Home Novel Cinta DIARI MILIK DOKTOR ANA
DIARI MILIK DOKTOR ANA
NAWAR WAHID
18/12/2020 17:35:30
15,005
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

Aku dan umi menghantar Adam di hadapan rumah beserta sebungkus makanan yang boleh dimakan untuk sarapan esok pagi. Adam mendapatkan bungkusan itu daripada aku. Umi yang terlupa untuk menutup lauk di dapur terus berlari masuk ke dalam rumah semula. Suasana di luar rumah sangat gelap dan sunyi. Tenang betul aku lihat keadaan dekat luar. Aku perhatikan kereta yang lalu lalang. Kemana mereka mahu pergi malam-malam begini? Tak penatkah hidup seperti burung hantu? Iya, macam aku. Kadang waktu oncall, aku tak boleh tidur. Pesakit berpusu-pusu masuk untuk dapatkan rawatan. 

Yang peliknya, kenapalah memandu waktu malam-malam? Bila ditanya, kerja kah? Tak. Yang datang semuanya kaki tangan dah patah. Alahai, kasihan betul. 

"Kau cuti kan esok?" Tanya Adam sambil naik ke atas motor. 

"Haah. Cutilah." 

Ping. Satu mesej diterima di telefon. Aku bukanya tergesa-gesa. 

"Rahul ke?" Tanya Adam tertanya-tanya.

Waktu aku pandang skrin telefon, mata aku terus membulat. Aku terus campak telefon macam refleksi terhadap ketakutan. Adam mengerut. Apahal ni? Adam terus turun motor. Kutip semula telefon. Dibacanya secara kasar.

"Ana, aku rasa nak bunuh diri. Eh, apa masalah Rahul ni?!" Menjerit Adam bila dia baca mesej tu.

"Bu-bukan Rahul tu, Adam. Aku simpan nombor dia. No-nombor tu aku tak simpan." Terkumat-kamit aku membalas kata-kata Adam. 

"Habis tu, siapa mesej kau malam-malam ni, Ana?" Tegas suara Adam. Rasa kesal pula perkara ni terjadi.

Aku tak bersuara. Hanya kepalaku menggeleng-geleng tidak tahu. 

"Tak boleh macam ni. Jom kita pergi balai polis. Aku tak tahu orang tu betul ke nak bunuh diri. Entah-entah ni jerat untuk kau jumpa dia. Macam ni tak boleh, Ana!" Marah Adam sambil memaki-maki telefonku.

"Adam, tak. Aku rasa macam orang ni betul-betul nak bunuh diri."

Adam tarik tangan aku. Paksa untuk aku pergi balai polis. Naluri askarnya membuak-buak. Dia dapat rasakan ada benda tak kena. 

Tiba-tiba mesej baru muncul pada skrin. Adam rampas laju. Dibacanya dengan suara yang garau. Entah kenapa rasa lega jelas kelihatan pada mukanya.

"Maaf Ana, saya ok je. Ish-" Keluh Adam berat. Sambungnya lagi, "Ana, kau balas, tanya siapa."

Aku pandang skrin lama. Aku tak berapa pasti apa yang perlu aku taip. Adakah betul dia memerlukan pertolongan aku? Aku berkira sudah ramai rakan sekerjaku yang stres bekerja. Ada juga beberapa orang yang pernah meluahkan perasaan kepadaku bahawa dia mahu bunuh diri. Tapi sekadar gurau biasa aja. 

Mesej kali ni, sangat terkesan pada aku. Sebagai rakan, apa yang perlu aku buat? Adakah aku sudah gagal menjadi seorang rakan kepadanya?

Mesej yang sudah sejam lamanya ku beri, tak berbalas. Adam juga sudah balik ke rumah. Penat juga ku pujuk Adam agar balik dulu. Risau betul dia memikirkan tentang keadaan dan keselamatan aku. Dua jam berlalu begitu saja. Mata aku dah layu. Aku mengantuk. Entah bila aku tertidur di atas katil tanpa menutup lampu. 

Pagi keesokan harinya, aku terjaga. Masih mamai, aku capai telefon. Masih lagi tidak berbalas. Mesej yang bertulis, maaf, ni siapa ya, ku perhatikan lama. Perasaan resah mula memakan diri. Tanpa berfikir aku terus ke tanda mengambil air sembahyang untuk solat subuh. Selesai solat di tikar sejadah, aku capai buku-buku keagamaan yang sudah tergendala untuk dibaca. 

Helai demi helain aku telaahnya. Dan waktu itu, ada satu ayat yang betul-betul membuatkan aku menangis. Aku menangis semahu-mahunya. Ya, aku penat. Aku penat bekerja sebagai seorang doktor. Sehinggakan setiap hari aku putus asa. Tetapi kepada manusia yang telah memberi aku satu mesej bahawa dia mahu menamatkan hidupnya, buatkan aku sendiri mempersoalkan kerja aku. Adakah satu hari nanti aku akan berada pada tahap itu? Perasaan putus asa yang kuat? Adakah Tuhan akan mengampuni aku jika aku menamatkan hidup aku tanpa izinNya?

"Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.”

Wahai Ana, tak terfikirkah kau nikmat yang Tuhan beri? Kau bersengkang mata waktu pagi nak rawat orang. Jika niatmu untuk menziarahi, maka malaikat akan mendoakanmu dan menjagamu seperti mana kau ingin menjaga orang lain. Dari pagi ke petang dan dari petang hingga keesokan harinya. Setiap hari. 

Ana, mana pergi niatmu dulu? Kau berjanji dengan umi kau nak tolong orang lain. Kau tahu bertapa peritnya ibu ke hulu dan ke hilir ingin menyihatkan abah. Tapi abah pergi jua. Tuhan lagi sayangkan abah. Sekarang hanya ada umi. Bagaikan tersekat tulang dan duri pada tekak. Mataku sudah kemerahan. Umi, Ana minta maaf jika Ana tak beri masa untuk Umi. Ana redha umi. Ana bukan anak yang baik tetapi ana redha dan tawakal yang tuhan akan jaga umi. Jaga umi masa umi bangun pagi. Jaga umi masa umi jual nasi lemak tengah-tengah panas. Dan terus menjaga umi bila umi singgah surau untuk solat. 

"Assalamualaikum, anak umi ni kenapa nangis? Ya Allah, bengkak dah mata tu." 

"Ummi-" rengekku sambil mendepa tangan agar umi memelukku. 

"Ana tak tahu umi. Ana takut kalau umi tak ada. Macam mana kalau ana kerja dan ada sesuatu berlaku pada Umi? Ana akan jadi anak yang jahat." 

Umi menggeleng lalu ditepuknya belakangku. "Ish, budak ni. Mengarut apa pagi-pagi ni. Cepat, Adam dah tunggu dekat bawah. Kata nak pergi kenduri doa selamat rumah Paklong. Dah, cukupla tu, sayang. Tuhan tu tak akan menguji hambanya kalau dia tak mampu. Ana kuat. Umi tahu tu."

Sejam aku bersiap. Adam tak bebel satu apa pun. Umi juga tidak berkata apa-apa. Mataku yang bengkak sudah surut. Mata sudah tidak kemerahan. Aku yang segak memakai baju kurung berwarna kuning cair tidak tenang duduk disebelah Adam. Adam pula kusyuk memandu kereta di sebelahku. Umi, sedang khusyuk mengaji di tempat duduk belakang. 

"Mesej tu, orang tu tak balas lagi." Kataku tanpa disoal. Adam masih tenang, tidak membalas. Aku dapat rasakan dia juga sedang memikirkan sesuatu.

Mungkin dia tidak mahu Umi tahu kisah malam tadi. Sesampai aku di rumah Paklong, Umi terus turun dahulu mendapatkan Paklong di depan pintu. Aku yang baru nak turun disekat Adam. Adam tahan tangan aku. 

"Pasal malam tadi, jangan bagitahu Umi. Adam tak nak dia risau."

Aku dah agak. 

"Dan, kenapa Ana nangis ni? Umi sampai tanya Adam kenapa. Mana Adam nak jawab."

"Entahla Adam. Esok Ana nak kerja. Rasa berat pula." Keluhku lalu ku lepaskan tangan Adam. "Jomlah masuk rumah. Nanti dorang cakap apa pula."

"Qairana! Oi! Amboi segaknya kau Adam!" Teriak sepupuku Sofia. Nampak cantik baju yang dipakai Sofia. Baju kebaya biru yang sedikit ketat dan selendang biru cair itu nampak sesuai dengan badan. Mata Sofia membulat. "Eh, Ana, kau ni nampak macam gemuk sikit je. Padanlah tak ada orang nak kau. Haha. Lepas tu, asyik bekerja je. Tahulah kau ni doktor tak sempat nak bercinta. Tapi, tengok aku ni, dah kawin setahun tapi tetap masih boleh bekerja." 

Ugh, bebalnya aku dengar. Adam menjeling aku. Aku hanya menyengih lalu bersalaman dengan Sofia. Kami sebaya. Tapi tak pernah sefahaman. Dulu, Sofia tergila-gilakan Adam. Tapi sejak Adam berkhidmat jauh daripada sini, terusnya dicari orang lain dan kawin. Mungkin sekarang ni marah tengok aku keluar kereta dengan Adam kot. 

"Jemputlah masuk Adam, Qairana." Senyum Paklong. Kami bersalaman dengan abang ibu. 

Suasana sangat tenang. Selesai doa selamat, aku berlari ke dapur. Cuba sedaya upaya menjauhkan diri daripada Sofia. Aku tahu Sofia tak akan ke dapur. Baik aku tolong Maklong ngan Umi. 

Umi mengarahkan aku untuk ambil pinggan mangkuk atas meja. Maklong pula terkial-kial mahu ambil cawan yang banyak tu. Aku cepat-cepat tinggalkan pinggan lalu mendapatkan cawan dipegang maklong. Belum sempat aku nak tolong, maklong terjatuhkan cawan tu. Aku terkejut. Serpihan cawan tu terkena pada ibu jari kaki aku juga. Tapi kaki maklong habis berdarah. Menjerit orang tua tu. 

Sofia tiba-tiba datang ke dapur ditolaknya aku sampai jatuh. Aku toleh pada maklong yang sudah terduduk. 

"Kau buat apa ni, Ana! Kau tengok apa jadi dengan kaki mak. Kata doktor, cepatla buat sesuatu. Hish! Menyusahkan!" 

Aku terus berlari ambil kain bersih di dapur. Cuba mengelap serpihan kaca itu. Dengan cepat, aku ingin memapah maklong ke tandas yang ada untuk mengalirkan serpihan kaca dan darah kotor itu. 

"Tak payahla, bagi aku buat je." Kata Sofia. 

Semua orang yang sibuk tengah berbual di ruang tamu berlari ke dapur. 

"Astaghfirullah, maknya, dah kenapa ni?" Kata Paklong. Adam nampak terkejut melihat keadaan kami. 

"Um, Maklong terjatuhkan cawan."

"Kau yang jatuhkan cawan tu kan? Kau nak cakap mak buatlah?" Tengking Sofia.

"Soofiaa!" Marah Maklong lalu dipukulnya belakang Sofia. 

"Maak!" Jeling Sofia sambil menghentak kaki. 

"Macam budak-budak kau ni Sofia. Shah tak ada kau buat perangai macam ni. Aku bagitahu Shah nanti." Marah Paklong. Semua orang tahu Sofia takut akan suaminya. Suaminya berbeza perangainya. Tenang dan siuman fikirannya. 

Keluhku tak habis. Aku terkedu di situ. Lepas habis majlis, aku terus masuk kereta. Menunggu Adam dan Ibu. Tak apa Ana, kau tak sekaya Sofia. Kau memang tak ada suami. Memang betul kau tak ada masa untuk bercinta. Tapi kau ada Umi yang sayangkan kau banyak. Jadi, jangan merungut. 

Pintu aku diketuk. Tingkap kereta terus ku turunkan. Aku lihat Adam sedang berdiri di tepi kereta. "Ana, Adam nak bawa maklong pergi hospital. Ana balik dengan Umi dulu eh. Ni kunci kereta."

"Eh-" 

Hm, ni mesti kerja Sofia. Apa lagi yang dia tak puas hati? Sekarang ni semua perhatian dekat kau. Baiklah, aku tak akan nak kan Adam. Kalau itu  sebenarnya yang kau nak kan?

 

 

 

 

 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.