Home Novel Cinta Kan Aku Dah Kata!!!
Kan Aku Dah Kata!!!
Aini Marisha Marisha
29/12/2013 16:20:01
147,239
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1
Bab 1

Malam ini, kawasan hadapan rumah banglo mewah tiga tingkat milik Datuk Aziz yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur kelihatan sesak dengan kenderaan yang menyusuri masuk ke kawasan parkir yang disediakan khas. Datuk Aziz Zamri dan Datin Aini Khairiah kelihatan sangat gembira menerima kehadiran tetamu-tetamu yang terdiri dari kawan-kawan rapat, sanak saudara dan jiran tetangga. Kenduri doa selamat yang diadakan di rumah mereka malam ini adalah bersempena pemergian mereka ke tanah suci untuk mengerjakan umrah pada minggu hadapan.

Dengan berpakaian lengkap sepasang baju Melayu berwarna kelabu, Datuk Aziz kelihatan segak dari pandangan orang seusianya. Rambut yang lebat hitam dan tersikat kemas, tersorok sedikit di sebalik songkok hitam yang dipakai. Sekali pandang, tidak ubah seperti seorang pengantin lelaki yang akan menjabat tangan tok kadi untuk bernikah. Sebagai seorang Ahli Dewan Rakyat dan juga usahawan yang telah berjaya di dalam perniagaannya, Datuk Aziz memang mempunyai ramai kenalan terutamanya teman-teman golongan VVIP yang berpangkat Dato’ malah rombongan mereka ke tanah suci ini juga hanya terdiri dari golongan-golongan VVIP yang berkehidupan mewah. Rombongan mereka juga telah melantik sebuah syarikat pelancongan terkenal untuk menguruskan semua urusan mereka di Mekah termasuk pemilihan hotel dan merancang semua aktiviti di sana.

Datin Aini juga kelihatan sangat gembira berpelukan dan berlaga pipi tiga kali dengan kawan-kawannya yang baru datang meraikan mereka. Mengekeh-ngekeh mereka ketawa apabila berbual. Ucapan tahniah tidak putus-putus diterima seolah-olah mereka baru menang hadiah yang sangat berharga dan bukannya untuk berasa lebih tawadduk kerana akan berangkat ke Tanah Suci.

Pada malam itu, Datin Aini mengenakan abaya Arab berwarna hitam berpotongan payung dipenuhi dengan hiasan manik dan labuci. Abaya itu dipadankan pula dengan shawl panjang yang hanya menutupi bahagian tengah dan belakang rambutnya. Bahagian hadapan rambut yang keperangan dibiarkan mengintai dari celahan shawl hitam yang juga sarat dengan sekuin dan labuci. Berkulit putih kemerahan dengan wajah yang jelita walaupun usia telah menjangkau 45 tahun, ramai yang meneka bahawa Datin Aini berdarah Cik Siti Wan Kembang. Namun dinafikan dengan senyuman menguntum di bibir kerana tekaan itu satu pujian sebenarnya.

Sejak dua minggu yang lepas, Datin Aini dan kawan-kawannya telah mula membeli belah keperluan-keperluan mereka untuk dibawa ke Mekah. Jubah-jubah berwarna hitam serta tudung kepala telah banyak dibeli termasuk beg-beg pakaian yang baru. Datin Aini teringat perbualannya dengan Datin Suhaili dua minggu yang lepas semasa membeli belah di Bukit Bintang.

“Eh Aini...you rasa sekarang ni di Mekah musim sejuk ke panas ya?” tanya Datin Suhaili sambil membetulkan selendang yang hampir melurut ke bawah lalu mendedahkan rambut yang baru sahaja diwarnakan hitam semula.

“I rasa sekarang ni dah sejuk kot, maklumlah dekat hujung tahun kan,” jawab Datin Aini sambil membelek-belek beg kertas yang diletakkan di sebelahnya. Dia mahu memastikan bahawa semua barang-barang yang dirancang untuk dibeli sebelum keluar dari rumah tadi telahpun diperolehi.

“Baguslah kalau macam tu kan. Nanti kalau panas sangat tak tahan 1,” getus Datin Suhaili lagi. Berkerincing bunyi gelang tangan emas yang berselirat apabila dia menggerakkan tangannya yang putih dan gebu.

“Tu lah sebab kita pilih hujung tahun kan...,” jawab Datin Aini lagi disertai dengan jelingan panjang penuh makna tersirat. Kata-kata Datin Aini disambut dengan senyuman malu-malu kucing kerana sedar bahawa tujuan utama mereka bukanlah semata-mata untuk beribadah tetapi lebih kepada tidak mahu kalah dengan kawan-kawan lain yang telah lebih dulu ke sana. Selain itu mereka juga ingin menambahkan bilangan negara luar yang telah dilawati serta tidak dapat menafikan niat terselindung mereka iaitu untuk membeli belah di negara Arab yang tidak kurang hebatnya dengan barang-barang jualan yang menarik dan murah.

Datuk Aziz juga tidak kurang galaknya bersembang dengan rakan-rakan VVIP nya berkenaan perancangan mereka ke tanah suci. Berdekah-dekah mereka ketawa apabila ada topik yang dibual melucukan. Sebagai seorang usahawan, tidak lengkap jika topik mengenai permainan golf tidak menjadi bualan mereka. Ketawa mereka semakin kuat apabila cerita tentang Dato’ Rashid yang terlentang di padang akibat licin semasa sedang memukul bola ditimbulkan oleh Dato’ Kamal. Berjumpa dengan kawan-kawan menyebabkan Datuk Aziz lupa sebentar tujuan utama majlis yang mereka adakan pada malam ini iaitu memohon keselamatan dan keberkatan ibadah yang akan mereka akan jalani semasa di Mekah nanti.

Kehadiran Ustaz Bahari yang akan mengetuai majlis doa selamat itu menghentikan serta merta perbualan mereka. Datuk Aziz segera menyambut salam yang dihulurkan oleh Ustaz Bahari. Segera dijemputnya ke tengah rumah di mana ramai tetamu sudah duduk bersila untuk memulakan majlis. Datuk Aziz berbual sebentar dengan Ustaz Bahari untuk memaklumkan tujuan majlis diadakan dan doa-doa yang mereka mahu Ustaz Bahari bacakan. Kelihatan Ustaz Bahari mengangguk beberapa kali, sesekali disulami pula dengan senyuman dan gelak kecil.

Setelah Ustaz Bahari bersedia, majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan seterusnya zikir dan wirid. Para tetamu wanita turut serta di dalam bacaan wirid tetapi duduk berasingan lebih jauh ke belakang di ruang tamu kedua. Sedang Ustaz Bahari khusyuk berzikir, tiba-tiba pandangan mata para tetamu ditarik ke arah ke pintu masuk utama. Ustaz Bahari juga tidak dapat lari dari turut melihat tetamu yang hadir. Datuk Aziz sangat terkejut kerana tetamu itu tidak lain tidak bukan adalah anak gadis mereka iaitu Ellyssa. Jika tidak dimaklumkan pun, semua orang sudah dapat meneka siapa gadis itu kerana wajah jelitanya diwarisi sepenuhnya dari wajah Datin Aini. Dengan berpakaian sukan serba ketat warna biru lembut, Ellyssa perlahan-lahan masuk ke dalam rumah lalu terus menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas.

Sehingga selesai majlis dan sehingga semua tetamu yang hadir telah pulang, batang hidung Ellyssa langsung tidak kelihatan. Rupa-rupanya anak gadis itu telah tertidur akibat terlalu penat setelah menghabiskan masa selama empat jam di gymnasium.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.