Home Novel Cinta DIARI MILIK DOKTOR ANA
DIARI MILIK DOKTOR ANA
NAWAR WAHID
18/12/2020 17:35:30
15,009
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 5

Bunyi loceng tiga kali berdering. Aku tekad untuk teruskan kerja tanpa memikirkan hal semalam. Jika tiga kali loceng berbunyi, bermaksud akan ada pesakit dimasukkan ke zon merah kecemasan. Zon kecemasan terbahagi kepada beberapa bahagian. 

Zon hijau untuk pesakit tidak kritikal. Di sini, sesiapa yang batuk biasa, sakit perut yang masih boleh berjalan atau sakitnya boleh tahan, mereka akan ditolak ke zon hijau.

Zon kuning pula adalah zon yang memerlukan pesakit duduk di atas katil dan memerlukan sebarang prosedur daripada doktor. Contohnya, sakit denggi, mereka diperlukan pengawasan rapi dan wajib dimasukkan ke dalam wad. Juga luka sakit yang perlu dijahit dengan syarat keadaan mereka masih stabil. Jika tidak stabil mereka akan dibawa ke zon amber. 

Zon amber adalah zon separa kritikal. Zon kritikal pula adalah zon merah. Kedua-dua zon ini memerlukan pengawasan daripada pihak doktor dan jururawat. Jika pesakit tidak stabil dan mereka memerlukan rawatan intensif seperti bantuan tiub pernafasan, maka pesakit akan ditolak ke zon merah. 

Pada hari ini, aku akan berjaga di zon merah. Maya kelihatan segar hari ini. Berlari dia ke arahku. "Ana, kelmarin aku dapat mesej pelik. Ada orang nak bunuh diri."

"Eh, betul ke? Aku pun dapat. Jadi, orang tu balas tak mesej kau?" Tanyaku sambil terkial-kial mencucuk jarum panjang yang tajam ke arah tangan pesakitku. 

"Tak balas. Aku berani juga telefon dia. Aku takut tu kau." 

Tersenyum aku mendengar rintihan Maya. Sayang juga dia pada aku. 

"Kau tahu tak, sekarang ni ramai sangat doktor muda nak bunuh diri. Tak tahan tau. Kita kerja macam kuli. Paksa untuk kerja macam zaman dulu-dulu. Zaman dulu-dulu, kitaorang selalu balik lambat. Zaman dulu-dulu, kerja kitaorang lagi susah." Maya mengajuk kata-kata Dr. Adib. 

"Maya, kau ngumpat apa tu?" Celah Farina. 

"Eh, Fa! Kau baru masuk jabatan ni ke?" Jelas riak riang pada wajah Maya. "Hai, Qairana!"

Aku tidak berapa kenal Farina. Orangnya nampak riang. Walaupun hari ini adalah hari pertamanya, dia nampak berani. Pada hari pertama lagi, dia sudah berani melakukan prosedur baru kepada pesakit. 

"Siapa paling senior dekat sini?!" Tiba-tiba Dr. Adib menjerit ke arahku. Aku tertenung mata doktor pakar kecemasan. Maka, akulah orang yang dia cari. Katanya, hari ni aku kena bekerja di zon amber. Zon separa kritikal. Di sana, doktor tidak cukup. Terpaksalah aku memberi khidmat aku di sana. Di zon amber, tempatnya terbahagi kepada dua. Di luar dan di dalam. Di bahagian luar, adalah untuk pesakit mental. Mereka akan dipisahkan dengan bilik-bilik. Jadi, malangnya aku akan menjaga pesakit mental. Hari ni pasti akan mencabar. 

"Tepi! Tepi!" Seorang pesakit yang kelihatan tergari diiring oleh dua orang polis terus masuk ke zon amber. Daripada tadi aku lihat pesakit itu tergelak seorang diri. Sudah khayal. 

"Kes apa tu?" Tanyaku kepada pembantu doktor yang sedang berlari mengambil kain untuk mengikat pesakit ke katil. 

"Ambil dadah." 

Aku berjalan ke arah mereka. Dengan tenang aku bertanyakan soalan kepada polis. Hendak ditanya kepada pesakit, memang tidak dapatlah aku jawapannya. Ditunjukkan surat tahanan. Seorang anggota polis telah ditahan kerana memiliki dadah. Sungguh menyayat hati. Bagaimana aku nak percayakan polis lagi selepas ini.

"Kau ni, bong! Memalukan aku tahu tak." Diketuk kepala rakannya. "Maaf doktor. Ni kawan sekerja saya. Tapi tak tahu kenapa dia boleh sanggup ambil dadah." Kata polis itu kesal. 

"Saya nak ambil sampel air kencing dan ambil darah dia untuk uji kaji ya." 

"Boleh doktor! Saya boleh tolong."

"Tak apa. Saya minta pembantu saya." Aku bukan tak percayakan mereka. Tetapi kalau kawan, mereka boleh tipu-tipu bagi air kencing mereka agar ujian kencing negatif. Bukan sekali, ada juga rakan setugas aku yang dapat kes sebegini. 

Pembantu doktor lelaki itu sudah pun mendapatkan air kencing. Bekas itu diletakkan di tepi, sudah dilabel nama. Aku menolak troli untuk ambil darah dan memulakan sesi mengambil darah. Kerana terlalu kuat dan agresif, ku pinta agar tangannya dipegang oleh polis. Akhirnya dapat juga darah yang kukehendaki. 

"Doktor!" Aduh, apa lagi ni?

"Kes apa?" Tanyaku tenang. Nampak seorang budak lelaki yang sudah berbalut tangan kanannya dengan simen menghentak-hentak tangannya ke dinding. 

"Budak ni pun kes ambil dadah." Astaghfirullah. Dari yang muda sampai tua, semuanya buat kerja sama. Memalukan betul!

"Kau tahan tangan dia. Dahlah tangan tu retak, patah. Janganla kau ketuk tangan kau lagi nak." Kata si ayah pada si isteri. Selepas itu, dimarahi anak yang sudah dibawah pengaruh dadah. 

"Kenapa ni?" Tanyaku tegas.

"Doktor, tolonglah bagi anak saya ni ubat tidur. Kalau macam ni habisla tangan dia ni!" Rintih si ibu.

"Bagi Midazolan 3 miligram." Arahku pada pembantu perubatan. Berlari Ismail menolongku untuk dapatkan ubat.

"Hasrin, hasrin!" Teriakku. 

"Awak ni kenapa? Hentak, hentak tangan tu. Tak sakit ke?!" Marahku sambil mencekak pinggang. 

Hasrin, pesakit yang sedang berbalut tangan kanannya, tiba-tiba berjalan mendekati aku. Masih mendada. Takut juga kalau aku dipukul. Aku berjalan ke belakang. 

"Doktor, bukaklah tangan saya ni! Saya tak nak!" 

Aduhai, tangan tu dah la patah sebab kau terjun satu tingkat. Nasib satu tingkat. Kalau tingkat lima tu, aku rasa habis patah semua tulang. Itulah, bila dah tak siuman, apa-apa pun boleh jadi. 

"Oi, lepaslah! Lepaskan akulah!" Kata Hasrin sambil meronta-ronta dilepaskan. Tubuhnya agak kecil tetapi boleb tahan kuat. Sehinggakan memerlukan kekuatan lelaki tiga orang. 

"Doktor, cepat bagi ubat tu!" Jerit Ismail, pembantu perubatan. Aku cubit lengannya paling atas, lalu jarum tajam itu mencucuk lengannya. Picagari yang dipenuhi ubat penenang aku habiskan. Tak sampai seminit, terlelap Hasrin di atas katil. 

"Doktor, kes baru!"

"Allahuakbar! Banyaknya kes hari ni. Kes apa tu?" Kataku mengah sambil mengelap peluh di dahi. 

"Kes kacau orang."

"Ok, nanti aku datang!"

Tiba-tiba aku ditegur seseorang. Aku lihat seorang wanita yang berpakaian kemas sedang berdiri di hadapanku. Aku perhatikan sekeliling. Oh, ini mesti waris nak cari pesakit.

"Hello, hai, awak ni doktor ke?" 

"Ya, saya Dr. Qairana. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?" Kataku tenang. Wanita itu agak besar tubuh badannya. Mungkin dalam umur 30an. Wajahnya cantik bersolek dengan rambut pendek disikat ke belakang. Baju merah itu nampak padan dengannya.

"Baiklah, saya adalah seorang peguam."

"Oh, ya. Ada apa-apa yang perlu saya bantu?" Ulangku lagi.

"Ya, saya nak saman awak!" Tiba-tiba ditolaknya badan aku ke dinding dengan kuat. Aduh, sakitnya! Menggeliat aku menahan sakit. Kau dah kenapa?!

"Aku adalah peguam yang memiliki satu kuasa di dunia. Muahaha. Dunia ini akan hancur sebab akta dunia ini salah!" 

Ish, kau ke kes yang baru masuk! Orang gila rupanya! Sakitnya jiwa aku!

"Doktor, doktor ok tak?" Tanya Ismail serba salah.

"Kenapa kau tak ikat dia?!" Marahku pada Ismail. "Kalau dia lari macam mana? Ikat dia sekarang! Polis pergi mana? Panggil polis!" 

Aku terus menahan tangan wanita itu yang cuba melarikan diri. Kuat betul! 

"Samah, samah!" Huh, waris pesakit baru sampai!

"Abang long! Samah tak nak masuk rumah orang gila. Nanti dorang ikat samah lagi. Dorang bagi ubat tidur. Samah tak nak."

"Kau ni. Pergi baring atas katil. Kau lari lagi aku tak nak kawan kau." Kata abangnya. Aku perhatikan telatah dua beradik ni. Sayang juga abangnya pada adik. Masing-masing dah pun berumur. Tetapi terpaksa juga dilayankan perangai adiknya. 

Aduh, geli hati betul. Macam inilah kisah aku kalau kerja zon amber bahagian orang sakit mental. Aku rasa boleh jadi gila aku melayan kerenah mereka. Pulak tu, daripada tadi pesakit india tu menabik kepalanya pada kami. Aduh, setiap kali lalu depan dia, ditabiknya kami. Tak penat ke oi!

Previous: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.