Waktu melawat sudah berakhir, mereka
tidak dibenarkan lagi berada di situ. Mek, Afiena, Kamarul, Pak Awi dan kedua-dua
cucunya menunggu di kantin hospital, mananti perkhabaran dari Datin Abda.
Hati mek berasa terpanggil untuk
melihat Rijal pada petang itu, setelah begitu lama dia di luar rumah. Mek cemas
bila melihat menantunya terbaring dalam hujan. Disangka sudah mati, mujurlah
masih hidup dan mujurlah juga Afiena cekap memandu kereta. Walaupun realitinya
kecekapan dia tidak seperti biasa disebabkan tangan yang terseliuh.
Tubuh sasa Rijal dipapah, dikejarkan
ke hospital. Mek mendail nombor yang
sudah tertulis di dalam kepala. Nombor sahabatnya, Datin Abda. Wanita itu
terkejut mendengar berita Sufie meninggal dunia dan Rijal yang sedang
dikejarkan ke hospital. Menjelang tengah malam wanita itu sampai.
Jilatan angin yang menghembus seakan
menembusi selimut yang menempel di badan. Sinar lampu yang terang perih
menyilaukan mata. Rijal kelihatan seakan-akan nazak. Demam yang ditanggung
semakin meruncing.
Datin Abda berwajah duka. Anak
lelaki beliau sedang kesakitan.
“Sufie… Sufie.” Nama itu meluncur
laju, nama itu diulang-ulang oleh Rijal. Menambah risau Datin Abda. Meremang
bulu roma dia, seolah-olah nama itu berhantu.
Benarlah kata orang lidah memang
tidak bertulang, namum kelembutannya gah untuk mencairkan besi. Buktinya Rijal
sudah dirasuk cinta tidak bertuan. Resah semakin resah, nama itu masih juga
disebut tanpa tahu titik noktah.
“Rijal… Rijal… Sudahlah sayang,
jangan takutkan mama. Apa saja akan mama penuhi. Tapi bukan Sufie. Dia dah
tiada. Tolong Rijal jangan buat mama takut.” Sayu suara datin Abda merayu.
“Docmacam mana sekarang? Saya nak bawa Rijal balik
ke villa.” Datin Abda berpaling, memandang doktor keluarga iaitu Doktor Halim.
“ Suhu badan dia melebihi 39 darjah
Celsius dan akan terus meningkat jika tidak dirawat sebaiknya. Lebih elok
biarkan di hospital saja. Staf-staf di sini akan menjaga.”
“No! Tempat low class
macam ni. Tak mungkinlah. Kita tetap akan bawa Rijal balik. Kamu doktor
keluarga, kamulah yang jaga. Saya tak mahu berpisah dengan anak saya.” Pekik
Datin Abda marah-marah. Pesakit di sebelah terkejut mendengar pekikan Datin
Abda. Ditenungnya Datin Abda geram, namun tidak dipedulikan beliau.
“Apa pandang-pandang. Nak bayar
hutang.” Datin Abda mencemuh. Pesakit itu menggeleng kepala.
“Tiada guna, lusa datin akan ke US
atas urusan kerja, dekat sebulan jugak rasanya. Yelah… dekat sebulan lebih. Doktor Halim membelak
buku catatannya. Sama jugak. Rijal tetap kena tinggal sorang-sorang” Doktor
Halim senyum nipis.
“Kita bawa Rijal sekali, habis
cerita. Pindahkan dia ke hospital di US. Jangan docberani bantah
arahan. Saya pantang dibantah.” Datin Abda bangun meninggalkan bilik itu, masih
sempat dia memandang wajah Rijal. Hatinya kembali gelap membawa mendung. Bibir
pucat Rijal masih tidak putus menyeru nama Sufie. Sejurus itu beliau
teringatkan sebuah drama korea, akalnya menjalar laju.
“Doc!” Semangat Datin Abda menaik.
“Ya!”
“Are you still remember that
Korean Drama?”
“Yang mana satu. Banyak sangat drama
Korea sekarang. Yang saya tengok saja dah beratus-ratus.” Doktor Halim
tersengih.
“Sonata Musim Salju!”
“Apa! Yuk… Cerita sedih saya tak
layan. Gelilah tengok cerita air mata. Jatuhlah saham saya. Saya kan doktor
muda yang berjiwa kental.
“Saya tak tanya pasal pendirian
awak. Saya Cuma tanya awak tahu atau tidak. Itu saja. Yang awak melebih-lebih
kenapa pula.
“Ya. Saya tahu. Kenapa tiba-tiba
tanya. Dalam sedih sempat lagi ingat nak tengok cerita Korea.” Doktor Halim
ketawa kecil. Perangai macam budak-budak, walaupun dah bergelar doktor.
“Kamu tahu apa yang mak lelaki tu
buat dekat dia.”
“Buat apa pulak? Comfius saya
Datin. Saya nak jawab pun tak kena, sebab memang saya tak tengok drama air
mata, menitis bagai tu. Awww… Nyah.” Doktor Halim ketawa lagi. Membuat Datin
Abda berang.
“Kenapalah aku selalu berjumpa
manusia jenis sengal-sengal. Adoi makin nak pecah kepala dibuatnya.” Datin Abda
menepuk-nepuk dahi.
“Awak tahu ke tidak. Soalan saya simple
saja, tak payahlah pusing sampai Kutub Utara. Jawab sajalah.” Datin
Abda meninggikan suara.
“Ya! Saya tahu. Tapi sikit-sikit,
itu pun sebab orang yang cerita. Why you're asking?”
“Saya nak perkara yang sama untuk
Rijal. Buat dia lupakan Sufie. Biar dia tak ingat apa pun pasal Sufie. Dari
sekecil-kecil sampailah perkara yang paling besar. Semua kena padam. Saya nak
Rijal jadi orang baru,” senyum nipis melekuk di wajah Datin Abda.
“Sanggup Datin curi, memori anak
sendiri? Mencuri itu tabiat buruk dan tak patut dilakukan seorang ibu. Fikir
lagi Datin. Nanti dengan Datin sekali dia tak ingat. Haru biru dunia. Saya tak
mahulah, buat kerja yang bukan-bukan.” Doktor Halim gusar.
“Bukan mencuri, tapi menghapuskan
perkara yang perlu dihapuskan. Tak salah untuk kebaikan anak sendiri. Saya tak
mahu dia mati kerana Sufie. Doc kena ingat yang Rijal masih ada anak
yang perlukan bapa.” Datin Abda menaikkan nada suara. Sekali lagi pesakit di
katil sebelah terkejut.
“Tapi anak itu sendiri pun dia tak
pernah pedulikan. Ada ke tidak, sama saja di mata Rijal tu. Entah apalah yang
dimarahkan sangat dekat budak tu. Hairan saya. Ada juga ayah macam tu dalam
dunia. Tak faham… Tak faham….” Doktor Halim menggeleng-gelengkan kepala.
“Cukup! Doc, patut tahu, saya
pantang dibantah. Turutkan saja arahan saya, itu pun kalau mahu kerja lebih lama.
Saya tinggal petik jari saja, bersusun yang datang temuduga nanti. Doc
juga yang berpinar mata. Masa tu jangan kata saya kejam pula.” Datin Abda
bersuara meluat.
“Baik Datin. Saya kenal seorang
pakar di US. Tapi tempoh rawatan lama. Silap hari bulan bertahun makan masa.
Maklumlah rawatan tu kena buat berperingkat, tak boleh sekali jalan.”
“Cara paling cepat ada tak?” aju
Datin Abda teruja. Matanya membutang dengan mulut terlopong.
“Ada! Tapi risiko tinggilah sikit.
Ada berani? Kos pun boleh tahan.” Doktor Halim mengenyit mata.
“Tak kisah... Saya bayar berapa
saja. Yang saya tahu, semua beres. Cuba doc tengok Rijal, dari tadi tak
berhenti sebut nama arwah bininya. Risau saya. Betul ke, doktor tu boleh
lakukannya?” Datin Abda minta kepastian.
“Zaman moden, tiada yang mustahil.
Cuma saya tak pasti peratus kejayaan. Kalau boleh jauhkan semua perkara yang
berkaitan Sufie. Bukan apa, takut gila dia naik minyak semula, masa tengok
benda yang boleh ingatkan dia dekat Sufie. Agak-agak, bila kita akan bertolak?”
“Esok malam. Book Flight.
Jangan berlengah, malam ini juga kita balik KL. Saya kena bagi tahu Dato’dan
kena pack barang. Awak jangan lupa pesan suruh Adam tengok-tengokkan
Syarikat. Saya takut tak teringat nak pesan dekat dia.”
“Kenapa Adam? Kenapa tak anak
kesayangan datin yang seorang lagi tu?” perli Doktor Halim.
“Budak bertuah sorang tu, kepala dia
lebih keras daripada batu. Tak makan saman. Insuran degil dia saja dah
berjuta-juta. Dato’ pun angkat bendera putih. Saya apatah lagi. Sibuk dengan
kerja dia,” leter Datin Abda.
“Saya nak kena turun dulu. Saya nak jumpa
bekas besan saya. Doc uruskan yang lain-lain.” Datin Abda mencapai tas
tangan mewah beliau, kaca mata hitam diletakkan terletak pada hidung. Beliau
melangkah anggun. Ya, beliau tetap melangkah anggun walau hati kecamuk bagai
ribut pasir.
Pintu lif terbuka. Datin Abda
melangkah. Dari jauh beliau sudah terpandang wajah mek. Sayu semakin
meramas-ramas hati, niat beliau mahu berbesan dengan mek musnah. Beliau begitu
berharap dapat menggembirakan hati mek. Sahabat yang tidak akan pernah
dilupakan. Wanita itu terlalu suci untuk disakiti. Beliau mengeluh lemah.
Masih beliau ingat waktu muda-muda
dahulu, seperti belangkas mereka. Malah mereka juga sekampung. Mungkin kerana
jodoh dia berkahwin dahulu, namun nasib kurang baik setelah melahirkan anak
pertama iaitu Rijal, suami beliau berubah laku. Sering dia dikerjakan,
lebam-lebam sudah menjadi perhiasan, pengganti intan permata. Rasa macam hendak
mati pun ada, bila ‘lumat’ dia ditumbuk dan disepak.
“Arrg… Arrg.” Itulah yang mampu
beliau lakukan.
Kemudian suami beliau hilang entah
ke mana. Terkontang-kanting sendirian. Air mata usah disebutlah ketika itu,
boleh dikatakan hampir dua puluh empat jam air matanya terjun laju. Itu belum
lagi air mata hati. Tapi TUHAN itu baik. Meklah yang banyak membantu.Hampir
setiap hari, setiap masa dia menemani. Malah menjaga Rijal bila beliau terpaksa
ke bangsal bilis untuk berkerja.
Suatu hari beliau terkejut besar,
malah terkejutnya lebih besar daripada Villa Casablanca milik beliau sekarang.
Rasa marah, terhina dan meluat memamah- mamah hati. Entah kenapa hari itu
beliau amat benci melihat mek. Sekali difikir, biadap pula perasaan beliau
ketika itu, namun dasar hati, tidak pernah patuh pada akal.
Mek menyerahkan bungkusan kecil.
Beberapa utas kalung emas dan cincin permata bersinar-sinar bila dibuka. Mek
senyum, sambil merenung. Beliau berubah wajah. Rasa dihina menyerang laju,
menikam-nikam dada.
“Aku tak akan terima… Jangan kau hina
aku macam ni. Aku masih ada kaki, tangan. Aku bukan cacat, bukan pengemis. Apa
kau ingat aku dah terdesak sangat. Aku tak lapar harta oranglah mek. Dah bergi
balik, bawa sekali harta kau. Aku tak hadap.”
“Kenapa nak mengamuk? Angin tidak,
ribut tidak. Aku bagi bukan sebab kau pengemis atau cacat Abda. Tapi sebab kau
bijak. Aku tahu kau boleh berjaya. Kau pandai. Kau ambil semua ni, pergi ke
Kuala Lumpur. Mulakan hidup baru.”
“Kalau aku nak mulakan hidup baru
sekalipun bukan dengan mengemis harta orang mek. Semua harta tu peninggalan
arwah ibu kau, untuk perkahwinan kau. Aku tak boleh terima macam tu saja.
Jatuhlah air muka aku.” Datin Abda menolak bungkusan yang berada di hadapan
beliau ketika itu.
“Kau masih fikir pasal air muka,
sedang perut menjerit minta diisi. Bukan masa untuk kau cerita pasal air muka
sekarang. Fikir sikit pasal Rijal. Kalau kau tak mahu susahkan aku, kau terima
semua ni. Mulakan hidup baru. Barulah hati aku tak susah. Kau tak kasihan,
siang malam hati aku susah, fikirkan nasib kau.”
“Oh! Jadi selama hari ni, aku
membebankan kau lah, ya. Aku minta maaf sangat-sangat. Aku tak tahu yang selama
ini aku dan tunggang-langgankan hidup kau sekeluarga. Datin Abda berang.
“Kau salah faham Abda. Aku risaukan
kau, sama macam aku risaukan adik aku. Setiap malam sebelum tidur aku asyik
fikirkan kau. Makan ke tidak? Sihat ke tidak?” Mek beralah, nadanya bertukar
lembut.
“Tapi ni harta pusaka arwah ibu kau.
Tergamak kau serahlan pada aku. Kita bukan saudara-mara, jauh sekali adik
beradik. Kadang-kadang aku naik pelik dengan perangai kau. Baik sangat, macam
ada maksud lain.” Kemarahan, menyebabkan beliau berkata tanpa berfikir. Hati
mek terguris.
“Kau sahabat aku. Sahabat aku dunia
akhirat. Aku tak mahu tahu apa yang kau rasa atau anggap pasal aku, itu kau
punya pasal. Tapi! Ambillah demi Rijal. Aku yakin kau akan berjaya. Lupakan
lelaki tu. Mulakan hidup baru. Siapa tahu di Kuala Lumpur nanti, kau akan jumpa
cinta baru.” Mek memujuk.
“Cinta… Tak payah kau cerita pasal
cinta. Semua tu sampah. Boleh ke, cinta bagi aku makan. Tengok apa yang cinta
dah buat pada aku anak-beranak.”
Mek merenung tepat ke mata Datin
Abda, digenggam erat tangan wanita itu. Kemudian diulas-ulas lembut jari-jemari
beliau. “Demi persahabatan kita, aku rayu kau terima. Kalau mahu, aku sujud
kaki kau.”
Datin Abda terkejut. Sampai begitu
sekali tekad seorang sahabat. Air matanya menitis setitis. Ya, hanya setitis.
Sudah kering air mata itu menjadi keringat.
“Aku ambil, sampai masa aku akan
tebus dan pulangkan semula. Walau apa pun, aku akan tebus semua sekali harta
kau, mek.” Datin Abda senyum, hati beliau menjadi lapang.
Huh… Datin Abda mengeluh pendek.
Janji itu tinggal janji akhirnya. Tidak satu pun daripada barang kemas itu
tertebus semula. Jika ada perkara yang paling dikesali ialah kegagalan beliau
menebus kembali harta pusaka mek dan sehingga kini masih disesali. Menyesal
tidak sudah.
Dirapati mek, senyum manis palsu
dipamirkan.
“Macam mana Rijal?” Mek bingkas
bangun, dicapai,digenggam dan diramas-ramas tangan Datin Abda.
“Aku mahu pindahkan dia ke hospital
lain lah mek.” Mendatar jawapan Datin Abda.
“Hospital mana dan di mana? Kenapa
mesti pindah ke hospital lain?” Pak Awi mula menghampiri. Ada getar dalam
suaranya. Mungkin risau.
“Luar negara.”
“Jauhnya! Tentu kami tak dapat
melawat nanti. Baru saja kami kehilangan anak, sekarang kena berpisah dengan
menantu pula.” Pak Awi sedikit terkejut, manakala mek dan yang lain hanya
membisu.
“Tak perlu lah melawat. Aku minta
sangat, lepas ni jangan kaitkan lagi Rijal dengan Sufie. Aku juga harap kamu
semua tak lagi berhubung dengan keluarga aku. Maaflah kalau kata-kata aku
biadap, tapi ini semua untuk kebaikan Rijal.” Seperti menelan racun, itulah
yang dirasakan Datin Abda. Bukanlah kerana benci, namun dia terpaksa. Dia
khuatir jika ingatan Rijal terhadap Sufie kembali menggila bila terpandang ahli
keluarga itu.
“Kejamnya! Sanggup Datin cakap macam
tu. Emak dengan anak sama jahat. Kena ingat yang mek tu sahabat baik Datin.
Hina sangat ke kami. Kami memang tak berpangkat dan berharta, tapi kami
beradap. Tahu mana kawan mana lawan. Jangan sampai orang kata, habis madu sepah
dibuang.” Deras Afiena membidas. Hatinya yang membenih kasihan kepada Rijal dan
Datin Abda pada mula, kini hangus terbakar.
“Afiena!” Mek meninggikan suara.
“Jangan biadap sangat. Jangan sampai orang kata mek tak ajar anak-anak cara
beradap dengan orang tua.” Afiena kelu serta-merta. Lidahnya lumpuh saat itu.
“Aku faham. Aku ikut kemahuan kau.”
Mek berkata perlahan. Wajahnya tepat memaku kaca mata Datin Abda.
“Kau tetap tak berubah. Masih sama
macam dahulu. Sentiasa memahami hati aku. Terima kasih sahabat.” Datin Abda
kemudian mendakap erat mek, ada sendu yang berlagu. Namun ditahan agar tidak
kedengaran kuat. Agak lama dia mendakap mek, kejap dan padu seperti tidak mahu
dilepaskan.
Dakapan itu terlerai juga. Dikeluarkan
sekeping cek dan diserahkan kepada mek. Namun ditolak lembut, masih disuakan
juga. Wajah mek merona merah, dia bernada tegas.
“Jangan kau niagakan persahabatan
kita. Aku tolong kau dulu kerana aku tahu kau mampu berjaya dan hari ini kau
serahkan cek kerana rasa bersalah. Kau khianati nilai persahabatan kita. Simpan
cek kau semula.”
Datin Abda kelu seketika, kemudian
tanpa bersoal, cek itu dimasukkan kembali ke dalam tas tangan. Sekali lagi mek
dipeluk, pipinya dikuncup Datin Abda berkali-kali. Beliau berbisik ke telinga
mek.
“Terima kasih sahabat. Hari ini,
sekali lagi aku bangga menyatakan kau sahabat aku.” Datin Abda melangkah
sejurus itu. Wajah kedua-dua sahabat itu bertambah layu, bagai pokok tidak
dibaja.
Perlahan-lahan mek melabuhkan
punggung di atas kerusi, matanya mengekori langkah payah Datin Abda. Dan pagi
ini, hujan renyai-renyai menjadi saksi perpisan dua orang sahabat, perpisahan
menantu dengan mertua dan perpisahan ibu dengan anak.