Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
16,650
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Safa Hawani mengayuh basikal selaju mungkin. Dua hari dia bertahan, tidak mengendahkan undangan Ahmad Iqbal untuk pergi memancing tetapi tewas juga hari ini.

“Masalah betullah aku dengan mat patah ni. Tak pasal-pasal kena pergi juga. Ni, mak punya pasallah. Ssuruh aku pergi sebab kesiankan Iqbal. Siapa anak mak ni? Aku atau Iqbal? Nasiblah aku ni anak yang baik. Dengar cakap mak ayah.” Mulut Safa Hawani terkumat-kamit, membebel.

Kalau diikutkan, Ahmad Iqbal akan menjemputnya. Mahu protes punya pasal, awal-awal dia keluar. Biar padan dengan muka mat patah menunggunya. Biar Ahmad Iqbal rasa macam mana sakit di hati. Sambil mengayuh, dia terfikirkan sesuatu. 

Akhir-akhir ini, merasakan dirinya sedang mengalami proses perubahan hormon barangkali. Yang paling ketara sekali, moodnya. Sering berubah-ubah. Semakin pandai merajuk. Selalunya, dia tenang saja. 

PIN, PIN!

Hampir terjatuh Safa Hawani menekan brek basikal sehabis mungkin kerana mahu mengelak sebuah motorsikal yang berhenti di hadapan secara mengejut. Mujurlah dia tidak tersembam ke tanah tadi. Tajam mata dipicingkan ke arah susuk manusia di depan. 

Sebaik mengenali susuk di depan setelah menanggalkan topi keledar, menyumpah dalam hati. Pakai saja topi keledar, ikut undang-undang konon. Gaya macam nak rempuh dia tadi sudah dikira melanggar undang-undang. Dia merengus kasar. Memandang susuk yang menghalang perjalanannya, atas bawah.

“Kau?” Safa Hawani mengetap kuat giginya.

“Ya, aku.” Kembali beraku, kau pula dengan Safa Hawani.

“Kau nak apa?” Hati Safa Hawani panas apabila melihat pemuda itu senyum sinis. Matanya meliar, melihat keadaan sekeliling. Hanya hutan belukar tebal dilihat. Dia mendecit perlahan. Salah dia juga kerana memilih jalan sunyi ini. Jalan pintas konon. Disapa rasa kurang enak, dia tidak selesa.

“Kau nak apa!” Oktaf suara Safa Hawani meninggi. 

“Aku... nak kau!”

Safa Hawani merengus. Jengkel sekali telinganya mendengar ketawa pemuda itu. 

“Gila!”

“Ya, aku memang gila. Cuma kau tak pernah perasan apa punca gila aku, Safa?”

“Kau jangan merepeklah, Aiman! Kalau nak gila, sorang-sorang sudah. Tak payah tunjuk depan aku.” 

Aiman tidak mengendahkan sindiran itu,  menyambung ketawa.

Safa Hawani dengan anak mata bergerak, memerhati sekeliling lagi. Gerun semakin kuat menjerutnya. Jantung pula, bagai mahu terkeluar kerana menahan debaran mengasak dari dalam. Hampir menggigil tubuh kerana menahan debar yang amat hebat. Hatinya rasa kurang enak. Mahu sesak dada, menahan asakan cemas semakin bergumpal-gumpal.

“Kau sihat, Safa?” Puas hatinya. Dapat melihat muka yang sangat dirindui. Dia hanya mampu melihat dari jauh kebelakangan ini. Sejak tamat sekolah, sangat jarang dia berjumpa dengan gadis idamannya. Walaupun sekampung, keakraban mereka sangat terbatas. 

“Tepilah. Aku nak lalu!” Kedua tangan memegang handle basikal sedang kaki kanan pula berada di pedal manakala kaki kiri di tanah. Kalaulah dia sedang menaiki motosikal, pasti sudah diranduk pemuda itu. Biar tergolek ke tanah macam nangka busuk.

“Kalau aku tak nak, Safa? Kau nak tendang aku macam hari tu?” 

Senyap.

Aiman melebarkan senyum sinis sambil menyandar tubuh ke sisi motorsikal yang sudah ditongkat. Kedua tangan disilang, memeluk tubuhnya yang kelihatan lebih sasa berbanding dulu. Anak mata pula bagaikan lagak si mata keranjang, memandang Safa Hawani bagai mahu ditelan.

“Kau nak rasa sekali lagi?” Safa Hawani masih cuba berlagak tenang sedang di dalam hati, risau semakin tebal. 

“Terserah. Aku tengah tunggu ni.” Kata-kata berbaur cabaran sengaja dituturkan oleh Aiman. 

“Hei, Aiman! Aku tak ada masa layan kau. Tepilah. Aku ada kerja ni!” 

“Bila aku halang? Lalulah.” 

Safa Hawani terdiam. Ya, memang laluan di sekitar Aiman agak lebar namun jauh di sudut hati, satu perasaan kurang enak bertandang.

Liar mata Aiman memandang ke seluruh muka Safa Hawani. Hari ini, perhitungan akan dibuat. Safa Hawani, perlu melunaskan hutang kerana memalukannya dulu. Senyum sumbing bercampur sinis ditayang. Belum lagi ditambah dengan jongketan di kening kanan. Aiman merasa sangat puas hati. Bak kata orang, langkah kanan betul dia hari ini. 

 Safa Hawani menghela nafas. Fikirannya mula memikirkan perkara yang... ah, tidak dapat dibayangkan. Semakin negatif perkara yang menerjah ke benak. Berdebar-debar dengan amat hebat sekali. Dihambat jauh pemikiran buruk yang menjengah ke akalnya. Semoga tidak menjadi kenyataan.

“Aiman, tolonglah ke tepi.”

“Kenapa? Kau takut, Safa? Sejak bila wirawati macam kau dah jadi penakut? Lalu ajelah.” Aiman senyum lagi. 

Kebetulan, semasa Aiman lalu berdekatan rumah Safa Hawani tadi, terlihat olehnya sesusuk tubuh sedang mengayuh basikal keluar dari halaman rumah tersebut. Apa lagi, terus dia mengikut dari belakang. Dia tidak merancang semua ini. Tuah, ternyata menyebelahinya. Peluang seperti ini, sesekali tidak akan dilepaskan. Bibir yang sudah berkumis nipis semakin melebarkan senyuman. 

Tanpa menunggu lama, Safa Hawani memulakan kayuhan. 

“Kita tak habis lagi Safa.” Sekelip mata Aiman sudah berada di depan Safa Hawani dan terus tangannya menahan handle basikal gadis itu. 

Mujur baik Safa Hawani tidak jatuh kerana berjaya mengawal imbangan. Tajam pandangan, dilontarkan ke arah Aiman.

Mata Aiman dengan galak menjelajah lagi ke seluruh muka bujur sirih yang putih dan licin itu. Air liur ditelan membuatkan halkumnya kelihatan bergerak.

“Aku takkan lepaskan kau macam tu aje hari ini. Kau, ada ‘hutang’ yang belum berbayar, Safa.” Tangan Safa Hawani disambar dengan kasar. Dia mengheret gadis itu hingga basikal yang ditunggang oleh jatuh menyembah tanah. 

“Hutang apa ni? Ei, lepaslah!” Safa Hawani meronta-ronta lantas bertindak menampar kuat lengan Aiman berkali-kali namun semakin kuat pula tangannya dicengkam.

“Ikut aku kalau kau nak selamat!” Aiman mengugut.

“Lepaslah, Aiman. Kau nak bawa aku ke mana?” Tersekat-sekat nada Safa Hawani. 

“Jangan melawan kalau kau tak nak sakit. Ikut aku!” 

Aiman terus menarik Safa Hawani ke dalam semak. Semakin kuat cengkamannya dan terus mengheret gadis itu tanpa rasa belas kasihan. Dia terlupa diri. Lupa bahawa dia sedang berkasar dengan seorang gadis.

Dengan segala kudrat yang ada, Safa Hawani bertindak merentap tangannya kemudian dengan pantas melarikan diri sebaik melihat Aiman sedikit terkaku. Namun tidak lama kerana  Aiman mula mengejarnya. Entah bagaimana dalam keadaan sedang kelam kabut, kakinya tersadung sesuatu. Dia jatuh tertiarap di atas tanah yang dipenuhi rumput. 

Safa Hawani menyeringai kesakitan apabila tudungnya ditarik dengan kasar oleh Aiman yang kini sudah berdiri di sisi kanan. Dalam keadaan terdesak, tangannya terpaksa memegang tangan Aiman.

“Lepaskan aku!” Safa Hawani masih cuba melawan dengan menampar kuat lengan Aiman.

“Mana kau nak lari? Ingat senang aku nak lepaskan kau lepas apa kau buat pada aku dulu. Kau, dah malukan aku. Dan sekarang giliran kau pula, Safa!” 

“Tolong jangan apa-apakan aku, Aiman.”

Aiman seperti dirasuk semakin kasar perlakuannya. Mencengkam kuat tangan Safa Hawani. Sikit pun tidak menghiraukan rayuan gadis sedang diheretnya. Semakin hilang kewarasan akal apabila nafsu serakah mula memenuhi segenap ruang kepala dan tubuhnya. Akibat dendamnya terhadap Safa Hawani, hatinya menjadi buta. Buta terhadap iman.

“Jangan buat aku macam ni, Aiman. Lepaskan aku!” Safa Hawani merayu lagi. 

Air mata selama ini jarang kelihatan, mencurah-curah turun membasahi kedua pipi. Selama ini, Safa Hawani mampu bertindak balas namun buntu akalnya saat menghadapi situasi sebegini. Dia tidak dapat berfikir dengan waras kerana rasa takut lebih kuat membayangi diri. Dia benar-benar di dalam ketakutan! 

“Aiman, lepaskan aku!”

“Kau diamlah perempuan!” Aiman menolak dengan kasar tubuh Safa Hawani hingga jatuh terduduk di atas tanah diselaputi dedaun kering di atasnya. 

Safa Hawani terkedu. Dia berada agak jauh ke dalam semak belukar yang tebal. lantas mendongak ke arah Aiman sedang berdiri di depan sambil mencekak pinggang. Sedaya upaya dia cuba mengesot tubuh ke belakang tetapi Aiman mencangkung, pantas memegang kedua kakinya.

“Kau takkan dapat lari daripada aku Safa.” Aiman gelak. 

Safa Hawani teresak-esak menangis. Aiman, bukan seperti diri sendiri. Perwatakan Aiman benar-benar berubah. 180 darjah pusingannya.

“Lepaskan aku, Aiman. Lepaskan aku!” Safa Hawani semakin kuat meronta-ronta. 

PANG!

Senyap. 

Pipi kanan Safa Hawani terasa pijar lantas tangan kanan melekap ke situ. Perwatakan Aiman berubah menjadi bengis begitu menggerunkannya. Sambil memandang Aiman dengan genangan air mata, dia menelan air liur dengan payah.

“Kalau tak nak kena tumbuk, baik kau diam!” Buku Lima diacu depan muka Safa Hawani.

“Aiman. Tolong...” terketar-ketar mulut Safa Hawani

Aiman buat tidak dengar malah Safa Hawani didekati. Dia merentap tudung Safa Hawani yang sudah senget. Dia menelan air liur sebaik melihat sebujur muka cantik dengan rambut hitam pekat, panjang mengurai. Dia selalu membayangkan Safa Hawani berambut pendek seiring dengan lagak keras. Melihat Safa Hawani di depannya hari ini...

“Jangan, Aiman.” Safa Hawani menggigil ketakutan. Cuba mengesot tubuh ke belakang.

“Kau nak ke mana? Sini. Jangan harap kau akan terlepas hari ni. Dah lama aku tunggu saat ni, Safa.” Aiman seperti kerasukan. Bagaikan sedang mendalami watak seorang perogol, menghayati lakonan.

“Aiman, aku nak balik. Jangan apa-apakan aku.” 

“Sini. Kau nak ke mana, Safa?” Aiman mendekati Safa Hawani.

Air mata Safa Hawani semakin mencurah-curah keluar. Muka Aiman kini betul-betul hampir dengan mukanya. Menggigil tubuh hingga tersekat-sekat nafas. Hembusan nafas Aiman menyentuh mukanya, menambahkan lagi gerun di hati. Semakin kuat mata dipejam sambil kedua tangan menjadi perisai cuba menolak muka Aiman.

“Kau memang cantik, Safa.” Muka semakin didekatkan selepas berjaya mencengkam tangan Safa Hawani yang masih belum berputus asa melawan. Tangan kanan Aiman kini, membelai-belai rambut lurus Safa Hawani. 

“Kau memang cantik...”

“Aiman. Tolonglah jangan...” Air mata Safa Hawani semakin laju merembes.  

“Lepaskan dia!” 

Senyap.

Safa Hawani mendapat peluang. Sebaik Aiman berpaling, dia menolak dengan kuat tubuh itu hingga terlentang ke tanah. Tanpa menunggu lama, dia bangun dan terus lari jauh dari Aiman. 

“To..tolong... aku,” kata Safa Hawani tersekat-sekat bercampur esakan mendekati susuk yang menjerit tadi.

“Hoi, mat patah! Kau jangan masuk campur.”

“Berani kau, Aiman!” Dia mendengus.

“Lebih baik kau blah sebelum betul-betul patah kau, aku kerjakan!”

“Kau ingat, aku takut!” Bengis mimik muka Ahmad Iqbal. 

“Kau nak rasa sangat penumbuk sulung aku ni?” Aiman menegepal tangan. Gigi diketap kuat hingga bergerak-gerak rahang.

“Kalau kau nak jual, aku sudi beli Aiman.” 

“Kau cabar aku, Iqbal! Kau ingat, kau siapa?” 

“Aku, lelaki macam kau juga.” 

Kata-kata Ahmad Iqbal mengundang Aiman ketawa terbahak-bahak.

“Kau... lelaki macam aku?” Aiman ketawa mengejek pula.

“Safa, lebih baik kau ke tepi. Aku tak nak kau cedera nanti.” 

Safa Hawani terkebil-kebil memandang Ahmad Iqbal. Betulkah manusia di depannya Ahmad Iqbal yang ‘lemah-lembut’ selama ini? Menyedari keadaan agak genting, Safa Hawani menurut arahan. Sambil mengatur langkah menjauhi Ahmad Iqbal, dia menyarungkan tudung ke kepala sambil teresak-esak. 

“Apa kau tunggu lagi, Aiman? Aku dah sedia ni.” 

“Kau...” terus Aiman meluru tapi terbabas pula sebaik Ahmad Iqbal mengelak serangannya.

“Kurang ajar kau, Iqbal!” Dia meluru lagi. Panas hati Aiman. Sekali lagi Ahmad Iqbal mengelak serangannya. Kali ini nasib agak malang apabila belakang tubuhnya telah ditendang kuat oleh Ahmad Iqbal lalu tersembam dia ke tanah. 

“Tak guna!” Aiman mengangkat tubuh perlahan-lahan. Sebaik berdiri dengan seimbang, Aiman memandang geram muka tenang Ahmad Iqbal. Semakin geram melihat mat patah masih teguh berdiri. Dia terlalu memandang rendah terhadap Ahmad Iqbal nampaknya. 

“Tunggu apa lagi, Aiman. Mari!”

“Jangan harap aku termakan umpan kau kali ni!” Terus Aiman berlari mendapatkan Safa Hawani berdiri tidak jauh darinya.

“Safa. Lari!” 

Safa Hawani tersentak. Terpasung kakinya ke tanah. Terkejut dengan apa berlaku di depan mata, membuatkan dia terus pegun di situ. 

Sebaik Aiman mahu dekat dengan Safa Hawani, satu tendangan padu hinggap di rusuk kirinya menyebabkan dia jatuh mengiring ke tanah.

“Tak guna kau, Iqbal.” Aiman menyeringai kesakitan di atas tanah.

“Cepat, Safa. Kita pergi dari sini.” Ahmad Iqbal menarik lengan Safa Hawani. Saat tangan mendapat sasaran, dia tersentak lantas menoleh. Safa Hawani sedang menggigil hingga tersalur ke dirinya gigilan itu. Tapak tangan Safa Hawani sejuk dan kelihatan pucat.

“Safa, jangan takut. Aku ada.” 

“Iqbal...” terketar-ketar bibir Safa Hawani. Dia tidak mampu berjalan. Lututnya benar-benar longlai. Perlahan-lahan dia mengangkat muka, memandang Ahmad Iqbal. Matanya tiba-tiba meluas.

“Jangan!” 

Jeritan Safa Hawani agak lambat kerana Ahmad Iqbal sudah menerima tendangan daripada Aiman. 

Imbangan tubuh Ahmad Iqbal goyah. Dia kini sudah tertiarap ke tanah. 

“Kalau dah lembik, lembik juga.” Aiman mendekati Ahmad Iqbal yang sudah berdiri dengan mengepal tangan kanan. Dia, bersedia untuk melakukan satu lagi serangan.

“Siap kau, Iqbal!” Aiman menyerang.

“Tak semudah tu.” Pantas Ahmad Iqbal menahan tumbukan itu dan satu tumbukan padu hinggap di perut Aiman hingga membuatkan pemuda itu terduduk melutut di atas tanah hingga berterbangan debu. Dia melayangkan satu lagi penumbuk ke muka bedebah itu.

“Iqbal. Jangan!” 

Ahmad Iqbal tersentak dan serta-merta menghentikan hayunan tangan. Dia menoleh, Safa Hawani sudah duduk melutut sambil teresak-esak. Aiman, ditolak hingga terlentang ke tanah. Pantas dia menapak, membantu Safa Hawani  berdiri. 

“Kau bernasib baik sebab Safa ada. Kalau tak, kau sendiri tahu nasib kau.”

“Kau jangan nak berlagaklah, Iqbal.” Aiman masih tidak mahu kalah walaupun sudah setengah nyawa dikerjakan .

“Aku akan adukan perkara ni pada Tok Samad. Kau, tak akan terlepas, Aiman. Jom, Safa.” 

Ahmad Iqbal dan Safa Hawani melangkah meninggalkan Aiman yang sedang berguling-guling kesakitan. Tumbukannya tadi memang sangat kuat. 



Suasana di rumah Tok Samad sepi. Keadaan tegang sudah dapat ditenangkan. Riuh-rendah rumahnya tadi. Tok Samad melurut janggut putih yang sejemput. Terkejut dengan perkara terjadi masih bersisa. 

Tok Samad memandang dua lelaki di depan, silih berganti. Mengalihkan pula pandangan ke arah gadis yang masih menangis. Daripada tangis mendayu-dayu hinggalah bertukar ke tersedu-sedan. Dia menggeleng perlahan.  

Puan Rohaya pula, tidak berenggang dari sisi anaknya. Dia melirik pandangan ke arah suaminya pula. Sudah sedia maklum kalau suaminya naik angin. Jangan ada sesiapa berani mennyampuk. Sebab itu, mendiamkan diri adalah jalan terbaik.  

Aiman, sedang duduk di sudut lain. Dari tadi, hanya menundukan muka. Melihat jegilan ayahnya, membuakan rasa takut dalam hati. Mahu memandang muka ayah, dia tidak berani. Dia, anak orang berada di dalam kampung. Telah kematian ibu tercinta sejak kecil. Hanya ayah yang dia ada di dunia ini. 

“Macam mana boleh jadi macam ni, Aiman? Apa sebenarnya kamu fikir? Kenapa sanggup buat Safa macam ni?” Tok Samad menggeleng lagi. Budak-budak muda sekarang, macam-macam hal. 

Aiman tidak menjawab hanya diam tidak berkutik. Dia betul-betul sukakan Safa Hawani tetapi gadis itu benar-benar mencabar egonya. Enggan menerima cintanya.

“Saya minta jasa baik tok dan Abang Ramlan, jangan besarkan hal ni,” Encik Arshad, ayah kepada Aiman bersuara.

“Senangnya kau cakap, Arshad. Habis, anak aku ni macam mana!” Encik Ramlan benar-benar marah. 

“Abang sebutlah berapa abang nak?”

“Jangan ingat duit kau boleh beli maruah aku, Arshad!” Geram Encik Ramlan. Terasa harga dirinya dipijak-pijak. Adakah dengan menawarkan duit, semuanya akan selesai? Dia mengetap gigi dan dengusan halus terhembus.

“Bukan macam tu, bang. Saya...”

“Saya apa? Anak kau, dah buat salah besar. Takkan aku nak duduk diam aje. Bukan dengan duit untuk selesaikan perkara ni!” 

“Saya tak bermaksud macam tu. Saya harap perkara ni, dapat selesai kat sini.”

“Ye, aku pun memang nak selesai kat sini! Yang kau pula, apa motif nak sogok aku dengan duit?”

“Abang Ramlan, saya betul-betul minta maaf. Tak ada niat buat hati abang terguris. Saya cuma nak bagi ganti rugi...”

“Ganti rugi apa!”

“Sudah! Jangan bertekak.” Tok Samad mula campur tangan.

“Tok tak dengar apa Arshad kata tadi? Patut tak dia buat saya macam ni?”

“Arshad, kau tak boleh buat macam ni. Perkara ni, melibatkan maruah. Kau jangan ingat dengan duit, kau boleh buat apa aje! Macam nilah. Aku rasa ada baiknya perkara ni, kita bawa ke tengah.” 

“Tolonglah, tok. Saya merayu sangat-sangat. Jangan di bawa ke tengah. Mana saya nak letak muka kalau perkara ni tersebar? Malu saya, tok!” Encik Arshad semakin buntu. Dijeling tajam anak lelakinya. 

“Aiman. Kerana apa yang kamu buat, ayah kamu dapat malu besar hari ni. Kenapa tak fikir sebelum bertindak? Tok betul-betul hairan dengan kamu ni. Itulah, ikutkan sangat nafsu lelaki kamu yang satu tu. Hah, nilah padahnya.”

Aiman semakin menunduk. Ya, dia akui dia bersalah. Terasa sangat berdosa kerana memalukan ayah. Ayahnya, seorang dermawan yang sangat dihormati di dalam kampung. Dia pula, telah mencalarkan imej baik ayah.

“Saya tak kira tok, anak saya perlu dibela!” 

“Ya, aku tahu Ramlan. Arshad, macam mana sekarang?” 

“Abang Ramlan, cakaplah apa saya kena buat? Saya minta, jangan di bawa ke tengah. Tolonglah saya, bang.” Semakin terdesak Encik Arshad.

“Macam mana, Ramlan?” Dahi Tok Samad sudah berlapis-lapis. Dia memandang ke arah Encik Ramlan yang sedang merah muka, menahan marah. Siapa tidak marah kalau anak dara sendiri cuba dirosakan orang?

“Tok pula, fikir macam mana?” Encik Ramlan menyoal kembali.

“Hish, tanya aku pula. Tu, anak kau. Jadi, kaulah patut buat keputusan.”

Sudah, bertikam lidah pula mereka berdua. Encik Ramlan berdecit kemudian nafas dihembus perlahan manakala Tok Samad pula, menggosok-gosok janggut. 

Sepi.

“Macam nilah, Arshad,” Encik Ramlan menghela nafas panjang kemudian menyambung, “Kalau tak nak hal ni dipanjangkan, aku boleh bertolak-ansur tapi dengan syarat.”

“Cakaplah apa syaratnya, bang. Saya terima.” 

“Aku tak nak tengok Aiman dalam kampung ni lagi!”

“Apa, pak cik? Mana boleh macam ni?” Aiman terkedu saat melihat mata ayah semakin bulat tatkala pandangan bertembung.

“Tu syaratnya. Macam mana, Arshad? Nak terima tak?” Silih berganti pandangan Encik Ramlan, antara Aiman dengan ayahnya. 

“Abang Ramlan, saya setuju.” Lambat-lambat Encik Arshad menjawab.

“Ayah!” Aiman memberanikan diri memandang ayah. Mengharapkan sedikit simpati. Dia tidak sanggup berjauhan dari Safa Hawani kerana akan lebih mematahkan hati lelakinya. 

‘Argh... kenapa kau seksa aku, Safa!’ Hati Aiman meronta-ronta. Mahu menyesali apa telah dia lakukan... sudah terlambat.

“Keputusan ayah muktamad Aiman!” Mata dijegil lagi ke arah anak tunggalnya. Dia berpaling semula ke arah Encik Ramlan.

“Abang Ramlan. Kalau tu abang nak, saya ikutkan. Beri saya tempoh tiga hari. Lepas tu, saya akan hantar Aiman jauh dari kampung ni.”

“Ramlan, macam mana?” Tok Samad menyoal.

“Aku minta maaf Arshad. Bukan niat aku nak pisahkan kau anak-beranak tapi aku terpaksa. Lagipun, kita tak boleh kawal anak kita 24 jam. Aku, tak nak benda ni berulang lagi. Hari ni, masih terlindung budak-budak ni daripada perkara tak elok. Ke depan hari, kita tak tahu? Aku harap, kau faham dan tak salahkan aku ambil tindakan macam ni.” Sekeliling rumah Tok Samad matanya meliar, melihat reaksi semua yang ada di sini. Sebaik pandangan Encik Ramlan jatuh ke arah anak daranya yang masih tersesak-esak, nafas dihela panjang.

“Saya yang patut minta maaf bang, sebab tak pandai didik anak.” Sedikit sebak nada Encik Arshad. 

Encik Arshad sedar, tiada gunanya bertikam lidah. Dia hairan dengan perubahan Aiman. Anak yang selama ini baik perilakunya tetapi mengapa berubah sedemikian rupa? Mengapa anaknya begitu tergila-gilakan Safa Hawani? Dia memandang Safa Hawani masih tersedu-sedu. 

Satu kampung tahu, Safa Hawani seorang gadis yang mempunyai lagak keras. Bukanlah calon menantu idaman bagi setiap ibu yang mempunyai anak teruna di kampung ini. Encik Arshad menghembus nafas dan menggeleng perlahan. Hanya Aiman punyai jawapan, mengapa Safa Hawani dikejar separuh mati?

















Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.