Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,313
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16



“JANGAN lupa call bila dah sampai rumah nanti,” pesan Farid sebaik sahaja Dahlia masuk ke dalam kereta. Mereka ke restoran itu sekadar untuk berbincang tentang majlis pertunangan mereka berdua.

“Insya-Allah. Awak pun sama juga.” Dahlia turut berpesan yang sama.

Farid sekadar menganggukkan kepala.

“Awak, saya…”

“Kalau saya tanya sesuatu, boleh?” Farid memintas, laju. Dia perlu bertanya sesuatu daripada Dahlia.

“Tanya apa?” Dahlia berdebar-debar. Sejak dari tadi hatinya tidak tenteram. Perubahan sikap Farid beberapa hari ini mengganggu fikiran.

“Kalau ditakdirkan kita tak jadi kahwin, awak…” Farid mematikan kata-kata. Dia melihat riak di wajah Dahlia.

“Awak dah ada perempuan lain?” Dahlia sekadar menduga.

Farid membisu. Tidak tahu untuk membalas.

“Kalau ditakdirkan kita tak jadi kahwin, saya terima seikhlas hati. Saya anggap kita tak ada jodoh.”

“Saya cuma…”

“Saya faham. Kebarangkalian untuk berlaku tetap ada. Kita hanya merancang, tapi Allah yang menentukan segala-galanya.”

Farid menghela nafas ringan. Rasa menyesal dengan pertanyaannya sebentar tadi. Dia sayang dan cintakan Dahlia. Sudah lama dia merancang untuk memperisterikan Dahlia dan dia yakin itu akan berlaku.

“Awak,” seru Dahlia bernada lembut.

Farid sekadar berdehem.

“Kalau awak dah ada perempuan lain dan awak cintakan dia, saya akan lepaskan awak. Saya tak nak jadi penghalang,” kata Dahlia dalam nada tenang.

“Dahlia…”

“Selamat malam!” pintas Dahlia lalu memandu kereta keluar dari kawasan itu.

Farid hanya memandang pemergian Dahlia. Pasti Dahlia perasan akan perubahannya beberapa hari ini. Jika tidak, mustahil Dahlia akan berkata begitu. 

“Saya tak akan tinggalkan awak, Dahlia. Saya sayang dan cintakan awak,” kata Farid selepas itu. Dia melangkah menuju ke kereta.

Farid menyandarkan tubuh di badan kereta. Dia menghirup udara malam buat seketika. 

“Assalamualaikum,” tegur seseorang dari arah belakang.

Farid tersentak. Dia menoleh ke belakang untuk melihat. Alangkah terkejut tatkala wajah Nurin menyapa mata.

“Encik Farid buat apa di sini?” tanya Nurin, ramah.

“Saya… Saya…” Farid tergagap-gagap.

“Dating dengan Cik Dahlia?” tebak Nurin berserta senyuman di bibir.

Farid tidak membalas. Senyuman di bibir Nurin dipandang. 

“Saya minta diri dulu,” pamit Nurin. Dia memulakan langkah menuju ke kereta.

“Cik Nurin!” Farid menahan.

Nurin mematikan langkah. Dia menoleh memandang ke wajah Farid. Menanti butir bicara daripada Farid.

“Cik Nurin dari mana?” Farid sekadar bertanya.

“Dari sana!” unjuk Nurin ke arah sebuah restoran yang berada tidak jauh dari mereka berdua berdiri.

Farid menoleh. Dia tergamam seketika.

“Kenapa, Encik Farid?” tanya Nurin berserta pandangan pelik.

“Cik Nurin dengan…” 

“Sorry lambat. Aku jumpa orang tadi,” suara Asrel tiba-tiba dari arah belakang.

Nurin dan Farid sedikit tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Asrel.

“Nurin, kau nak…” Asrel mematikan ayat. Dia terkejut melihat wajah Farid.

“Saya dengan dia,” ujar Nurin dalam nada lembut.

Farid sekadar mengangguk. Wajah Nurin dan Asrel dipandang silih berganti. Siapa lelaki itu? Hati Farid bertanya.

“Kami minta diri dulu. Jumpa lagi,” kata Nurin lalu beredar dari situ. Dia menarik lengan Asrel supaya beredar dari situ.

Farid tidak membalas. Dia memandang pemergian Nurin dan pemuda itu. 

“Nurin, itu kan…”

“Sekarang kau percaya dengan apa yang aku cakap dulu?” pintas Nurin. Dia menoleh ke wajah Asrel.

Asrel hanya membisu. Dia menoleh seketika ke belakang memandang wajah Farid. Kata-kata Nurin tempoh hari terimbas semula. Afiq Aiman? Soalnya dalam hati.



“MACAM mana, Kamal?” tanya Tuan Haji Zuhuri.

“Maaf, tuan haji,” balas Kamal berserta gelengan di kepala.

Tuan Haji Zuhuri mengangguk perlahan. Faham dengan balasan Kamal. 

“Saya minta maaf, tuan haji. Saya dah cuba tapi hasilnya tetap sama.”

“Takkan seorang pun tak tahu ke mana mereka pindah?”

“Tak tahu, tuan haji. Selepas kes tu, orang-orang kampung tak tahu ke mana mereka pergi,” jelas Kamal bernada tenang.

Tuan Haji Zuhuri menghela nafas ringan.

“Saya ada juga bertanya pada mak dan ayah. Mereka berdua pun beritahu perkara yang sama,” sambung Kamal lagi.

“Kamu ada cara lain yang boleh jejaki mereka, Kamal?” tanya Tuan Haji Zuhuri pula.

“Kalau ada maklumat yang kuat, insya-Allah saya boleh usahakan.”

“Maklumat apa lagi yang kamu nak, Kamal? Semua maklumat haji dah bagi.”

“Masih tak cukup, tuan haji. Saya perlukan kenalan rapat mereka. Mungkin dari situ saya dapat jejaki mereka.”

Tuan Haji Zuhuri berfikir sejenak. Kenalan rapat! Sebut Tuan Haji Zuhuri dalam hati.

“Kalau tuan haji ada gambar mereka, lagi mudah untuk saya cari mereka.”

“Bukankah haji dah serahkan gambar mereka pada kamu dulu?”

“Itu gambar 6 tahun yang lepas. Mungkin sekarang masing-masing dah berubah.”

Tuan Haji Zuhuri mengangguk. Ada benarnya kata-kata Kamal itu. Sedikit sebanyak, pasti ada perubahan pada wajah dan fizikal mereka.

“So, tuan haji nak saya cari mereka lagi?” 

“Haji cuma ada maklumat yang itu saja.”

Kamal hanya mendengar.

“Tak apa la, Kamal. Kalau ada maklumat lain nanti haji beritahu kamu.”

“Baiklah, tuan haji. Saya mintak maaf sebab tak dapat tolong tuan haji.”

“Tak apalah, Kamal. Terima kasih atas pertolongan kamu.”

Kamal mengangguk dan tersenyum.

“Sampaikan salam haji pada mak dan ayah kamu,” pesan Tuan Haji Zuhuri. Wajah kedua-dua orang tua Kamal menyapa mata. 

“Insya-Allah, tuan haji. Saya minta diri dulu,” ujar Kamal lalu bangun dari duduk. Tanpa menunggu, dia beredar dari situ.

Tuan Haji Zuhuri hanya memandang. Pemuda itu semakin segak dilihatnya. Berbeza sewaktu dia mengenali Kamal suatu ketika dahulu. Kamal merupakan anak kepada Haji Hamdan dan Hajah Gayah. Kenalan kampungnya juga.

“Ayah masih nak mencari mereka?” tegur Encik Amir, tiba-tiba.

Tuan Haji Zuhuri tersentak. Dia memandang ke arah yang bersuara.

“Ayah masih tak puas hati?” tanya Encik Amir lagi. Dia melangkah menghampiri Tuan Haji Zuhuri di ruang tamu. Dia kenal dengan Kamal. Pemuda sekampung yang dilantik oleh ayahnya untuk menyiasat.

Tuan Haji Zuhuri tidak membalas. Dia memandang Encik Amir yang sudah pun duduk di atas sofa berhadapan dengannya.

“Jangan nak buang masa, ayah. Entah hidup ke tidak mereka tu kita tak tahu.”

“Ayah yakin mereka masih hidup.”

Encik Amir yang mendengar ketawa.

“Ayah tetap akan mencari mereka,” tegas Tuan Haji Zuhuri.

“Apa yang mereka dah buat sampai ayah beria sangat nak mencari?” Encik Amir bertanya. Persoalan yang sering meniti dalam minda.

Tuan Haji Zuhuri memandang tepat ke wajah Encik Amir.

“Ayah dah lupa dengan apa yang telah terjadi? Apa yang mereka dah buat pada ayah? Disebabkan mereka, ayah terlantar di hospital. Lumpuh. Ayah dah lupa?”

“Semua yang terjadi pada ayah adalah takdir dari Allah. Bukan salah mereka ayah jadi begitu,” tukas Tuan Haji Zuhuri dalam nada tegas.

Encik Amir tersenyum sinis mendengarnya.

“Ayah perlu langsaikan mana yang belum dilangsaikan lagi.”

Setelah menuturkannya, Tuan Haji Zuhuri segera beredar dari situ. Dia yakin yang dia akan berjumpa dengan yang dicari.



“AMIR ada perkara nak bincang dengan ayah.” Encik Amir mengekori Tuan Haji Zuhuri dari belakang. Dia perlu berbincang dengan Tuan Haji Zuhuri tentang rumah pusaka di kampung.

Tuan Haji Zuhuri yang baru hendak memulas tombol pintu bilik mematikan tingkah laku. Dia menoleh ke arah Encik Amir yang sudah pun menghampirinya di pintu bilik.

“Amir ada perkara nak bincang dengan ayah,” ulang Encik Amir. Dia membontoti Tuan Haji Zuhuri masuk ke dalam bilik.

“Bincang? Selama ni, Amir tak pernah nak bincang dengan ayah. Kenapa dengan tiba-tiba Amir nak bincang dengan ayah?” sindir Tuan Haji Zuhuri berserta ketawa kecil. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi.

Encik Amir mendengus ringan. Tuan Haji Zuhuri sengaja menyindirnya. 

“Perkara apa yang kamu nak bincang dengan ayah?” tanya Tuan Haji Zuhuri seraya menoleh ke wajah Encik Amir.

“Amir nak jual rumah kita yang kat kampung tu.”

“What?!” Tuan Haji Zuhuri terkejut.

“Rumah tu dah lama tinggal. So, tak salah kalau kita jualnya.”

“Kamu dah gila ke, Amir?”

“Amir tak gila lagi ayah. Amir rasa dah tiba masanya ayah lepaskan rumah tu.”

“Ayah tak setuju!”

“Kenapa ayah nak pertahankan rumah tu?”

“Walau apa pun alasan kamu, ayah tetap tak setuju.”

“Tapi kenapa? Rumah tu tak ada nilai pada kita.”

“Tak ada nilai pada kamu tapi ada nilai pada ayah.”

Encik Amir mendengus ringan. Tuan Haji Zuhuri masih bertegas dengan keputusan untuk tidak menjual rumah itu.

“Rumah tu bukan hak kamu. Hak ayah!”

“Amir tahu. Tapi, tak salah kalau kita jualnya. Lagipun, tanah kat kampung tu bakal diambil oleh kerajaan,” terang Encik Amir.

Tuan Haji Zuhuri yang mendengar sedikit terkejut.

“Ya, ayah. Tanah kampung tu bakal dimajukan oleh kerajaan. Jadi, tak salah kalau kita jual rumah tu,” jelas Encik Amir lagi.

Tuan Haji Zuhuri membisu. Penjelasan Encik Amir meniti dalam minda.

“Sekurang-kurangnya kita dapat duit hasil dari jualan rumah tu,” sambung Encik Amir masih memujuk.

Tuan Haji Zuhuri menanggalkan cermin mata. 

“Amir tetap dengan keputusan Amir, ayah. Amir dah dapat pembeli rumah tu.”

“Rumah tu peninggalan arwah ibu kamu, Amir. Kalau kamu nak jual rumah pusaka tu, kamu langkah mayat ayah dulu.” Padu dan tegas Tuan Haji Zuhuri membalas. Berharap Encik Amir faham dengan kata-katanya itu.

Encik Amir memandang ke wajah Tuan Haji Zuhuri. Dia melepaskan dengusan kasar. Sudah berkali dia menyuarakan hasrat untuk menjual rumah tersebut tetapi ayahnya masih bertegas.

“Pasti ada sesuatu yang ayah rahsiakan daripada aku. Kalau tidak, tak kan dia pertahankan sangat rumah tu,” suara Encik Amir akan firasat dalam hati. Pasti dia akan mendapat jawapan kepada pertanyaannya itu.



“AYAH tak akan benarkan kamu jual rumah tu, Amir. Ayah tetap akan pertahankan rumah tu,” kata Tuan Haji Zuhuri. Rasa marah terhadap Encik Amir masih lagi bersisa.

“Kenapa kamu sibuk sangat dengan rumah tu? Tak cukup lagi dengan apa yang kamu dah ada sekarang ni?” sambung Tuan Haji Zuhuri lagi. Dengusan kasar terlepas dari bibir.

Tuan Haji Zuhuri menghampiri sebuah almari. Dia mencari sesuatu dari celahan buku yang terdapat di almari itu. Setelah berjumpa, ditarik lalu dikeluarkan. Perlahan-perlahan dia membuka buku itu lalu membaca askara-askara yang tertera dalam buku tersebut.

“Aku akan pulangkan bila tiba masanya nanti,” suara Tuan Haji Zuhuri.

Helaian demi helaian diselak. Sekadar untuk membaca isi dari dalam buku tersebut. Semua rahsia tersimpan dalam buku itu. Tiba masanya nanti, dia akan berterus-terang kepada anak dan cucunya.

“Mudah-mudahan aku dapat berjumpa dengan mereka secepat yang mungkin,” sambung Tuan Haji Zuhuri penuh harapan. 

Dia menutup semula buku tersebut lalu diletakkan di celahan buku-buku yang berada di almari. Berharap tidak ada sesiapa menjumpai buku itu nanti.

Deringan telefon menyentak Tuan Haji Zuhuri. Dia menggagau poket baju melayu mencari telefon bimbit. Nombor di skrin dipandang.

“Apa khabar, tuan haji?” sapa seseorang dari hujung talian.

Tuan Haji Zuhuri berkerut dahi. Siapa di hujung talian?

“Tuan haji!” panggil suara itu pula.

“Siapa ni? Saya kenal ke?” tanya Tuan Haji Zuhuri berserta kerutan di dahi.

“Tuan haji tak perlu tahu siapa saya. Tujuan saya call tuan haji sebab saya nak pastikan betul atau tidak Tuan Haji Zuhuri yang saya cari selama ini,” beritahu suara itu pula.

Tuan Haji Zuhuri yang mendengar berkerut dahi.

“Saya akan tuntut hak yang sepatutnya menjadi hak saya suatu hari nanti,” beritahu suara itu lagi lalu mematikan talian.

Tuan Haji Zuhuri tersentak. Siapa sebenarnya yang menelefon? Otaknya dikerah untuk berfikir. Mencari sebarang kemungkinan. 

“Dia?” tanya Tuan Haji Zuhuri bingkas bangun dari duduk.



Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.