Home Novel Cinta CINTA TAK AKAN PERGI
CINTA TAK AKAN PERGI
IZZATUL NADIRA
14/2/2019 23:43:45
12,760
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

        Jam di tangan menunjukkan tepat pukul 8:00 malam, Alisya duduk termenung sambil memerhati keadaan di sekitar restoran itu. Suasana restoran tersebut nampak tenang kerana jumlah pelanggan yang tidak terlalu ramai. Mungkin kerana hari ini bukan hari minggu, jika hari Sabtu dan Ahad suasananya tidak akan setenang ini.

       Restoran Container N9 merupakan restoran berasaskan makanan barat yang terletak di Seremban 2 merupakan antara restoran kegemaran Alisya dan keluarganya. Dan di restoran itu jugalah dimana pertama kalinya Hazriq dan anak kepada kawan ibu mereka bakal bersua muka nanti.

       Puan Noraini setiap 5 minit pasti akan menghantar mesej kepada Alisya bertanyakan keadaan Hazriq. Risau kalau-kalau rancangannya gagal kali ini. Mana tidaknya,bukan senang nak membuat Hazriq setuju dengan rancangan gila seperti ini.

      Alisya menoleh pula ke salah satu meja yang berada di sebelah kanannya. Meja tersebut terletak selang 4 baris sahaja dari tempat Alisya duduk. Hazriq yang berada dimeja itu kelihatan seperti tidak tentu arah. Riak wajahnya nampak terpaksa sahaja untuk berada disitu.

       Malas mahu menghiraukan Hazriq, Alisya menyambung niatnya untuk makan kerana makanan yang dipesan sudahpun sampai. Seperti biasa Alisya akan memesan makanan kegemarannya iaitu Spaghetti Carbonara yang menjadi menu utama setiap kali dia datang makan di restoran itu.

       Kemain berselera Alisya menyuap makanan ke dalam mulut. Sedap sungguh! Langsung  tidak menghiraukan Hazriq yang kegelisahan menanti gadis yang diarahkan oleh ibunya untuk dia temui hari ini.

       Alisya berhenti menyuap sebentar lalu mencapai segelas air tembikai untuk diminum. Sambil dia sedang enak menyedut air minuman tersebut, matanya tertancap pada sepasang pasangan wanita dan lelaki berjalan beriringan untuk masuk ke dalam restoran.

      Pada awalnya, dia hanya melihat dengan pandangan biasa namun ada sesuatu yang menarik minatnya untuk memerhati gerak-geri mereka. Lelaki yang berada disebelah wanita itu seperti biasa dilihat sebelum ini.

     Mata Alisya tidak lepas dari memandang gerak geri lelaki tersebut. Cuba memproses ingatannya. Oh! Baru dia teringat, lelaki itu adalah Azammuddin anak kepada Puan Kalsom jiran mereka sewaktu di Pahang dahulu. Patutlah macam kenal.

    ‘Girlfriend dialah tu kot,’ bisik hati Alisya sendiri.

     Namun,kelibat wanita yang jalan beriringan bersama Azam sebentar tadi hilang dari pandangan mata Alisya. Berpusing Alisya mencari susuk tubuh wanita itu. Dah seperti mak cik bawang pula gayanya.

    “Eh…”Alisya terkejut apabila melihat wanita yang berjalan bersama Azammuddin sebentar tadi kini berada di meja bersama Hazriq. Macam mana pula wanita itu boleh duduk berdua-duaan bersama angahnya sedangkan tadi dia datang dengan orang lain. Berkerut dahi Alisya cuba untuk mencari jawapan.

    Wanita itukah yang ibu cuba kenalkan kepada angah? Jadi apa hubungan kedua-dua wanita dan lelaki itu sebenarnya? Pasangan kekasih? Kalau pasangan kekasih, tak akanlah teman lelakinya tak marah kalau pasangan dia duduk berdua-duaan dengan lelaki lain? Mustahilkan….

     Alisya mulai berteka-teki sendiri.

      

           

           Selesai sahaja makan, Alisya menuju ke kaunter bayaran untuk membayar bil. Sebelum itu,dia sudah memberitahu Hazriq melalui mesej dimana dia menyatakan ingin tunggu di dalam kereta sahaja. Malas mahu berlamaan di dalam restoran tersebut kerana memandangkan Hazriq pun hampir selesai dengan pertemuaan itu.

            Masuk sahaja Alisya ke dalam kereta,dia terus menghidupkan enjin untuk memasang penghawa dingin sementara menunggu angahnya tiba. Kemudian dia mengambil telefon bimbitnya yang berada di dalam tas tangan dan membuka aplikasi tiktok untuk menonton video.

            10 minit kemudian, Alisya mengangkat kepalanya memerhati keadaan sekeliling. Kelibat Hazriq masih lagi tidak kelihatan. Sambil matanya meliar melihat sana sini, tiba-tiba pandangannya jatuh kepada seorang lelaki yang berpakaian jersi merah berdiri di hadapan sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam. Lelaki berkenaan adalah lelaki yang sama ditemuinya tadi iaitu Azammuddin.

            “Mamat ni tak reti balik ke? Ke tunggu awek tu sebab nak balik sama?” soalnya sendiri sambil matanya memerhati gerak geri Azammuddin dari dalam kereta. Teka-teki berkenaan wanita dan lelaki itu masih bermain di fikiran Alisya. Persoalan demi persoalan sedikitpun tidak terjawab.

            Tidak sampai beberapa detik, wanita tadi memunculkan dirinya semula. Dia berjalan terus menuju ke arah kereta Azammuddin dan mereka berdua berlalu meninggalkan kawasan restoran tersebut. Persoalan yang ada di fikiran Alisya semakin menebal. Dia benar-benar ingin tahu apakah hubungan mereka berdua sebenarnya.  

            Bagaimana Azammuddin boleh setenang itu apabila teman wanitanya sendiri duduk makan berduaan bersama lelaki lain? Siap dengan pakej menghantar dan menjemput balik pula tu.  Pelik betul.  

            “Haa… berangan apa tu,” sergahan Hazriq memecahkan lamunan Alisya. Dia yang sedari tadi termenung panjang memikirkan jawapan dari setiap persoalan yang muncul di benak pemikirannya terus tersedar. Membulat mata gadis itu melihat wajah Hazriq yang sudah pun duduk di kerusi bahagian pemandu.

            “Angah… lain kali bagilah salam dulu.Ni dok sergah orang macam tu, terkejutlah Sya…” bebel Alisya. Satu jelingan maut dihadiahkan buat Hazriq. Geram juga Alisya dibuatnya.  

            “Macam gitu pun boleh terkejut ke?” perli Hazriq. Hazriq mulai bersedia untuk memandu pulang ke rumah. Rasa lesu badannya tiba-tiba. Malas dia mahu berlama lagi disitu. Dalam kepalanya sudah terbayangkan katil dan selimut kesayangannya. Mujur esok dia bercuti dan tidak bekerja kerana masih ada baki cuti tahunan yang ingin dihabiskan. Dapatlah dia tidur lama sedikit.

            Alisya disebelah memandang Hazriq dengan pandangan penuh curiga. Angah tahu atau tidak wanita yang dia temui tadi sudah punya kekasih? Mahu sahaja dia bertanya soalan itu. Namun apabila melihat wajah letih Hazriq, Alisya terus mematikan niatnya itu untuk meneruskan pertanyaannya.

            “Takpayah nak pandang angah macam tu sangat, tahu angah ni hensem… Angah dah mengantuk sangat ni, dah jom balik…" kata Hazriq kepada Alisya sambil tangannya mulai memusingkan stereng untuk bergerak pulang.

             Alisya hanya terdiam. Dia duduk membatu disebelah Hazriq dan hanya membiarkan sahaja kereta itu bergerak. Pemandangan di luar tingkap kereta di tenung dengan perasaan yang bercampur baur. Di kepalanya ada persoalan yang masih belum terungkai.

            Sebenarnya Alisya sedikit pun tidak mahu ambil peduli soal apa hubungan wanita dan lelaki itu. Namun apabila sudah membabitkan abangnya membuatkan Alisya berhabisan ingin tahu. Khuatir kalau-kalau ibu memaksa angah berkahwin dengan wanita itu tetapi sebenarnya dalam diam wanita tersebut sudah punya pasangan lain.

            Tidak semena-mena nanti angahnya pula menjadi mangsa dalam masalah ini. Silap haribulan, angah disakiti tanpa dia ingini. Huh! Alisya tidak boleh biarkan perkara seperti itu berlaku begitu sahaja.  Dia kena bertindak segera sebelum hal yang tidak diingini terjadi.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh IZZATUL NADIRA