Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,166
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 12

ADRIANA melangkah masuk ke bilik yang dimaksudkan. Dia menjenguh ke setiap sudut, mencari-cari wajah tuan empunya bilik. Meskipun Tuan Fahrin mengatakan anak lelakinya tidak ada ketika ini, tetapi dia masih berhati-hati. Ini bukan rumahnya, bukan biliknya. Dia tidak boleh berbuat sebarangan sahaja. Lagipun tempat ini asing baginya.

                Hatinya merasa jengkel kerana dipaksa melawat ke bilik Adham Mirza. Entah apa ke jadahnya dia harus melawat bilik anak muda itu? Bukannya dia akan mengajar anak muda itu disitu pun. Bagilah gaji beribu-ribu pun dia tidak akan masuk ke bilik itu lagi.Ini yang terakhir kali! Bisik hati kecil Adriana.

                Matanya meraut teliti suasana di bilik itu yang agak kemas. Macam tak percaya pula ini bilik anak muda belasan tahun. Selalunya bilik Anas yang bijak itu pun bersepah-sepah, inikan pula bilik budak nakal yang dikatakan Tuan Fahrin.

                Hiasan bilik itu sederhana, tetapi elegan. Ada sebuah katil bersaiz king, sebuah almari besar dan sebuah meja belajar yang hanya ada sebuah desktop besar. Sebuah gitar berwarna merah tua terletak di atas satu set sofa berdekatan dengan tingkap.Tidak jauh dari situ ada sebuah rak besar yang memuatkan koleksi kereta dan motorsikal lumba bersaiz mini.

                Adriana melangkah ke arah meja belajar. Membelek-belek beberapa buah majalah di atas meja itu yang tersusun rapi. Laci di meja itu turut dibuka. Seketika kemudian dia tercengang jadinya. Di mana buku-bukunya?Puas dia membelek tapi yang ada hanyalah majalah-majalah yang tidak ada gunanya. Kalau macam ni, belajar 5 tahun pun takkan lepas! Rungut Adriana.

“Saya harap Cik Adriana tak terkejut nanti. Mirza ni agak nakal dan sukar dikawal. Saya sebetulnya perlukan seseorang yang boleh mengawal Mirza, pastikan Mirza ikut cakap dan mahu belajar.”

                Dia teringatkan kata-kata Tuan Fahrin. Sekadar tengok meja belajar Adham Mirza sahaja boleh buat dia terkejut, inikan pulak nak tengok budak itu. Teruk sungguh. Langsung tak ada buku belajar. Memang bukan meja seorang anak sekolah yang akan menduduki peperiksaan.

                Bosan dengan apa yang dilihatnya dia bergerak pula ke arah almari pakaian besar dihadapannya. Melihat isinya dia ternganga. Mak oi, banyaknya pakaian.Transgender ke apa budak ni? Mana ada budak lelaki memiliki pakaian-pakaian berjenama sebanyak ini?

Adriana menarik nafas panjang. Cukup-cukuplah dengan apa yang dilihatnya. Kalau diteruskan mungkin dia akan muntah darah. Dia terduduk lemah di birai katil seraya termenung panjang. Kalau bukan kerana dia diberhentikan kerja di kedai 7-11 itu, belum tentu dia akan menerima tawaran bekerja di sini. Dia perlukan wang, perlukan duit rawatan ibunya dan belanja sekolah Anas. Hanya kerana sebab itu maka dia datang. Keadaan yang mendesak membuatkan dia tidak ada pilihan lain.

Sedang dia leka termenung, telinganya tiba-tiba terdengar sesuatu. Adriana berpaling, menoleh ke arah jendela yang terbuka luas tidak jauh dari situ. Dahinya berkerut. Apa bunyi tu?

Bunyi itu semakin jelas kedengaran. Hendak tak hendak dia memberanikan diri mendekati tingkap lalu menjenguk ke bawah. Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati sesusuk tubuh sedang memanjat palang paip menuju ke atas bilik itu. Dia menekup mulutnya lalu menghindar. Dadanya berdebar-debar. Siapa tu? Jangan-jangan pencuri yang datang hendak mencuri.Lagipun tak mustahil rumah sebesar ini jadi sasaran! Bisik hati kecil Adriana.

Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Perlukah dia menjerit memanggil Tuan Fahrin? Tapi nanti pencuri itu akan terdengar suaranya dan terus melarikan diri. Tak boleh! Kalau dibiarkan, lain kali si penyangak ni datang lagi.

Adriana memerhatikan di sekeliling bilik itu, cuba mencari-cari sesuatu yang boleh dijadikan senjata. Namun dia tidak nampak apa apa pun di situ kecuali piala besar yang terhias di atas sudut almari. Adriana tidak berfikir panjang terus mencapainya. Dengan perasaan berdebar-debar dia menanti di tepi jendela itu.

Sesaat dua berlalu perlahan, namun kocak di hati Adriana semakin menderu. Selama hayatnya tak pernah-pernah dia cuba menangkap pencuri bersendirian begini. Tapi kali ini entah kenapa dia jadi nekad pula sedangkan tubuhnya jelas mengigil.

Apabila sepasang tangan mula memaut palang tingkap dan melompat masuk, dia sudah mula tidak keruan. Belakang lelaki itu menjadi sasaran lalu dihentam sekuat hati dengan piala di tangannya. Rasakan! Berani sangat menyelinap ke rumah orang untuk mencuri! Getus Adriana sambil menjerit-jerit.

“Aduh!” Sekonyong-konyong lelaki itu menjerit kesakitan,Adriana semakin berani. Tindakannya bagaimanapun menimbulkan kemarahan lelaki itu. Tangan Adriana pantas ditangkap lalu tubuh gadis itu ditolak ke arah katil. Piala yang ada di tangan Adriana tercampak entah ke mana.

Adriana tergaman. Bulat biji matanya memerhatikan lelaki yang sedang menyeka darah di bibirnya. Pandangan mata lelaki itu mencerlung tajam ke arahnya.

“Kau ni siapa?” Pertanyaan itu dilontar keras.

Adriana sudah tidak berani berkutik. Bukan kerana dia takut pada lelaki si pencuri itu, tapi kerana dia sudah mula sedar lelaki yang dipukulnya sebentar tadi ialah Adham Mirza sendiri.  Ya ALLAH! Salah orang rupanya!

“Aku tanya ni, kau ni siapa? Pekak ke?” Herdik Mirza berang. Berani sungguh gadis itu memukulnya. Darah dari luka di bibirnya,diseka lagi dengan jari-jarinya. Melihat darah di tangannya, anginnya semakin memuncak.

Terkulat-kulat Adriana memerhatikan anak muda itu. Marah sungguh nampaknya. Salahnya juga, memukul orang tanpa usul periksa.

Melihat gadis itu ingin bangkit dari katilnya, Mirza semakin hilang sabar. Dia segera menerkam ke arah anak gadis di hadapannya dengan wajah merah padam. Gadis itu tersentak melihat tindakannya namun dia tidak ambil pusing. Saat ini anak gadis itu sudah menceroboh ke biliknya dan membuat kacau. Dan dia cukup pantang kalau biliknya dimasuki semasa dia tidak ada. Jadi gadis itu harus diajar!

Tapi ketika matanya beradu pandang dengan seraut wajah yang kelihatan takut-takut, entah kenapa tindakan kasar Mirza terhenti. Wajah itu! Mata itu! Dia terpempan. Ini kan perempuan yang dia nampak beberapa hari yang lalu? Yang asyik mendongak merenung bulan dan bintang di langit. Ya,memang dia. Mirza benar-benar yakin kini setelah mengulit wajah manis itu dalam-dalam. Ketika gadis itu meronta-ronta, dia tetap tidak melepaskan tangannya. Kali ini dia terpegun sehingga tidak sedar apa yang dilakukannya.

“Mirza? What the hell is going on?” Suatu suara keras muncul di gegendang telinga. Mirza tersentak lalu segera melepaskan tangannya. Dia berpaling lalu ternampak kelibat ayahnya dan Yasmin sedang terkulat-kulat memandang ke arahnya dan gadis itu. Mirza tahu posisi tubuhnya saat ini mungkin telah mengundang salah faham kedua-duanya. Damnit!

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.