MENJELANG malam, kebanyakan penghuni sudah kembali ke
kediaman masing-masing. Begitulah dengan rumah teres dua tingkat yang terletak
di Subang Bestari yang dihuni oleh empat gadis bekerjaya. |
Masing-masing
menginap sebilik seorang. Tiga bilik atas dihuni oleh Roza, Netty dan Salmi.
Manakala Megdelina lebih selesa duduk di bilik bawah sebelah dapur yang serba
sempit. Bilik itulah yang paling murah sewanya. Jadi, dia tidak ada banyak
pilihan. Dia perlu berjimat cermat kerana meskipun sewanya murah tetapi tetap
‘mahal’ baginya. Sementelahan pula, baru dua bulan dia menjadi penghuni di
situ.
“Hei,
siapa yang masak ni? Sedapnya bau!” laung Netty sambil berlari-lari anak
menuruni tangga. Tubuhnya yang sedikit gempal kelihatan bergegar-gegar
dilambung angin.
“Meg,
kau cakap betul-betul siapa yang masak ni?” soal Roza yang sudah pun duduk
sambil menghulurkan pinggan. Sebelah tangannya menggosok-gosok perut.
“Hisy,
berapa kali aku nak cakap aku yang masak?” Acuh tidak acuh Megdelina menjawab
pertanyaan rakan-rakan serumahnya sambil menyenduk hidangan ke dalam pinggan.
“Eleh,
kau jangan nak poyo dengan aku. Kau sampai tadi dah pukul lapan setengah.
Sekarang baru pukul sembilan. Macam mana kau masak? Cepat cakap siapa bagi lauk
ni?” Netty menggeletek pinggang
Megdelina.
Gadis
itu mengelak. “Pakwe kaulah! Siapa lagi!”
“Hah?
Mamat elok tu lagi ke? Ya ALLAH, dahlah elok, pandai masak, sopan-santun pula
tu... aduh... aduh...” Netty mengurut-ngurut dadanya. Pijama tipis berwarna
merah jambu tidak mampu menutupi isi dadanya yang membuak.
“Jangan
nak perasan. Syafil syok kat Megdelina, sebab tu selalu hantar makanan,” pintas
Roza sambil menjamah rendang hitam yang dihantar oleh chef muda, jiran mereka.
“Amboi,
cakap elok-elok sikit, ya? Dia memang suka masak. Sebab tu dia hantar makanan.
Bukannya ada maksud tersembunyi yang lain,” bidas Megdelina.
Netty
pantas menyokong. “Aku setuju!”
Roza
yang masih berpakaian kerja menyuap lagi sebelum bersuara, “Kau percayalah
cakap Netty tu. Sebelum kau pindah sini, Syafil tak pernah pun hantar makanan
tau. Tapi sejak dia nampak kau keluar masuk dari rumah ni, dia mula hantar
makanan. Itu tandanya dia syok kat kau!”
“Alah...
dia pun baru pindah juga, kan? Selang sebulan saja daripada aku. Maknanya masa
tu dia masih takut-takut lagi dengan kau orang. Manalah tahu kau orang sombong
ke?”
Netty
hanya menyepi kerana sibuk menikmati hidangan rendang hitam dengan nasi panas.
Berselera sungguh dia malam itu.
“Masalahnya
setiap kali hantar makanan, dia mesti tanya pasal kau,” balas Roza tetap dengan
teorinya.
Dengan
wajah merona merah, Megdelina berusaha membingkis telahan Roza. “Hisy, apalah
kau ni! Sebenarnya dia suruh aku komen masakan dia. Dengan kau orang susah
sikit, sebab kau orang tak pernah komen. Lain kali tak payah nak malu-malu,
komen saja. Dia suka macam tu!”
“Eh,
betul ke?” Netty segera mencelah. “Baiklah. Lepas ni aku akan bagi komen yang telus
dan tulus. Biar dia pun suka kat aku.” Dia mula memasang angan-angan sambil
mencungkil sisa daging yang terselit di celah gigi yang jarang.
“Betul
tu, Netty. Syafil nak jadi chef selebriti. Sebab tu dia nak kita jadi
pengkritik dia. Dia suruh kita komen apa yang tak kena dengan masakan dia.
Jadi, bolehlah dia baiki mana yang patut,” balas Megdelina.
“Yalah
tu...” Roza menjuihkan bibir. Kerat jari pun dia tak percaya dengan helah
Megdelina. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina.
Roza
cuba mencuri rendang di pinggan sebelahnya tapi pantas ditepis oleh Megdelina.
“Tambahlah sendiri. Pemalas!”
“Alah,
aku dietlah. Malas nak tambah lagi,” ujar Roza dalam lagak manja.
“Dah
kurus melidi pun nak diet juga? Makan dua kali takkan jadi gemuk!” tempelak
Megdelina.
Tiba-tiba
Netty mencelah. “Untunglah siapa dapat Si Syafil tu kan?” Kemudian dia terus
mengangkat punggung menuju ke singki dengan pinggan kosong di tangannya.
Roza dan Megdelina saling berpandangan lalu mengangkat
bahu. Mereka tertawa. Cuba membuat tafsiran sendiri tentang komen Netty. Siapa
pun yang dicintai atau mencintai Syafil masih terlalu mentah untuk dihujahi.
Siapa tahu dalam diam, Syafil sudah punya kekasih, tunang
bahkan isteri? Bukankah lelaki memang mudah mengaku bujang? Siapa yang boleh
mengaku selagi rahsia tidak bocor?
Megdelina
pantas menyudahkan suapan terakhir. Roza pula masih lagi mencuit-cuit lauk yang
berbaki seolah-olah tidak puas makan tanpa nasi. Apa nak dikata kerana dia
sudah terlanjur mengikut program diet tanpa nasi selama dua minggu.
MEGDELINA
memerap di dalam bilik. Dia mencapai telefon bimbitnya dan memeriksa mesej.
Tiada balasan. Dia mengeluh. Dia pantas membuka komputer riba. Dia melayari
internet. Akaun Facebook diperiksa. Satu per satu status rakan-rakan ditatapi. Dia jarang mengemas kini statusnya
sendiri kerana segala hal peribadinya biarlah rahsia. Dia tidak gemar berkongsi
perasaan di alam maya.
Selepas
membaca beberapa status menarik daripada rakan-rakan maya, dia membuka pula
Facebook Emmareeza. Itulah sebenarnya perkara yang gemar dilakukan saban malam.
Melalui Facebook Emmareeza, dia dapat mengetahui perkembangan adiknya setiap
hari.
Matanya
bulat memandang gambar terkini yang baru dikemas kini. Kelihatan Emmareeza
bersama seorang lelaki sedang berpelukan di sebuah kafe. Jantung Megdelina
berdegup kencang.
“Siapa
lelaki ni? Kekasih dia ke?”
Dia
membuka pula Facebook lelaki itu. Ternyata lelaki itu bukan dalam senarai rakan
mayanya. Bagaimanapun, dia tetap dapat melihat profil lelaki itu yang merupakan
rakan sekuliah adiknya. Pantas dia teringat imbas lelaki di dalam kereta Honda
City petang tadi. Dadanya makin berombak.
Tiba-tiba
lamunannya terhenti. Kelihatan ssap berkepul-kepul memasuki celah tingkapnya.
Megdelina bingkas bangun lalu meluru ke bilik Netty dan Roza.
“Api!
Api!” Dia menjerit
Netty
yang sudah lama tertidur biskas bangun. Mujur dia berseluar trek dan berbaju T.
Megdelina
tidak sempat bertudung. Hanya dapat mencapai tuala untuk menutup rambut.
Manakala Roza pula hanya berbaju tidur. Sekelip mata mereka sudah berada di
luar rumah.
“Tengok
tu! Asap tebal dari dapur rumah siapa?!” jerit Megdelina cemas.
“Eh, Syafil. Rumah Syafil!” jerit Netty mula
histeria.
Megdelina
berdiri di depan pagar yang tidak bermangga. “Ya ALLAH, kenapa dia tak keluar
lagi. Dia tak sedar ke?”
Tanpa
menunggu lama, dia meluru ke pintu rumah jirannya itu lalu mengetuk daun pintu
sekuat hati. Syafil tersembul dengan wajah bingung. Terkejut melihat begitu
ramai orang sudah berkerumun di depan rumahnya.
“Ke...
na...”
Belum
pun sempat Syafil menghabiskan soalannya, Megdelina sudah menyerbu ke dalam
rumah dan meluru ke dapur. Langkahnya terhenti dengan menekan brek kaki secara
mengejut. Pintu dapur terbuka dan nampak punca api. Dia berpaling memandang
Syafil dengan wajah bulat.
“Kenapa
bakar sampah? Malam-malam buta pula tu!” soal Megdelina, geram. Dia tidak
menyangka yang Syafil begitu kiasu dalam soal ini. Membakar sampah bukan sahaja
boleh mengundang bahaya tetapi juga membuatkan rasa tidak selesa jiran-jiran.
“Kenapa?
Tak boleh ke?” soal Syafil kembali tanpa rasa bersalah. Dia pelik melihat
keadaan Megdelina yang tiba-tiba jadi kelam-kabut.
“Awak
dah buat semua orang panik! Macam mana kalau rumah awak betul-betul terbakar
tadi?”
“Kenapa?
Takkan nak bakar sampah pun tak boleh?” soal Syafil tanpa rasa bersalah.
Megdelina
terdiam lalu terus berpatah semula untuk keluar dari rumah itu.
Syafil
mengekori.
“Lain
kali sampah tu buang aje. Tak payah bakar-bakar.” Gadis itu sempat membebel.
“Kenapa
awak marah sangat ni?” Syafil tetap tidak berasa bersalah biarpun dia nampak
ramai jiran yang sedang tercangak-cangak memandang ke arah rumahnya.
“Saya
marah sebab saya terkejut. Ingatkan...”
“Saya
dah mati terbakar?” duga Syafil.
Megdelina
tidak menjawab. Celopar sungguh mulut itu! Malas hendak melayan lalu dia terus
terus keluar meninggalkan Syafil yang masih terpinga-pinga.
Darahnya
yang memang sudah panas sejak di nurseri siang tadi, terus dibarakan hingga
malam. Tadi Yusoffe menyakitkan hatinya dan sekarang Syafil pula pula buat perangai.
Dia melepaskan keluhan berat. Mujur tidak ada musibah yang berlaku.
Sebaik
berada di halaman, Megdelina memandang kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu
bersuara dalam nada lemah. “Tak ada apa-apa. Dia bakar sampah. Jom balik
tidur.”
Masing-masing
menggelengkan kepala dan berlalu dari situ sebelum sempat Syafil memohon maaf.
Netty pula masih tercegat di situ.
“Cikgu
tak balik tidur? Esok sekolah, kan?” tegur Syafil.
“Tak
apa. Tadi dah sempat lena sekejap. Awak okey ke?” balas Netty mesra.
Syafil
tersenyum simpul. “Saya baik-baik saja. Terima kasih sebab cikgu tak marahkan
saya.”
Netty
turut membalas senyuman. “Buat apa nak marah? Yang penting awak selamat. Saya
nak ucapkan terima kasih sebab bagi rendang tadi. Sedap sangat.”
Syafil
teruja lalu dia menghampiri Netty. “Betul ke sedap? Kawan-kawan cikgu cakap
apa?”
“Semua
suka. Tapi saya yang paling suka. Roza diet. Dia tak makan nasi. Jadi rendang
tu dia ratah saja. Megdelina pun bukan pemakan orangnya,” balas Netty, mengulum
senyum.
“Saya
bagi sikit saja tadi. Tapi kalau cikgu nak, saya boleh bagi. Ada semangkuk lagi
dalam freezer.” Chef muda berusia 27 tahun itu sengaja berbasa-basi.
“Eh,
tak payah. Seganlah saya kalau awak selalu sangat beri makanan,” tolak Netty,
termalu-malu. Dadanya semakin berdebar. Terasa gugup bila berdua-duaan begitu.
“Tak
apa, saya memang suka masak. Lagipun saya seorang saja di rumah. Seronok kalau
dapat berkongsi dengan jiran.”
“Saya
pun suka masak. Nanti kita tukar-tukar makanan ya? Saya minta diri dulu,” ujar
Netty. “Hati-hati, jangan main api, nanti terbakar merana diri.” Sempat dia
berseloroh.
Syafil
tergelak. Menghantar langkah Netty dengan pandangan penuh makna. Tiba-tiba dia
teringatkan sesuatu. Lalu dia berlari mendapatkan Netty.
Langkah
Netty terhenti. Dadanya berombak.
“Cikgu,
saya nak minta tolong sikit, boleh?”
Netty
mengangguk penuh teruja. “Cakap saja. Demi Syafil, saya akan usahakan. Nak
kirim beli barang kat pasar raya ke?”
“Eh,
bukan! Saya sebenarnya nak tanya cikgu pasal...”
Sebaik
Syafil menghabiskan ayatnya, air muka Netty terus berubah. Dia menjawab acuh
tak acuh. Kemudian cepat-cepat mengayun langkah meninggalkan Syafil yang
termangu-mangu.
Pintu
rumah berdentum! Netty menghempas tubuhnya di atas katil. Bantal peluk dicampak
ke lantai. Setitis demi setitis air matanya mengalir. Hatinya bagai
dirobek-robek.
“Kenapa
asyik-asyik perempuan tu yang dia sibukkan?” Dia mengomel.