Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
81,431
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6


Aku memandang ke arah sekumpulan lelaki dan perempuan yang sedang menari terkinja-kinja sambil diringi musik tecno yang sangat membingitkan telinga. Ada beberapa pasangan di kalangan manusia di halaman rumah Tuan Amar itu juga sedang berpelukan. Sebuah keluhan aku lepaskan lalu satu gelengan yang entah ke berapa aku ekpresikan.

Kemudian mataku menjeling dan menyorot ke arah Tuan Amar yang sedang duduk di atas sebuah kerusi sambil sedang ketawa gembira bersama beberapa orang wanita. Entah apalah yang mereka bualkan namun yang pasti karakter buaya daratnya amat terserlah.

“Hei orang gaji! Teriak salah seorang lelaki yang tidak aku kenali ke arahku.

Aku yang sedang berdiri di bahagian tepi halaman hanya mampu memandang ke arah lelaki itu.

“Kau pekak ke? Aku panggil kau lah.” tambahnya lagi.

Aku segera mendekatinya walaupun tanpa kerelaan. Parti? Memang tidak pernah aku jejaki tempat seperti ini walaupun sudah hampir dua tahun aku tinggal di kota Metropolitan ini. Aku berasa jijik dengan tingkah laku yang tidak senonoh apatah lagi dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan seperti ini. Sungguh aku tidak berkenan! 

Aku tersentak tatkala sejurus aku menghampirinya, lelaki menyimbah air di dalam gelas di tangannya ke arah mukaku.

“Lembab, bodoh pulak tu.” Lelaki itu menghinaku.

Aku mengesat air di muka dengan telapak tangan. Dalam rasa terkejut aku memandang ke arah manusia sekeliling yang sedang galak mentertawakanku seperti aku ini seorang badut yang sedang membuat persembahan. Mataku tertancap pula ke arah wajah Tuan Amar, hatiku bertambah sakit melihat garis sinis yang terukir di bibirnya. Ah! Lelaki itu pun sama sahaja dengan mereka yang lain-lain ini, nama sahaja kaya dan mengaku diri bertaraf tinggi akan tetapi akalnya cetek. Aku marah di dalam hati.

Aku membatu diri tengah halaman itu. Belum sempat aku membuka mulut untuk mempertahankan diri dengan perlakuan kurang ajar lelaki yang merupakan kenalan Tuan Amar itu, seseorang menghulurkan sehelai sapu tangan kepadaku. 

Aku menoleh untuk melihat siapakah gerangan yang berbuat begitu dan sejurus itu mataku tertaut ke arah wajah Hadi. Huluran sapu tangan itu masih tidak aku sambut dek kerana aku sedikit terpaku akan perlakuannya.

Perlahan-lahan aku menyambut sapu tangan itu dan aku mengundur sedikit ke belakang untuk menuju ke arah dapur. Namun baru aku melangkah tiga tapak, Hadi menuturkan sesuatu yang menarik minatku.

“Come on guys! Don’t be so childish. Seriously? You Joe, why you treating her like this and Amar please…stop being silence and ingnore,” Tegur Hadi selamba.

Namun tegurannya itu langsung tidak menjentik hati mereka yang berada di sana untuk mengasihaniku. Aku malas berlama-lama di situ lantas aku aturkan kembali langkahku untuk masuk ke dalam rumah. Namun telingaku masih dapat mendengar dengan jelas percakapan Tuan Amar yang sinis sehinggakan hatiku terasa terhiris.

“Biarlah Joe nak buat apa pun pada perempuan tu. Dia orang gaji kot mana sama taraf dengan kita. Betul tak Amar?” Celah Zaharah bersama raut angkuh.

“Siapa suruh dia pilih untuk jadi orang gaji? Orang gaji dalam erti kata lain namanya kuli. Jadi kena lah terima apa yang orang bertaraf macam kita buat.” Sahut Tuar Amar bernada sombong. 

Aku berkalih dan mata aku tuju ke arah wajahnya. Kedua-dua belah tangan aku genggam kejap menahan rasa geram yang sedang membuatkan darah merahku mendidih. Rasa hormatku terbang pergi ketika itu juga. Aku berasa geram tatkala membayangkan bagaimana sengsaranya hidup Mak Lang selama ini menjadi orang gaji kepada lelaki berperangai keji dan angkuh itu.

“Kenapa kau tenung aku macam tu?” Suara serius Tuan Amar itu langsung tidak menggetarkan jiwaku.

“Kenapa? Orang gaji tak layak untuk melihat juga ke? Atas arahan siapa?” balasku berani yang terus membuatkan lelaki sombong itu berdiri.

“Berani kau melawan ya? Mentang-mentang Hadi menangkan kau kan?” 

Aku pandang berani Tuan Amar yang sedang berjalan menghampiriku itu. Namun belum sempat lelaki itu menerpa ke arahku, Hadi pantas menghalangnya.

“Sabar Amar, apa ni dengan perempuan pun kau nak gaduh ke?” Soal Hadi tegas.

Aku lihat Amar memandang Hadi sekilas sebelum matanya kembali mencerlung tajam menikam wajahku. 

“Kau tunggu sini sampai parti ni habis, kemas semua ni dulu. Kalau tak jangan harap kau boleh balik. Kalau kau ingkar, kau tau sendiri lah apa nasib mak cik kau tu,” ugutannya itu benar-benar membuatkan aku mahu melayangkan sebiji penumbuk ke wajahnya.

Mawar Hana adalah seorang gadis yang penyabar. Itu yang emak ajar sejak kecil. Aku cuba menenangkan hati. Sejurus itu aku melangkah masuk ke dalam rumah dan terus ke dapur. Sampai sahaja di bahagian dapur aku memutar tombol pintu bilik Mak Lang dan terus menghala ke bilik air. Setelah selesai berwuduk, aku terus mendirikan solat Isyak.

Usai solat dan berdoa, aku mencapai Al- Quran yang terletak di atas meja di sisi katil Mak Lang lalu beberapa Surah aku lafazkan. Terus hilang rasa marah, geram dan sedih yang aku rasai sebentar tadi tatkala fikiran, hati dan jiwa aku fokuskan kepada ibadah untuk ALLAH yang satu.

Rupa-rupanya tindak tandukku itu sedang diperhatikan oleh sepasang mata yang entah berapa lama sudah berdiri di sisi pintu bilik yang sedikit terkuak itu. Mujurlah ketika itu aku masih menutupi aurat dengan telekung yang tersarung di tubuh.

“Tuan Hadi…err nak makan apa-apa ke? Maaflah, saya solat sekejap tadi. Saya siapkan apa yang Tuan mahukan ya.” Aku bingkas bangun.

Tuan Hadi tersenyum sambil dia mengudur beberapa tapak ke belakang. “Tak perlu panggil saya tuan, panggil Hadi je cukup,” ujarnya ramah yang tidak seperti kelmarin ketika aku bertengkar dengannya.

Selesai aku mengenakan tudung semula, aku keluar ke dapur dan aku lihat Hadi sedang duduk sambil menghirup kopi panas di tangan. Entah bila dia membancuh kopi itu juga aku tidak sedari.

“Duduklah sekali, boleh kita berbual-bual. Saya sebenarnya tak selesa berada di luar tu,” Hadi membuat pengakuan yang tidak aku pinta.

Aku sekadar tersenyum mendengarnya. Dalam hati turut mengakui yang aku juga berpendapat seperti itu. Tiba-tiba ingatanku menerawang mengingati peristiwa ‘pertengkaran’ kami beberapa hari yang lalu.

“Err…Hadi, saya nak minta maaf pada awak tentang kejadian beberapa hari yang lalu tu. Pertama sebab saya ketuk awak pakai kayu dan tuduh awak pencuri dan keduanya pula…err sebab saya baling awak pakai kasut saya,” ucapku dalam gugup.

Lelaki bernama Hadi yang aku tidak ketahui nama penuhnya itu tersenyum lebar. Manis benar senyumannya itu. Walaupun dia tidak sekacak Tuan Amar namun aura keikhlasan jelas terpancar di wajah itu.

“Tak ada apalah Hana. Bila saya fikirkan semula, ada logiknya juga saya ni kena ketuk dengan kayu. Panjat pagar rumah ni siang hari, jelaslah nampak macam pencuri. Pulak tu sampai ke balai polis jadinya. Itulah kali pertama saya kena gari, naik kereta peronda dan di soal siasat. Dah macam drama pun ada rasanya.” Lelaki itu tergelak. Mungkin digeletek rasa lucu apabila mengimbas kembali peristiwa itu.

Aku tersenyum namun kelat. Aku menelan liur sebelum kembali menutur bicara.

”Saya tak sangka pula tindakan saya tu sampai menyusahkan awak. Niat saya hanya nak bantu atasi jenayah aje sebenarnya. Tapi awak pun salah sering kali muncul dalam situasi yang mencurigakan,” balasku berani.

Aku tidak menyangka jawapanku itu langsung membuatkan lelaki itu ketawa girang sampai bergenang matanya. 

“Aduhai…kelakar betul detik pertemuan kita. Apa pun saya bertuah dapat mengenali awak Hana, walaupun mula-mula tu rasa geram sebab awak menyusahkan hidup saya. Tapi…saya tak boleh berdiam dan tak boleh terima bila Joe layan awak seperti tadi. Sama juga dengan kawan baik saya, Amar. Saya  tak berkenan dengan perangainya yang tidak berubah-ubah itu. Saya dah dapat agak mesti dia akan paksa awak untuk sediakan makanan untuk parti malam ni. Kenapa awak tak menolak arahan Amar tu Hana?” Hadi memandang wajahku.

Aku sedikit teragak-agak untuk berterus terang kepada Hadi berkenaan soalannya itu sementelah Tuan Amar merupakan kawan baiknya. Entah-entah Hadi hanya berpura-pura baik denganku kerana mahu mengenakan aku? Atau dia berpakat dengan Tuan Amar untuk mempermainkan aku kerana aku telah menyembunyikan statusku sebagai tukang masak di dalam rumah ini selama seminggu? Ah…buntunya untukku menyusun jawapan.

“Sebab saya sayang mak cik saya.” Aku kira jawapan ringkasku itu sudah memadai untuk menjawab pertanyaannya.

“Itu saja ke jawapan awak?” soal Hadi masih menunggu penjelasan lanjut.

Aku memandang Hadi dengan rasa curiga. “Bukan awak ni kawan baik Tuan Amar ke? Kenapa awak macam menyebelahi saya pula?”

Hadi tersenyum. “Memang kami kawan baik sejak kecil tapi itu tak bermakna saya ni bersetuju…suka dengan perangai dia. Contoh macam dia layan awak tadi, langsung saya tak berkenan.” Hadi bagaikan meluahkan rasa hatinya.

Aku sekadar tersenyum. Lalu satu persoalan aku lontarkan kepadanya. “Dah berapa lama awak berkawan baik dengan Tuan Amar tu? Dan…err macam mana awak boleh tahan dengan perangai dia.” Aku memperlahan suara sambil mataku tertuju ke arah ruang tamu. Bimbang kalau-kalau Tuan Amar terdengar pula, mahu haru jadinya nanti.

“Dah dekat dua puluh tahun kami berkawan…sejak kami dari tadika lagi. Keluarga kami berdua memang rapat, ayah Amar tu rakan bisnes ayah saya.” Jelas Hadi sebelum dia menghirup kopi di tangan.

Aku sekadar mengangguk. “Saya nak tanya satu soalan sensitif pada awak ni, awak ni minum minuman keras juga ke macam kawan-kawan awak kat luar tu?” soalku tanpa berselindung.

Hadi dengan pantas menggeleng. “Saya tak minum, begitu juga Amar. Cuma malam ni sahaja Joe bawak kawan-kawan dia datang sini dan minum, itu yang saya tak suka. Sebab tu saya lebih selesa duduk sini minum kopi,” jelasnya.

Aku sekadar mengangguk. Dalam hati aku tetap mengutuk Hadi. Iyalah sudah tahu kawan-kawannya kaki botol, kenapa masih berkawan? Bukankah lebih baik menjauhkan diri. Sama juga dengan Tuan Amar kenapa adakan parti di rumah ini yang boleh menjerumuskan diri ke arah melakukan maksiat.

“Umur Hana berapa? Nampak macam muda lagi. Belajar atau dah kerja ni?” Soal Hadi. 

Aku kira pertanyaan itu sebagai pembuka sesi perkenalan kami dan juga bagi mengalihkan topik perbualan berbaur sensitif.

“Dua puluh satu tahun dan kini saya sedang menuntut bidang perubatan,” balasku ringkas.

Hadi tersenyum lebar bersama riak bangga yang aku lihat jelas terpamer di wajah kacaknya.

 “Wah! Bakal doktor lah ni ya. Bagus awak ni selain pandai masa saya yakin awak boleh jadi seorang doktor yang bagus,” pujinya.

Terasa darah merah menyerbu ke wajah. Tidak pernah ada lelaki yang berani memujiku. Hadi adalah lelaki pertama. Walaupun wajahku nampak moden atau dalam kata lain ‘terlebih cantik’ namun jarang ada lelaki yang berani mendekatiku. Mungkin juga kerana penerimaanku yang tidak berapa mesra yang membuatkan mereka tidak berani mendekatiku. Tetapi lain pula dengan Hadi walaupun pertemuan pertama kami bermula dengan pertengkaran akan tetapi entah mengapa aku berasa selesa berbual-bual berdua dengannya seperti ini tambahan pula apabila Hadi membelaku ketika aku dibuli dan diherdik di hadapan sebentar tadi.

“Terima kasih,” jawabku ringkas bagi menutup rasa malu yang hadir di dalam diri.

Hadi mengangguk. Aku hanya menjadi pemerhati apabila lelaki itu meletakkan cangkir di tangannya ke atas meja. 

“Boleh saya katakan sesuatu?” pinta Hadi tiba-tiba.

“Apa dia tu?” soalku pula.

Hadi kelihatan teragak-agak untuk menuturkan sesuatu. Beberapa kali aku perasan dia mengetap bibirnya. Entah apalah yang meresahkan agaknya. Aku sekadar membuat andaian.

“Hadi?” panggilku apabila aku lihat Hadi bagaikan termangu-mangu.

Sebuah keluhan terlepas dari kerongkong lelaki itu. “Awak cantik, Hana. Wanita tercantik yang mata saya ini pernah pandang.” Ucap Hadi gugup namun jelas kelihatan ikhlas di mataku.

Aku tersenyum manis. Mataku berani membalas pandangan mata Hadi yang aku perasan sejak tadi kelihatan bersinar-sinar apabila setiap kali ianya mendarat di wajahku. Tiba-tiba terasa ada sesuatu yang mula bercambah di dalam hati yang tidak aku mengerti terjemahannya di dalam bentuk kata-kata.

Namun perasan indah itu terbang pergi dibawa oleh sebuah deheman yang datang dari arah ruang makan. Aku terbangun dari kerusi yang sedang aku duduki apabila menyedari tubuh Tuan Amar menghampiri.

“Oh Hadi…please lah takkan orang gaji aku pun kau nak try.” Sinis Tuan Amar berbicara sebelum aku dijelingnya sekilas.

Aku pun tak tahu sebab munasabah mengapa Tuan Amar membenciku. Rasa benci di dalam diriku terhadapnya bertambah meluap-luap sejak dia memerli dan merendah-rendahkanku di hadapan kawan-kawannya tadi. Kini ditambah pula dengan sergahannya yang jelas berbaur sinis terhadapaku.

“Hana bukan orang gaji, Amar. Dia bantu mak cik dia untuk masak untuk kau di rumah ni. Kau ni pun janganlah emosi sangat.” Sahut Hadi dalam senyuman.

Jelas personaliti antara dua orang kawan baik ini terlalu jauh bezanya. Kenapalah orang sebaik Hadi boleh tahan dengan perangai Tuan Amar yang menjengkelkan ini. Kutukku di dalam hati namun segera aku usir kerana menurut emak jangan kita terlalu membenci seseorang, kelak akan jatuh sayang. Huh! Aku nak jatuh sayang pada Tuan Amar yang bongkak? Tak mungkinlah. 

“Kemas kat depan tu cepat, kawan-kawan aku dah balik. Tak malu ke jual minyak kat sini.” Tuan Amar sengaja mahu menyakiti hatiku.

“Amar…” tegur Hadi sebagai isyarat untuk lelaki itu berhenti menyeksa jiwaku.

Ketika aku melangkah ke arah ruang tamu, aku terkejut apabila tubuhku tiba-tiba dirempuh oleh seseorang.

“Hoi orang miskin kau buta ke?” Jerkah Zaharah yang jelas sedang mabuk.

Aku menutup hidung, tidak tahan dengan bau tengik minuman keras yang meloyakan tekakku. Zaharah menolak bahuku sebagai tanda protes kerana menurut telahannya aku yang merempuhnya sedangkan ianya sebaliknya. Aku berisgtifar bagi meredakan kemarahan yang mula bercambah di dalam diri. 

Sebuah keluhan aku lepaskan ketika aku melakukan kerja-kerja mengemas pinggan, cawan dan sisa-sisa makanan di halaman hadapan. Bergenang airmata di peluput mataku apabila aku membayangkan nasib Mak Lang yang selama ini bertahan dengan sikap dan perangai Tuan Amar. 


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.