Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,862
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9

Balairung Seri Istana Makmur, Gelang Putih.

AHWAZ menumpukan lagi perhatiannya kepada wajah penguasa negeri Gelang Putih di hadapannya. Sebenarnya, dia agak gerun dengan lelaki yang digelar sebagai Raja Dewata Perwira ini. Yalah, ayahanda kepada gadis yang bakal dipinangnya memang dikenali sebagai raja naga dek perangainya yang garang semacam naga.

"Beta amat gembira dengan kesudian tuanku memperisterikan anakanda tunggal beta."

Tutur kata Raja Dewata Perwira yang bersalut teruja disambut dengan senyuman oleh Ahwaz. Sejujurnya, bukanlah kehendaknya semua perkara ini berlaku. Ah, tolonglah! Dia tak nak berkahwin dengan Puteri Indah Kencana. Dia hanya mahu memperisterikan Wardah Azkiya. Tapi, itulah...

"Beta juga gembira kerana tuanku sudi melepaskan puteri kesayangan tuanku kepada beta," jawab Ahwaz.

Sekonyong-konyongnya, Ahwaz berasa geli anak tekak mengucapkan perkataan tersebut. Dia gembira dapat berkahwin dengan sang puteri idaman putera raja lain? Kalaulah hatinya lutsinar, tentu saja orang lain dapat mengetahui isi hatinya yang sebenar bahawa dia amat tidak sukakan rancangan gila daripada Sultan Nadim Alam.

Dua hari lepas, dia sudah mengetahui perihal watak sultan tersebut melalui Imam Lebai. Jadi, betullah agakan awalnya bahawa sultan itu merupakan sultan zalim dan gilakan perempuan. Buktinya, seramai 99 orang perempuan sudah dijadikan sebagai gundiknya.

Namun, Sultan Nadim Alam tetap tidak mengangkat darjat salah seorang daripada mereka sebagai permaisuri. Katanya, hanya Puteri Indah Kencana dari kerajaan Gelang Putih sahaja yang layak diangkat martabat sebagai isteri kerana puteri tersebut berstatus tinggi. Lagipun, kerajaan tersebut gah di mata dunia.

Oleh kerana itu, dalam tempoh tersebut, dia berusaha mencari maklumat mengenai Puteri Indah Kencana. Hasil daripada maklumat yang diperolehi, dia juga terpaksa akur bahawa puteri tersebut merupakan seorang gadis hebat. Gengster pun, ya juga apabila gadis tersebut pernah membelasah pengawal yang menghalangnya daripada keluar dari istana.

"Kira jadilah ya. Dalam tiga hari lagi, majlis nikah akan diadakan. Pesta tujuh hari tujuh malam. Hahaha," beritahu Raja Dewata Perwira lalu ketawa besar.

"Setuju," balas Ahwaz sepatah dengan ketawa kecil turut termeletus dari mulutnya.

Hipokrit semuanya! Mana mungkin dia sukakan perkahwinan ini? Jika tidak kerana ugutan Sultan Nadim Alam, dia takkan sesekali mencemarkan maruahnya macam ini sekali. Tetapi, itulah.

Macam mana dia mahu melepaskan diri daripada cengkaman sultan zalim itu sekali gus menyelamatkan Puteri Indah Kencana jika dia tidak menuruti rentak permainan tersebut?

Memorinya mengimbau kembali dialog tegang antaranya dan Sultan Nadim Alam pada petang semalam. Sungguh, dia benar-benar tersepit apabila diperlakukan sedemikian rupa oleh sultan tersebut. Sultan yang pada mulanya lembut gigi pada lidah terus bertukar karakter apabila keinginannya bagaikan ingin dicantas.

Teringatkan itu saja pun, Ahwaz berasa libang-libu. Kalaulah betul Sultan Nadim Alam cintakan Puteri Indah Kencana, sudah pasti perkataan 'bunuh' tidak akan keluar dari mulutnya. Jadi, baginya, sultan itu sekadar mahu memuaskan nafsu liarnya sendiri dengan menjadikan si puteri sebagai boneka.

Maka, atas dasar itulah akhirnya dia bersetuju juga untuk berangkat mencemar duli ke negeri Gelang Putih. Selain daripada meminang Puteri Indah Kencana, dia juga mahu memberikan amaran kepada puteri tersebut supaya berhati-hati dan kalau perlu, larilah dari situ jauh-jauh. Dia... tak sanggup melihat perempuan dilukai oleh lelaki zalim!

"Tuanku. Mari kita ke ruang santapan. Tukang masak beta masakkan makanan istimewa buat tuanku."

Ajakan daripada Raja Dewata Perwira serta-merta menyepaikan ingatan dalamnya terhadap rancangan jahat Sultan Nadim Alam. Lantas, dengan ekspresi muka kekal tenang, Ahwaz melontarkan senyuman setuju lalu terus mengikuti langkah tegap bakal bapa mentuanya tipu-tipunya. Akur sajalah, bukannya raja itu mengajak berbuat kemungkaran pun.

"Oh ya tuanku. Beta minta maaf awal-awal. Lepas pada majlis santapan ni, beta tak dapat nak iring tuanku pulang. Beta ada kunjungan daripada wakil dari India." Dengan riak bersalah, Raja Dewata Perwira tiba-tiba mengungkap kata.

"Tak apa, tuanku. Beta tak apa-apa. Lagipun, beta ada pengiring beta sendiri," jawab Ahwaz tenang seraya mengerling kepada Panglima Tangkas di sisinya.

"Kalau begitu, legalah hati beta." Raja Dewata Perwira menepuk lembut bahu bakal menantunya.

Bagus. Tiada apa yang cacat pada Sultan Nadim Alam di matanya. Biarpun orang kata bahawa sultan muda itu sangat zalim dan gilakan perempuan, dia tidak kisah. Padanya, itu hanyalah fitnah semata-mata. Dia sudah menghantar beberapa orang hulubalangnya yang boleh dipercayai untuk mengintip sultan itu. Namun, tiada bukti yang mengesahkan cakap-cakap tersebut.

"Mari, tuanku." Giliran Ahwaz pula berbasa-basi lalu mengajak masuk bakal bapa mentuanya ke ruangan santapan. Lantas, kedua-duanya beriringan masuk lalu mengambil tempat duduk masing-masing.

Di atas meja tersebut, banyak betul jenis makanan yang dihidangkan sampaikan Ahwaz tidak tahu makanan mana yang perlu dijamahnya terlebih dahulu. Semuanya nampak menarik, namun matanya lebih tertarik kepada itik panggang dan daging rusa gulai. Kenapa dia berasa hatinya begitu dekat dengan hidangan tersebut?

"Itik panggang dan gulai daging rusa ni, hidangan kegemaran tuanku Puteri Indah Kencana." Tanpa dipinta, Mak Melati menjelaskan dengan sopan apabila melihatkan bakal suami tuan puterinya merenung dalam makanan tersebut.

"Oh..." Ahwaz hanya mengangguk.

Tinggi juga selera makanan orang zaman dahulu kala. Tiba-tiba saja dia berasa senang berada di sini walhal sebab sebenar kenapa dia boleh tercampak di sini pun, dia masih gagal mengetahuinya. Disebabkan sakit kepalanya selalu menyerang setiap kali dia cuba berfikir, maka akhirnya dia hanya membiarkan semuanya berlalu begitu saja.

Padanya, mungkin ada hikmah kenapa rohnya dikembalikan ke zaman silam. Mungkin, ini juga adalah ujian buatnya supaya mengukuhkan lagi iman dan jati dirinya. Di alam ini, apa pun boleh terjadi. Namun, jauh di sudut hatinya, dia masih berharap agar dapat kembali ke tahun 2021 dan berjumpa semula dengan Wardah Azkiya.

"Tuanku puteri, jangan lari!"

Suara gegak-gempita di halaman istana terus memecahkan ingatan Ahwaz terhadap Wardah Azkiya dan peperangan dalamannya sendiri. "Tuanku puteri, jangan lari." Ayat tersebut berjaya memacu rasa ingin tahunya terhadap apa yang terjadi. Kenapa dia berasa bahawa tuan puteri itu bukanlah biasa-biasa orangnya?



Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.