Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
16,662
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

“Jom mancing!”

Kerana terkejut, pantas Safa Hawani berpaling. Elok saja sampai di ampaian sambil mengelek sebuah bakul berisi baju basah, dia ditegur secara mengejut. Mujur baik bakul sedang dikelek tidak terlepas ke tanah. Naya nanti kena basuh semula. Mujur jugalah tidak dibaling susuk menegur itu dengan bakul. Tajam matanya, merenung mamat patah yang sedang sengih.

“Dah tak reti bagi salam wahai muslimin?”

“Ops. Terlupa. Assalammua’laikum, Safa.” Sengih makin dilebarkan.

“Kau dah tak ada kerja lain? Pagi-pagi buta tercongok kat sini. Apa, pintu depan rumah aku, kau dah tak kenal?” 

Ahmad Iqbal sengih.

“Alah, Safa. Janganlah marah. Dah nampak kau kat sini, tu yang aku ke sini. Nak tak, petang ni kita pergi mancing?” Kening, macam biasa, dijongket berkali-kali.

Safa Hawani mencebik. Meluat dia. Ahmad Iqbal selalu sangat buat muka perasan cute macam ni kalau mahu memujuk.

“Nak tak Safa?”

“Malaslah.” 

“Alah, jomlah.”

“Aku malaslah.”

“Safa, jomlah. Bosanlah asyik memerap aje kat rumah. Nak menghadap buku, kita dah habis SPM. Jomlah, Safa. Kalau kau ada sama mesti best.” Mendayu-dayu suara lelakinya. Elok saja tangannya menyambar hujung lengan baju Safa Hawani lalu ditarik-tarik lembut. Tidak pula dihiraukan mata gadis itu sedang membulat, memandangnya. 

“Nak cakap, cakap ajelah. Tak payahlah tarik-tarik lengan baju aku ni. Aku lesing nanti!” Gaya mahu melesing sudah digayakan oleh Safa Hawani. 

Cepat-cepat Ahmad Iqbal melepaskan hujung lengan baju. Terlupa pula dia. Walaupun mereka berkawan rapat, tetap berlainan jantina dan haram bersentuhan. Safa Hawani sangat menjaga adab dan tatasusila. Pendek kata, calon sesuai untuk dijadikan isteri bagi sesiapa yang mengenali hati budi gadis itu.

“Eleh, bukan aku pegang tangan kau pun.” Ahmad Iqbal menjuihkan mulut. 

“Tak kiralah pegang atau tak? Satu lagi, kau tak ada kerja lain nak buat? Asyik-asyik, mancing. Memancing, mancing? Tak bosan? Aku, yang menghadap muka kau hari-hari naik jemu, nikan pula ikan-ikan kat dalam sungai tu. Ikan-ikan tu dengar aje suara kepit kau yang tak berapa nak menjadi tu, terus lari tahu.”

“Amboi, menghina nampak? Bila pula ikan-ikan tu ada kaki nak lari bagai...” 

Kuk!

“Sakitlah, Safa!” Kepalanya digosok. Bertuah punya kawan.

“Ambil kau. Loyar buruk dengan aku lagi. Kan dah kena hempuk dengan bakul ni,” kata Safa Hawani sambil menunjuk bakulnya yang sudah kosong. Sambil-sambil melayan Ahmad Iqbal bersembang sempat lagi tangannya menyidai baju di ampaian hingga habis.

“Sampai hati kau, Safa. Aku nak report kat mama aku.” 

“Geli aku dengan perangai budak-budak kau tu. Pergilah report. Ada aku kisah?” Safa Hawani sekejap-sekejap menoleh, melihat Ahmad Iqbal yang masih belum berhenti menggosok kepala. 

‘Tak kuat mana pun aku ketuk kepala dia?’ Rasa bersalah menguasai diri.

“Sampai hati kau, Safa. Buat aku macam ni.” Sedih nada suara Ahmad Iqbal.

Safa Hawani menelan air liur. 

“Iqbal. Kau okey tak?” 

Safa Hawani merapati Ahmad Iqbal yang sudah duduk di atas kerusi di tepi dinding dapur. Lebih membuatkan dia merasa bersalah apabila melihat muka Ahmad Iqbal kelihatan seperti mahu menangis. Dia mendecit perlahan kemudian menghembus nafas. Sesal, menghimpit diri. 

‘Masalah ni. Aduh, tangan aku nilah. Macam mana nak pujuk dia? Iqbal ni pun, masa nilah nak merajuk. Macam mana ni?’ Safa Hawani menggigit bibir bawah. Dia berdiri betul-betul di hadapan mat patah. Mahu memegang kepala Ahmad Iqbal, tidak boleh pula. 

“Iqbal, aku minta maaf. Aku betul-betul tak sengaja. Siapa suruh kau buat lawak spastik tadi? Iqbal...” panggilnya dengan nada memujuk. 

Safa Hawani buntu apabila Ahmad Iqbal buat tidak endah. Melihat muka Ahmad Iqbal kelat, hatinya sedikit terusik. Tidak pernah lagi dia bertindak kasar terhadap Ahmad Iqbal. Kata-kata hempuk, lesing, sekeh, tidak pernah dibuat betul-betul hanya mainan di mulut saja. Entah macam mana, dia boleh terbabas laku pula hari ini?

“Iqbal, aku minta maaf.” Mahu saja bahu mat patah disentuh tapi batas perlu dijaga juga. Dia selalu menyematkan dalam kepala, selembut-lembut Ahmad Iqbal, tetap seorang lelaki. Tetapi yang mana lelaki, mana perempuan ni?

“Iqbal.” Kali ketiga dia memanggil.

Senyap.

“Iq...”

“Cak!”

Safa Hawani pantas membeliakan mata. 

“Kaukan Iqbal...” katanya sambil mengetap gigi.

“Tahu pun takut.” Ahmad Iqbal mengekek-ngekek ketawa. Puas hati kerana dapat mempermainkan Safa Hawani. Mantap sungguh lakonannya sehingga dengan begitu senang hati Safa Hawani yang tidak berapa nak ‘perempuan’ itu, cair.

“Nak kena ketuk lagi?” Bulat mata Safa Hawani, memandang geram ke arah mat patah . Tidak pasal-pasal dia kena pujuk mat patah tadi. Sabar sajalah dia dengan Ahmad Iqbal. 

“Ingat, aku nak duduk diam-diam. Biar kau ketuk aku lagi?” Ahmad Iqbal buat mimik mengejek. 

Mata Safa Hawani semakin mengecil. Berombak-ombak dadanya menahan marah. Bibir bawah digigit lagi dan kali ini lagi kuat. Geram! Ingatkan, betul-betullah merajuk. Hampeh betul. Setengah mati dia percayakan lakonan Ahmad Iqbal. Satu jelingan tajam telah diberikan. Entah mengapa, pelupuk matanya panas. Sedikit terasa dengan gurauan Ahmad Iqbal hari ini kerana mempermainkan perasaannya.  

“Safa. Kau okey tak?” Pelik pula Ahmad Iqbal dengan ulah Safa Hawani.

“Blahlah kau. Baik aku masuk rumah daripada layan kau.” Safa Hawani merengus.

“Safa, kau marah?”

“Suka hati akulah.”

“Safa. Kau betul-betul merajuk?”

Safa Hawani menjeling.

“Betul ni. Kau merajuk, Safa?”

“Apa kau kisah pasal aku? Pergilah balik. Buat semak aje kat sini.” 

“Safa.” 

Safa Hawani enggan menoleh hanya melajukan langkah menuju ke pintu dapur.

“Safa,” kali kedua Ahmad Iqbal memanggil. 

Safa Hawani masih buat tidak tahu. Dia sebenarnya mahu menangis. 

“Safa?” Ahmad Iqbal berdiri. Senyum sejemput kemudiannya setelah Safa Hawani menoleh.

Ahmad Iqbal meneliti muka bujur sirih itu. Seperti mahu menangis pun ada. Seingatnya, Safa Hawani tidak pernah menunjuk ragam merajuk melampau begini. Hari ini, adakah hormon perempuan Safa Hawani semakin meningkat? 

“Sejak bila pandai merajuk, Safa?”

“Aku, merajuk?” Malu mula menyapa. Muka Safa Hawani berbahang hinggakan rona-rona merah, mula muncul di pipi. Namun dia masih cuba berlagak tenang. Eh sekejap, bukankah masa Ahmad Iqbal terlupa bawa buku latihan sejarahnya dulu, dia ada merajuk juga? 

“Kau sengaja perangkap aku, kan Iqbal? Bukan sekali ni aku merajuk, kan?”

“Safa Hawani dah pandai merajuk.” Ahmad Iqbal ketawa terbahak-bahak hingga terduduk semula di atas kerusi.

“Suka hati akulah nak merajuk.” Terkandung nada marah dalam ayat Safa Hawani. 

‘Dahlah kenakan aku, siap ejek pula. Haish, geram betul aku dengan dia ni,’ gerutunya. 

“Kena sawan gelak kot dia ni?” Safa Hawani merengus halus. Ahmad Iqbal dijeling setajam mungkin.

“Terlebih hormon perempuan kot kau, Safa? Tapikan, bagus juga kalau selalu macam ni. Tak lama lagi, kau akan jadi perempuan sejati. Tak adalah keras macam selalu. Bukannya kau tak cantik,”

“Iqbal.” Safa Hawani menarik nafas dan menghembus panjang.

“Nampak tak pokok cili padi mak aku kat sana?” Tepat jari telunjuk dihalakan ke sana dan kedua anak mata Ahmad Iqbal juga dilihat turut terarah ke sana. 

“Nampak. Ada apa kat pokok cili tu, Safa?” Liar mata Ahmad Iqbal memandang sekeliling pokok cili sambil kening bertaut rapat. Ada apa-apa entiti yang Safa Hawani nampak di sanakah? Ish, seram pula.

“Bukan apa, aku takut, ada sebiji cili pedas tu terlompat masuk kat dalam mulut kau dengan sengaja nanti.” Safa Hawani senyum sinis.

Anak mata Ahmad Iqbal membesar kemudian kembali meredup. Perlahan-lahan, bibirnya mengukir senyum. Barulah dia faham. 

“Ada aku kisah? Bukan kau tak tahu, aku ni memang makan pedas. Setakat cili padi kat pokok kau tu, aku kunyah macam kacang aje.” Selamba Ahmad Iqbal membalas. Dia gelak besar lagi, kali ini berdekah-dekah. 

Sekali lagi, Safa Hawani terkena.

“Ei, malas aku nak cakap dengan kau. Dah, pergilah balik! Aku ada banyak kerja nak buat ni.”

“Tak nak, selagi kau tak kata nak ikut aku pergi mancing petang ni.” Ahmad Iqbal semakin laju menjongketkan kening.

“Tak kuasalah!” 

“Ikut ya?” Ahamd Iqbal masih cuba memujuk.

“Tak nak!” 

“Safa! Kenapa terjerit, terlalak pagi-pagi buta ni? Tak elok anak dara buat perangai macam ni. Malulah sikit kat jiran.” Mata Puan Rohaya membulat sebaik muka anak daranya dipandang. Rimas dia kerana dari tadi mendengar anak daranya memekik.

“Iqbal tu mak, suka sangat kacau Safa. Suruh balik tak nak. Menyibuk aje kat sini.”

“Dah, jangan nak salahkan orang lain pula. Iqbal, kenapa tak masuk?” Sekelip mata air muka Puan Rohaya berubah. Dari riak marah dan sekarang senyum simpul pula menghiasi bibirnya saat mengalihkan pandangan ke arah Ahmad Iqbal. 

Safa Hawani mencebik. ‘Mak memang, selalu menangkan Iqbal. Mentang-mentanglah dia tu ‘lemah-lembut’. Benci!’ bentaknya. Sambil berjalan masuk ke dalam rumah, kakinya dihentak-hentak. 

“Jangan ambil hati ya, Iqbal.” Digeleng berkali-kali melihat telatah anak daranya yang seorang itu.

“Biasalah, mak cik. Safa, siapa tak kenal?” Ahmad Iqbal gelak kecil.

“Iqbal dah minum? Masuklah. Mak cik buatkan kopi.”

“Tak apalah, mak cik. Saya dah makan sebelum keluar tadi. Minta diri dululah mak cik. Petang ni saya datang lagi. Nak jemput Safa pergi mancing. Boleh ya, makcik?”

“Yelah.”

“Mak cik tolong sampaikan pesan kat Safa, pukul 5 saya datang.”

“Bawak motor tu elok-elok, Iqbal.” 

Puan Rohaya melihat anak muda itu memacu motor keluar dari perkarangan rumahnya dengan satu seyuman terhias di bibir. Senyuman hanya yang dia saja tahu apa maksud terkandung?


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.