MEGDELINA menyusun beberapa ketul batu di tepi dinding
dapur. Laman belakang seluas lima 5 x 10 kaki itu kelihatan bersih dan kemas.
Bahkan dia sudah merancang hendak membuat taman kaktus di situ. Semalam dia
memunggah enam pokok kaktus dari nurseri dan dibawa pulang bagi melaksanakan
rancangan fasa pertama. |
Sedang
asyik dia bekerja tiba-tiba seseorang menyapanya dari belakang. Badannya
tersentak. Dadanya berdebar. Terlintas di benaknya wajah seseorang lantas dia
segera berpaling.
“Oh,
awak, Syafil! Ingatkan siapa tadi.”
Syafil
mengerising sambil memegang sepinggan bihun dan air soya. “Bukalah pintu pagar
ni. Boleh kita makan sama.”
Megdelina
menghela nafas lega. Pantas dia masuk ke dapur mencari kunci. Sempat juga dia
mengintai-intai keluar mencari wajah seseorang yang sebenarnya memang tidak
masuk akal kalau berada di situ.
Dia
membuka kunci pintu pagar belakang untuk membolehkan Syafil masuk.
“Nah,
ni awak punya!” Syafil mengunjukkan sepinggan bihun goreng dengan telur mata
kerbau dan secawan air kopi kepada Megdelina.
“Terima
kasih,” sambut Megdelina teruja kerana tidak menyangka Syafil sudah menyiapkan
sarapan untuknya.
“Awak
tunggu. Saya nak ambil sarapan saya sekejap.” Syafil berpatah balik ke
rumahnya.
Megdelina
tidak membantah. Aroma kopi Arabica benar-benar menyengat hidungnya. Ditambah
pula bau bihun goreng membuatkan perutnya tiba-tiba menggelodak.
Dua
minit kemudian, Syafil kembali dengan sebuah kerusi lipat dan sepinggan bihun
goreng. Dia membuka kerusi tersebut.
“Duduklah.
Kerusi ni kukuh. Jangan takut.”
Megdelina
mengangguk lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi kecil yang diperbuat
daripada besi bersilang dengan pelapik punggung daripada kain keras.
Manakala
Syafil pula duduk di atas batu-bata yang sudah tersusun bertingkat-tingkat. Kakinya
bersilang panggung. Seluar bermudanya tersingsing hingga ke atas lutut.
Bulu-bulu roma kasar berselirat melingkari betisnya yang pejal.
Megdelina
tunduk mengunyah bihun. Matanya sengaja dilarikan kerana tidak mahu memandang
bahagian sensitif itu.
Syafil
sejak tadi memerhati pokok kaktus yang disusun melengkung di tepi dinding
segera memecah kesunyian. “Cantik kaktus awak.”
Megdelina
mengangkat muka dan mengulum senyum. “Saya suka kaktus. Dia menggambarkan diri
saya.”
Syafil
menyahut. “Ya, nampak garang tapi sebenarnya baik hati. Terima kasih sebab
semalam awak beri saya pokok halau nyamuk.”
Gadis
itu tertawa. “Ya ke saya ni garang?” Dengan tawa yang masih bersisa, dia
menambah. “Terima kasih sebab selalu bagi saya makan,” balas Megdelina separuh
manja. Bihun di dalam pinggan sudah tinggal suku. “Sedap bihun ni. Terasa udang
kering dan teksturnya sangat lembut. Senang dikunyah.”
“Wah,
komen awak dah macam juri Masterchef. Lega hati saya awak suka bihun
kosong ni.”
“Saya
memang suka bihun yang digoreng ringkas tanpa banyak bahan tambahan. Cukup
udang kering dan cili.”
“Nampaknya
kita ni sama selera. Bolehlah kita sarapan bersama lagi.”
Mereka
tertawa. Nampak serasi tatkala bersama. Tanpa disedari ada mata yang mengintai
dari atas. Pemiliknya sedang menahan perasaan marah yang terbuku.
“Awak
ni peramah. Tentu ramai kawan,” ujar Megdelina sejurus meneguk air.
“Tengok
juga. Saya hanya rapat dengan orang yang masuk gu dengan saya.”
“Jadi
saya ni kira gu awaklah, kan?” Gadis itu sekadar menguji.
“Boleh
sangat.” Syafil tergelak.
“Awak
pun suka kaktus ke?” Megdelina menyoal. Senang benar hatinya bila berbicara
dengan Syafil. Lelaki itu sangat sopan dan jujur.
“Saya
suka apa saja yang awak suka.” Terhenti kata-kata itu di situ. Syafil menelan
air liur sebelum menyambung, “Pokok ni apa namanya? Cantik, bulat, gemuk...
hmm... geram saya!”
“Oh,
yang ni?” soal Megdelina sambil menunjuk ke arah kaktus berwarna kuning
keemasan berbentuk bulat. “Namanya Golden Barrel. Kaktus yang paling
saya suka. Tengok durinya yang keemasan. Bila kena cahaya matahari, nampak
berseri-seri. Comel sangat!”
Megdelina
bercerita panjang lebar. Mudah sangat berbicara dengan orang yang pandai
mengambil hati. Bukan macam Yusoffe yang mulutnya celopar. ‘Ah, kenapa pula
tiba-tiba aku ingatkan dia?’ getusnya di dalam hati.
“Tak
sangka ya pokok kaktus pun cantik,” balas Syafil tanpa melepaskan renungannya
ke wajah Megdelina. Kaktus yang sifatnya berduri mungkin tidak begitu digemari
ramai tetapi kepada peminatnya, kaktus lambang jiwa murni yang cekal dalam
menempuh segala dugaan.
Pantas
Megdelina menjawab. “Semua pokok cantik. Pokok-pokok kaktus kan makhluk ALLAH
juga?”
“ALLAH
Maha Indah sebab itu kita pun sukakan keindahan dan kecantikan,” balas Syafil
tenang sambil matanya memandang ke arah pokok-pokok renek di tepi longkang.
“Macam kaktus ni. Dalam keadaannya yang berduri dan tidak dianggap romantik,
dia tetap ada kecantikan yang tersendiri. Bijak awak campurkan dia dengan
tumbuhan jenis lain. Taman ni nampak segar. Apa nama pokok-pokok yang melata
ni?” sambungnya lagi.
Megdelina
mengangguk setuju. “Pokok hiasan tutup bumi memang saya sengaja tambah untuk
wujudkan suasana segar.”
Syafil
mengangguk. “Kat Subang Bestari ni mesti belakang rumah awak yang paling
cantik. Jarang orang kita nak hias belakang rumah.”
Megdelina
tertawa galak, lucu dengan pandangan Syafil itu. “Bilik saya di sebelah dapur.
Jadi inilah laman saya. Waktu cuti, saya suka lepak di laman belakang ni. Konon
macam backyard orang putih.”
Syafil
tersenyum sambil membiarkan Megdelina terus bercerita. Kesempatan itu diambil
untuk memerhatikan wajah gadis manis itu. Paling banyak direnungnya jari jemari
runcing yang sedang memegang mug itu. Jari-jari jemari yang telanjang
tanpa sebentuk cincin pun itu menari-nari sambil pemiliknya bercerita tentang
pokok. Dia jadi ralit.
“Waktu
cuti awak suka buat apa?” soal Megdelina.
“Mestilah
memasak. Tapi sejak kenal awak ni saya rasa macam nak bercucuk tanam pula
terutama pokok herba yang sesuai untuk masakan,” jawab Syafil semakin
teruja.
“Wah,
bagus tu! Kalau awak nak pokok herba, saya boleh bawa balik. Bila dah boleh
dimasak, jangan lupa kongsi dengan saya hasilnya,” ujar Megdelina.
“Alhamdulillah,
memang saya nak beritahu awak pasal pokok herba. Mujur ternampak awak tadi.
Cepat-cepat saya goreng bihun. Sambil borak sambil makan.”
Megdelina
tergelak. “Alah, tak payah susah-susah. Saya boleh masak sendiri.”
“Tak
apa. Lagipun bukan selalu dapat minum pagi dengan awak.” Sesekali mata Syafil
jatuh ke jari-jemari kaki gadis di depannya. Memang dia tahu kawasan itu
kawasan larangan tapi dia tidak dapat menolak untuk tidak melihatnya.
Sedang
mereka asyik berbual, Netty muncul dengan menghentak mug ke dalam singki
membuatkan Syafil dan Megdelina terkejut. Mereka saling berpandangan lalu
memandang ke dalam daput. Netty sedang berdiri di singki.
“Cikgu
dah sarapan?” sapa Syafil mesra.
Senyap.
Hanya kedengaran bunyi air paip yang menyembur sahaja.
Syafil
bangun lalu menuju ke pintu dapur. “Tolong basuhkan pinggan saya, boleh? Nanti
saya upah cikgu sepinggan bihun goreng.”
Netty
yang tadinya masam terus memandang Syafil lalu mengukirkan senyuman. “Oh,
ingatkan dah lupakan kita tadi. Seronok aje makan berdua…”
“Eh,
memang nak ajak cikgu sekali tadi tapi nampak Megdelina aje,” ujar Syafil
sekadar mahu mengambil hati. Senyumnya kelat.
“Ya
ke? Mana bihunnya?” Netty teruja. Matanya bercahaya.
Syafil
melepaskan nafas lega. Ternyata pujukannya berjaya. “Ada di rumah saya.
Pergilah ke dapur.”
“Eh,
jomlah temankan. Saya tak biasalah masuk rumah orang.” Netty pantas menjawab.
Syafil
terkesima. Berat hatinya hendak meninggalkan Megdelina di situ. Tapi nampaknya
Netty lebih pantas bertindak. Tanpa berlengah Netty terus menerpa keluar.
“Cepatlah,
Syafil. Saya lapar ni!” jerit Netty. Lagaknya seperti keanak-anakan.
“Saya
tunggu sini saja,” ujar Syafil lagi. Berat dia hendak mengekori langkah Netty.
Megdelina
terkejut dengan situasi kabut itu. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan.
Pura-pura tidak melihat. Namun di dalam hatinya tertanya-tanya mengapa
tiba-tiba Netty begitu lepas laku? Apa motifnya?
“Tak
apalah saya tunggu kat sini dengan Megdelina. Cikgu pergi ke dapur rumah saya.
Bihun ada dalam kuali,” tambah Syafil lagi.
Netty
menarik muka masam. Dia merengus lalu mengayun langkah ke dapur rumah Syafil.
Megdelina
dan Syafil memandang langkah gadis itu.
“Jomlah,
Syafil! Saya tak tahu kat mana awak letak pinggan!” Tiba-tiba terdengar laungan
Netty yang masih tidak berputus asa.
Wajah
Syafil kelat. Dia serba salah. “Ya... ya...
saya datang.”
Sebaik
Syafil menghilang, Megdelina segera masuk ke dalam rumahnya. Membasuh pinggan
yang telah digunakan tadi. Dia tidak mahu mengganggu peluang keemasan Netty
untuk berkenalan dengan lebih rapat lelaki yang diminatinya itu. Dia sedikit
pun tidak berkecil hati.
Memang
dia senang dengan Syafil tetapi hatinya tidak bergetar. Baginya layanannya pada
Syafil sekadar kawan. Cuma tindakan Netty yang seolah-olah mahu merebut Syafil
dengannya membuatkan dia terasa. Sikap Netty tadi agak gelojoh dan kurang
sopan.
Kemudian
dia menyiapkan kerjanya yang terbengkalai tadi. Pantas dia menyusun dahlberg
daisydi atas tanah yang sudah digembur dan menabur baja. Selesai kerjanya
dia menyiram pokok tersebut agar dapat hidup subur. Manakala laluan dari pintu
pagar belakang disusun dengan batu-batu refleksologi.
Megdelina
tersenyum puas. Dia mencangkung sambil merenung taman kecilnya. Fikirannya
menerawang jauh. Membayangkan dia memiliki sebuah taman secantik Indah.
Manakala anak-anak kecil yang comel berlari-larian mengejar kucing kesayangan.
Ah, lebih indah lagi bila anak-anak itu ialah anak-anaknya.
“Wah,
cepatnya siap!” Tiba-tiba satu suara menyapanya.
Megdelina
terkejut. Dia bingkas berdiri dan kepalanya terhantuk pada dagu seseorang.
“Argh!”
Kedua-duanya menjerit kesakitan.
Megdelina
menekan kepalanya yang bengal dan berpinar-pinar. Begitu kuat hentakan tadi.
“Maaf!” Dia berpaling.
“Saya
pun minta maaf!” balas Syafil dengan mulutnya berlumuran darah.
Megdelina
panik. “Bibir awak luka! Mari sini basuh di singki!”
Syafil
akur. Hentakan kuat kepala Megdelina tadi rupa-rupanya telah membuatkan
bibirnya tergigit. Mulutnya yang berdarah dihala ke bawah cucuran air. Darah
bercampur air tersimbah keluar bila Syafil berkumur.
“Ya
Allah! Kenapa ni?” sergah Netty
yang muncul selepas beberapa ketika.
“Err...
salah aku... kami terhantuk...” balas Megdelina dengan suara bergetar.
Netty
memandang Megdelina dengan wajah masam sebelum menempelaknya, “Kenapa kau ni
cuai sangat? Syafil yang besar macam ni pun tak nampak ke?Kesian dia sampai
berdarah bibir.”
Megdelina
terpempan. Terketar-ketar bibirnya hendak menjawab tetapi ditahannya kerana
tidak mahu memanjangkan hal.
Syafil
turut tidak terkata apa-apa bila Netty segera menekap bibirnya yang luka dengan
tisu sebelum menariknya ke ruang tamu.
Megdelina
terus menghilang di dalam bilik dengan perasaan yang bengkak. Bengang kerana
ditempelak oleh Netty tadi. Hatinya sempat mengomel, ‘Macamlah aku hadap sangat
mamat tu. Ambillah kalau kau nak sangat!’