Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,853
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

Taman Bunga Larangan, Istana Makmur Gelang Putih.

WARDAH menjerit sekuat hati. Ngeri, ngeri, ngeri! Pengalaman patah kaki akibat jatuh pokok ketika berusia 10 tahun serta-merta menerpa memorinya. Dek kenakalannya mencuri buah mangga jirannya yang digelar Encik Yusri, dia mendapat balasan apabila terjatuh kerana digigit semut api di atas pokok.

"Tuanku puteri... tak apa-apa?"

Eh? Suara menenangkan jiwa milik seorang lelaki terus membuatkan Wardah berhenti menjerit lalu membuka mata. Dengan fikiran masih berkelabut, dia berasa dirinya tidak jejak tanah tetapi terapung di udara.

Lalu, juga dengan fikiran masih tidak betul, pantas dia memusatkan fikiran ke arah wajah seorang lelaki yang begitu dekat dengannya.

"Kazz..." tuturnya perlahan.

Ya Allah, kacak betul wajah lelaki ini. Walaupun lelaki itu berpakaian lengkap dalam sepersalinan baju Melayu diraja dari jenis songket tenun dan figuranya kelihatan amat klasik, namun ia mampu membuatkan jantung Wardah berdegup laju. Seketika, terbuai dia menikmati wajah putih bersih tersebut.

Sudah tiga tahun lamanya dia tidak menatap wajah lelaki yang amat dirinduinya. Kerana tidak mahu kerjaya lelaki itu dimusnahkan oleh Puan Suraya, dia terpaksa mengambil tindakan drastik memutuskan tali pertunangan. Padanya, biarlah dia berkorban asalkan orang kesayangannya ini berjaya mencapai cita-cita yang diingini.

"Tuanku puteri?"

Teguran buat kali kedua tersebut membuatkan Wardah tersedar daripada menilik wajah anak teruna orang. Seketika, matanya berkelip-kelip mencerna situasi yang berlaku.

Okey, betul dia terpesona dengan raut wajah lelaki yang menyerupai Ahwaz Zulfan itu. Namun, apa yang penting lagi adalah... kenapa dia tidak jatuh ke tanah? Bukan ke dia tadi tergelincir dari dahan pokok?

"Ampun tuanku Sultan Nadim Alam." Beramai-ramai, para pengawal, inang dan dayangnya mengangkat sembah kepada lelaki itu.

'Eh? Sultan Nadim Alam?' Wardah bermonolog sendirian.

Lantas, dia melihat sekali lagi ke wajah lelaki itu. Kemudian, dia berpaling kepada para pengikut lelaki tersebut. Lagi, dia melihat pula kepada para pengikutnya. Sebaik sahaja otaknya dapat memproses apa sebenarnya yang sedang berlaku, dia berasa aliran darah terus menyerbu ke mukanya. Dia malu!

Ketika ini, elok saja badannya berada di dalam cempungan lelaki yang dipanggil Sultan Nadim Alam dengan gaya bridal style. Ya Rabbi, apakah ini? Kasanova berjaya itu menyentuh dirinya?

Tak boleh! Dia takkan membenarkannya! Selamatkan ke tak selamatkan ke, itu hal lain. Halnya sekarang ini adalah, sultan itu tak reti-reti ke nak lepaskan dia? Banyak cantik!

"Hiargh!" tempik Wardah seraya menghadiahkan ke muka sultan itu sebiji tumbukan.

Namun, malangnya tumbukan tersebut hanya membelah angin apabila si sultan terlebih dahulu pantas mengelak daripada dihentam dengan tumbukan padunya. Berasa semakin tidak puas hati, dia menumbuk pula dada lelaki itu berkali-kali dan sengaja pula menggelupur hebat sehinggalah cempungan si sultan mulai longgar.

"Kasanova! Jijik!" tempik Wardah.

Lantas, dengan jurus terakhir teknik Judo, dia mengiring sedikit ke kanan lalu menghadiahkan benaman lututnya kirinya ke dada si sultan. Efek daripada tindakannya, cempungan lelaki itu terlepaskan lalu batang tubuh kecil moleknya terhempas ke tanah.

"Aduh..." Wardah menggosok-gosok belakang badan dan pinggangnya. Dia jatuh terduduk, tahu?

"Tuanku puteri!"

"Tuanku!"

Baik di pihak Wardah mahupun si sultan, kedua-dua pengiring masing-masing kalut mendapatkan mereka berdua. Dia cara dia, si sultan pula caranya. Namun, apa yang pasti adalah suasana ketika itu sangat kecoh dan gegak-gempita bagaikan di medan peperangan saja gayanya!

"Beta tak apa-apa. I'm okey, don't worry."

Sayup-sayup kedengaran di telinga Wardah suara si sultan menenangkan para pengikutnya. Namun, sebaik sahaja ayat terakhir tersebut menyentuh deria pendengarannya, dia terus terkejung. Ada ke orang Melayu pandai berbahasa Inggeris pada tahun 1021? Sudahlah penggunaan ayatnya betul, lancar pula pertuturannya.

"Tuanku puteri tak apa-apa? Maafkan beta."

Si sultan mendapatkan Wardah yang masih terduduk di atas tanah dengan fikiran masih berkelabut dan nampak terawang-awangan. Lantas, dia merendahkan badannya lalu dengan mata penuh disinari kasih, dia menghulurkan senyuman manis kepada Wardah.

"Kau... siapa?" soal Wardah dengan wajah berkerut hebat.

Sumpah dia keliru sekarang. Dengar katanya, lelaki di hadapannya ini adalah Sultan Nadim Alam si buaya tembaga bapa segala naga yang menakluk gelaran kasanova berjaya. Tetapi, kenapa aura yang terpancar daripada gerak laku lelaki ini sangat bertentangan dengan apa yang dikhabarkan kepadanya?

Serius, perilaku lelaki di hadapannya ini bagaikan Ahwaz Zulfan. Dia kenal macam mana perangai bekas tunangnya dek sejak kecil lagi mereka berkawan baik. Ahwaz adalah seorang yang baik peribadinya, lembut tutur katanya dan sangat manis senyumannya. Senang kata, Ahwaz mempunyai pakej suami misali.

"Beta..."

"Tuanku, kita perlu berangkat segera. Jika tidak, tuanku mungkin akan terlepas perjumpaan dengan saudagar sutera dari Tanah Besar China."

Tanpa sempat si sultan bertutur panjang, seorang lelaki berbadan kekar dan berambut panjang tetapi kemas terlebih dahulu berbicara perlahan sebagai peringatan kepada sultannya bahawa mereka harus segera pulang.

Kepada Wardah, lelaki itu hanya mengangkat sembah hormat sebagai permohonan maaf bahawa dia harus membawa pulang sultan mereka.

"Ha, pergilah. Pergi," ujar Wardah dingin.

"Inang. Aku pun nak balik. Dah tak ada mood." Kepada Inang Sejahtera, dia menghulurkan tangan untuk bangun.

Betul, dia sudah tidak ada mood sekarang. Bukan sebab berita kepulangan si sultan tanpa mengetahui identiti sebenarnya yang menjadikannya begitu, tetapi dia terlihat sesuatu yang tidak disangka-sangka pada pergelangan tangan si sultan. Dan... benda itu membuatkan hatinya sakit serta pedih.

Betul ke sultan itu adalah Sultan Nadim Alam? Entahlah, kali ini dia betul-betul pasti bahawa sultan itu bukan si sultan kasanova yang merosakkan anak gadis orang. Dia yakin... sultan itu adalah Ahwaz Zulfan.

Tetapi, dia hairan. Jika sultan itu adalah Ahwaz, kenapa Ahwaz seolah-olah tidak mengenalinya? Lagipun, wajahnya sebagai Puteri Indah Kencana di dunia ini sama sahaja dengan wajahnya di dunia realiti. Cuma, fesyen pakaiannya sahaja sangat berbeza.

Jika di dunia realiti dia berpakaian kasual, kini di sini pula dia berpakaian mengikut zaman klasik. Berkebaya songket tenun sutera dan berkelubung batik. Jadi, janganlah cakap yang Ahwaz tidak mengecamnya.

"Tuanku? Mari kita pulang," ajak Inang Sejahtera.

Ajakan tersebut akhirnya membuatkan Wardah sedar bahawasanya Ahwaz mungkin juga hilang ingatan terhadap dirinya. Ya, mungkin. Aina sudah memaklumkan perkara ini kepadanya tempoh hari bahawa kapten pasukan Psychic Eagle itu mengalami amnesia terutamanya dalam ingatan terhadap game. Jadi, persoalan sama ada Ahwaz akan turut melupakan dirinya, itu dia tidak pasti.

"Haih," keluh Wardah. Figura si sultan bersama rombongannya yang kian menghilang dari pandangan ditenung lagi dengan perasaan bercampur baur.

Kenapa pula Ahwaz yang menjadi sultan di dalam game ini? Bukan ke Sultan Nadim Alam merupakan karakter lain yang memang diprogramkan untuk menjadi penjahat?

Apa sebenarnya yang Ahwaz fikirkan? Kenapa Ahwaz tetap memakai jam tangan pemberiannya walaupun hubungan mereka sudah putus di tengah jalan? Ya Allah, dia kebingungan!



Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.