Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
82,428
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Bab 7


“BETUL ni, awak tak nak saya hantar awak balik?” soal Hadi sekali lagi ketika kami bertembung di garaj.

Aku menggeleng. 

“Saya boleh balik naik bas kat depan tu.” Aku menolak. 

Bukan kerana aku tidak sudi, tetapi Hadi menumpangkan Joe, lelaki yang menyimbah segelas air ke wajahku tadi. 

“Cepatlah Hadi. Orang dah tak sudi buat apa kau ajak lagi,” sindir Joe yang perangainya sama spesies dengan Tuan Amar. 

Aku menjelingnya. Hadi tersenyum kelat. Mungkin kerana dia berasa segan dengan sikap kawannya yang sinis terhadapku. 

“Harap kita dapat jumpa lagi lepas ni. Esok, awak akan masak macam biasa, kan? Boleh saya buat permintaan menu?” soalnya.

Aku mengangguk. 

“Awak nak makan apa?” Aku turut tersenyum.

“Err… siput sedut masak lemak cili padi. Sedapnya...”

Ketawa Hadi telah mencuit hatiku.

Hadi memboloskan dirinya di tempat duduk pemandu dan memulakan pemanduan. Sempat dia melambai-lambaikan tangan ke arahku sehingga kelibatnya hilang di dalam kegelapan malam.

Aku tersenyum sendirian sepanjang menuju ke arah perhentian bas yang terletak di jalan utama. Entah mengapa hatiku terasa meronta-ronta tidak sabar menanti esok hari. Adakah aku sudah mulai merindui Hadi? 

“Ah… tak mungkinlah. Hadi tu dengan kau bagaikan langit dan bumi. Jangan terperasan lebih Hana, nanti diri sendiri yang merana.” Aku mengingatkan diri sendiri agar tidak terbang terlalu tinggi. Biar kecewa sekarang, jangan pula kecewa kemudian hari.

Ketika aku menghampiri perhentian bas, baru aku sedar yang telefon bimbitku tiada di dalam poket seluarku. Aku segera membuka zip beg sandangku dan mencarinya, namun tidak ketemu. Aku cuba asah kembali memori mengingati bila kali terakhir aku menggunakan telefon bimbit itu. 

“Aduhai… tertinggal kat atas meja dapur.” Aku menepuk dahi sambil melajukan langkah berpatah semula ke rumah Tuan Amar. 

Ketika aku memasuki garaj kelihatan pintu hadapan rumah itu tertutup. Pasti Zaharah masih ada di dalam kerana aku terdengar yang Zaharah mahu menemankan Tuan Amar pada malam ini. Aku tidak ambil pusing tentang hal itu kerana fokusku hanyalah mahu mengambil telefon bimbitku.

Sewaktu aku menapak masuk ke dalam ruang tamu yang bercahaya samar dan hanya diterangi oleh lampu meja berwarna oren malap, aku dapati tiada sesiapa pun di situ. Lantas aku mempercepatkan langkah menuju ke arah dapur. Tercalit senyuman tatkala ternampak telefon bimbitku terletak elok di atas meja. Aku capai dan segera masukkan ke dalam beg sandang.

Aku halakan langkah ke arah ruang tamu semula untuk keluar dari rumah itu. Namun ketika aku sedang melintasi ruang makan, tiba-tiba ada tangan yang memelukku dari arah belakang. Aku terjerit, namun mulutku segera diterkup oleh sebatang tubuh tegap yang tidak dapat aku lihat wajahnya.

Dengan daya dan keberanian yang ada, aku pantas menggigit tangan yang  sedang merangkul tubuhku itu sekuat hati. Aku berjaya terlepas daripada cengkamannya. Aku menoleh. Membulat mataku memandang ke arah seraut wajah yang aku kenali.

“Tuan Amar…” Aku menyebut namanya dalam rasa cemas.

Aku melangkah dua tiga tapak ke belakang sambil mataku tidak lepas memandang ke arah wajah Tuan Amar yang nampak tidak normal itu. Lelaki itu kelihatan mabuk dan tidak waras. Aku berasa tidak sedap hati dan tanpa menunggu lama, aku memusingkan badan untuk ke arah pintu.

Belum sempat aku melangkah tiba-tiba aku berasakan tubuhku melayang sebelum terhempas ke lantai. Tidak dapat aku berdiri, Tuan Amar bertindak agresif menolak tubuhku ke atas sofa.

“Tuan Amar! Apa yang tuan cuba lakukan ni?” Aku menyoal dalam nada cemas.

Di dalam cahaya yang malap itu, sekali lagi aku cuba berlari ke arah pintu keluar. Aku berasakan Tuan Amar yang berada di hadapanku ini bukanlah Tuan Amar yang memarahi dan memerliku tadi. Pasti lelaki itu berada di bawah pengaruh minuman keras.

Tuan Amar bertindak lebih pantas dengan merangul tubuhku dari belakang. Kali ini, cengkamannya lebih kuat berbanding tadi. Aku menjerit meminta tolong walaupun kemungkinan besar tiada penghuni lain di rumah ini kecuali kami berdua. 

Aku menjerit dan menangis apabila Tuan Amar merentap tudung dan lengan blaus yang menutupi tubuhku. Aku gagal melepaskan diri dan semakin sukar untuk bernafas. Lalu dengan kekuatan yang ada, aku menggigit lengannya.

Beberapa saat selepas itu, tubuhku didorong kuat. Aku tidak dapat mengimbangi tubuh dan kepalaku terhantuk kuat di bucu meja. Akhirnya, aku jatuh tersungkur ke lantai. 

Dalam pandangan mata yang berpinar-pinar dan kepala yang terasa berdenyut-denyut, aku dapat merasai ada tangan yang sedang menanggalkan bajuku. Tidak lama selepas itu, aku tidak sedarkan diri.


MALAM itu, tidurku ditemani oleh mimpi buruk. Sepanjang malam aku bermimpi dikejar oleh serigala hitam yang bertaring tajam. Aku lelah kerana tidak berhenti-henti berlari di dalam hutan yang gelap-gelita. Aku menangis dalam ketakutan. Aku menahan rasa pedih kerana telapak kakiku dipenuhi dengan duri tajam yang mencucuk-cucuk. Darah merah yang mengalir daripada luka di kaki itu terpaksa aku biarkan kerana ingin menyelamatkan diri daripada serigala hitam yang semakin menghampiri.

Tiba-tiba aku berada di sebuah kawasan yang pohonnya  dipenuhi dengan bunga berwarna putih bersinar-sinar. Serigala yang mengejarku tadi terus lenyap. Kelihatan di bawah dua batang pokok yang rendang terdirinya sebuah para kecil yang berlangsir putih. 

Aku cuba mendekati dan melihat ada sekujur tubuh yang terbaring di sana, namun wajahnya tidak jelas di pandanganku kerana ditutupi oleh langsir. Aku selak langsir itu dan aku lihat Tuan Amar terbaring diam. Aku terkejut apabila tanganku dicengkam kuat oleh Tuan Amar yang tiba-tiba bertukar menjadi serigala hitam tadi. Aku menjerit ketakutan.

“Ya ALLAH… tolong aku!” Aku berteriak memohon pertolongan.

Aku lantas bangun daripada pembaringan dengan wajah yang berpeluh-peluh. Aku memegang bahagian dahi yang terasa pedih. Sesaat itu, aku tersedar ada sesuatu yang tidak kena dengan tubuh badanku.

Tika ini, aku sedang terbaring di atas sofa di ruang tamu. Aku menggenggam selimut tebal yang menutupi tubuhku. Aku memandang ke arah sekeliling dan aku lihat akan cahaya matahari menerobosi langsir yang menutupi tingkap di ruang tamu itu. Mataku beralih pula ke bahagian lantai. Berderau darahku tatkala terpandang akan pakaian yang tersarung di tubuhku semalam, kini sedang bergelimpangan di atas lantai.

Aku mula menangis ketakutan. Apa yang telah terjadi kepadaku sebenarnya? Satu per satu bayangan kejadian sebelum aku tidak sedarkan diri malam tadi kembali berputar di dalam minda. Wajah Tuan Amar yang bengis paling menakutkanku. 

Aku bingkas bangun lalu mencapai pakaianku yang bertaburan di atas lantai.  Air mata terus mengalir laju tatkala mindaku membayangkan wajah Tuan Amar yang bertindak kasar terhadapku malam tadi. Aku berasakan bahagian bawah tubuhku terasa pedih, menandakan sesuatu yang buruk telah berlaku terhadap diriku. Aku terduduk dan meraung semahu-mahunya. 

Aku cuba menidakkan realiti yang telah menimpa diriku, namun cubaanku itu gagal apabila mataku tertancap ke arah tompokan darah di atas sofa berwarna krim tempat aku terjaga sebentar tadi.

Aku hilang arah. Aku hilang punca. Terasa seakan ada batu besar yang sedang menghempap kedua-dua belah kakiku sehinggakan aku hilang tenaga untuk bangkit. 

“Mak… tolong Hana. Mak… Hana takut. Hana tak tahu apa yang dah terjadi.” Aku meraung memanggil emak.

Sesungguhnya, aku tidak dapat menerima kejadian yang telah menimpa diriku.  Aku tidak rela. Aku tidak bersalah. Aku hanyalah mangsa. Mangsa kepada lelaki tidak berguna seperti Amar Taufiq.

Aku mencapai semula pakaianku dan bergegas ke arah bilik mak lang. Selesai membasuh muka dan mengenakan pakaian, segera aku melangkah menaiki anak tangga ke bahagian atas rumah dan tujuanku adalah untuk mencari lelaki yang telah merosakkan diriku.

Sesekali aku menyeka air mata yang tidak mahu berhenti mengalir dari tubir mata dengan lengan bajuku. Tanpa mengetuk daun pintu bilik Tuan Amar, aku terus menerpa masuk. Mataku melilau mencari kelibatnya di setiap pelosok bilik, namun lelaki itu tiada.

Aku turun semula ke bahagian bawah. Cuba berfikir dengan waras. Aku berperang dengan emosi yang semakin membuatkan tubuhku terasa berbahang. Ketika aku mahu mencapai beg galas yang terletak di sisi meja, mataku terpandang ke arah sekeping nota yang diselitkan di bawah pasu bunga kecil. Aku capai  nota itu dan tulisan tangan itu aku baca satu per satu.

“Tolong lupakan apa yang terjadi malam tadi. Itu adalah satu kesilapan dan aku tidak berfikiran normal… anyway forget it. Kita berdua tidak berhutang apa-apa. Aku tinggalkan cek tu untuk kau sebagai ganti rugi.” From : Amar (hand writing font)

Cek yang berada di bawah nota itu aku capai. Angka 50 ribu ringgit yang tertulis di atas sekeping kertas itu langsung tidak menjentik hatiku untuk melonjak kegembiraan. 

“Lelaki tak guna!” Aku mencapai pasu di hadapan mata lalu aku baling ke permukaan lantai. Bunyi deraian kaca yang terhempas itu semakin membuatkan kemarahan dan kebencianku terhadap Amar membuak-buak.

“Tak guna! Apa yang dia fikirkan? Aku tak bersalah dalam hal ni. Dia yang rogol aku! Dia ingat cek ni boleh ganti maruah aku yang dah tercemar? Aku tak maafkan dia sampai bila-bila.” Aku merintih sedih mengenang nasib malang yang menimpa diri.

Tatkala bayangan wajah emak muncul di ruang mata, aku bertambah panik. Bagaimana aku nak jelaskan kepada emak? Apa pulak penerimaan emak? Aku buntu. Apa yang harus aku lakukan? Buat laporan polis atau jumpa Amar untuk berbincang?

“Berbincang apa lagi, Hana? Mintak lelaki tu bertanggungjawab? Jangan mimpi. Bukan ke cek yang tertulis 50 ribu ringgit ini sebagai tanda dia mahu melepaskan tanggungjawabnya?” Hatiku berkata-kata sendiri.

Sebuah keluhan berat aku lontarkan. Nota dan sekeping cek itu aku masukkan ke dalam beg sandang, lalu aku melangkah keluar dari rumah yang tidak akan aku jejaki lagi sampai bila-bila. Arah tujuanku adalah mencari lelaki yang telah menodaiku untuk mendapatkan penjelasan tentang apa yang telah dilakukannya terhadapku. 

Walau apa pun yang terjadi, aku mahu dia bertanggungjawab terhadap diriku. Bertanggungjawab atas apa? Nanti aku fikirkan sepanjang perjalanan aku ke sana. Tekadku.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.