Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,156
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 15

PINTU di hadapan mereka terbuka, menyerlahkan seraut wajah yang kelihatan cemas memandang ke arah mereka. Yasmin melangkah masuk, sedang dia hanya mampu terpaku di hadapan pintu. Hatinya ragu-ragu mahu melangkah masuk ke rumah orang yang tidak dikenali. Bahkan yang membuka pintu itu lelaki, lagilah dia cemas.

                “Mana dia?”

                “Ada kat ruang tamu Kak Yas.” Ujar lelaki itu.

                Yasmin berpaling ke arahnya dengan wajah berkerut.

                “Apa yang kau buat tu?” Tanya Yasmin dengan wajah serius.

                Dia hanya menggeleng, tanda tidak mahu mengikut wanita itu masuk. Tapi entah dari mana datangnya sepasang tangan yang menolak tubuhnya ke dalam. Dia terkedu saat menyedari Jojo sudah berada di belakangnya.

                Yasmin enggan mempedulikannya lalu mengikut lelaki yang membuka pintu tadi ke suatu arah.Jojo turut mengekori kelibat Yasmin. Adriana tercengang-cengang, tidak tahu apa yang harus dilakukannnya. Pintu sudah ada di belakangnya. Boleh sangat kalau dia mahu balik sahaja. Tapi entah kenapa, hati di dalam teringin juga mahu tahu apa yang membuatkan Yasmin kelihatan cemas dan datang ke apartmen mewah itu.

                Didorong perasaan ingin tahunya yang menebal, hendak tak hendak dia meneruskan langkahnya yang tergendala. Semakin dekat, suara Yasmin yang sedang marah-marah semakin jelas kedengaran.

                Adriana tergaman melihat Yasmin dan beberapa orang lelaki sedang menghadap sesusuk tubuh yang terbaring di atas sofa. Adriana menjengah tapi dia gagal melihat wajah lelaki yang sedang terbaring itu. Kenapa dengan lelaki itu? Sakitkah dia?

                “Kau yakin ini kerja orang-orang Barto?”

                “Ya Kak Yas.Kami pergi kutip duit di kelab malam Barto petang tadi. Alih-alih si Airis ni   terus bertumbuk dengan budak-budak Barto tu.Salah seorangnya keluarkan pisau terus tikam Airis.” Cerita lelaki kurus keding yang duduk berdekatan Jojo.

                “Melampau!Barto ni semakin berani buat aku marah. Berapa baki hutang Barto tu?”

                “Lebih kurang tiga puluh lima ribu termasuk faedah Kak Yas.”

                “Baik. Dia berani main kasar ya, aku akan pastikan dia bayar setiap sen hutang dia termasuk  faedah-faedahnya sekali. Kamu berdua ikut aku, kita ke kelab Barto tu sekarang.” Arah Yasmin.

                “Habis si Airis ni macamana Kak Yas?”

                Yasmin terdiam.Matanya bulat memerhatikan lelaki yang tidak sedarkan diri di atas sofa diruang tamu itu. Wajah lelaki itu kelihatan pucat lesi.

                “Kita bawa Airis ke hospital ya Kak Yas?”

                “Kau gila keapa Diman? Kan dia kena tikam ni.” Marah Jojo.

                “Habis nak bia rdia mati kat sini?” Marah lelaki kurus keding itu pula.

                Yasmin tunduk,menyelak sedikit t-shirt yang dipakai lelaki itu sehingga ke paras dada.Melihat luka tikaman besar tu sepanjang lebih kurang 5cm dengan kedalaman luka 2cm di bahagian rusuk kanan, dia mengeluh panjang. Mujurlah tidak di bahagian perut. Tapi luka lelaki itu harus dijahit.

                Yasmin tiba-tiba berpaling. Matanya menyorot ke arah Adriana yang kelihatan bingung,tidak tahu hujung pangkal. Dia mengerling ke arah Diman yang kelihatan gelisah.

                “Carikan aku peti First Aid, jarum dan juga tali tangsi. Bawa sekali kain bersih dan air.Cepat.” Pinta Yasmin.

                Diman yang menerima arahan itu kelam-kabut menyediakannya. Mujurlah dia suka memancing,jadi tidak ada masalah mencari tali tangsi seperti yang Yasmin mahukan. Sekejap sahaja barang-barang itu berada di atas meja kopi di situ.

                Yasmin bangun lalu melangkah ke arah Adriana. Lengan gadis itu ditarik ke arah sofa. Adriana terpanar melihat keadaan lelaki itu. Darah yang memenuhi pakaian lelaki itu membuatkan tubuhnya tiba-tiba mengigil. Ya ALLAH! Apa dah berlaku pada lelak itu?

                “Kau rawat dia Rian. Semua alat-alat tu dah ada kat situ. Bersihkan luka dia dan jahit.” ArahYasmin.

                Adriana tercengang mendengar kata-kata Yasmin. Apa? Dah gilakah Yasmin? Mana mungkin dia boleh melakukannya. Jahit luka? Tengok darah pun dia sudah takut, inikan pula hendak menjahit luka lelaki itu.

                Melihat Yasmin mahu beredar dengan dua lelaki itu, Adriana segera menghalang wanita itu.

                “Kak Yas nak kemana?”

                “Aku ada hal penting. Aku terpaksa tinggalkan kau kat sini. Lelaki atas sofa tu, dia orang aku yang paling penting. Aku nak kau selamatkan dia, buat apa sahaja asalkan dia selamat. Kejap lagi aku balik semula ambil kau.” Suruh Yasmin.

                “Tapi Rian tak pandai. Rian..”

                “Jarum tu jangan lupa sterilkan dulu. Nanti mati pulak dia.”

                “Tapi kak,Rian…”

                Gedegum. Bunyi pintu dikatup kuat membuatkan Adriana terduduk lemah. Ya ALLAH! Apa yang patut aku buat? Terketar-ketar dia memandang ke arah lelaki yang masih tidak sedarkan diri di atas sofa di ruang tamu. Hatinya menggerutu antara rasa marah dan risau saling berbaur. Tak guna Yasmin! Berani dia buat macam ni pada aku! Aku bukan jururawat, doktor pun bukan. Apa yang aku tahu fasal menjahit luka? Gumam Adriana cemas.

                Bagaimana kalau dia pergi sahaja dari sini? Ini bukan masalah dia. Tak ada kena mengena langsung dengan dirinya. Perlahan-lahan Adriana bangun lalu menghela langkah ke muka pintu. Tapi belum sempat dia mahu mendekati pintu, langkahnya tiba-tiba terhenti. Dia berpaling seraya mengigit bibirnya. Bagaimana kalau lelaki itu mati semata-mata kerana dia lari? Apakah itu akan menjadi tanggungjawabnya?

                Adriana mengeluh. Hendak tak hendak dia berpatah balik ke arah lelaki itu. Wajah lelaki itu ditatap sekilas lalu. Agak lama dia meraut wajah itu dengan teliti. Orangnya agak kacak, berkulit kuning langsat dan agak tinggi kerana hujung kakinya melebihi paras sofa yang menjadi tempat baringnya.

Siapa dia pada Yasmin? Hati Adriana tertanya-tanya. Dia masih ingat lagi dialog Yasmin sebentar tadi. Orang yang Yasmin pentingkan?

 Dia memandang ke arah barang-barang yang disepahkan lelaki kurus keding itu tadi. Ada jarum,tali, gunting dan juga sekotak peti First Aid. Beberapa helai tuala juga ada disitu bersama sebesen air.

                Dia mendekati lelaki itu lebih rapat. Terketar-ketar tangannya cuba menyelak t-shirt yang membalut tubuh lelaki itu. Tapi melihat liang luka yang masih berdarah itu,tangannya dilepaskan mendadak. Wajahnya pucat lesi. Ya ALLAH! Teruk luka ni.Lelaki ini sepatutnya dirawat di hospital.

                Cepat-cepat dia mencari telefon bimbit dari dalam kantung begnya. Sejurus dia mendapat telefon bimbit itu di tangannya, dia segera menekan nombor kecemasan. Tapi sesaat kemudian panggilan itu ditamatkan. Kelopak matanya dipejamkan. Tenang Adriana!Kau tak boleh telefon nombor kecemasan atau cuba-cuba bawa lelaki ini ke hospital. Takkan kau tak dengar kata-kata lelaki bertubuh besar tadi. Luka kena tikam akan jadi kes polis. Dia menggeleng. Telefon bimbitnya disimpan kembali.

                Apa patut aku buat? Ya, dia patut membuka pakaian lelaki itu yang dibasahi darah terlebih dahulu. Betul! Dia segera duduk berteleku di sisi lelaki itu. Berfikir-fikirsejenak apa yang harus dimulainya dahulu.

                Melihat ada sebilah gunting di atas meja, dia mengambilnya. Dia ragu-ragu sebentar, tapi mengenangkan dia sudah tidak ada pilihan lain lagi, maka dia segera mengunting pakaian lelaki itu.

                Sebaik tubuh dihadapannya terdedah, Adriana terpaku. Matanya tak berganjak dari tubuh berotot tegap itu. Tapi bukan tubuh six packs itu yang menarik perhatiannya, sebaliknya dia lebih kecut perut melihat tatoo yang memenuhi sebahagian tubuh lelaki itu, dari dada sehingga ke lengan. Seumur hidupnya inilah kali pertama dia melihat tatoo di tubuh seseorang dari jarak dekat.

                Dia menelan liur.Siapa agaknya lelaki ini? Samsengkah? Harap-harap bukan pembunuh atau perogol kerana sudah terlalu banyak masalah yang dihadapinya. Dia tidak mahu menambah sebarang masalah lagi. Selesaikan tugas ini cepat Adriana supaya kau boleh cepat pulang! Bisik hati kecilnya.

                Tali yang ada diambil lalu dicucuk pada jarum jahit. Dia menarik nafas panjang. Tangannya terketar-ketar memandang tubuh di hadapannya. Siapa sangka dia akan melakukan kerja-kerja begini. Dia mengelap tubuh lelaki itu dengan tuala basah beberapa kali sebelum dia kembali menyentuh jarum yang digeruninya. You can do it Adriana! Just do it and go home. Begitulah rentak fikirannya ketika ini.

Ketika jarum jahit di tangannya semakin dekat dengan kulit lelaki itu, tiba-tiba sepasang tangan menangkap jari-jemarinya. Adriana terpaku. Dia berpaling, lalu bertentang mata dengan sepasang mata yang entah sejak bila terbuka luas dan memerhatikannya. Renungan lelaki itu begitu dalam menjamah serata wajahnya, membuatkan dia gelisah serta cemas.

“Jarum tu..” bisik lelaki itu lemah.

Adriana terdiam. Kenapa dengan jarum ni?

“Kau dah steril jarum tu? Baik kau buat sebelum kau buat aku mati percuma.” Ujar lelaki itu dengan wajah berkerut-kerut menahan sakit.

Adriana tercengang-cengang. Baru dia teringat yang dia masih belum mensteril jarum itu seperti yang disuruh oleh Yasmin. Masya ALLAH!Nyaris-nyaris dia menggunakannya. Silap-silap haribulan lelaki itu boleh terkena jangkitan kuman. Adriana! Cuainya kau!

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.