Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
81,367
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10


MALAM itu, aku duduk kaku di tengah-tengah ruang tamu seperti patung bernyawa. Aku dikelilingi oleh saudara-maraku yang melemparkan pandangan tidak menyenangkan. Jelas tergambar di raut wajah mereka akan tanggapan dan pandangan buruk terhadapku.

Siang tadi pak long telah memanggil mak lang dan mak usu untuk datang berbincang ‘hal aku’. Namun, tidak sangka pula beberapa orang sepupuku turut ‘menyibukkan’ diri untuk mengetahui cerita hitamku. Mataku kemudian bertembung dengan mata Julia, anak pak long yang sebaya denganku. 

Aku dan Julia rapat ketika zaman kanak-kanak, namun apabila usia kami menginjak dewasa dan tamat persekolahan, Julia tiba-tiba menjauhiku. Dia terkesan dengan bualan mulut saudara-mara yang membandingkan keputusan peperiksaan SPM kami berdua. Aku telah mendapat keputusan cemerlang 9A1 dan dapat melanjutkan pelajaran di dalam bidang perubatan sementara Julia hanya bekerja di kilang yang terletak di pekan.

“Sekarang ni macam mana, ngah?” Suara pak long mematikan lamunanku.

“Siapa lelaki itu?” soal mak lang kepadaku.

Aku diam membatu diri.

“Mak lang kenal ke?” 

Pertanyaan mak lang itu menggusarkan hatiku. Aku tunduk.

“Itulah… belajar tinggi-tinggi kat KL tu, tapi otak letak kat lutut. Semua orang pujilah dia lagi. Puji Hana tu pandailah… baiklah… sekarang ni, siapa yang dah conteng arang kat muka kita?” celah Julia sambil menjelingku.

“Ada abah mintak kau masuk campur ke?” marah pak long.

Julia tarik muka masam. 

“Kenapa dia nak sorok status lelaki yang dah buat dia mengandung pulak? Macam pelik aje. Julia rasa mesti Si Hana ni ada buat salah sebab tu dia takut sangat nak beritahu pada kita semua.” Tambah Julia lagi yang sengaja menambahkan garam ke atas lukaku yang sedang berdarah.

Mataku tertumpah ke arah raut pilu emak. Hatiku sebak melihat emak yang terpaksa menebalkan muka menanggung malu. Akhirnya, aku memberanikan diri untuk membuka mulut. Siang tadi, aku telah fikir masak-masak untuk tidak melibatkan orang lain di dalam masalahku. Aku akan menanggung sendiri dugaan yang diberikan kepadaku tanpa perlu meraih simpati dan pertolongan daripada orang lain.

“Hana akan cakap… Hana akan ceritakan semuanya, tapi hanya kepada emak,” jawabku ringkas dalam menahan rasa.

“Kenapa tak ceritakan saja pada kami semua?” soal pak long seperti tidak berpuas hati.

“Hana akan cuba selesaikan sendiri masalah ni,” balasku.

Pak long merengus. 

“Boleh ke kamu besarkan anak tu sendiri? Tanpa ayah? Tak lama lagi orang kampung akan kecam kamu tu mengandung anak luar nikah, Hana. Mana emak kamu, pak long dan kami semua ni nak letak muka? Cadang pak long, kita laporkan aje hal ni pada pihak polis, biar mereka yang siasat apa yang terjadi sebenarnya.”

Aku menutup kedua-dua belah mataku, namun air mataku masih lagi tidak berhenti mengalir. Hatiku luluh. Hatiku pedih kerana kini aku telah memalukan seluruh ahli keluarga. Ibarat aku kini macam racun di dalam keluarga.

“Halau aje Si Hana ni keluar dari kampung ni, abah. Buat malu kita semua aje,” sampuk Julia yang menambahkan kesedihanku.

“Kamu pergi balik, Julia! Sebelum mak lang tampar mulut kamu tu. Suka sangat jadi batu api ya? Mak lang taulah kamu tak suka Hana, tapi jangan sampai menyakitkan hati orang yang sedang bersedih.” 

Mak lang seakan memihak kepadaku. Sebelum Julia melangkah pergi, aku membuka mulut untuk meluahkan rasaku. 

“Hana tak mintak untuk dirogol! Hana tak mintak semua ni terjadi. Sekarang, masa depan Hana dah kelam, itu ke yang Julia nak dengar?” ujarku dalam tangisan. 

Aku terkesan wajah bersalah Julia. Begitu juga dengan pak long.

“Long… Hana anak aku. Aku tahu dia akan buat keputusan yang terbaik untuk hidupnya dan aku sebagai emak akan sentiasa ada di sisi dia. Aku tak kisah walau satu kampung mencanang cerita pasal Hana sebab aku tahu Hana tak bersalah. Aku akan cari lelaki yang telah merosakkan maruah anak aku sampai dapat. Kat lokap tulah tempat dia nanti!” ujar emak tegas setelah lama mendiamkan diri.

Tidak lama selepas itu, saudara-maraku bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. Setelah menyalami tangan emak, aku meminta izin masuk ke dalam bilik untuk merehatkan diri. Mujur emak memahami dan tidak terus mendesakku untuk mula bercerita. 

Melangkah saja ke dalam bilik dan menutup rapat pintu, aku menuju ke arah tingkap lalu daun tingkap itu aku kuak. Aku menarik kerusi yang terletak di bawah meja solek. Cantik pemandangan langit pada malam itu yang berlatarkan bintang-bintang yang bersinar dan berkelipan, namun keindahan itu sedikit pun tidak dapat menghiburkan hatiku. 

Masih terngiang-ngiang kata-kata pedih pak long di telingaku. Bukan aku tidak mahu melaporkan hal ini kepada pihak polis, tetapi ugutan Amar beberapa bulan yang lalu menghalang diriku untuk mengambil tindakan. Aku tidak mahu lelaki itu mencederakan emak atau ahli keluargaku yang lain kerana aku tahu, Amar seorang lelaki yang berbahaya dan dia berani untuk melakukan apa sahaja.

Aku nekad. Biarlah aku seorang saja yang menanggung derita ini. Aku mahu kembali semula ke Kuala Lumpur dan menjalani kehidupan di sana. Aku tidak mahu berlama-lama di kampung ini kerana pasti cerita tentang diriku akan mula tersebar luas dan emak akan menanggung malu. Sebelum  semua itu berlaku lebih baik aku melenyapkan diri.

Aku membuka laci meja solek lalu diari berwarna merah jambu aku capai. Sejak beberapa bulan yang lalu, diari inilah yang menjadi penemanku. ‘Tempat’ aku meluahkan rasa hati yang sedih, hiba, kecewa dan kadang kala putus asa. Tentang Amar Taufiq, tentang apa yang berlalu kepadaku dan juga tentang luahan masa depanku. Sekurang-kurangnya dengan coretan hati ini, aku berasa sedikit lega.


Bolehkah aku membesarkan anak yang bakal lahir ini seorang diri? Aku tidak bersedia untuk bergelar seorang ibu seawal ini. Kurang enam bulan dari sekarang, seorang bayi akan lahir ke dunia ini… lalu apa yang akan berlaku? Sedihnya hidupku ini. 

Hana pengecut! Hana penakut! Hana pentingkan diri sendiri! Kenapa tidak dilaporkan saja perbuatan Amar kepada pihak polis? Apa yang kau takutkan sangat? Tiada bukti? Bukankah bukti-bukti itu boleh dicari? Atau kerana lelaki itu kaya dan mempunyai kuasa? Pemilik Golden Summit Group itu tetap manusia biasa, Hana!

Hana… Mawar Hana ini tiada kekuatan dan tiada keberanian seperti itu untuk mendakwa lelaki bernama Amar. Aku gadis yang lemah lembut, yang tidak berani untuk bersuara, yang lebih banyak berdiam daripada bercakap… yang hanya menurut kata emak.

Emak… sebab emaklah aku tidak berani untuk bertindak. Aku takut dengan banyak kemungkinan yang bakal berlaku. Aku khuatir Amar akan berbuat apa-apa kepada emak sementelah dia pernah mengugutku ketika aku berjumpa dengannya selepas malam dia menodaiku.

Haruskah sekali lagi aku menemui Amar? Mungkin selepas dia melihat perutku yang semakin membesar ini, dia akan berubah fikiran untuk bertanggungjawab terhadapku? Hana… untuk kali terakhir, jumpalah lelaki itu. Jika bukan untuk kau, buat nyawa yang sedang berada di dalam perut kau. Dia tidak bersalah.

Semoga aku dapat mengumpul banyak kekuatan untuk berhadapan dengan Amar sekali lagi. Esok, aku akan ke Kuala Lumpur untuk cuba menyelesaikan masalah ini.


Tanpa aku pinta,air mataku mengalir lagi. Derita ini bukanlah yang aku harapkan, namun jika ini adalah ujian untukku aku cuba untuk memikulnya. Cuma, aku tidak boleh berjanji yang aku mampu untuk mengatasinya. Biarlah masa yang menjadi penentu dan penawar untuk luka yang dalam ini.

Keesokan hari, aku bangun bersama satu tekad yang satu iaitu untuk bertemu dengan Amar buat kali yang terakhir. Aku duduk sebentar selepas bangun daripada pembaringan. Mindaku tiba-tiba menghantar isyarat mengingati mimpi yang aku alami pada malam tadi. 

Entah mengapa aku berasa tidak sedap hati. Aku melihat diriku sedang terbaring berlumuran darah dan aku nampak Amar sedang berdiri tidak jauh daripadaku. Dia hanya memandang ke arahku  tanpa membantu aku walaupun aku merayunya. Kemudian, dia berlalu pergi meninggalkan aku yang sedang tertarung nyawa sendirian. 

Aku menoleh ke arah jam yang tergantung di dinding yang jarumnya sedang menunjukkan jam 6.10 pagi. Aku segera ke bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat subuh. 

Usai itu, aku menuju ke arah dapur bagi membancuh air untuk emak yang akan ke bertolak ke sekolah sebentar lagi. Aku juga sempat membakar beberapa keping roti yang aku sapukan mentega dan butter di atasnya. 

Aku tidak perasaan entah berapa lama emak sudah berdiri tidak jauh dariku. Rupa-rupanya pergerakanku diperhati emak sejak tadi. Raut wajah kusam emak masih membuatkan aku berasa bersalah kerana sesungguhnya akulah punca kesedihan emak.

Aku tersenyum nipis. 

“Emak, Hana dah buat sarapan. Jom, kita makan sama,” pelawaku sambil menarik kerusi di meja makan itu untuk emak yang sudah berdandan kemas untuk keluar mengajar.

Emak mencicip air kopi panas yang telah aku tuangkan ke dalam cawan, namun anak matanya masih tidak lepas daripada memandangku. Aku tahu terlalu banyak yang emak mahu aku jelaskan, ceritakan dan kongsikan kepadanya, namun mulutku ini masih terlalu berat untuk berkongsi kerana aku berasa terlalu malu untuk membuka pekung di dada.

“Emak sentiasa ada untuk dengar luahan hati Hana,” ujar emak perlahan.

Aku tersenyum nipis sebelum mengangguk sedikit.

“Hana akan ceritakan bila Hana dah bersedia ya, mak.” 

Sesungguhnya, aku sedang menanggung perasaan hiba tatkala ini. Mungkin saat ini merupakan kali terakhir aku melihat wajah emak. Aku tekad untuk berangkat ke Kuala Lumpur sebentar nanti. Kelak aku mungkin akan pulang selepas anak yang sedang aku kandung ini lahir ke dunia. 

Berat sungguh hatiku ini untuk meninggalkan emak, namun aku tidak punya pilihan lain. Tidak betah aku terus tinggal di kampung ini dan memalukan emak.

“Lepas emak balik mengajar petang ni, emak nak Hana cerita pada emak. Beritahu siapa lelaki jahat yang dah rosakkan Hana. Emak akan cari dia dan akan hukum dia sebab dah sakiti anak emak,” rintih Emak yang tidak dapat menahan air mata.

“Emak jangan nangis… Hana tak boleh tengok air mata emak. Maafkan Hana sebab berdosa pada emak.” Aku melutut di kaki emak.

Emak memelukku sambil mengusap-usap rambut.

“Hana tak berdosa. Hana teraniaya. Sebab tu lelaki yang menodai Hana harus menerima hukuman setimpal. Hati Mak terluka dalam sama seperti yang Hana rasa. Emak boleh rasa kesedihan dan kedukaan Hana. Jadi… emak nak Hana sentiasa ingat, walaupun Hana dibesarkan tanpa seorang ayah, emak berjanji selagi masih benafas, kasih dan sayang emak pada Hana takkan pernah berkurang. Emak sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaan Hana. Walau siapa pun musuh Hana… emak akan pertahankan Hana.” Tekad Emak dalam ketegasan.

Aku menghantar emak sehingga ke muka pintu dan melambai-lambai ke arahnya. Ini bukanlah pengakhiran yang aku inginkan, namun aku tidak punya pilihan lain. Aku tidak sekuat dan setegas emak. Mungkin sifat diriku yang lembut aku sering dibuli dan dikenakan oleh manusia-manusia yang berperwatakan jahat. 

Kini, aku pasrah dengan ketentuan yang telah tertulis buat diriku.






Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.