Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
82,388
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3


Terik sinaran matahari jam 10.00 pagi itu terasa membakar kulit wajahku. Namun mujurlah aku telah oleskan krim pelindung sinaran UV SPF 55 sebelum aku keluar tadi. Bak kata seorang jurunding kecantikan sebuah spa yang pernah aku kunjungi, krim pelindung sinaran matahari adalah produk paling penting bagi wanita yang mahukan kulit yang sihat dan cantik. Untuk mendapatkan kulit yang lebih cantik jadi kenalah ikuti disiplin dan rutin kecantikan yang betul disamping aku menggunakan rangkaian produk penjagaan kulit dan kosmetik yang terkenal dari Korea iaitu The Face Shop. Ala yang dutanya adalah Kim Seo Hyun, hero drama The Moon Embracing The Sun itu.

Gadis-gadis sekarang kan memang sedang demam K-Pop, K-Drama dan K-Beauty. Semua nak jadi cantik dan dapatkan kulit semulus gadis Korea, begitu juga denganku. Selalunya aku menggunakan medium YouTube untuk mengetahui langkah-langkah atau rutin penjagaan wajah gadis Korea dalam mengekalkan kecantikan kulit dan rahsia tubuh ramping mereka. Pendapatku rutin mereka untuk menjadi selalu tampil cantik adalah sangat rumit dan teliti! Gadis Korea sekurang-kurangnya menggunakan lebih sepuluh produk kecantikan di wajah mereka pada setiap hari bagi mengekalkan kecantikan mereka. Dasyat bukan,banyak yang nak kena tenyeh di muka untuk jadi cantik.

Setelah turun dari bas Rapid KL di perhentian bas yang terletak di jalan utama, aku berjalan kaki menuju ke rumah Tuan Amar seperti selalu. Plastik beg berisi setengah kilo udang, dua ikat petai dan seikat sayur sawi yang sedang aku jinjit sejak lima minit yang lalu itu aku pandang sebentar. Semalam aku lihat menu  di atas papan putih di sisi peti sejuk, hari ini Tuan Amar mahu makan udang masak sambal petai dan sayur sawi tumis kering.

Sebuah keluhan terlepas keluar dari mulutku. Hari ini aku berasa tiada mood untuk memasak atau melakukan apa sahaja aktivi lain. Ini semua gara-gara aku tidak boleh melelapkan mata malam tadi kerana fikiranku asyik memikirkan kata-kata pencuri itu.

“Pencuri! Pencuri!” teriak seorang wanita ketika aku sedang memasuki lorong kecil untuk ke pintu belakang rumah Tuan Amar.

Aduh! Aku mengaduh apabila seorang lelaki terlanggar bahuku. Aku menoleh. Aku lihat lelaki kacak bermulut puaka yang aku temui semalam sedang memandang ke arahku sekilas sebelum dia berlari laju meninggalkan aku.

“Pencuri! Pencuri….tolong lelaki itu ambil beg tangan akak.” Teriak wanita itu lagi yang terus membuatkan aku berlari mengejar lelaki itu. Plastik beg di tangan aku lepaskan ke tanah.

 “Woi pencuri berhenti!” teriakku sambil aku melajukan larianku.

Lelaki kacak itu menoleh sekilas ke arahku sebelum dia memecut lebih laju melarikan diri. Lebih kurang lima minit berlari di kawasan perumahan itu, lelaki itu masih tidak mahu berhenti apabila setiap kali aku berteriak menyuruhnya berbuat begitu. Ketika lelaki itu menoleh dia seakan-akan ada bercakap sesuatu namun aku tidak dapat mendengar dengan jelas. Kerana yang lebih penting ketika itu adalah aku dapat mencekupnya dan belasahnya cukup-cukup lalu menghantarnya ke balai polis.

Aku berhenti dari terus berlari. Kasut sarung di kaki aku buka lalu aku baling kasut tersebut ke arah lelaki yang jaraknya lebih kurang dua meter di hadapanku ketika itu.

Bingo! Balinganku yang tepat mengenai bahagian kepalanya itu membuatkan lelaki itu hilang imbangan lalu jatuh tersungkur ke tanah. Aku berlari mendekatinya lalu rambut lelaki itu aku tarik kuat yang membuatkannya mengerang kesakitan. Aku menarik kedua-dua belah tangannya ke belakang supaya lelaki itu tidak boleh begerak lagi.

“Woi lepaslah. Aku nak kejar pencuri kat depan tu.” Ujar lelaki itu dalam kesakitan apabila rambutnya aku tarik sekuat hati.

Aku memandang ke hadapan dan aku lihat seorang lelaki mengambil beg duit di dalam beg tangan wanita tadi lalu beg tangan itu dicampakkan ke arah kami.

“Untuk kau kawan!” Remaja itu ketawa sebelum dia lari meninggalkan rakan suhabatnya iaitu lelaki yang sedang aku tarik rambutnya itu.

“Bersubahat rupa-rupanya! Kau ni hilang akal ke apa?” marahku.

“Wei perempuan gila sakitlah! Yang kau pukul aku ni kenapa? Mamat tu yang pencuri, bukan aku lah!” Lelaki itu pula berteriak memarahiku.

Aku hilang sabar. Rambutnya sekali lagi aku tarik. Terjerit mamat tu dibuatku. “Kau ni dah lah mencuri, menipu pulak tu. Nak aku sekeh kepala kau lagi ke?”

“Lepaslah. Sakitlah woi. Pencuri tu dah lari kau punya pasal lah!” marahnya lagi.

Aku mencebik geram. “Dia kawan kau kan? Criminal partner! Dah lama ke kau buat kerja mencuri ni? Eee…tak malu ke muda-muda lagi dah jadi pencuri. Tak fikir masa depan ke? Dah terdesak sangat ke nak teruskan hidup?Aku tak kira…hari ni jugak aku akan sumbat kau dalam lokap kerana tempat bagi yang namanya pencuri itu adalah di sana.”

Lelaki itu cuba meloloskan diri dari cengkaman tanganku. Entah bagaimana tiba-tiba tanganku terlepas dari terus memegang kedua-dua belah tangannya. Aku mengundur tiga langkah ke belakang tatkala lelaki itu bangun. Aku sudah bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku ketika itu. Antaranya adalah lelaki itu akan menyerangku dengan atau tidak bersenjata. Wajah yang ampak baik jangan disangka hatinya turut baik. Itu pengajaran yang aku dapat dengan lelaki ini.

Namun jangkaanku jatuh meleset apabila lelaki itu seakan tidak mengendahkan aku. Dia aku lihat mengutip beg tangan yang dicampak oleh rakannya tadi lalu sebuah keluhan dilepaskannya. Aku tidak jadi untuk mendekatinya apabila wanita yang kehilangan beg tangannya mendekati kami.

“Akak saya dah dapat kejar peragut beg akak. Ini orangnya.” Aku menudingkan jariku ke arah lelaki yang sedang mengesat peluh di dahinya.

Wanita yang berdiri disebelahku ketika itu kelihatan bingung dengan kata-kataku. “Err…rasanya adik dah salah faham. Adik lelaki ini lah yang tolong akak tadi. Kebetulan masa akak diragut, adik lelaki ni baru sahaja keluar dari rumah depan tu. Terus dikejarnya peragut yang ambil beg akak tu.”

Aku menelan liur mendengar penjelasan wanita itu. Mataku terarah ke wajah lelaki yang sedang berdiri mencekak pinggangnya itu. Lelaki itu nampak begitu bengang! Mungkin kerana aku telah membelasahnya.

“Maaf kak…saya tak dapat kejar peragut tu. Lepas dia ambil beg duit akak, dia campak beg ni pada saya. Maaf ya kak. Saya dah menyusahkan akak pula.” Lembut lelaki itu meminta maaf walaupun kejadian yang berlaku sebentar tadi bukanlah berpunca darinya.

Wanita itu menggeleng.“Ya Allah….adik bantu akak, akak dah cukup bersyukur. Adik tak cedera, akak lega. Tentang beg duit tu tak mengapa kerana duit cash yang ada dalam tu pun tak banyak. Akak akan buat report polis kejap lagi. Yang penting ada beg ni sebab ada kunci kereta dan sijil-sijil penting di dalam ni. Terima kasih adik ya kerana tolong akak.” Ucap wanita itu sebelum dia meminta diri untuk ke balai polis.

Aku mahu segera melarikan diri daripada lelaki itu kerana aku tidak tahu di mana harus aku letakkan mukaku di hadapannya. Aku berjalan laju menuju ke arah rumah Tuan Amar semula dan berharap yang lelaki itu tidak mengekoriku. Namun harapanku itu tidak menjadi apabila lelaki itu tiba-tiba sahaja muncul di hadapan mataku. Langkahku terhenti begitu juga pandangan mataku.

“Kau nak lari ke mana lepas belasah aku? Without saying sorry and without getting my permission, don’t you ever dare to escape.” Kata lelaki itu yang lebih kepada peringatan keras terhadapku.

“Errr…kau cakap apa tu,aku…aku tak faham lah. Tepi lah…aku dah lambat.” Tergagap-gapap aku menuturkannya apabila aku mula menyedari yang panahan mata lelaki itu sebenarnya cukup tajam sehinggakan terasa tembus sehingga ke dasar jantungku.

 “Tadi kau kejar aku tak mengadu terlambat pun.Kau nak lari kan? Minta maaf dengan aku dulu baru aku benarkan kau pergi,”luahnya tegas.

Aku memberanikan diri memandang ke arah anak mata hitam miliknya. Lelaki itu aku lihat mencekak pinggangnya sambil dia menyedut dan menghembus nafas dua tiga kali. Menahan rasa marah dari meletus agaknya.

“Nasib baiklah kau ni comel, kalau tak dah lama aku…”

Aku menjelingnya. “Dah lama apa? Nak tampar aku? Berani buatlah.” Aku menyuakan pipiku ke arahnya.

“Eee…kenapa lah aku boleh jumpa perempuan macam kau ni. Perangai kalah beruk. Ganas, kasar, tak reti hormat orang, bertindak terburu-buru. Tak tahu malu pulak tu. Aku benci kau!” Lelaki asing itu meninggi suara.

Aaarrrgggh….aku menjerit. Dia menutup kedua-dua belah matanya. “Geramnya aku dengan kau ni. Berani kau panggil aku beruk. Kau tu errr….bapak beruk, atuk beruk. Perangai kau tu menyakitkan hati. Mulut jahat tak ada insuran, berlagak, sombong,perasan hensem. Benci!” balasku di dalam nafas yang turun naik.

“Dah memang aku hensem.Kau pun suka aku kan sebenarnya, ingat aku tak perasan ke kau pandang muka aku yang hensem ni dengan penuh minat. Tapi jangan harap aku suka kau. Tak ada taste langsung aku dengan kau.” Dia membuat muka mengejek.

Nampaknya pertengkaran aku dengan lelaki yang mungkin lebih tua daripadaku itu tidak akan ada kesudahannya. Hatiku rasa benar-benar terbakar tatkala itu. Lelaki itu memang sengaja menyakitkan hati aku.

“Baguslah kalau macam tu. Sebab aku yang cantik ni tak pernah suka kau pun wahai mamat yang perasan hensem!” Aku melawan.

Dia ketawa mengejek.“Alamak…ada orang perasan cantik pulak!” Dia ketawa bagai orang hilang akal.

Aku yang sedang menanggung hati yang sudah rentung, hangus dan terbakar terhadapnya itu terus melulu mendekatinya. Dup! aku menghantukkan kepalaku ke arah batang hidungnya yang terus membuatkan dia mengerang kesakitan sambil batang hidungnya itu dipegang.

“Berdarah…” Lelaki itu mengesat darah mengalir dari hidungnya itu.

“Sekarang kau dah tak hensem,” ejekku geram sebelum aku segera melarikan diri.

“Hoi! Berhenti,”arahnya sambil dia mengerang kesakitan.

Aku tidak peduli dengan arahannya itu. Aku terus berlari menuju ke rumah Tuan Amar. Mengambil plastik beg tadi dan pintu belakang rumah itu menjadi tujuanku.

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.