MEGDELINA begitu asyik memeriksa pokok-pokok yang ditanam
berderetan sepanjang laluan utama tatkala dia terasa seperti ada seseorang di
belakangnya. Pantas dia berpaling. Benar sangkaannya. Memang ada mahkluk sedang
tercegat di situ. Betul-betul di tengah-tengah laluan bersimen. Tiada bayang.
Bukan sebab makhluk itu dajal tetapi kerana kedudukan matahari yang sedang
tegak di atas ubun-ubunnya. |
“Megdelina!”
Dahinya
berkerut bila mendengar namanya disapa.
“Yusoffe?”
Megdelina terkejut. Tidak disangka jejaka itu muncul lagi malah begitu awal.
Hanya selang sehari. Bukankah dia yang kata minggu depan dia akan datang lagi?
“Kenapa?
Tak percaya?” soal Yusoffe, tersengih. “Awak ingat hantu galah ke? Takut?”
“Huh!
Orang pengecut saja yang takutkan hantu. Hmm... macam mana awak tahu nama saya?
Rasanya saya tak ada bagi nama pun hari tu,” soal Megdelina sambil
membetul-betulkan lengan kemeja panjangnya yang tersingsing. Kelihatan
roma-roma halus panjang melingkari lengannya. Malas dia hendak berencik-encik
lagi dengan lelaki itu.
Yusoffe
merapatinya lalu berdiri begitu dekat hingga terbau eau de parfum yang dipakainya. Megdelina
mengundur selangkah. Tidak tega dia bersentuhan bahu dengan Yusoffe. Bukan
dengan jejaka itu sahaja tetapi dengan mana-mana lelaki pun Megdelina sentiasa
menjaga hadnya.
“Megdelina...
nama yang pelik tapi sedap macam coklat.”
Yusoffe cuba melawak.
“Macam
mana awak tahu sedap macam coklat? Awak dah rasa ke?” soal Megdelina acuh tidak
acuh. Dia syak Yusoffe datang sekadar mahu mempermain-mainkannya lagi.
“Bukan
saya tapi lidah jin yang saya beli kelmarin. Semalam dia bagitahu kat saya, dia
kata nama awak memang sedap hingga menjilat jari.” Yusoffe berseloroh tanpa
rasa janggal. Bergegar-gegar bahunya menahan gelak.
Megdelina
terkesima. Bulat matanya memandang Yusoffe. ‘Dia nak loyar buruk dengan aku?
Melampau betul! Apa dia ingat aku ni kawan dia? Adik dia? Berani nak
main-mainkan aku lagi?’ getusnya di dalam hati.
“Di
sini tempat kerja bukan tempat nak melawak!” jerkah Megdelina dengan perasaan
geram.
“Amboi,
sombongnya! Takkan macam ni cara awak layan pelanggan? Customer is always
right! Ingat tu.”
Nada
ugutan itu pantas menyambar telinga Megdelina.
“Tengoklah
juga customer tu macam mana?” balas Megdelina. Kali ini memang dia tidak
mahu melayannya. ‘Biarlah, bukan dia yang bayar gaji aku,’ getus hatinya lagi.
“Okey...
okey... maafkan saya. Saya tak berniat nak mainkan awak. Cuma awak ni comel
sangatlah bila marah.”
Pantas
Megdelina merenung ke dalam mata Yusoffe. Bernyala-nyala pandangannya hingga
Yusoffe jadi tidak keruan.
“Amboi,
garanglah awak ni! Takut saya!”
“Huh!
Kalau dah takut, apa lagi? Tak reti-reti nak blah?” Megdelina sudah naik hantu.
Dia tidak mahu membuang masa melayan jejaka yang tidak berhemah itu.
“Sabarlah,
cik adik oi.” Yusoffe mengangkat tangan cuba menenangkan gadis itu.
“Sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman.”
“Itu
semua orang tahu.” Megdelina berdengus.
“Tahu
pengertian tapi tak tahu amal.” Sempat Yusoffe menyindir.
“Awak
ni nak apa sebenarnya?” sergah Megdelina tanpa mahu memberi muka lagi pada
Yusoffe.
“Sa...
saya nak pokok...”
“Nak
pokok lidah jin lagi ke? Berapa? Sepuluh? Seratus?!” tempelak Megdelina lagi.
“Hmm...
selain lidah jin, ada lidah apa lagi?” Sempat Yusoffe mengusik.
“Ada,
lidah mak mentua awak nak? Tapi saya rasa lidah buaya lebih sesuai untuk awak!”
Yusoffe
tergelak. “Oh, perli saya, ya? Sumpah saya bukan buaya darat.”
“Nasiblah
kalau terasa.” Megdelina mula mengorak langkah mahu menjauhkan diri daripada
jejaka pengganggu ketenteramannya itu.
“Tak
baik tau layan pelanggan macam ni. Tak mesra langsung,” giat Syafil, semakin
seronok.
“Memang
saya tak pandai layan pelanggan. Awak patut cari bos saya. Dia sangat pandai
dalam bab layan-melayan ni,” balas Megdelina sambil meninjau-ninjau kawasan
pejabat operasi.
“Tak
naklah. Saya nak awak!” balas Yusoffe dengan jelingan nakal.
“Hah?”
Megdelina terkejut. Matanya dijegilkan pada Yusoffe. ‘Mamat ni dah melampau!’
getusnya hatinya.
“Eh,
janganlah perasan pulak. Maksudnya, saya nak awak layan saya sebagai
pelanggan,” ujar Yusoffe sambil mencuit bahu Megdelina dengan jarinya.
“Eh,
apa cuit-cuit orang ni?!” sergah Megdelina sambil menepis-cepis bahunya. Merah
pipinya diperlakukan sebegitu.
“Maaf,
saya tak sengaja. Sebenarnya saya nak sedarkan awak. Manalah tahu awak tengah
bermimpi bertemu putera raja. Tu yang awak cepat perasan tu.”
‘Berani
dia kata aku perasan?’ Hati Megdelina kembali membengkak. ‘Memang tak sayang
mulut mamat ni. Nak kena dengan aku agaknya!’ Dia cuba mencari kesabaran yang
masih bersisa.
“Apa
tujuan awak sebenarnya datang ke sini? Saja nak cari pasal dengan saya ke?!”
Sekali lagi dia menempelak lelaki itu kerana sudah tidak mampu menahan marah.
“Eh,
tak adalah. Siapa pula nak cari pasal dengan awak? Saya sebenarnya nak buat kolam ikan kat depan
rumah tapi saya tak tahu pokok apa yang sesuai nak tanam supaya kolam tu
teduh,” balas Yusoffe sedikit serius.
Megdelina
merenung wajah Yusoffe tanpa berkelip. Dia cuba mencari kejujuran di mata
kelabu jernih itu. Yusoffe tidak mahu mengalah. Peluang yang ada digunakan
sebaik-baiknya. Renungannya ternyata lebih tajam daripada Megdelina. Hatinya
bergetar. Megdelina tertunduk. Dia tewas!
Yusoffe
tersenyum nakal. “Saya tak bohong. Memang saya nak beli banyak pokok kat sini.
Bos awak mesti gembira. Gaji awak tentu naik lepas ni!”
Megdelina
merenung kembali ke dalam mata kelabu itu. Cuba mencari jawapan. Yusoffe
mengangguk mengeyakan. Lantas nafas lega segera dihela.
“Berapa
saiz kolam tu?” tanyanya.
Yusoffe
menggaru tengkuknya. Dia memandang ke kiri dan kanan. “Err...” Dia
berkira-kira. “Rasanya adalah dalam sepuluh kali sepuluh kaki persegi.”
Mata
Megdelina cenggelang memandang Yusoffe. “Awak pasti? Rumah tepi?”
Yusoffe
terdiam seketika. Sambil mengangkat sedikit wajahnya dia berkata, “Banglo.”
“Oh...”
Megdelina menelan air liur. “Kalau ada bajet baik guna khidmat pakar landskap.”
“Err...
mahal,” kata Yusoffe yang sempat menelan air liur sebelum menyambung, “Saya nak
buat sendiri landskap. Kolam tu saja saya nak upah orang buat.”
“Kenapa
nak buat sendiri? Upah pakar saja kan senang?” soal si gadis, sengaja melontar
soalan untuk memancing jawapan. ‘Banglo boleh beli, upah landskap takkan tak
mampu? Kedekut!’ Sempat dia mengumpat di dalam hati.
“Kolam
tu untuk mak saya. Dulu arwah ayah saya pernah berjanji nak buat kolam ikan
untuk dia tapi tak sempat. Sebab itu saya nak buat ikut cita rasa mak saya.
Awak tahulah kalau guna pakar, alamatnya kita kena ikut cakap dia,” luah
Yusoffe tenang.
“Tak
semestinya. Pakar cuma beri cadangan tapi kita yang tentukan.” Megdelina cuba
membetulkan tanggapan Yusoffe.
“Mula-mula
memang macam tulah, tapi nanti bila dah siap, lain pula jadinya.” Yusoffe tetap
tidak mahu mengalah.
“Terpulanglah.
Saya pun bukan pakar. Cuma saya biasa terima tempahan pokok daripada pakar
landskap. Jadi, serba sedikit bolehlah saya bantu.” Perbincangan menjadi
semakin serius bukan main-main seperti sebelumnya.
“Saya
nak tepi kolam tu rimbun dengan pokok-pokok tropika contohnya pokok buluh,”
celah Yusoffe lagi sambil menyeka peluh di dahinya. Beberapa helai rambut jatuh
menutupi dahinya yang luas. Indah sungguh pemandangan waktu itu. Megdelina
hampir terpesona.
“Okey,
jom ikut saya. Saya nak tunjuk contoh. Mungkin awak akan dapat idea di situ.”
Megdelina membawa Yusoffe ke pejabat dan duduk di ruang santai.
Di
atas meja ada beberapa lakaran kasar taman air. Ada juga beberapa buah majalah
Laman sebagai rujukan tambahan.
Panjang
lebar Megdelina menjelaskan beberapa contoh landskap kolam dan pokok-pokok
hiasan yang sesuai dengan konsep tersebut.
Yusoffe
mendengar acuh tak acuh. Sebaliknya dia lebih banyak menatap wajah manis si
gadis. Alisnya yang lentik, hidungnya yang mancung halus dan bibirnya yang
telanjang tanpa gincu telah membuatkan hatinya bergetar.
“Kalau
untuk konsep taman tropika ini, anggaran semua pokok dalam enam ribu. Apa
pendapat awak?” soal Megdelina.
“Oh...”
Yusoffe terkejut.“Cantik memang cantik.”
Megdelina
tersenyum. “Saya tahu bajet tu memang cantik untuk awak, kan?”
“Ya...
ya... memang cantik. Bukan bajet saja tapi semua sekali memang saya suka!
Cantik sangat!”
Berkerut
kening Megdelina. Apakah lelaki ini masih mahu bermain? “Awak tak boleh main
suka saja. Ini hal serius. Nanti kalau dah jadi baru awak nak komen, payah
jadinya!”
“Err...
saya sebenarnya zero dalam hal landskap ni. Saya ikut aje pandangan awak. Saya
yakin pada awak. Hanya perempuan sahaja yang faham cita rasa perempuan, kan?
Mak saya tentu gembira dengan pilihan awak!”
Megdelina
tersenyum. Merah pipinya menahan malu bila dipuji begitu sekali. Tidak
disangkanya Yusoffe pandai pula bermain kata-kata manis.
“Usah
berharap sangat pada saya. Ini pertama kali saya dapat terlibat secara langsung
hingga ke kerja tanah. Awak pun kenalah berikan pandangan,” luah Megdelina
sedikit risau.
Yusoffe
tersenyum. “Saya perlu beri peluang pada awak. Saya yakin awak boleh!”
“Insya-ALLAH.
Terima kasih sebab percayakan saya. Err... kolamnya dah siap ke?” soal
Megdelina mulai teruja. Seronok juga kalau dia dapat peluang menghias kolam.
Pengalaman itu sangat berharga kerana secara tidak langsung skilnya pun dapat
dikembangkan. Pada perkiraannya pendapatan sebagai perunding landskap sangat
lumayan berdasarkan projek yang diterima. Tambahan pula dia sudah bosan bekerja
di situ kerana sikap pemiliknya yang terlalu berkira.
“Insya-ALLAH
minggu depan kontraktor akan mulakan kerja.” Yusoff terdiam seketika sambil
menggaru tengkok lagi. Kemudian dia menyambung, “Lebih kurang sebulan siaplah
sebab kolam tu besar.”
“Kalau
macam tu, awak bayar deposit dulu. Nanti bulan depan kami hantar pokok-pokok ni
ke rumah awak.”
“Boleh,
tak ada masalah. Awak pandai pasal pokok. Tentu rumah awak ada taman yang
cantik, kan?” soal Yusoffe cuba menyelidik lanjut.
Megdelina
pantas bereaksi. “Eh, tak adalah... kuli macam saya ni mana ada duit nak buat
taman yang cantik? Sekarang ni pun masih menyewa.”
“Oh...
tinggal dengan siapa?” soal Yusoffe teruja.
“Kawan-kawan
bujang,” balas Megdelina sambil menulis senarai pokok yang dibeli.
Semakin
panjang senyuman Yusoffe. “Samalah kita. Saya bujang juga.”
Megdelina
tergelak. “Tak tanya pun.”
“Saja
saya nak bagitahu. Maaflah kalau mulut saya sebelum ini celupar sangat,” ujar
Yusoffe dengan suara yang kendur.
“Eh,
tak adalah. Tak kecil hati pun. Customer is always right!” balas
Megdelina dengan nada berbaur sindiran. Dia semakin senang dan tenang.
Yusoffe
tertawa halus lalu menghulurkan kad kredit kepada Megdelina. “Nanti awak tolong
saya, ya? Awak tolong tunjukkan kat mana nak tanam pokok-pokok tu sampai siap.”
Megdelina
mengangguk lalu meneruskan transaksi pembayaran. Setelah menyerahkan resit kepada
Yusoffe, dia berkata, “Insya-ALLAH sebab niat awak nak buat taman tu untuk emak
awak, jadi saya akan tolong. Saya akan tengok mana-mana yang perlu ditambah.
Mungkin ada pasu yang lebih sesuai dan sebagainya.”
“Alhamdulillah...
memang saya buat pilihan yang tepat untuk datang sini,” ujar Yusoffe segera
berdiri dan bersiap mahu pergi.
Megdelina
turut berdiri sambil mengulum senyum. “Insya-ALLAH, saya akan bantu apa yang
boleh. Yang penting klien puas hati.”
“Macam
tulah yang saya suka,” balas Yusoffe semakin galak.
Megdelina
bersyukur kerana berjaya membuat jualan tertinggi sepanjang minggu itu. Tetapi
tidak bermakna dia sudah sukakan jejaka itu. Cukuplah sekadar waktu itu sahaja.
Dia tidak tega berlama-lama kerana hatinya makin tidak tenteram.
Tiba-tiba
namanya dipanggil. Megdelina berpaling dan nampak seseorang sedang menghampiri
mereka. Dia berkata kepada Yusoffe, “Terima kasih ya? Saya ada klien. Apa-apa
nanti awak telefon.”
“Nombornya?”
Yusoffe cuba menahan.
Megdelina
tidak jadi melangkah lalu dia menjawab. “Ada kat resit tu.”
“Bagilah
nombor handphone, senang sikit,” balas Yusoffe cuba memancing.
Lantas
Megdelina mengeluarkan kad bisnes lalu diserahkan kepada Yusoffe tanpa
bersuara.
“Eh,
ini kalendar poket bukan business card!” Yusoffe membelek kalendar poket di tangannya.
“Belakang
tu ada nombor telefon saya,” balas Megdelina pantas.
“Oh,
patutlah... err... minta dua keping, boleh?” Yusoffe memandang Megdelina sambil
tersengih.
“Boleh...
boleh... nak pass pada kawan-kawan ya? Saya bagi dua terus,” balas
Megdelina sambil menyerahkan kad namanya sebelum terus melangkah tanpa
berpaling lagi.
Dia
mendapatkan seorang lelaki bertubuh agam berpakaian serba hitam yang berdiri di
jarak lebih kurang 10 meter dari situ. Kemudian mereka berjalan beriringan lalu
menghilang di sebalik pokok buluh panda.
Yusoffe
yang ditinggalkan hanya mampu menelan air liur. Dia menggaru tengkuk sambil
mengeluh panjang. Ternyata belum puas dia berbicara dengan gadis itu. ‘Kurang
ajar sungguh lelaki yang datang tu,’ getus hatinya dengan perasaan bengang.
Tegakah
dia membiarkan sahaja Megdelina pergi bersama lelaki itu? Ah, itu bukan Yusoffe
namanya. Dia perlu menyiasat kerana Megdelina seolah-olah sudah mengenali
lelaki itu. Jadi, dia bukan pelanggan biasa.
Matanya
liar mencari kelibat Megdelina. Dari celah pokok dia ternampak si gadis sedang
rancak berbual dengan lelaki berpakaian serba hitam tadi.
Terhendap-hendap
dia menghampiri lokasi Megdelina. Nampak mesra benar mereka berbual. Siapa
lelaki itu? Perlahan-lahan dia mendekatkan diri. Dia mahu melihat wajah lelaki
itu dengan jelas. Matanya tajam memerhati dan menilai. Tinggi lima kaki sepuluh
inci. Tinggi sikit saja daripada Megdelina. Mukanya tampan dan dadanya bidang.
Bahkan perutnya pun kempis.
Yusoffe
menekan perutnya yang sedikit berisi. Dia menarik nafas cuba mengempiskan perut
dan meluruskan bahu agar nampak lebih bidang. Matanya terjunam ke kasut lelaki
itu. Dia boleh agak lelaki itu kaya atau tidak melalui kasutnya. Jelas
kelihatan jenamanya di situ. Kasut diperbuat daripada kulit anak lembu 100%.
Halus buatannya dan pasti mahal harganya. Dada Yusoffe tiba-tiba sesak.
Jantungnya berdebar-debar. Tanda awas terus menjelma di fikirannya.
MEGDELINA
tertawa. Malu bila teringatkan bagaimana marahnya dia pada Syafil malam tadi.
Sejuk hatinya bila Syafil muncul memohon maaf.
Syafil
perasan ada seseorang sedang mengendap mereka. Dia mengerling ke arah lelaki
itu. Perbualannya terganggu. Sesekali matanya terkalih pada lelaki itu.
Megdelina
yang perasan dengan reaksi Syafil, pantas menoleh ke arah yang sama. “Kenapa?”
Syafil
menggeleng. Menyedari kehadirannya disedari, Yusoffe pantas menyorok agar tidak
dilihat oleh Megdelina.
“Err...
rasanya macam lelaki yang dengan awak tadi. Tapi, tak apalah, kat mana kita tadi?” sambung
Syafil yang masih menoleh-noleh ke kanan.
“Awak
cakap pasal pokok halau nyamuk,” ujar Megdelina yang turut menoleh seketika ke
arah yang dilihat oleh Syafil tadi. Dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Syafil
tetapi sengaja tidak mahu mempedulikan jejaka yang dianggap psikotik itu.
“Hah,
itulah! Malam tadi nyamuk memang banyak gila. Sebab itulah saya bakar sampah
kat belakang rumah tu. Memang dah lama nak buat tapi asyik sibuk aje. Malam
tadi dah tak tahan geram sangat, saya bakar terus.”
Megdelina
terangguk-angguk. Timbul rasa menyesal kerana marahkan Syafil semalam.
“Lepas
tu saya teringat pasal pokok halau nyamuk yang mak saya pernah cerita dulu.
Kebetulan awak pun kerja di nurseri ada peluanglah kalau nak diskaun, kan?”
Megdelina
tergelak. “Alah, apalah sangat. Percuma pun boleh.”
“Hah?
Betul ke? Bos tak marah?” soal Syafil sambil menyeka keringat. Hatinya bergetar
setiap kali berdepan dengan gadis manis itu.
“Saya
beli guna harga staf. Jadi tak apalah kalau saya bagi pokok tu sebagai hadiah.
Awak kan selalu bagi kami makan percuma?” ujar Megdelina dengan perasaan
senang. Dia sangat senang dengan Syafil yang dianggap jiran terbaik.
Syafil
tersenyum bangga. “Baguslah idea awak tu. Saya suka.”
“Pandai
awak cari saya, ya?” soal Megdelina yang sedikit pelik mengenai kehadiran
Syafil. Setahunya dia belum pernah bercerita lagi tentang tempat dia bekerja.
“Saya
memang dah biasa dengan kawasan ni. Malam tadi bila saya tanya Netty, saya
terus confirm lot ni. Saya pernah datang beberapa kali tapi tak pernah
nampak awak,” kata Syafil yang agak ralat kerana terlambat mengenali Megdelina.
Gadis
itu tersenyum. “Oh, dulu saya banyak buat kerja ofis. Sekarang ni bos saya
selalu tak ada, jadi kenalah saya in charge semua.”
“Kalau
macam tu awak pun bos jugalah.” Syafil pantas mengusik.
“Bos
kecil aje,” balas Megdelina merendah diri.
“Janji
bos...”
Kedua-duanya
tergelak. Suara ceria itu benar-benar membakar hati insan yang sedang
bersembunyi di sebalik pokok Tapenochilus Ananassae.Tiba-tiba angin
deras menerjah daun-daun pokok di sekitarnya.
Sejurus
itu sekuntum bunga Frangipani merah jambu melayang jatuh di atas kepala
Yusoffe tanpa dia sedari. Yusoffe melepaskan keluhan berat sebelum berlalu
menuju ke kereta dengan perasaan hampa.
Sebaik
dia menghempas punggung, bunga Frangipanimelurut dari kepalanya yang
senget lalu terjatuh di kerusi belakang. Jatuhnya secara kejam ibarat hati
Yusoffe yang sudah retak lalu terhentak ke permukaan. Kesian Frangipaniitu
yang bakal layu tak berteman kerana tiada siapa pun sedar akan kehadirannya
bertandang dengan niat melamar kerinduan.