Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
81,413
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11


Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam sayang dan salam perkenalan dari saya :)


SUDAH hampir sejam aku duduk di atas sebuah bangku yang terletak di perhentian bas berhadapan dengan bangunan The Gold Summit Group. Bangunan yang berketinggian 30 tingkat berwarna putih itu aku tenung berulang kali. Perasaan di dalam hati berkecamuk sama ada mahu meneruskan perancanganku atau pulang sahaja ke rumah sewa.

Aku mengeluarkan sekeping gambar ultrabunyi fetus dari dalam beg sandangku. Sebelum ke sini tadi, aku singgah di sebuah klinik swasta bagi membuat pengesahan kandungan dan aku meminta doktor yang bertugas untuk menjalankan ujian ultrabunyi. 

Aku menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan-lahan dengan harapan dapat meredakan perasaan cemas. Langkah diatur perlahan menuju ke pintu masuk lobi bangunan tersergam indah itu. Namun, baru beberapa langkah menapak masuk, terasa tangan kananku disambar oleh seseorang. 

Aku terkejut!

“Kau buat apa lagi kat sini?” soal Amar bersama pandangan yang tajam menikam wajahku.

Wajah lelaki itu aku pandang bersama rasa terkejut. Tidak sangka pula lelaki itu menyedari akan kehadiranku di sini. Entah mengapa, aku tidak peka pada persekitaran seperti selalu.

Tiba-tiba tubuhku terasa menggigil. Aku mengakui yang aku takut kepada lelaki ini. Berada berdekatan dengan Amar membuatkan emosiku tidak stabil. Aku rasa amat tertekan mengingatkan perbuatan keji lelaki itu beberapa bulan yang lalu. Sungguh, aku amat benci kepada Amar Taufiq! Namun, aku tidak punya pilihan selain berhadapan dengan lelaki itu.

“Sa… saya nak jumpa awak. Ada hal yang saya nak bincangkan,” ujarku dalam getaran.

Tanganku tiba-tiba direntap oleh lelaki itu. 

“Ikut aku,” arahnya ringkas.

Aku cuba melepaskan cengkaman tangan Amar yang telah membuatkan tangan kananku terasa perit. 

“Lepaskan saya. Awak nak bawa saya ke mana?” soalku panik.

“Kita bincang dalam kereta aku. Tempat ni tak selamat!” bentak lelaki itu.

Aku menuruti langkah Amar keluar bangunan dan sebuah kereta jenis Mazda RX-8 berwarna kelabu berhenti di hadapan kami. Amar membuka pintu tempat duduk penumpang dan menolak tubuhku masuk ke dalam perut kereta. 

Lelaki itu kelihatan tergesa-gesa dan seakan-akan lari daripada sesuatu ataupun seseorang. Amar kemudian masuk ke tempat pemandu dan segera melaras gear untuk beredar dari kawasan tempat kerjanya itu.

Lelaki itu memecut laju kereta yang dipandunya. Wajah bengisnya mula menggerunkanku. Rasa menyesal kerana berani mengikuti lelaki itu yang entah ke mana hala tujuan. Aku khuatir akan diapa-apakan lelaki itu sementelah dia pernah mengugutku pada pertemuan sebelum ini.

Ketika kereta yang dipandunya berhenti di satu persimpangan lampu isyarat, Amar mula bersuara. 

“Berapa puluh ribu kau nak ugut aku kali ini?” terjahnya melulu.

“Saya tak nak duit awak! Err… saya nak beritahu awak sesuatu yang penting,” kataku cuba memberanikan diri untuk menceritakan tentang kandunganku.

Lelaki itu mendengus. 

“Kau ni memang tak faham bahasa, kan? Kau tahu tak perbuatan kau tadi boleh jahanamkan hidup aku? Ramai wartawan ada kat bawah tadi dan aku tak nak berita buruk tentang aku sebelum majlis perkahwinan aku dua bulan lagi,” marah lelaki itu.

Aku diam. Diam bukan kerana aku bersedih, tapi aku sedang menahan kemarahan yang memuncak sejurus wajah lelaki itu muncul di hadapan mataku tadi.

Lelaki itu memulakan pemanduan setelah lampu isyarat bertukar hijau. Tali leher dilonggarkan dengan sebelah tangannya. 

“Sekarang ni, aku nak kau berambus dan jangan datang cari aku lagi. Kau faham tak? Kau cakap aje berapa jumlah duit yang kau nak sebagai ganti rugi.” 

“Saya mengandung!” Lelaki di sebelahku terus menoleh.

“Apa? Kau ulang balik!” Suaranya kedengaran bergetar.

Aku memandang wajah lelaki itu tanpa rasa. 

“Saya mengandung, Amar. Anak awak!” ujarku dalam keterpaksaan.

Wajah Amar berubah pucat sejurus aku mengulang semula kenyataan itu. Aku terkejut apabila lelaki itu membelokkan stereng kereta yang dipandunya dan berhenti di dalam petak tempat letak kereta. Aku memerhati kawasan sekeliling. Lega kerana Amar berhenti di kawasan deretan kedai yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail dan bukannya di kawasan sunyi.

“Kau tipu aku, kan? Kau sengaja muncul dalam hidup aku kan, perempuan! Kau ni kenapa bawak masalah kepada aku, hah?” jerkah Amar. 

Bulu romaku berdiri tegak. Aku menggeleng. Tudung yang menutupi bahagian dada dan blaus longgar yang tersarung di tubuh aku betulkan sedikit. Pandangan lelaki itu tertancap ke perutku yang sedikit membonjol itu. Sebuah keluhan kedengaran.

“Kau ada bukti?” soalnya yang masih tidak boleh menerima berita itu.

Gambar ultrabunyi fetus yang berusia 12 minggu aku keluarkan dari dalam beg sandang, lalu aku hulurkan kepadanya. Aku menjadi pemerhati. Jelas terpancar di wajahnya riak terkejut, panik dan cemas. Reaksi gembira? Ah, aku tidak pernah berangan jauh sekali mengharapkan yang ia akan  berlaku.

Agak lama Amar terdiam. Kedua-dua anak matanya meliar memandang ke arahku dan kemudian ke arah lain. Mindanya seakan-akan sedang merencana sesuatu. Aku tahu akan itu. Lelaki itu tidak akan begitu mudah menerima kehadiranku dan bayi di dalam kandunganku ini.

Aku mengesat air mata yang spontan mengalir dari tubir mata. 

“Saya tak minta banyak daripada awak. Saya hanya mahukan awak menerima anak di dalam kandungan saya ini supaya saya tak menanggung malu kerana dilabelkan mengandung anak luar nikah. Dan… anak yang bakal lahir ini akan ada seorang bapa. Saya tak mintak awak terima diri saya, tapi cukup dengan terima anak ni. Saya mohon pada awak buat kali terakhir, tolonglah saya Amar. Tolong selamatkan saya. Saya tak bersalah atas apa yang berlaku antara kita dulu. Saya ni mangsa yang teraniaya.” Aku merayu dan merintih mengharapkan agar hati batu lelaki itu bertukar lembut.

Tiba-tiba Amar merenyukkan gambar yang berada di tangannya itu.

“Gugurkan kandungan ni! Aku takkan bertanggungjawab,” ujarnya tanpa rasa sedikit pun belas kasihan terhadapku.

Aku mengucap panjang. 

“Kenapa saya dipertemukan dengan lelaki sekejam awak ni?” Aku menggeleng bagaikan tidak boleh menghadam isi hati jahat lelaki itu.

“Tak kisahlah kau nak cakap apa pun. Yang penting, aku tak nak bertanggungjawab. Aku sendiri tak sedar apa yang terjadi pada malam tu,” dalihnya.

“Tapi, kalau awak tak sedar apa yang terjadi… kenapa awak tinggalkan saya? Kenapa awak tulis sejumlah duit di atas cek tu kalau betul awak tak ingat bagaimana awak merogol saya?!” Aku meninggikan suara menyoal lelaki yang tidak punya hati dan perasaan itu. 

Lelaki itu kelihatan terkedu. Kini, aku sedar. Lelaki seperti dia tidak layak untuk menjadi bapa kepada anak di dalam kandunganku. Pasti kelak aku dan anak ini akan lebih menderita.

“Dayus!” Aku memandang tepat wajah Amar. Aku sendiri tidak tahu dari mana hadir semangat dan keberanian duntuk memaki hamun lelaki itu. Buat pertama kalinya, aku berjaya membuatkan lelaki berego tinggi itu terdiam.

“Anggap saya tak pernah jumpa awak hari ni! Saya tarik semula kata-kata saya tadi. Saya akan jaga anak ni sendiri dan tak perlukan lelaki sekejam awak untuk menjadi bapa kepadanya. Hidup dia akan jadi lebih merana,” luahku geram dan penuh rasa benci.

Aku memandangnya sinis. 

“Saya bersumpah tak akan maafkan awak hingga ke akhir hayat saya. Kalau umur saya panjang, saya berharap dapat terserempak dengan awak. Saya nak tengok awak hidup merana, sengsara dan dibebani rasa bersalah di atas kekejaman yang awak lakukan.” 

Namun, belum sempat aku melangkah keluar dari kereta, Amar lebih pantas menyambar tanganku. 

“Lepas ni, kau jangan ganggu lagi hidup aku. Jangan kau berani ugut aku lagi. Aku dah mintak kau gugurkan kandungan tu, tapi kau degil, kan? Kalau kau berani muncul depan aku lagi… kau tahulah nasib kau nanti.” 

Ugutan Amar benar-benar menjengkelkanku.

“Kalau tak, kenapa? Awak nak bunuh saya!” Jawapanku itu sekali lagi membuatkannya terdiam.

Lelaki itu melepaskan tanganku sebelum memecut pergi keretanya. Air mataku semakin deras mengalir membasahi pipi. Aku berjalan perlahan menuju ke arah perhentian bas berdekatan. Namun, baru beberapa langkah aku menapak, rintik-rintik hujan mula membasahi bumi. 

Aku tidak melajukan langkah bagi melindungi diri daripada terkena air hujan kerana hujan yang sedang turut melebat di dalam hati lebih sakit dan pedih untuk aku tanggung. 

Aku duduk berseorangan di perhentian bas itu. Beg sandang berisi beberapa helai pakaian yang aku bawa dari kampung pagi tadi, aku letakkan di sebelah. Aku mengusap-usap perlahan perut yang sedikit membonjol itu. Sebuah keluhan terlepas daripada mulutku. Kini, aku bakal menggalas satu tanggungjawab besar untuk anak yang bakal lahir. Aku buntu memikirkan pilihan lain yang boleh membantu aku daripada terus tersepit. Tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu.

“Aku kena cari keluarga angkat untuk anak ni. Tak mungkin aku boleh membesarkan sendiri tanpa bukti perkahwinan yang sah. Bagaimana dengan masa depan budak ni?? ujarku sendirian.

Tiba-tiba sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapanku. Tidak lama itu kelihatan seorang wanita bertudung  keluar dari tempat duduk pemandu bersama sekaki payung di tangan.

“Assalamualaikum, adik,” ucap wanita cantik yang mungkin di dalam lingkungan umur 30-an itu.

Aku menjawab salamnya dan turut membalas senyuman yang dilemparkan. Sisa air mata di pipi segera aku seka dengan hujung jari.

“Hujan lebat ni, jom akak hantar balik.” Pelawa wanita yang tidak aku kenali itu.

Aku menggeleng. Dalam hati berasa khuatir kerana zaman sekarang ini bahaya ada di mana-mana sahaja dan ramai orang berniat jahat demi mendapatkan wang. 

“Tak apa, kak… saya tunggu bas aje.” Aku menolak.

Wanita itu menghampiriku. 

“Kat sini susah bas nak berhenti. Hujan semakin lebat ni, bahaya awak duduk sorang-sorang. Hmm… apa kata kita ke kafe sana tu dulu,” ajak wanita itu lalu bag sandangku dicapainya.

Aku mengangguk dan mengekorinya masuk ke tempat duduk penumpang. Wanita itu memulakan pemanduan dan berhenti di sebuah kafe berhampiran.

Aku memesan secawan mocha panas dan sekeping smoked chicken and cheese pie sementelah aku tidak sempat bersarapan mahupun menjamah makanan tengah hari tadi.

Jam yang tergantung di dinding menunjukkan ke angka empat menandakan hari semakin lewat. Aku menyegerakan suapan kerana aku perlu sampai ke rumah sewa sebelum hari gelap.

“Nama adik siapa? Saya Haryati. Panggil aje Kak Yati.” 

Wanita yang agak ramah itu memperkenalkan dirinya.

“Mawar Hana, panggil saya Hana aje,” balasku.

“Sedapnya nama Hana. Cantik macam orangnya. Hana anak kacukan ke? Cantik warna anak mata Hana.” 

Pujian Kak Yati yang membuatkan aku tersenyum nipis.

“Ayah saya orang Irish dan mak saya orang sini, tapi saya dah lama tak jumpa ayah saya. Sejak ibu bapa saya berpisah,” ceritaku sambil di dalam kotak ingatan terbayang wajah daddy. Wajah yang kali terakhir aku lihat ketika usiaku mencecah sepuluh tahun. Semenjak itu, tiada lagi perkhabaran tentang ayah. Hidupku hanya ada emak.

Kak Yati mengangguk. 

“Hana belajar lagi ke?” 

Aku berasa berat hati untuk mengangguk. 

“Hana tengah cari kerja, kak,” balasku.

Kak Hayati tersenyum. 

“Ya ALLAH… rupa-rupanya ada hikmah kita dipertemukan hari ni. Akak memang tengah cari pekerja sekarang ni untuk uruskan butik akak di Kota Damansara. Hana berminat nak kerja dengan akak tak?” pelawa Kak Yati.


Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam Sayang dan salam perkenalan dari saya :)

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.