Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,274
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 1

SINOPSIS (telah terbit 2020)

Adriana Imaniyah terpaksa berhutang angkara si ayah, sehingga dia terpaksa menurut sahaja kehendak seorang wanita demi melunasi hutang-hutangnya. Ugutan demi ugutan Yasmin membuatkan dia terpaksa bekerja dengan seorang jutawan dan menjadi tutor demi mengajar anak bujang tuan rumah itu yang agak nakal dan pemalas.

Adham Mirza, lelaki yang tidak pernah punya cita-cita tinggi. Hidupnya banyak dihabiskan dengan berhibur seperti ayahnya. Kedua-duanya bukan seperti ayah dan anak, tetapi lebih kepada teman serumah yang berkongsi gaya hidup kebaratan. Rumah yang didudukinya sentiasa dipenuhi dengan maksiat dan arak. Bagi Mirza, itu caranya untuk mengubati hati setelah ditinggalkan ibunya yang pergi kerana tidak tahan dengan kecurangan si ayah.Kehadiran Adriana dalam hidupnya bagaimana pun mengubah segala-galanya. Sepi yang dirasakannya kini terisi dengan kehadiran gadis itu.

Namunsatu tragedi hitam meninggalkan sengsara yang berbekas di hatinya. Apabila Adriana menjadi suspek pembunuhan ayahnya Fahrin dan hilang dalam satu kemalangan jalan raya, Adham Mirza memulakan misi menjejak gadis itu demi mencari jawapan dan sebuah kepastian.

Enam tahun kemudian, Adriana muncul secara tiba-tiba. Mampukah Adham Mirza membalas dendam pada satu-satunya gadis yang tidak pernah hilang dalam hatinya sejak enam tahun lalu? 


“Jadi ini rupa sebenar Adriana Imaniyah? A big fat liar? Is that what you really are?Kau gadis dengan dua wajah, yang hanya muncul untuk buat aku jadi gila. Well, a big applause for you dear. You did a very good job.”  - MIRZA

 

“Saya tak bermaksud untuk menghuru-harakanhidup seseorang. Sekurang-kurangnya bukan hidup awak Mirza.” - ADRIANA

**************************************************************************************

TUBUHNYA berdebu, pakaiannya kotor dan rambutnya menggerbang. Kakinya tidak bersarung sepatu, sebaliknya tumitnya sudah pecah-pecah kerana banyak berjalan tanpa hala tujuan.

                Hatinya kosong,sama seperti fikirannya yang terawang-awang. Dia melihat dunia tidak lagi sama seperti dulu. Dunia yang penuh dengan cinta seperti kata ibunya. Dunia yang penuh dengan kasih sayang. Dunia itu sudah musnah. Tiada lagi cinta terpaut dihatinya. Tiada lagi kasih sayang di jiwanya. Dia hanya insan yang kehilangan segala-galanya.

                Nun jauh dihadapannya, bunyi ombak mengganas singgah di gegendang telinga. Dia tertarik.Seolah-olah suara ombak itu bagaikan bisikan ibunya yang asyik memanggilnya.

                “Tunggu bu…..”bisiknya. Matanya terpejam rapat. Wajah wanita itu terbayang-bayang di fikiran.Senyuman wanita itu bagaikan penawar duka yang mahukan dia melupakan segala-galanya.

                Langkahnya dihela perlahan. Tumitnya perlahan memijak hamparan pasir yang dingin. Namun matanya hanya melurus ke hadapan. Ke arah imej ibunya yang sedang melambai-lambaike arahnya. Panggilan itu harus disahut. Ya, itu sahaja yang ada di fikirannya saat ini. Dan bunyi ombak menghempas ke batu itu semakin lama semakin jelas kedengarannya.

                Apabila kakinya dibasahi air, dia tunduk. Sedar tak sedar separuh kakinya sudah ditenggelami air.

                “Jangan takut sayang, mari dekat ibu.” Suara itu terus memanggil.

                Buat kali terakhir dia menitiskan airmatanya. Dunia, selamat tinggal! Andai dunia ini hanya memberinya derita, lebih baik dia tinggalkan sahaja derita itu. Ibu, aku akan datang menemanimu! Tunggu aku!

* *  *  *

JALAN yang berliku di hadapannya tetap diredah meski dalam keadaan hujan lebat. Dia tidak peduli langsung pada lekuk-lekuk jalan yang sesekali menganggu kelancaran motorsikal Apprilia RS250 yang dipandunya. Saat ini dia lebih berminat mahu segera sampai ke destinasinya. Dia mahu mengejar gadis itusebelum semuanya sudah terlambat lagi. Gadis itu harus menjelaskan segala-galanya padanya. Harus!

                Nun jauh dihadapan, perjalanannya terganggu oleh sorotan cahaya dari kenderaan di hadapan.Hendak tak hendak dia terpaksa memperlahankan kelajuan motorsikalnya. Hujan renyai yang membasahi mukanya langsung tidak dipedulikan. Dia mengetuk cermin tingkap kereta di sebelahnya. Lelaki yang menjadi pemandu Toyota Camry itu menurunkan jendelanya.

                “Kenapa sesak kat depan bro? Ada apa?” Dia bertanya.

                “Entah, rasanya ada kemalangan agaknya. Tadi aku dengar ada kereta jatuh gaung. Itulah, dah tahu hujan lebat macam ni, yang nak bawa kereta laju sangat tu kenapa? Kan tak fasal-fasal menyusahkan orang lain.” Bebel lelaki itu seraya menggelengkankepalanya.

                Dia melontarkan pandangan ke suatu arah. Seperti ada suatu suara yang menyuruhnya meneruskan perjalanan.Dia mahu melihat apa yang sedang berlaku. Ada kereta polis dan ambulan sudah berada di tempat kejadian. Terdapat juga anggota penyelamat yang baru tiba. Dia memerhatikan kawasan itu dan ternampak penghadang jalan yang kelihatan rosak dirempuh kenderaan. Hatinya entah kenapa gusar.

                “Adik, adik tak boleh berada kat sini. Adik kena berpatah balik. Bahaya.” Tegur salah seorang anggota polis yang menahannya.

                “Ada apa ni encik?” Tanyanya pada anggota polis bertubuh gempal itu.

                “Ada kemalangan yang membabitkan sebuah kenderaan. Kereta tu jatuh gaung lebih kurang sejam tadi dan terbakar. Anggota bomba masih cuba memadamkan kebakaran tu.” Ujaranggota polis tersebut.

                “Kereta apa?”

                “Ada saksi yang nampak sebuah kereta Proton Preve berwarna hitam menjunam ke bawah gaung. Pihak bomba sedang menjalankan usaha-usaha menyelamat.” Jelas anggota polis tersebut.

                Hatinya serta-merta berdebar. Lagi-lagi dia tahu tentang hadiah yang Adriana terima beberapa hari yang lalu.

                “Kawan saya juga memandu Preve berwarna hitam dan mungkin melalui jalan ini. Namanya Adriana.” Ujarnya pada anggota polis tersebut.

                Wajah anggota polis itu tiba-tiba berubah.

                “Apa nama kawan adik tu Adriana Imaniyah Binti Abdullah?” Soal lelaki itu.

                Dia hanya mengangguk disulami rasa cemas dan panik saling berbaur.

                “Ya, macamana encik tahu nama penuhnya?”

                “Sebab ini yang kami jumpa di kaki gaung tadi. Mungkin terjatuh dari kereta mangsa.” Ujar lelaki itu lalu menunjukkan sekeping tag nama pelajar milik Adriana, lengkap dengan gambar gadis itu sekali.

                Melihat tag nama tersebut, tubuhnya tiba-tiba mengigil. Nafasnya menjadi tidak keruan. Ya ALLAH! Bunyi riuh rendah di kawasan itu seperti lenyap. Dia tidak mendengar apa-apa lagi kecuali suatu suara.

                “Nama saya Adriana. Saya diupah oleh ayah awak untuk jadi tutor peribadi awak.”

                “Like I care. I don’t need any tutor.”

                “Saya dah diupah, jadi mulai hari ini suka atau tidak, awak dah jadi anak  murid saya.”

                “Adik?” Suara anggota polis itu kedengaran lagi. Kali ini bernada cemas. Dan dia terus terjelepuk lemah ke tanah, bermandikan air hujan dan airmata seiring. Ada tangisan di sudut hati, harga untuk kekesalan yang dirasainya saat ini.

* *  *  *

DIA menaiki tongkang jam 2 pagi itu, menuju ke suatu destinasi yang agak jauh. Pakaiannya tidak banyak hanya yang bersarung di tubuhnya sahaja.Pakaian yang dikenakannya agak kotor dan compang camping tetapi dia sedikit pun tidak peduli. Matanya asyik mengawasi beg sandang yang dipegangnya sahaja.

                “Ini duit 1 juta seperti yang dijanjikan. Bos nak kau tinggalkan tempat ni sementara keadaan reda. Jangan muncul kat sini lagi buat sementara waktu ni. Pergi ke Macau dan duduk senyap-senyap kat situ. Kalau ada kerja baru, bos akan panggil kau balik.” Ujar lelaki itu semasa menyerahkan beg sandang yang penuh berisi wang itu.

                Dia tersenyum senang. Sengihannya semakin lebar sebaik dia teringat dendamnya yang sudah terbalas. Malam ini dia sudah bunuh 3 orang dan dia takkan teragak-agak melakukannya lagi. Meskipun tanpa wang ini, dia tetap akan melakukannya.Orang-orang yang telah memporak perandakan hidupnya, satu persatu akan dicincang lumat. Inilah padah kerana mencari fasal dengannya!

                Ketawanya bergema kuat, seiring dengan bunyi kuat tongkang yang sedang membelah ombak.Malam ini dia akan tinggalkan tempat ini buat sementara. Tapi dia akan kembali! Dia masih punya seorang anak lelaki yang terpaksa ditinggalkannya. Suatu hari nanti dia akan kembali bertemu dengan anak itu semula!

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.