

“Kami tak bergurau.…Izmir, anak kami tu belum berkahwin lagi sedangkan usia dia dah nak masuk umur 40 tahun. Dah lama kami tunggu dia bawa calon. Tiba-tiba dia bawa Izzah minggu lepas. Kami pun dah tahu Izzah macamana sewaktu dia berada di rumah kami semalaman. Itu yang kami ambik keputusan nak pinang Izzah kalau dia belum ada sesiapa,” ujar Puan Nora. Puan Julia melirik pada Izzah yang kelihatan resah sejak tadi. Susah untuk dia percaya yang Puan Nora boleh berkenan dengan Izzah sedangkan dia tahu perangai Izzah. Anak perempuannya itu bukanlah baik sangat dan selalu memeningkan kepala dia. Izzah membalas pandangan ibunya dengan isyarat mengeleng. Tak cukup dengan itu isyarat tangan pula. Puan Julia terdiam seketika. Dia teringat tentang masalah Izzah dengan Wafiq. Wafiq yang kembali menagih cinta Izzah. Semua itu merisaukan Puan Julia sejak akhir-akhir itu. 

“Oh begitu ke? Saya ni sebenarnya tak ada masalah nak terima pinangan ni. Anak saya pun tiada sesiapa. Kecil tapak tangan satu dulang saya tadahkan,” ujar Puan Julia bersemangat. Tiada sesiapa? Bulat mata Izzah. Nafasnya terasa sempit. Kenapa Puan Julia kata begitu? Bukankah dia sudah beritahu awal-awal yang dia tidak mahu berkahwin dengan Prof Izmir? Kenapa ibunya tak dengar langsung apa yang dia perkatakan? Dia tak sangka ibunya akan berkata begitu. Apa Puan Julia katakan tadi? Tak ada masalah untuk terima pinangan untuk Izzah? Sangat masalah. Bahkan ini satu bala. Tadi dia ingatkan Puan Julia akan menolak pinangan tersebut sebab dia tahu ibunya bukan mudah untuk dipujuk. Namun yang menghairankan, Puan Julia menerima pula tanpa bersoal lagi. Tak sedarkah dia yang anaknya itu masih muda?. Belum cukup untuk enjoy hidupnya lagi? Dan orang yang bakal dikahwinkan itu lebih tua banyak tahun dan seorang professor yang sengal? Bukan itu sahaja, Izzah tidak ada perasaan pada lelaki yang meminangnya itu. Sikit pun tidak. Dia masih sayangkan Wafiq!

“Alhamdulillah. Maksudnya pinangan kami diterimalah ye,”

“Nampaknya begitulah,” jawab Puan Julia. Izzah rasa mahu pengsan di situ!


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.