MEGDELINA mendapatkan gadis yang
berdiri beberapa meter membelakangkan pandangannya. Pohon-pohon buluh panda
meliuk-lentok melindungi sebahagian tubuh langsing tetamunya. Dahinya berkerut.
Gerangan apakah orang datang di luar waktu operasi perniagaan? Dia cuba
memfokuskan dirinya yang masih tergangu dengan kehadiran Yusoffe. |
Menerima
pelanggan selepas waktu tamat bukan sesuatu yang pelik. Namun kalau menerima
dua pelanggan ‘psiko’ dalam satu masa memang mengejutkan. Degupan jantungnya
sedikit laju.
‘Harap-harap
gadis itu bukan psiko seperti Yusoffe,’ getusnya di dalam hati.
Dia
menyusun langkah lalu segera mendapatkan gadis yang disangka pelanggannya.
Pantas dia menyapa. “Ya, cik!”
Gadis
itu berpaling. Mata bertentangan.
Megdelina
terkejut.“Emmareeza?”
Gadis
yang dipanggil Emmareeza itu tersenyum sinis lalu bersuara, “Kenapa? Kau
terkejut?”
Senyuman
pantas terukir. “Tak, akak gembira tengok Eeza datang sini. Apa khabar, dik?”
Megdelina pantas menarik tubuh Emmareeza ke dalam dakapannya, namun segera
dilepaskan apabila Emmareeza menolak keras.
Gadis
itu menepis-nepis pakaiannya yang wangi seolah-olah tidak mahu kekotoran pada
tubuh Megdelina melekat pada pakaiannya pula.
Wajah
Megdelina merona merah menahan malu. Dia tahu Emmareeza masih dingin seperti
selalu. Tidak menganggap dirinya sebagai kakak. Semua panggilan dan mesej tidak
pernah dilayan oleh Emmareeza. Tapi tiba-tiba tidak ada angin, tidak ada ribut,
gadis itu muncul di depan mata. Kenapa dia datang pada waktu begini? Apa hajatnya?
Megdelina
cuba mengawal keadaan. Dia masih tidak berputus asa lalu menghulurkan tangan.
“Setidak-tidaknya kita patut bersalam. Kita kan adik-beradik kandung seayah dan
seibu?”
“Ah,
belum tentu. Entah-entah aku ni anak angkat. Jadi, kau tak payahlah nak
melankolik sangat depan aku!” kata gadis yang baru menginjak usia 21 tahun itu.
Dia membelakangkan Megdelina bagai tidak sudi menatap wajah si kakak.
Megdelina
memerhati susuk tubuh adiknya dari belakang. Dia mengenakan seluar denim Levi’s
potongan lurus dengan Baju T X0X0 bersaiz XS. Menyerlahkan tubuhnya yang
langsing dan tinggi lampai sajak dengan cita-citanya hendak menjadi pelakon
terkenal. Pelajar jurusan seni lakon itu memang cantik. Hidungnya halus
mancung. Bibirnya merah bak delima merkah. Kulitnya putih kemerahan. Rambut
paras pinggang dilepaskan beralun-alun dipuput bayu kering angin Monsun bulan
Mei.
“Biarpun
kau cuba menafikan tapi hakikat tak boleh dipalsukan. DNA kita sama!”
Emmareeza
mendengus lalu berpaling semula memandang Megdelina dan dengan nada sinis dia
menempelak. “Penting ke DNA tu dalam hidup aku?”
“Walaupun
kau tak suka tapi kakak tetap mahu kita jadi adik-beradik. Abah rindukan kau,”
rayu Megdelina untuk kesekian kalinya.
“Jangan
sebut lelaki tu depan aku!” Emmareeza membentak.
Megdelina
tersentak. Matanya terkebil-kebil merenung Emmareeza. Wajah keruh itu segera
diamati.
“Eeza
masih berdendam dengan abah?” soalnya terus kepada poin utama. Mata bundar
gadis perengus itu direnung dalam-dalam.
“Aku
tak mahu kita cakap tentang dia. Aku benci! Kenapa susah sangat kau nak faham?”
Emmareeza belum puas menjerkah kakaknya. Sama seperti waktu-waktu dulu.
Megdelina
menggeleng. Usai menghela nafas dia bertanya. “Habis tu kenapa kau datang cari
kakak?”
Saat
itu kemarahan Emmareeza serta-merta kendur. Dia gelisah. Seketika kemudian dia
bersuara, “Aku perlukan duit.”
Pantas
Megdelina mencelah. “Minggu lepas akak dah masukkan tiga ratus ringgit.”
“Bukan
duit belanja. Tapi aku kena saman. Sebelum waran tangkap keluar, aku kena
bayar.”
“Saman
apa? Speedtrap?” Bulat mata Megdelina memandang adiknya. Selama ini dia
tidak pernah tahu yang Emmareeza sudah boleh memandu.
Gadis
itu mengangguk. Resah.
Megdelina
menggeleng. “Kereta siapa kau bawa?”
“Kawan.
Abah dia dah bising dan tak nak hidupkan cukai jalan kalau aku tak bayar saman
tu,” balas Emmareeza.
“Kau
pergi mana sampai kena saman?” soal Megdelina yang kesal dengan sikap cuai
adiknya itu.
“Outstation.
Ada assignment. Gilir-gilir bawa kereta. Masa aku bawa pula yang kena
saman. Sengal betul,” rungut Emmareeza dengan wajah kelat.
“Kau
bawa laju sangat tak? Tapi kenapa kau seorang saja yang kena? Orang lain lepas
tangan ke?” soal Megdelina dengan nada sedikit tegang.
“Semua
tak nak bayar sebab aku yang bawa.” Kendur sedikit suara Emmareeza. Dia masih
tidak berpuas hati kerana dia yang terpaksa membayar saman tersebut sedangkan
rakan-rakannya yang mengasaknya memandu laju.
Megdelina
melongo. Tentu bukan sedikit saman yang perlu dibayar tapi dia tidak mahu
memuakan Emmareeza. “Cakap sajalah kawan kau yang bawa kereta tu habis cerita.”
“Tak
boleh! Kawan aku dah banyak kali kantoi dengan abah dia dan kali ini abah dia
tak mahu tolong lagi. Sebab itu aku kena selesaikan juga lapan ratus ringgit.”
“Lapan
ratus?” Bulat mata Megdelina memandang Emmareeza. “Kenapa banyak sangat?”
“Campur
sekali hutang aku pada dia. Kami sewa hotel, beli bahan projek. Aku tak ada
duit. Jadi aku pinjamlah dia.”
“Bayar
ansuran tak boleh ke?” Megdelina menduga.
“Dia
suruh selesaikan hari ni juga. Kalau tidak aku nak buat part-time untuk
langsaikan hutang tu.”
“Part-time
di mana?” tanya Megdelina. Baginya perkara itu sangat tidak masuk akal. Dia
tidak mahu pelajaran Emmareeza terjejas kerana membuat kerja sambilan.
“Temankan klien minum di kelab,” balas Emmareeza serius.
Baginya kerja itu dapat memberikan pulangan lumayan. Sudah banyak kali dia
ditawarkan pekerjaan itu olehrakannya.
Terkejut
Megdelina mendengarnya. “Gila! Kau jangan berani nak buat kerja macam tu! Itu
GRO namanya tahu!”
“Dah
tu? Tak reti-reti nak bagi aku duit?!” Emmareeza bertempik bagai orang
histeria. Bulat matanya memandang kakaknya seolah-olah Megdelina pula yang
bersalah dalam hal ini.
Megdelina
menahan hati dengan sikap adiknya yang langsung tidak hormat padanya sekalipun
jarak usia mereka berbeza tiga tahun. Hanya dengan kematangannya setelah hidup
berdikari membuatkan dia mampu mengawal kemarahan. Tidak guna berkeras dengan
Emmareeza. Dia perlu memikirkan cara lain untuk melembutkan hati si adik.
“Dahlah.
Kalau kau tak nak bagi, tak apa. Jadi GRO lagi bagus. Baru puas hati kau, kan?”
Emmareeza mengayun langkah dengan nada merajuk.
Megdelina
segera menahan adiknya sebelum membuka dompet. “Nah, ambil ni. Jangan buat
kerja tak senonoh tu. Bertindak ikut fikiran, bukan perasaan. Jaga diri
elok-elok dan yang paling penting, jangan langgar had laju!”
Emmareeza
tersenyum sinis sambil merampas wang tersebut. Tanpa mengucap sepatah ayat
terima kasih, dia terus berlalu dari situ dan hilang ke dalam sebuah Honda City
putih.
Megdelina
hanya mampu memandang dengan rasa sebal. Sayang adiknya itu sudah terlalu besar
untuk dilentur. Dia melepaskan keluhan
berat. Terasa ralat melepaskan duit itu yang sebenarnya perlu digunakan untuk
membayar ansuran kereta, sewa bilik dan belanja hariannya.
Sejak
bekerja, dia sentiasa berjimat cermat dan menahan segala kehendaknya untuk
memastikan dia dapat menyara Emmareeza dan ayah mereka. Namun, dia tetap
bersyukur kerana Emmareeza masih mengharapkan wang saraan daripadanya.
Sekurang-kurangnya itu tanda mereka ada pertalian saudara.
“Ehem...”
Tiba-tiba satu suara menegurnya.
Tubuh
Megdelina melonjak kerana terkejut. Dia berpaling. Ah, dia terlupa!
Rupa-rupanya jejaka bertubuh tinggi lampai dengan dada sederhana bidang itu
masih setia menanti. Dia melihat Yusoffe mengerising. Manis dan mampu membuat
hati yang memandangnya cair. Cepat-cepat dia melarikan anak matanya.
Dengan
langkah deras dia terus berjalan melepasi Yusoffe untuk menuju ke arah
pokok-pokok hiasan dalaman.
Yusoffe
segera mengatur langkah mengekori gadis itu
sambil bersiul-siul nakal.
“Lama
saya tunggu,” ujarnya lunak sebelum bersiul semula.
“Siapa
suruh?” gumam Megdelina perlahan.
“Saya
dengar...” ujar Yusoffe dengan suara serak basah. Suara berirama romantik yang
belum pernah didengarnya sebelum ini. Lantas membuatkan langkah Megdelina jadi
tak keruan. Seboleh mungkin dia cuma mengawal diri agar bertenang walaupun
fikiran masih bercelaru dengan masalah Emmareeza tadi.
“Tadi
awak kata nak cari pokok untuk bilik tidur, kan? Saya rasa pokok ini sangat
sesuai. Lidah jin,” ujar Megdelina sebaik tiba di tempat yang dituju tanpa
ragu-ragu. Cepat-cepat dia betulkan fokusnya agar tidak terbawa-bawa dengan
masalah peribadi yang baru saja dihadapinya.
Lelaki
itu tertawa. “Lidah jin? Takutlah nak letak dalam bilik tidur. Nanti kering badan
saya kena jilat.”
“Hah?”
Melongo mulut Megdelina. Tidak diduga kata-kata itu boleh keluar daripada mulut
Yusoffe. Serta-merta pipinya terasa panas.
Jejaka
itu terus mengerising tanpa rasa bersalah. Matanya bercahaya.
‘Ya
ALLAH sabarkanlah aku dengan mamat ni. Takut ada yang makan batu pula senja ni.
Nak melawak pun biarlah bertempat,’ omel Megdelina di dalam hati sambil menahan
geram. Kembang kuncup hidungnya meredakan perasaan. Dia tahu Yusoffe sengaja
hendak mempermainkannya.
“Pokok
lidah jin atau nama saintifiknya Sansevieria Trifasciata Laurentii,
bertindak sebagai penapis kerana ia menghapuskan toksin dalam udara.
Insya-ALLAH badan Encik Yusoffe tak akan kering walaupun dijilat.” Sengaja
ditekankan perkataan dijilat itu dengan mata yang bulat.
Yusoffe
mengerising lagi seolah-olah kata-kata Megdelina itu sangat melucukan. Namun
bila melihat gadis itu tidak termakan dengan gurauannya, segera dia membuang
senyumnya lalu bersuara, “Pokok kurus kering macam ni boleh hapuskan toksin?”
“Ya,
walaupun kurus tapi peranannya sangat hebat. Pokok ni akan menyerap karbon
diaoksida dan melepaskan oksigen pada waktu malam. Sebab tu pokok ni dinamakan
juga sebagai pokok bilik tidur!”
Lelaki
itu tertawa lagi. “Pokok bilik tidur pun bilik tidurlah. Okey, saya setuju dengan
cadangan awak. Saya memang suka yang kurus. Bagi saya dua campur satu!”
Megdelina
terkejut. “Dua campur satu? Apa maksud encik?”
Yusoffe
mengulum senyum. “Bagi saya dua pokok lidah jin ni dulu. Pokok yang satu lagi
saya hutang sebab saya belum tahu nak beli apa. Minggu depan saya datang lagi.”
“Eh,
kenapa nak tunggu minggu depan? Hari ni pun banyak pokok yang awak boleh pilih.
Tengok ni ada Topiari... Begonia...” Megdelina mula panik.
Untuk
apa datang lagi kalau semuanya boleh diselesaikan hari ini? Bahkan lebih nyaman
kalau dia tidak datang lagi sampai bila-bila.
“Eh,
tadi kata nak tutup kedai? Kesianlah nanti awak balik lambat. Tak takut suami
marah ke?” perli Yusoffe tanpa rasa janggal. Bagaikan dia sudah lama mengenal
gadis itu.
Ternganga
mulut Megdelina mendengar sindiran lelaki itu. ‘Suka-suka hati aje dia cakap
aku ada suami! Memang nak kena mamat ni!’ Hatinya benar-benar mendidih.
Direnung wajah jejaka yang secara tiba-tiba menjadi tidak sopan kembali. Kecil
sahaja di matanya. Bibirnya diketap. Jari-jemarinya diramas. Dadanya berombak.
Pipi merona merah dan telinga mula berasap.
Dengan
lembut bernada sinis dia menjawab sambil menjegilkan matanya. “Eh, tak apa.
Ikut suka awaklah kalau nak duduk lama kat sini. Kalau sampai subuh lagi bagus
boleh solat hajat terus. Bukan kedai mamak aje buka dua puluh empat jam, nurseri pun boleh, tau!
Saya boleh tunggu sampai pagi sebab saya memang suka kena marah dengan suami.”
Ternyata
Yusoffe semakin galak bila melihat Megdelina marah. Hatinya bergejolak mahu mengusik.
Lantas dia membakar lagi hati gadis itu. “Awak tak faham ke saya cakap tadi?
Pokok lagi satu saya hutang. Minggu depan saya datang ambil. Dah maghrib ni.
Cukup-cukuplah berniaga. Takkan sampai tak solat kut?”
Amboi,
kurang ajar! Megdelina semakin meluat. Baginya lelaki itu sengaja hendak
menyakitkan hatinya. Mulut lancang itu memang patut disumbat cili. Tadi
suka-suka hati kata orang ada suami dan sekarang pula selamba saja tuduh orang
tidak solat. Kumat-kamit mulutnya hendak membalas tetapi orang begini kalau
dilayan makin menjadi. Lantas segera dia beristighfar di dalam hati dan cuba
bersabar.
“Memang
saya nak solat ni. Kalau awak nak solat sama,
boleh saya bentangkan sejadah. Awak jadi imam. Lagipun pintu pagar dah
tutup tu.” Megdelina terus menyindir dalam nada yang amat lembut. Biarlah apa
nak jadi, jadilah.
“Oh,
ya ke dah tutup?” Yusoffe terkejut lantas menoleh. Bagaikan baru tersedar yang
hari sudah lewat, dia segera bertanya. “Berapa?”
“Bukan
ke encik ambil dua tadi? Tak tahu kira ke?!” tempelak Megdelina. Fikirannya
memang sudah bercelaru.
“Saya
tahulah dua. Maksud saya berapa harganya?”
“Err...”
Megdelina teragak-agak dan termalu sendiri. Lantas dia menjawab. “Dua puluh
empat ringgit.”
“Mahalnya.
Diskaun tak boleh?” soal Yusoffe yang masih ada hati hendak menggiat gadis yang
masih naik angin itu.
“Minta
dengan bos. Saya kuli aje,” balas Megdelina acuh tidak acuh. Matanya dihalakan
ke tempat lain. Tak sudi hendak memandang ‘monyet’ di depannya itu.
“Huh!
Leceh berurus niaga dengan kuli ni. Harga tak boleh kurang langsung,” bebel
Yusoffe sambil menyeluk poket seluarnya.
Sakit
telinga Megdelina mendengar rungutan Yusoffe. ‘Tadi dia yang tak mahu berurusan
dengan bos. Sekarang banyak songeh pula. Kalau ada kayu kat tangan aku ni, mahu
aje aku ketuk-ketuk kepala monyet dungu ni.’ Namun dia hanya mampu memerhati
sambil menahan perasaan.
“Dua
puluh, boleh?” Yusoffe masih mahu berlengah-lengah.
“Kalau
nak murah kena beli banyak!”
“Kedekut,”
omel Yusoffe sambil mengeluarkan dompetnya lalu menyerahkan not RM50 kepada
Megdelina.
Pantas
Megdelina menolak. “Kaunter dah tutup. Bagi saja duit kecil.”
“Huh!
Nurseri bukan main besar, duit tukar pun tak ada. Kesian betul,” rugut Yusoffe
sambil menyeluk-nyeluk poket seluarnya mencari wang kecil.
Megdelina
berpura-pura tidak mendengar walaupun hatinya sedang menggelegak. Sengaja dia
mahu mengajar lelaki itu.
Akhirnya
cukup wang RM24 dihulur kepada Megdelina. Yusoffe sempat mengerling wajah ayu
yang sedang panas itu. Gadis itu membalas dengan jelingan tajam. Dia tersenyum
nakal. Hatinya puas.
Usai
berurus niaga, dia terus berlalu tanpa berpaling lagi.
Megdelina
melepaskan keluhan berat. “Orang macam ni pun ada...”
Tiba-tiba
Yusoffe berhenti melangkah lalu berpaling. “Awak kata apa tadi? Esok nak jumpa
saya?”
Megdelina
terkesima. Kelam-kabut dia menjawab. “Err... tak ada apa-apa. Terima kasih.
Sila datang lagi!” Memang itu sapaan yang standard kepada semua pelanggan
tetapi begitu pahit hendak diluahkan kepada lelaki itu.
“Oh...
itu sudah semestinya.” Yusoffe membalas lalu mengenyit mata. “Err... cik, hidup
ni perlu dinikmati. Kerja kena happy. Jangan stres sangat. Bila kita happy,
insya-ALLAH rezeki senang mari. Assalamulaikum, jumpa lagi!”
Dari
kejauhan, Megdelina menjelir lidah dengan telinga berasap tanda dia berada pada
tahap kebengangan paling tinggi. Jika diukur dari segi haba, kepanasannya
mungkin mencecah 100 darjah celsius.
Memang ramai pelanggan lelaki yang cuba mengusiknya,
tetapi yang ini lain. Ini bukan kes mengusik tetapi kes menyakitkan hati. Jenis
mulut longkang! Tak patut dijadikan calon suami. Sumpah dia tidak akan jatuh
hati pada orang begini. Hanya lelaki yang baik-baik sahaja yang diharapkan. Ah, bukankah sering kali yang dibenci itulah
akhirnya akan jadi calon suami? Jika ini berlaku siapa yang patut
dipersalahkan? Cinta? Mana mungkin? Pastinya bukan salah cinta.