Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,147
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 6

SUDAH satu jam lamanya dia menanti di Old Town White Coffee. Namun orang yang dinanti tak juga kunjung tiba. Elena menarik nafas panjang.  Berkali-kali dia melirik ke arah jam tangannya.Berkali-kali juga dia melemparkan pandangan ke arah pintu masuk restoran itu,mengharapkan pengunjung yang masuk ke situ seterusnya ialah Adham Mirza. Tapi lain yang diharapkan lain pula yang muncul.

                Kopi White Hazelnut yang dihirupnya sudah kian habis. Hatinya menggerutu dalam kekecewaan.Dia sudah sepatutnya tahu yang Mirza tidak pernah serius dengan kata-katanya.Jadi tak mungkin lelaki itu akan ingat dengan janji mereka untuk bertemu malam ini. Bukankah lelaki itu tidak pernah mempedulikan sesiapa selama ini? Lalu apayang kau harapkan Lin? Mirza takkan sesekali jatuh cinta pada gadis seperti kau.

                Elena meramas gelas kopinya sekuat hati. Kelopak matanya terpejam rapat. Hatinya keluh kesah.Terbuai-buai oleh ingatan lalu yang membuatkan dia jatuh hati pada Adham Mirza buat kali pertama.

                “Ops, maaf.”Suara itu muncul mendadak.

                Dia terpanar melihat pakaiannya yang habis lencun dibasahi air oren yang dipegangnya. Hampir hendak menangis dia melihat gaun yang dibeli ayahnya rosak begitu sahaja.

                “Maaf, saya betul-betul minta maaf. Tak sengaja.”

                Perlahan-lahan dia mendongak, lalu terpandang seraut wajah kacak yang cuba membersihkan hujung kaki gaunnya yang sudah bertukar warna. Melihat lelaki itu dia terkesima. Alam ini bagaikan pegun. Jarum jam berhenti berputar. Itulah perasaan yang dirasainya tatkala dia bertemu Adham Mirza buat kali pertama di rumah Tuan Fahrin sewaktu majlis meraikan anak sulung Tuan Fahrin yang akan ke luar negara menyambung pelajaran.

                “Saya Adham Mirza.” Lelaki itu menghulurkan tangannya.

                “Err....Elena Rushdan.” Dia tergagap-gagap menyebut namanya.

                “Awak kawan Drew?”

                Dia menggeleng.Malah tidak kenal nama yang disebut lelaki itu. Siapa Drew?

                Kerutan di dahi lelaki itu melebar.

                “Habis tu?”

                Belum sempat dia mahu menjawab, namanya diseru. Dia terkedu melihat ayahnya sedang menjeling tajam ke arahnya. Mahu tak mahu dia segera beredar menuju ke arah lelaki itu.

                “Berapa kali ayah nak pesan pada Lin, jangan bergaul sebarangan dengan budak lelaki dalam majlis ni terutama dengan budak Mirza tu. Dia anak Tuan Fahrin.” Suara ayahnyaseparuh berbisik. Perlahan tetapi beramaran.

                “Anak Tuan Fahrin?” Wajahnya berubah. Serentak bebola matanya mencari-cari kelibat anak muda itu.

                “Tapi kenapa ayah?” dia tercengang-cengang. Apa yang tidak kena dengan Adham Mirza? Bukankah ayahnya sendiri yang bilang, lelaki itu anak Tuan Fahrin, majikan ayahnya merangkap hos majlis ini?

                “Ayah tak suka kamu berkawan dengan dia.”

                “Tapi kenapa?”

                Mata EncikRushdan membuntang tajam ke arah anak gadisnya.

                “Dengar sahaja cakap ayah dan jangan membantah. Ayah dengar budak tu kaki clubbing. Macam-macam hal tak baik ayah dengar. Jadi ayah tak nak Lin cuba rapat dengan dia. Mengerti?”

                Dia menarik nafas panjang. Mana ayahnya dengar semua gosip-gosip itu? Takkanlah! Hati kecilnya menolak sangkaan buruk itu. Dia menoleh ke arah lelaki itu yang sedang berbual-bual dengan beberapa orang gadis di suatu sudut. Memang kalau dilihat dari jauh, tidak ada sesiapa yang menyangka lelaki itu masih bersekolah menengah. Mungkin kerana faktor tubuh Adham Mirza yang tinggi lampai dan tampan, membuatkan lelaki itu kelihatan seperti berusia 20an.

                Dia menelan liur sewaktu melihat tangan anak muda itu menjalar ke pinggang salah seorang dari gadis-gadis yang bercakap dengannya. Entah mengapa hatinya cemburu bukan kepalang. Alangkah baiknya kalau dia dapat bertemankan lelaki seperti Mirza.Mempunyai aura dan karisma memikat.

                Mulai saat itu dia sudah mabuk kepayang dengan lelaki itu. Malah boleh dikatakan obses kerana dia mengambil tahu semua hal mengenai Adham Mirza. Dari sekecil-kecil info sehinggalah ke sebesar-besal hal yang melibatkan lelaki itu. Sehinggakan sampai ke satu peringkat, dia merayu ayahnya untuk bertukar sekolah. Sekolah yang sama yang Adham Mirza hadiri. Semua yang dilakukannya kerana dia mahu dekat dengan lelaki itu. Tapi Adham Mirza seperti langsung tidak mengingatinya. Malah ketika mereka terserempak di sekolah, menonong sahaja lelaki itu pergi tanpa mempedulikannya.

                Elena membuka matanya. Keluhannya meniti di bibir. Sepertimana dia gagal menarik perhatian Adham Mirza tempohari, sekarang juga keadaannya tidak jauh berbeza. Lelaki itu hanya berniat mempermain-mainkannya sewaktu memintanya datang ke situ. Dan dia yang bodoh ini hanya menurut dan mempercayai lelaki itu. 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.