Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,855
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

Ruang Legar, Istana Makmur Gelang Putih.

"TUAN puteri, berhenti!" jerit beberapa orang pengawal istana sambil berlari-lari mengejar langkah kencang Wardah.

"Jangan mimpilah..." Wardah berpaling ke belakang seraya menjelirkan lidahnya kepada para pengawal tersebut.

"Tuanku. Kasihanilah patik semua," rayu pula para inang yang turut sama berusaha menangkapnya.

"Memang taklah aku nak kesiankan kau orang. Siapa suruh ayahanda nak kahwinkan aku dengan sultan kasanova tu? Hell no!" balas Wardah dengan nada naik seoktaf. Lantas, dia menarik kain batik sarung yang dipakainya lalu melemparkannya ke muka ketua dayang.

Melihatkan tindakan berani si puteri, para pengawal dan dayang-dayang terkesima. Kenapa puteri kerajaan Gelang Putih ini berkelakuan sangat pelik daripada kebiasaan dan tanpa ada rasa malu pula, bertindak memecat kainnya di hadapan orang ramai? Mereka buntu.

"Yahoo! I'm free!" jeritnya pula puas hati. Serius, hatinya puas dapat memakai seluar trek panjang dek ia lagi melegakannya berbanding dengan terpaksa memakai kain batik sarung!

"Tuanku!" Inang Sejahtera mengelap peluh di dahi.

"Janganlah selalu panggil aku puteri. Rimas, tahu tak?" Wardah berpaling ke arah wanita gemuk di belakangnya.

Kesian juga dia menengok lagak para dayang dan pengawal yang ditugaskan untuk mengawalnya. Haih. Bukan salahnya, okey? Awal-awal lagi dia sudah berpesan kepada mereka supaya jangan mengikutnya, tetapi itulah... semuanya sejenis lembu dicucuk hidung oleh ayahandanya. Dia rimas dengan semua ini!

'Apa lagi aku boleh buat untuk hilangkan bosan?' Dia memandang pula ke arah sekeliling.

Bosan betullah zaman kesultanan Melayu tahun 1021. Kalau tahun 2021, boleh juga dia berperang dengan penjahat dan penjajah yang cuba menakluk Melaka. Tetapi sekarang, apa pun dia tidak boleh buat. Dalam diam, geramnya bertambah kerana diperdajalkan oleh rakan baiknya sendiri untuk ke zaman ini dengan menggunakan watak puteri diraja.

"Tuanku puteri, malam sudah hampir menjelma. Kiranya sudilah tuanku berangkat pulang," tutur Inang Sejahtera sambil tersengih teragak-agak.

Senja? Mendengarkan itu, Wardah tergelak keras bagaikan mak lampir mabuk todi. Eh, helo! Senja apa bendanya kalau matahari masih lagi tegak atas di kepala? Ini kalau kira, waktu baru lebih kurang jam empat petang. Kalau di zamannya, waktu ini dia masih sibuk di hospital melayan para pesakitnya yang kadangkala okey, ada ketikanya melalak tidak ketahuan.

"Tak nak." Wardah menyilang tangan ke dada sambil menjeling ke arah para inang yang kelihatan keresahan.

"Tapi, tuanku..." Inang Sejahtera merayu.

"Diam. Aku cakap tak nak, tak naklah. Kau orang semua ni tak reti bahasa ke? Itulah orang suruh sekolah, ponteng!" Rimas, akhirnya Wardah memuntahkan lahar jengkelnya.

Mendengarkan itu, semua orang yang berada di situ terdiam sepi. Wah, garang betul anak perempuan Raja Dewata Perwira! Seingat mereka, inilah kali pertama puteri diraja tersebut menaikkan suara kepada mereka semua. Ketika ini, kepelikan semakin membanjiri kolah hati mereka. Sudah kenapa pelik benar kelakuan puteri ini? Mereka buntu!

"Aku bosan..." keluh Wardah perlahan.

Lantas, dia duduk di atas tanah lalu melunjurkan kakinya bagi meregangkan urat sarafnya yang terasa terik. Sudah lama dia tidak berlari-lari, maka agak sakit jugalah uratnya apabila berlari laju seperti tadi. Setelah berasa okey, dia merebahkan pula badannya di atas tanah. Urgh, selesanya dapat merehatkan badan. Seketika, dia memejamkan mata seraya menikmati kenikmatan istirahat.

"Tuanku puteri, bangun. Kotor nanti." Semakin serba salah, Inang Sejahtera akhirnya bersuara.

"Bisinglah kau ni. Bagilah aku rehat kejap." Masih memejam mata, Wardah memberikan amaran kepada inang itu.

Itu tak boleh, ini tak boleh. Rimas, tahu tak? Kebebasannya di sini disekat. Tidak fasal-fasal, dia terpaksa menghadapi semua ini hanya disebabkan seorang lelaki bernama Ahwaz Zulfan.

Haih. Sebaris nama itu sudah cukup untuk membuatkannya resah dalam geram. Dia mahu tetapi dalam masa yang sama tidak mahu berjumpa dengan kapten Psychic Eagle itu, tetapi apakan dayanya untuk menolak takdir?

"Tuanku... tidak apa-apa?" Inang Sejahtera melutut di sebelah Wardah lalu bertanya penuh kasih.

Dia rasa, dia faham kenapa puteri asuhannya berkelakuan sedemikian. Ini tidak lain tidak bukan kerana kemalangan itulah. Walaupun puteri itu hanyalah hampir ditanduk lembu, namun kepalanya terhantuk pada batu besar.

Tiga hari lamanya Puteri Indah Kencana gering tidak sedarkan diri. Apabila sedar, semuanya terus kalut seperti ini. Puteri asuhannya berperangai sangat pelik dan liar bagaikan bukan puteri.

Kata Tabib Rama yang mengubatinya, puteri tersebut mengalami gangguan semangat. Dia mencadangkan supaya puteri itu dimandikan dengan tujuh jenis bunga pelbagai warna dan bau.

Tabib itu juga pernah menyuruh Pawang Darus, Dukun Siak dan Bomoh Lini datang ke istana untuk mengubati penyakit sang puteri. Tetapi, semuanya dihambat balik oleh Puteri Indah Kencana sebelum sempat mereka menjejakkan kaki ke bilik peraduannya.

"Aku bosan, kau tahu tak?" jawab Wardah sambil mencebik geram.

Ahwaz Zulfan, kau di mana? Ketika ini, mahu sahaja dia menjerit sekuat hati agar bekas tunangnya itu mengetahui keberadaannya di sini.

Hei, sudah dua hari dia berada dalam permainan BTA2121, tetapi usahkan hidung, bayang lelaki kacak berusia 29 tahun itu pun dia tidak nampak lagi. Atau, adakah Kazz benar-benar mengalami kecederaan parah di alam ini sehinggakan usahanya untuk menjejak jejaka itu menemui kesukaran?

"Haih..." keluhnya lagi.

"Tuanku puteri, mari kita pulang. Dengar khabar, Mak Melati masakkan lauk kegemaran tuanku. Daging rusa masak gulai dan itik panggang," ajak Inang Sejahtera setelah lama memerhatikan ulah kebosanan puteri asuhannya.

"Sedap ke?" Wardah mengerutkan dahi.

"Sedap sangat, tuanku. Itu makanan yang tuanku suka," jawab Inang Sejahtera sambil tersenyum suka.

Terbayang-bayang lagi di fikirannya raut wajah gembira sang puteri setiap kali menjamah hidangan yang disediakan oleh ketua tukang masak istana iaitu Mak Melati. Sejak kecil sampailah besar, selera puteri itu tidak pernah berubah.

Tetapi, dia agak risau juga sebenarnya. Hidangan berbentuk gulai daging rusa dan itik panggang belum pernah lagi dihidangkan sejak puteri asuhannya pulih daripada gering.

"Okeylah, okey. Jom balik." Akhirnya, Wardah bangun dari pembaringannya.

Lantas, setelah dia meregangkan urat sarafnya, dia berpaling ke arah semua dayang dan para pengawal lalu melontarkan sengihan. Kesian, mesti penat mereka semua melayan ulah gilanya yang langsung tidak berperangai seperti gadis Melayu terakhir.

Ah, apa-apa sajalah. Lagipun, dia bukannya Puteri Indah Kencana pun. Namanya Wardah Azkiya, doktor psikiatri dari Malaysia Sport Centre Hospital.

"Kazz, lebih baik kau muncul sekarang. Kalau tak, aku sumpah kau jadi kucing, " bebel Wardah.

Rambut panjang mengurainya yang menutupi muka dek diterpa bayu petang kemudiannya ditiup kasar. Rimaslah! Kalau di dunia nyata, dia bertudung litup.

Tapi di sini, terpaksa dia menutup rambutnya dengan selendang batik. Apalah malangnya nasibnya terpaksa menjadi puteri ayu lagi lemah gemalai di sini. Bukan style dia, tahu?

Sambil berjalan, matanya melingas pula ke sana ke mari sambil hatinya tidak berhenti-henti membebel perlahan. Rasanya, sudah berbakul-bakul geramnya bertamu di hati.

Di sini, apa saja dia boleh buat kalau menjadi menjadi puteri? 24 jam dikawal ketat. Aina itu pun satulah, suka sangat memperdajalkan orang.

Sudahnya, dengan wajah geram, dia berlari-lari anak pula di sepanjang jalan. Jerit pekik pengawal dan dayang tidak dipedulikannya dek tiba-tiba pula dia berasa bahagia dapat mengenakan mereka semua.

Namun, lariannya terhenti sebaik sahaja anak matanya tertancap pada sebatang pokok jambu yang sedang berbuah lebat dan masak ranum.

"Sedapnya..."Mata Wardah terus bersinar-sinar dan air liurnya terasa kecur. Makanan masamadalah kesukaannya!



Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.