Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
22,354
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

HARI nan temaram, rembang senja mulai mencengkam, meninggalkan petang sebelum mendakap malam. Di dada langit, burung-burung bertebaran kembali ke sarang. Begitu di jalan raya, deretan kenderaan merangkak-rangkak dan hampir melekat satu per satu di setiap simpang. Petanda warga kota sudah lelah mencari rezeki lalu berpusu-pusu pulang.

Di suatu pelosok Sungai Buloh, ada manusia yang masih tegar bermuamalah. Bagai tidak ada hari esok bahkan masih tetap di Taman Botani Indah. Ralit melihat bunga-bungaan indah dan bunyi deruan air terjun artifisial memenuhi segenap dimensi laksana taman syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Asyik!

Kawasan yang luasnya lebih kurang seekar telah dimanfaatkan daripada terbiar kepada sumber daya rezeki yang melimpah. Merubah dari semak-samun kepada sebuah nurseri yang penuh dengan deretan pohon hiasan yang segar dan indah.

Lanjuran pohon-pohon berdaun hijau berselang-seli dengan bunga-bungaan nan melambai-lambai begitu kuat menggamit hati pengunjung. Selangkah menapak ke dalam kawasan ini, ertinya beribu saat lagi belum pasti bila keluarnya. Lantaran kaki bagaikan terikat dengan suasana nyaman dan mendamaikan hingga memacu oksitosin.

Sejurus kemudian, telinga dilunakkan oleh pembesar suara dengan ucapan terima kasih kepada para pengunjung sebagai isyarat bahawa masa berniaga sudah tamat. Cara paling sopan meminta pelanggan keluar dari premis yang bakal ditutup pada bila-bila masa dari sekarang. Kelihatan beberapa orang pengunjung tergesa-gesa keluar dari celah-celah pohon Englia dan Pinang Merah menuju ke arah tanda KELUAR.

“Ini pokok yang terakhir. Bagus awak datang hari ni. Kalau tidak, seminggu lagi baru ada,” ujar gadis pingitan bernama Megdelina Megat Jazlan penuh bersemangat.

Dia mengulum senyum seraya menghulurkan sepasu Ring of Fire yang sedang mengelopak mekar kepada gadis berblaus berona pic masak di depannya.

“Terima kasih.” Gadis itu membalas dengan senyuman dari bibirnya yang merah jambu. Kemudian dia berpaling pada gadis kecil di sebelah sambil berbicara, “Dah rezeki adik saya agaknya. Mujur kami singgah di sini tadi.”

“Alhamdulillah kira rezeki kami juga tu. Hmm…baru pertama kali datang sini ke?” tanya Megdelina mesra. Tangan diseluk ke dalam kocek seluarnya yang berceloreng berbelak-belak hijau dan hitam. Baju T hitam lengan panjang yang dipakainya sudah dibasahi peluh.

“Ya... kami tak biasa dengan kawasan ni. Waktu kami lalu di sini tadi, adik saya ternampak papan tanda Indah dan ajak singgah,” balas si kakak sambil memegang bahu adiknya. Blaus daripada cotton fabiano yang dipakainya menyerlahkan lagi kejelitaannya.

Si adik tersenyum lalu memeluk kakaknya. “Betul tak instinct Dekla kuat? Dekla dah kata kat sini mesti ada Ring of Fire. Terima kasih ya kakak sebab tunaikan hajat Dekla.”

“Itu tandanya kakak sayangkan adik,” ujar si kakak sambil menepuk-nepuk bahu adiknya. Beg tangan Tods yang dikeleknya turut bergoyang-goyang.

“Adik pun sayangkan kakak. You are the best sister in the world!” laung si adik sambil merangkul pinggang kakaknya sebelum mencium Ring of Fire.

Ditatapnya bunga yang dasar kelopaknya berwarna kuning lembut, manakala warna oren kemerahan melingkari hujung kelopak. Mungkin kerana warnanya yang sebegitu maka bunga daripada spesies mawar itu digambarkan sebagai lingkaran api atau Ring of Fire.

Megdelina terharu melihat si adik sangat menghargai dan memuji-muji kakaknya. Lantas dia mencelah. “Suka saya tengok awak adik-beradik... begitu mesra. Nanti datanglah lagi. Setiap bulan akan ada pokok baru yang cantik-cantik di sini. Saya bagi harga istimewa.” Dia segera memulangkan wang baki dan resit pembelian.

“Insya-ALLAH, kami suka tempat ni. Cantik teratur dan ada banyak pilihan,” puji si kakak yang kelihatan sebaya dengan Megdelina. Kemudian, dia menyambung, “Awak ada adik?”

Megdelina gugup. Tidak menyangka yang soalan cepu emas itu boleh terkeluar daripada mulut pelanggannya. Perlahan-lahan dia mengangguk.

“Awak mesti belikan banyak bunga untuk dia, kan?” soal gadis itu teruja.

Dengan senyum kelat, Mengdelina membalas, “Err... tak... dia tak suka... bunga.”

“Oh ya ke? Sayangnya... tapi tentu dia cantik macam awak juga, kan?” Gadis itu tersenyum sambil menatap wajah Megdelina dalam-dalam sebelum bersuara, “Awak ni cantik sangat. Rupa macam awak ni sesuai untuk jadi pelakon atau pengacara televisyen.”

Megdelina tersenyum kelat. Lidahnya kelu. Bukan sekali orang memujinya begitu tetapi entah kenapa kali ini lidahnya bagaikan terkunci. Pujian daripada gadis sofisikated itu terasa terlalu tinggi untuknya hingga dia rasa tidak layak untuk menerimanya.

Lalu dia hanya mampu tunduk mahu menyorok wajahnya yang langsung tidak gembira. Saat itu matanya tertancap kasut Geox yang disarung oleh si gadis. Kasut yang diidamkan namun belum mampu untuk dimiliki.

“Saya Aziyana. Ini kad saya, kalau berminat nak tukar kerjaya, bolehlah callsaya pada bila-bila masa.”

“Insya-ALLAH...” Megdelina membalas dengan nada kering. Bagaikan ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya. Matanya menghantar pergi kedua-dua beradik tersebut sebelum melekat pada kad nama merah bara di tangannya.

‘Perunding pelaburan, patutlah ramah dan bergaya,’ getus hati kecilnya lalu menghela nafas panjang. Dia mula berangan dengan cuba meletakkan dirinya seperti gadis itu. Berpakaian dan berkereta mewah. Ah, indahnya hidup! Dia ralit seketika.

Menyangka semua pelanggan sudah pulang, dia segera menutup pintu pagar sebelum menghala ke ofis kecil yang terletak di sebelah kanan nurseri untuk membuat laporan. Cepat siap cepat pulang.

Tiba-tiba langkahnya terhenti. Dari jauh dia ternampak seorang jejaka tercangak-cangak seolah-olah sedang mencari sesuatu. Langkah segera diayun untuk mendapatkannya.

“Ya, encik boleh saya bantu?” Megdelina menyapa penuh hormat. Segera dia merapati jejaka yang sedang menoleh ke arahnya. Jejaka itu memberikan renungan yang tajam pada Megdelina tetapi dia cuba menyambutnya dengan tenang.

“Oh... masih ada pekerja rupanya. Ingatkan semua dah balik.” Selamba Yusoffe menyindir.

Megdelina terasa. Tidak menyangka yang sapaan ramahnya dibalas dengan sindiran. Namun dia membalas lembut. “Maaf, encik... saya tak perasan tadi.”

“Hmm... dah lama saya di sini. Tak ada siapa pun yang nak layan. Kalau macam inilah caranya, baik tutup aje nurseri ni,” ujar Yusoffe sambil matanya mengerling Megdelina dengan pandangan sinis. Sengaja menunjukkan kuasanya sebagai pembeli.

Megdelina resah. Jejaka itu nampaknya sulit untuk diladeni. Nampak sangat cerewet. Mungkin dia akan mengambil masa yang lama sebelum membeli. Jadi, lebih baik biarkan dia pergi begitu sahaja. ‘Kalau dia serius tentu dia akan datang lagi,’ fikirnya.

“Encik tengok-tengoklah mana yang berkenan. Sekejap lagi saya datang balik,” ujarnya dalam nada dingin. Mengharapkan jejaka itu berputus asa lalu pulang.

“Eh, kenapa sekejap lagi? Saya nak cepat ni! Kalau tidak, baik saya balik aje!” jerkah Yusoffe.

Megdelina semakin tercabar. Dia memang mahu jejaka itu keluar dari situ. Dengan sikapnya yang sarkastik dan tidak bersopan itu, memang tidak wajar diberi layanan.

Bagaikan mahu memalu gendang perang, dia bersuara, “Encik, pintu keluar di sebelah sana. Mari saya tunjukkan.”

“Hah? Siapa kata saya nak keluar? Saya nak cari pokok bunga... banyak...” Ada getar pada nada suara itu. Belum pernah dia dihalau keluar oleh jurujual. Bahkan perempuan di depannya itu langsung tidak gentar dengan jerkahannya.

“Cuba encik tengok jam. Sekarang ni dah pukul tujuh. Kami dah tutup. Encik boleh datang lagi esok,” balas Megdelina tegas.

“Awak ni nak berniaga ke tidak? Takkan sepuluh minit pun tak boleh nak luangkan masa? Buat penat saja saya datang ke sini!” tempelak Yusoffe.

“Encik, kalau encik pergi ke pasar raya pun, encik tak boleh membeli di luar waktu operasi. Di sini pun sama juga,” pintas Megdelina dengan kening berkerut. Dia bukanlah orang yang terlalu berkira tetapi banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan. Pokok-pokok perlu disiram dan laporan jualan untuk hari ini perlu disiapkan sebelum Tengku Muaz membebel.

“Eleh... setakat nurseri aje kut. Tak payahlah nak berlagak macam supermarket pula. Awak akan menyesal kalau tak layan saya. Saya ni prospek klien tau!” Suara mengugut itu terus mengunyah gegendang telinga Megdelina.

Gadis itu cuba mencari kebenaran pada wajah jejaka itu. Memang dia marah dengan kelancangan lelaki itu tetapi customer is always right. Jadi, dia kenalah memberi layanan umpama raja. Tidak kiralah sekasar manapun sikapnya. Mana tahu memang betul jejaka itu pakar landskap. Baru dapat tender besar syarikat gergasi. Bukankah rugi jika dia terlepas daripada rezeki itu?

“Hmm... maafkan saya. Encik nak cari bunga macam mana? Untuk interioratau exterior?” soalnya selembut yang mungkin. Sekadar berpura-pura.

Interior,” jawabnya ringkas sambil tajam merenung Megdelina yang bertubuh langsing. Susuknya yang tegap dengan ciri potongan wanita sempurna itu dilindungi oleh selubung aura wanita solehah. Selendang hijabi terlilit kemas di kepala dan melanjur menutupi dadanya. Dia tidak menyangka bahawa ada gadis secantik itu yang bekerja di nurseri.

“Oh...” Megdelina menelan satu informasi yang agak mengecewakan bila Yusoffe menyebut interior. Ertinya pembeliannya tidaklah sebanyak mana. Namun, dia tidak patah semangat. Mungkin rezeki waktu maghrib. Lantas dia bersuara, “Jom... saya tunjukkan.”

Megdelina berjalan menuju ke sudut kiri nurseri. Jejaka dengan rambut ikal berpotongan tipis itu menurut. Sebaik tiba di lokasi yang dituju, gadis itu bersuara, “Di sini ada banyak pilihan. Encik nak pokok jenis apa? Kami ada banyak stok. Berapa banyak encik mahu?”

Yusoffe mula cemerkap. Tengkuknya digaru. Hilang terus lagak sombongnya tadi. “Err... banyaknya pokok di sini. Saya tak pasti... entahlah...”

Pantas Megdelina berpaling. Merenung manusia tinggi lampai di depannya. Lagak bagaikan sudah tahu apa yang dicari. Kalau begini bukan lagi sepuluh minit. Alamatnya sampai gelap pun belum tentu dia selesai meledaninya. Dia tidak mahu maghribnya terbabas.

Dia merenung Yusoffe. Redup matanya membuatkan gadis itu tidak jadi marah. Lantas Megdelina kembali meneruskan langkahnya. Tiba di suatu sudut, dia berpaling dan kembali memandang si jejaka dengan pandangan skeptikel. Tangannya disua ke arah gugusan pokok-pokok hijau tanda memberi ruang untuk lelaki itu membuat pilihan.

Yusoffe terus resah tanpa berkata sepatah pun.

Melihat Yusoffe masih terkedu, Megdelina bersuara, “Encik nak pokok yang macam mana? Yang besar atau yang kecil?”

Yusoffe tersentak. Berkerut dahinya. Kemudian sebelah tangannya menutup mulut dan hidungnya yang mancung seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Manakala sebelah lagi tangannya mencekak pinggang.

“Err... okey.” Akhirnya Yusoffe bersuara, “Tak kisahlah yang macam mana pun. Janji cantik.”

Megdelina menghela nafas. Langit sudah makin suram. Kawasan sekitar nurseri sudah gelap. Melayan pelanggan pada waktu itu sudah menjadi kesalahan baginya kerana akan mengganggu kerja-kerja lain yang perlu dilangsaikan sebelum pulang.

Ah, tapi dia tidak sampai hati hendak menghalau pelanggan itu. “Encik nak yang jenis orkid, kaktus atau pokok berdaun tanpa bunga? Pokok begini senang nak jaga. Ini jenjuang merah hijau, birah dan buluh kecil. Encik boleh pilih.” Akhirnya, dia menamakan beberapa pokok yang mudah dijaga. Mengesyorkan pokok yang mempunyai rutin jagaan ketat hanya akan membuatkan ia terencat dan mati di tangan si jejaka kalut itu kelak. Pasti sia-sia! Sebab itu dia memberikan cadangan yang mudah.

Yusoffe tambah gelisah. Dia menggaru-garu tengkuknya lagi. Tidak menyangka susah juga hendak memilih pokok. Dia mula sedar akan kerumitan kerja Megdelina. Sama rumit seperti kerjanya juga. “Err... entah. Apa-apa pun bolehlah.”

Megdelina menarik nafas dan mengulum senyum sinis. ‘Datang sini tak buat homework langsung. Nampak macam bijak sangat tapi sengal.’ Dia mengomel di dalam hati.

“Pokok perlu dipilih mengikut kesesuaian ruang. Kalau di atas meja sesuai dengan pokok yang lebih kecil tapi jika di sudut dinding, boleh pilih pokok renik yang sederhana. Jadi, encik mahu hias sudut yang macam mana?”

Yusoffe melongo. Bukan dia tidak faham tapi sebenarnya ralit melihat Megdelina hingga satu butir bicara gadis itu pun langsung tidak masuk di benaknya. Hilang semua idea di dalam kepalanya. Fikirannya jauh menerawang.

Apatah lagi dalam suasana nan nyaman dengan haruman bunga bersemarak telah membuatkan jantungnya bergetar. Seolah-olah ada jari-jemari halus sedang menggeletek hatinya. Bukan geli tapi lunak. Dia terkesima.

“Encik... sudut yang macam mana?” ulang Megdelina sedikit keras.

Terkejut mendengar sergahan Megdelina, Yusoffe segera bertanya kembali. “Sudut? Sudut apa tu, cik?”

Megdelina mengukir senyuman kelat. Kalau tadi cuba mahu ikhlas, tapi kini sudah mula berada pada darjah kebengangan. Namun, demi azam menjadikan kerjanya sebagai satu ibadah, dia cuba bersabar.

“Sudut rumah. Encik nak guna pokok tu untuk ruang tamu, ruang makan, bilik tidur atau atas meja?”

“Oh... cakaplah ruang. Ingatkan sudut 90 darjah ke sudut 360 darjah tadi.” Suara serak-serak basah itu terus memecah gegendang telinga Megdelina. Diiringi pula dengan tawa yang melengking. Bergegar-gegar badan jejaka itu menahan gelak. Entah apa yang lucu sangat hanya dia sahaja yang tahu.

Berlendir gegendang Megdelina mendengar gema nyaring itu. Nampaknya dia sedang dipersendakan. Dia tegak. Matanya mengecil. Tubuhnya berpeluh. Bukan saja kerana cuaca hangat tapi hatinya sedang terbakar.

‘Mamat ni sewel ke bipolar disorder?’ Megdelina merengut-rengut di dalam hati. Bukan dia tidak biasa dengan keadaan itu. Sejak setahun lalu macam-macam kejadian yang menimpanya. Dia mula mencari helah. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan. Tumpuannya hilang. Bosan!

Bila melihat wajah Megdelina masam, tawa Yusoffe terus hilang. “Hmm…” Tangannya menyapu-nyapu bibirnya yang merah basah. “Err... kalau untuk bilik tidur macam mana?” Suara serak basah itu menerjah lagi ke gegendang Megdelina.

Senyap. Mata galak Yusoffe terus melekat pada wajah ayu Megdelina. Gadis itu semakin resah. Tidak berdaya hendak melawan panahan yang sedang menikam jantungnya.

Megdelina segera melarikan anak matanya bersama jiwa yang meronta mahu menghalau pandangan itu.

‘Sekalipun aku mahukan duit dia tapi aku tidak perlu buang masa dengan orang gila macam ni. Harapkan rupa aje elok tapi perangai...’ Dia menggumam di dalam hati.

Seketika kemudian, dia ternampak seorang pekerja melambai-lambai ke arahnya. Megdelina menarik nafas lega. Peluang melarikan diri. Dia berpaling ke arah Yusoffe dan segera memberikan helah. “ Macam nilah... kalau encik masih belum buat keputusan, saya rasa baik encik balik dulu. Bila-bila nanti encik datang balik. Bos saya panggil tu…”

“Eh, janganlah lari dulu. Tak payah takut. Saya ni masih waras lagi.” Yusoffe pantas bersuara bagaikan faham apa yang sedang bermain di benak Megdelina.

Gadis itu terkesima tetapi pantas memberikan jawapan yang sopan. “Bukan takut tapi nurseri ni dah tutup! Semua dah gelap. Pokok pun dah tak nampak.”

“Tolonglah saya. Sekejap saja,” kata jejaka itu yang sedikit gundah sebelum memperkenalkan dirinya. “Saya Yusoffe. Selalu lalu di kawasan ni tapi tak pernah singgah. Tiba-tiba pagi tadi mak saya suruh saya carikan pokok untuk bilik tidur. Itu yang saya datang ni.”

Megdelina terpempan. Perkataan ‘emak’ itu membuatkan matanya bercahaya. Hatinya terus cair. “Kalau macam tu... encik tengok-tengok dulu. Saya nak pasang lampu,” balas Megdelina pantas dan mula mengorak langkah.

Namun, cepat-cepat ditahan oleh Yusoffe. “Jangan lupa datang balik ya? Saya nak awak layan saya. Orang lain saya tak mahu.”

Sebaris demi sebaris ayat diatur. Lebih sopan dan lembut. Rasa lunak singgah di telinga Megdelina kemudian terus meresap di hatinya. Berbeza pula sikap si jejaka. Ah, keadaan menjadi tambah bahaya bagi Megdelina. Gadis itu mengecilkan mata. Keningnya berkerut. Tidak tega melayan lelaki itu lagi.

“Encik tunggu bos saya. Dia boleh bagi diskaun yang bagus. Esok dia ada.”

Segera Yusoffe menggeleng. “Tak nak. Saya tak kira, bos ke... nenek bos ke... emak bos ke... semua saya tak nak. Saya nak awak yang layan saya!”

Air liur ditelan. Megdelina merasakan sikap Yusoffe memang pelik. Hatinya mulai berasa tidak enak. Tidak kiralah manusia itu kacak macam Bratt Pitt atau Keanu Reeve sekalipun, dia membuat kesimpulan daripada mata nan galak dan janggut sejemput itu bahawa lelaki itu sangat bahaya dan perlu dijauhi. Psikosis!

Megdelina terus meninggalkan Yusoffe lalu melangkah mendapatkan rakan pekerja yang masih tercegat menantinya. Kemudian dia bertanya, “Kenapa?”

“Ada orang cari,” balas rakannya.

“Siapa?”

Rakannya mengangkat bahu. Megdelina meneruskan langkah untuk mendapatkan orang yang mencarinya. Hatinya terus tertanya-tanya, ‘Siapalah yang datang waktu maghrib ini?’

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh