Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
73,022
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2


Ketika aku sedang berjalan menuju ke arah perhentian bas yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan mewah itu, telefon bimbitku berdering. Aku menekan punat hijau ketika aku melihat nama Mak Lang terpamer di atas skrin.

“Assalamualaikum Mak Lang,” sapaku ceria seperti selalu.

“Waalaikumsalam Hana. Macam mana boleh ke memasak tadi? Sekarang Hana kat mana? Dah keluar dari rumah tu ke?” Bertubi-tubi soalan yang dikemukakan oleh Mak Lang. Aku terkesan ada rasa bimbang di sebalik nada suaranya.

Aku ketawa. “Mak Lang ni dah macam pegawai penyiasat tau. Satu-persatu lah tanya Hana soalan.”

“Macam mana? Tertangkap ke?” Soal Mak Lang lagi.

“Mak Lang…Hana kan hebat, tak mungkin tertangkap punya lah. Misi hari ni berjaya. Hana dah masak seperti yang diarahkan oleh anak tuan rumah tu. Duit untuk beli barang-barang basah esok pun Hana dah ambil di atas peti ais seperti yang ditinggalkan oleh anak tuan rumah yang misteri tu.” ceritaku.

“Syukur lah. Mak Lang bukan sengaja buat semua ni. Kalau ikutkan rasa, Mak Lang takut juga kalau kita tertangkap oleh Tuan Amar tu. Tapi Hana pun tahu kan yang Mak Lang tak nak ketinggalan untuk membantu persiapan majlis Ucu. Mak Lang ni dah lah tak ada anak, suami pula meninggal awal. Ucu dengan Hana aje lah yang jadi kesayangan Mak Lang.” Ujar Mak Lang yang kedengaran sedikit sebak.

Aku ketawa lagi.“Ala…ala sedih pulak Mak Lang kesayangan Hana ni. Mak Lang jangan risaulah, kan Hana dah kata yang Hana boleh uruskan hal ini untuk Mak Lang. Bukan susah pun masak aje. Serahkan pada yang pakar.” Aku memujuk dalam gurauan.

Tiba-tiba terbit persoalan di kepalaku tentang gambar lelaki kacak tadi dan pelakon terkenal Aiman Reza yang terdapat di dalam rumah agam tu. Lalu apa kaitan mereka berdua dengan Tuan Amar. Mak Langku pasti mempunyai jawapannya.

“Mak Lang…Hana nak tanya satu benda boleh?”

“Apa bendanya?” Balas Mak Lang.

“Tadi masa Hana di dalam rumah besar tu secara tak sengaja Hana ternampak banyak bingkai gambar di atas kabinet bersebelahan meja makan. Lepas tu Hana nampak satu foto pelakon Aiman Reza dan seorang lelaki yang hensem sangat. Jadi Hana nak tanya Mak Lang lah ni kalau-kalau Mak Lang kenal siapa mereka berdua tu? Kawan Tuan Amar ke? Hana rasa tak sabar-sabar nak jumpa lelaki yang kacak sangat tu. Kalah Aiman Reza tau Mak Lang.” ceritaku teruja.

“Amboi…ini kalau mak kamu tahu betapa miangnya anak dara dia, mesti dah kena cubit-cubit lengan tu,”Usik Mak Lang.

Aku ketawa.“Alah…sesekali apa salahnya. Lagipun Hana kan masih tak berpunya, wajiblah sebagai seorang gadis normal bila nampak lelaki kacak akan hilang keayuannya.”

“Menjawab memang pandaikan Hana ni,” Tambah Mak Lang.

“Cepatlah Mak Lang….beritahu Hana siapa lelaki itu. Kawan Tuan Amar ya?” Aku merayu.

“Emm…betul lah tu. Hana tak perlu ambil tahu lah pasal diorang semua tu. Ingat awak tu anak dara. Mak Lang minta tolong kamu ni pun risau sangat tau sebenarnya bila memikirkan kamu akan bertembung dengan Tuan Amar tu dalam rumah tu. Mak Lang kan dah pesan banyak kali, Hana kena keluar sebelum Tuan Amar balik. Kawasan yang boleh Hana ada hanyalah di dapur. Faham tak Hana apa yang Mak Lang katakan ni?” Mak Lang membebel menasihatiku untuk entah ke berapa puluh kali.

“Alah…kalau berdua pun apa salahnya. Boleh kahwin free!” Aku sengaja berjenaka.

Namun aku tidak menyangka yang jenakaku itu akan mengundang amarah Mak Lang. Aku hanya mampu berdiam tatkala Mak Lang membebel memarahiku. Katanya aku tidak mengambil serius dengan nasihat-nasihatnya. Setelah meminta maaf dengan Mak Lang dan berjanji tidak akan berlama-lama di dalam rumah itu, aku terus memutuskan talian.

“Ingat…jauhkan diri dari Tuan Amar. Nanti kamu kena penyakit berjangkit. Tuan Amar tu wajahnya hodoh, berjerawat, gemuk, hitam dan paling penting panas baran. Kalau dia tahu ada orang asing dalam rumah dia habislah,” ulangku sendiri apabila aku mengingati pesanan Mak Lang tadi.

“Seram…” kataku  aku menahan sebuah bas yang kebetulan semakin mendekati.

Keesokkan harinya sama seperti semalam setelah aku selesai membeli barang-barang basah di pasar tani yang terletak berhampiran rumah sewaku, aku terus menaiki bas awam untuk ke rumah Tuan Amar. Setelah turun di perhentian bas di jalan utama aku harus berjalan sedikit untuk ke kawasan perumahan. Ketika aku sedang berhenti di satu persimpangan empat  menunggu lampu isyarat untuk pejalan kaki bertukar ke warna hijau, sebuah motorsikal berhenti betul-betul di hadapanku.

“Hai awak nak ke mana? Boleh abang hantar?” Usik budak lelaki yang menunggang motorsikal Honda EX5 itu. Pembonceng di belakang tersengih-sengih memandangku atas ke bawah.

Aku diam dan hanya buat tidak tahu sahaja dengan usikan kutu motor itu. Namun aku tersentak apabila Si Pembonceng merampas beg plastik yang berisi barang-barang mentah yang aku beli tadi.

“Wei…apa hal ambil barang orang. Bagi sini balik,” marahku sambil plastik beg itu aku tarik semula.

“Ala…comelnya bila awak marah. Cantiknya awak ni, macam artis-artis dalam TV tu. Saya rasa nak cubit-cubit aje pipi awak tu,” Usik remaja itu dengan pandangan mata yang menjengkelkan.

Kebetulan ketika itu ada dua orang lelaki yang berada di dalam sebuah kereta yang sedang berhenti di persimpangan jalan itu keluar mendekati kami.

“Hoi…buat apa tu?”Jerit salah seorang dari mereka yang membuatkan dua orang kutu motor itu segera beredar meninggalkan tempat tersebut.

Setelah pengganggu keamananku itu beredar, aku mengutip barang-barang yang berterabur di di atas jalan raya Aku mengucapkan terima kasih kepada dua orang pemuda yang prihatin membantuku sebelum aku meneruskan perjalanan ke rumah Tuan Amar yang terletak lebih kurang seratus meter sahaja dari persimpangan jalan itu.

Kurang 10 meter di hadapan rumah Tuan Amar, aku terlihat sebuah kereta Mazda berwarna hitam berhenti di hadapan pintu pagar. Membulat mataku tatkala aku terlihat seorang pemuda yang memakai sweater hitam berserta hood menggoncang mangga pintu besi rumah itu. Wajahnya tidak dapat aku lihat dengan jelas. Aku mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu yang kelihatan begitu mencurigakan.

Aku mengutip sebatang kayu yang kebetulan tersandar di sisi sebuah pokok berhampiranku. Aku terus meluru ke arah pemuda itu apabila mataku melihatnya cuba memanjat pagar utama rumah itu pula. Tanpa berfikir panjang aku terus menghayunkan kayu sederhana besar itu ke belakang si pencuri!

“Tolong! Tolong!Pencuri!” Aku menjerit meminta bantuan dari orang yang mungkin ada berhampiranku sambil tanganku tidak berhenti memukul tubuh lelaki yang wajahnya tertutup oleh hood baju yang sedang dipakainya.

“Sakit! Sakit! Woi…apa ni pukul-pukul orang.” Suara garau itu menjawab.

“Pencuri!” teriakku lebih kuat dari tadi.

“Siapa pencuri?” Lelaki itu membuka hood yang tersarung dikepalanya.

Bulat mataku memandang ke arah wajah lelaki yang berada hanya beberapa inci sahaja dariku itu. “Apa kau buat tadi? Kenapa kau panjat pagar rumah ni? Kau ni pencuri kan?” Aku menyoalnya.

“Kau siapa?” soalnya kasar.

“Eh dia tanya aku siapa pulak. Kau siapa? Nak mencuri kan? Kau buang tabiat ke apa rompak rumah orang waktu siang macam ni!” marahku.

Lelaki itu tersenyum sinis. “Perempuan gila! Kau ni dah kenapa? Rompak rumah apa maksud kau?” Marah lelaki kacak itu pula.

Pap! Aku memukul betisnya. Ambik kau! Bayaran kerana berani panggil aku perempuan gila.

“Siapa perempuan gila?Kau yang gila…dah lah pencuri,” kataku kepadanya yang sedang melutut sambil mengusap-usap betisnya.

Belum sempat lelaki itu merampas kayu di tanganku, empat orang lelaki di dalam usia lingkungan 40-an datang mendekati kami.

“Pak cik, dia ni pencuri. Tadi saya nampak dia panjat pagar rumah ni. Ada niat buruk dia ni.”Aku mengadu kepada beberapa orang lelaki yang datang membantu.

Aku nampak dua dari mereka memegang kedua-dua belah tangan pencuri itu. “Saya bukan pencuri pakcik. Saya kawan pemilik rumah ini.” Tegas Si Pencuri Kacak itu.

Aku mencebik. “Dah lah cuba mencuri, sekarang cuba menipu pulak. Tunjuk IC kau pada kami sekarang.” Arahku pula.

“Dompet aku tertinggal di pejabat.” Lelaki itu beralasan.

“Dah…dah…sekarang kita bawak dia ke balai polis. Saya dah telefon polis balai depan ni tadi. Kita tunggu polis sampai. Saya pun dari tadi dah curiga bila nampak budak ni mengendap-ngendap, lepas tu panjat pagar rumah Adam ni.” Tambah salah seorang pak cik yang sedang mengerumuni pencuri itu.

“Lepaskan saya. Saya tak bersalah. Saya kawan Amar, pemilik rumah ni.” Pencuri itu meronta minta dilepaskan apabila dia diheret untuk masuk ke dalam kereta peronda polis.

“Hei perempuan aku akan cari kau nanti. Berani kau fitnah aku! Aku ni Hadi. Hadi Datuk Azmir. Kau tunggu lah nasib kau nanti!” Lelaki itu berteriak seperti orang gila.

“Encik polis…dengarkan dia ugut saya. Berani ya ugut-ugut depan encik polis. Tak takut ke?” aduku kepada pegawai polis yang sedang menolak tubuh pemuda yang mengaku dirinya anak Datuk itu ke dalam kereta peronda.

Aku menjelirkan lidah dan membuat muka mengejek ke arah lelaki yang berani mengugutku itu. Aku menggengam penumbuk lalu aku suakan ke arahnya yang sedang berada di dalam kereta peronda polis itu. Apa yang pasti wajah si pencuri itu nampak benar-benar marah ketika itu tapi aku peduli apa kerana kebenaran harus ditegakkan.

“Berani dia mengaku sebagai kawan Tuan Amar pula ya? Sayang…muka dah hensem habis, tapi pencuri. Hilang terus daya tarikan.” Aku mengomel sendirian sebelum aku mengangkat plastik beg di bawah lalu aku terus menuju ke arah pintu belakang. Kejadian tadi telah membuatkan aku semakin lewat untuk mula memasak buat Tuan Amar. 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.